Rabu, Januari 22, 2014

Aku ada satu cerita

Aku tak tahu kenapa aku buat apa aku buat. Kalau aku tahu, aku mungkin tak buat. Apa aku boleh cakap, dan aku cakap ni dengan penuh yakin, bahawa aku dah rasakan hal ni sejak usia remaja. Aku cakap tentang penulisan, khususnya, penulisan sebagai jentera untuk bercerita, cerita rekaan yang tak mungkin berlaku di apa yang kita panggil dunia nyata. Tentu sekali ia benda janggal untuk diluangkan dalam hidup kau – duduk seorang diri di dalam bilik dengan pen di tangan, jam demi jam, hari demi hari, tahun demi tahun, berusaha untuk menurunkan kata-kata ke atas sekeping kertas untuk melahirkan sesuatu yang tak wujud – kecuali di dalam kepala kau. Kenapa ada orang nak buat benda macam tu? Satu-satunya jawapan yang aku boleh beri adalah: sebab kau perlu, sebab kau tak ada pilihan.

Keperluan untuk buat, untuk bikin, untuk cipta, tanpa sangsi, adalah gerak hati manusiawi. Tapi sampai mana? Apa tujuan seni, khususnya seni fiksyen, beri dalam apa yang kita panggil dunia nyata? Tak ada apa yang boleh aku fikirkan – paling kurang bukan dari segi praktikal. Buku tak pernah suap makanan ke dalam perut budak lapar. Buku tak pernah hentikan peluru dari tembus ke dalam mayat mangsa tembakan. Buku tak pernah halang bom dari jatuh ke atas orang awam di tengah medan perang.

Sesetengah orang fikir apresiasi seni boleh buat kita jadi manusia yang lebih baik – lebih adil, lebih moral, lebih sensitif, lebih memahami. Mungkin tu betul – dalam sesetengah kes langka. Tapi jangan kita lupa yang Hitler memulakan hidupnya sebagai artis. Penzalim dan diktator baca novel. Pembunuh dalam penjara baca novel. Dan siapa kata mereka tak nikmati buku sama macam orang lain? Dalam erti kata lain, seni tak berguna, paling kurang jika dibandingkan dengan, katakan, kerja seorang tukang paip, atau doktor, atau jurutera keretapi. Tapi adakah tak berguna ni tak baik? Apakah ketiadaan tujuan praktikal bermakna buku dan lukisan dan string quartet hanya buang masa kita? Ramai orang rasa begitu. Tapi aku akan bidas bahawa dengan ketidakbergunaan seni ni, beri ia nilai dan berkarya adalah apa yang membezakan kita dari makhluk-makhluk lain yang mendiami planet ini, bahawa ia, secara asasi, mendefinisikan kita selaku umat manusia.

Untuk buat sesuatu demi nikmat dan rasa indah membuatnya. Memikirkan tenaga yang diguna, berjam-jam latihan dan displin diperlukan untuk sepenuhnya jadi pemain piano atau penari. Segala sengsara dan kerja keras, segala pengorbanan demi mencapai sesuatu yang mengkagumkan dan betul-betul ... tak guna. 

Fiksyen, walau bagaimanapun, wujud dalam alam lain dari cabang seni lain. Mediumnya bahasa, dan bahasa adalah sesuatu yang dikongsi, yang biasa bagi kita semua. Dari momen kita belajar untuk bercakap, kita mula dahagakan cerita. Mereka yang masih ingat masa kecil, kita akan perasan bagaimana kita ghairah menanti momen kisah sebelum tidur, semasa ibu atau bapa kita akan duduk di sebelah kita di dalam bilik semi-kelam dan baca buku dongeng.

Di antara kita yang ibu dan bapa tak susah untuk sedar perhatian dan keasyikan mata anak kita semasa kita baca kepada mereka. Kenapa terlalu khusyuk mendengar? Cerita dongeng biasanya kejam dan ganas, ada pancung, kanibalisme, transformasi grotes dan sihir syaitan. Ada yang fikir material ni terlalu menakutkan buat anak kecil, tapi cerita ni disampaikan di dalam ruang lingkup yang selamat. Begitulah magis sebuah cerita – ia mungkin tarik kaki kita ke lubang neraka, tapi akhirnya ia tak merbahaya.

Kita menua, tapi tak berubah. Kita semakin sotifiskated, tapi di dasar kita masih seperti diri muda kita, dahaga untuk mendengar cerita seterusnya dan seterusnya, dan seterusnya. Selama bertahun-tahun, di setiap negara di dunia Barat, artikel demi artikel telah diterbitkan menyatakan fakta bahawa semakin lama semakin kurang orang membaca buku, yang kita telah masuk ke apa yang dipanggil ‘era pasca-baca’. Itu mungkin benar, tapi dalam masa yang sama, ini tak melemahkan kehendak umum untuk cerita.

Novel bukan satu-satunya sumber, lagi pun. Filem dan tivi dan malah komik menghasilkan kuantiti besar naratif fiksyen dan orang awam telan ia dengan penuh ghairah. Ini kerana umat manusia perlukan cerita. Mereka perlukan ia sepertimana mereka perlukan makanan dan walau bagaimanapun cerita disampaikan – samada bercetak atau dalam skrin tivi – ia mustahil untuk membayangkan hidup tanpa cerita.

Masih, bila kita kembali kepada novel, kepada masa depan novel, aku optimis. Bilangan tak aci dikira sebab bila baca buku, yang ada hanya seorang pembaca, setiap dan sentiasa seorang pembaca. Ini menjelaskan kuasa novel dan kenapa, pada pendapat aku, ia tak akan mati sebagai bentuk. Setiap novel adalah kolaborasi seimbang di antara pengarang dan pembaca dan ia merupakan satu-satunya tempat di dunia di mana dua orang asing boleh bertemu demi keintiman mutlak.

Aku telah luangkan hidup aku berbual dengan orang yang tak pernah aku jumpa, dengan orang yang aku tak akan kenal dan aku harap dapat terus begitu sampai hari aku berhenti bernafas.

Ia satu-satunya kerja yang aku nak.


terjemahan Ridhwan Saidi

Selasa, Januari 14, 2014

Cara bikin karya pendek Beckett

‘Cara bikin karya pendek Beckett:
ambil secubit kesepian,
gaul rata dengan kelam cahaya
dan sedikit kegelapan
kacau dalam sedikit kaos
(sembarangan daya boleh),
bubuh senafas kehidupan,
menyesal,
janji untuk lenyapkan ia,
kemudian jangan.’


Merrie London, 'To make a short Beckett piece'
terjemahan Ridhwan Saidi