Rabu, April 26, 2017

Muzik Sastra Cipta

Ada dua ruang yang perlu dilalui sebelum kita benar-benar mencipta. Ia lebih ketara di dalam penciptaan muzik dan kurang ketara di dalam penciptaan sastra. Dua ruang ini semacam tertib sebelum ciptaan benar-benar terjadi. Saya mahu fokus kepada sastra jadi kita boleh ambil muzik sebagai analogi, atau sebagai benda betul juga.

Ramai orang ada alat muzik, tetapi tidak semua orang mencipta sesuatu dari instrumen itu. Mereka guna alat muzik untuk belajar (iaitu dengan memainkan muzik lama, klasik atau orang lain) dan apabila sudah pandai mereka masih memainkan muzik orang lain, dari jamming dengan kawan-kawan kepada menjadi profesional yang membolehkan mereka untuk mengajuk dan memainkan kembali lagu-lagu orang. Pendek kata di dalam ruang pertama ini, proses ciptaan belum terjelma dan bukan poin utama kenapa mereka memainkan alat muzik. (Semua orang menulis, twit dan menggunakan kata-kata di dalam kehidupan seharian, tetapi masih belum ada daya yang memaksa mereka untuk berkarya dan mencipta. Kata-kata ini instrumen yang mereka miliki tanpa sedar.)

Di ruang kedua pula kesedaran untuk mencipta sudah ada. Tetapi ia masih belum jadi ciptaan penuh atas faktor saduran dan dominasi suara pencipta terdahulu. Bukan mengatakan rujukan dan saduran ini tidak boleh, malah proses ciptaan memerlukan hubungan-hubungan sebegini. Cuma ia jadi hambar apabila rujukan itu menguasai ketelusan hasil ciptaan. Ia paling ketara apabila rujukan itu cuma ada satu/dua dan dikongkong genre. Lagi pula yang dirujuk itu hal-hal yang mudah didapat dan trend semasa. Bunyi-bunyian langsung kedengaran tipikal dan tidak bahaya. Ini banyak kita dapati di dalam muzik-muzik yang diterbitkan.

Muzik-muzik yang dicipta ini kita sedari, tidak terasa baru atau berbeza atau malah memberi. Nuansa saduran dan ajukan masih kuat. Semua orang bermula dengan menyadur dan mengajuk tetapi dalam mencipta kita perlu lepasi ruang ini. Kita tidak lagi sepenuhnya menyadur atau mengajuk, dan kita tidak lagi biar diri kita didominasi faktor-faktor luaran—muzik-muzik yang kita dengar, atau dalam konteks sastra, tulisan-tulisan yang kita baca atau kata-kata yang kita kutip.

Kaedah termudah sudah pasti bermula dari dalam ke luar. Untuk menjadi deeply personal, pertama sekali anda perlu kenal diri anda. Dan untuk kenal diri ini ada macam-macam kaedah yang boleh anda cari. Atau jika anda sudah ditakdirkan untuk tidak kenal diri anda sendiri, boleh jadi tiada apa yang boleh kita buat, selain teruskan membaca esei ini.

Teknik menyadur atau mengajuk ini juga boleh jadi kuat andai ia diberi nafas baru secara remix. Muzik latar rap dan lagu popular dewasa ini banyak yang guna teknik ini, tetapi masih, lirik yang mereka nyanyikan tetap personal. Dan remix yang mereka lakukan ini diambil dari muzik-muzik yang telah hilang ditelan zaman, atau tersembunyi dari permukaan pop. Secara tidak langsung ia masih menawarkan sesuatu yang segar bagi pendengar yang kurang meneroka. 

Dalam konteks sastra dan kata-kata, remix ini boleh berlaku dari skala susunan patah kata itu sendiri hingga ke susunan perenggan dan stanza dan malah ke susunan body of work seorang pengkarya. Teknik remix ini paling sesuai dalam kita merubah sebuah frasa. Frasa atau ayat pasang siap yang kita kutip dari tivi dan mulut orang, andai mahu diberi pengertian baru dan mahu disubversifkan, wajar diremix. Remix persis found footage, di mana anda sedang beri visual itu sebuah pengertian baru yang berbeza dari niat perakam asal visual tersebut. Remix menjadi literal dengan kata-kata kerana kita semua menggunakan bahasa dari kamus yang sama. Susunan, pilihan dan keperibadian kata-kata ini yang membuatkan setiap pengarang berbeza. 

Dalam mencipta kita secara tidak langsung memberi. Dan pemberian ini datang dari apa yang anda terima dari idea atau tanzil atau kilasan cahaya atau wahyu atau mimpi atau apa-apa saja yang mahu anda gelarkan. Seorang pencipta memberi kerana menerima.


Ridhwan Saidi