Seorang pelakon apabila di hadapan kamera perlu sedar dua benda iaitu bahawa dia sedang berada di hadapan kamera, pengarah, lampu, boom dan mata-mata kru yang sedang melihat aksi yang sedang dia lakukan, tetapi dalam masa yang sama pelakon itu juga perlu berada di dalam dunia set lakonannya, di dalam dunia fiksyen yang digarap oleh penulis skrip, yang diberikan visi oleh pengarah, dunia yang memutuskan hubungan dengan kamera, pengarah, lampu serta boom tadi larut di dalam alam idea kolektif produksi filem tersebut.
Hal yang sama berlaku apabila seseorang itu sedang membaca (terutama fiksyen yang menyamarkan realiti dan fiksyen, berhawa autobiografi) kerana seorang pembaca pertama dia perlu sedar bahawa novel yang dibacanya itu memang mengisahkan mengenai hidup si penulis di dalam dunia yang digarap menyerupai realiti—realisme, iaini imitasi kepada realiti (agar pembaca moden pulp mudah relate), tetapi dalam masa yang sama, seorang pembaca juga harus sedar bahawa ia merupakan sebuah fiksyen (kerana ia bersifat autobiografikal atau tidak, itu bukan poin utama kenapa kita selaku pembaca membaca), sebuah dunia rekaan. Jika seseorang pembaca itu menulis reviu dan mengambil fiksyen itu sebagai realiti, ini bermakna pembaca itu masih terjerat dengan alam kesedaran pertama, dan jika kesedaran kedua itu tidak hadir, pembaca itu gagal menjadi pembaca yang baik sepertimana seorang pelakon yang hanya memiliki satu kesedaran, yang bermaksud dia tidak berlakon pun.
Lakonan ini kalau digali asal-usul maknanya bermakna pura-pura, atau hipokrasi. Dengan melakonkan satu watak, kita sebenarnya sedang berpura-pura sebab kita sedar yang kita berada di hadapan kamera, meski pun kita sedang menjadi Dang Anum atau pun seorang remaja yang baru lari dari Kampung ke Bandar (contohnya). Ini bermakna, pembaca juga sedang berpura-pura ketika seorang pembaca itu membaca. Pembaca itu sedar bahawa dia sedang memegang sebuah novel (yang nyata sebuah fiksyen, sebuah dunia reka-rekaan), tetapi di dalam masa yang sama pembaca larut dan percaya dan hidup di dalam novel yang dibacanya itu. Hanya melalui dwi-kesedaran ini dramatic irony boleh muncul (karakter tahu satu perkara tetapi kita sebagai 'pembaca' mengetahui perkara yang tidak diketahui karakter tersebut).
Poinnya adalah, apabila seorang penulis memilih medium novel sebagai novel, atau lebih senang saya ambil diri saya sendiri kenapa saya memilih medium novel; adalah kerana ia sangat bebas, bebas dari fakta-fakta, bebas dari tatabahasa, bebas dari dogma, bebas dari autobiografi, suatu ruang anarki total buat saya merayakan kehidupan.
Ramai pembaca yang membaca novel AMERIKA menganggap ia bulat-bulat kisah hidup saya, terjerat dengan alam kesedaran novel tersebut, tanpa keluar terlebih dahulu dengan menyedari bahawa novel itu fiksyen. Sebagai pembaca, ini tidak lengkap. Seperti jika kita menonton filem-filem Woody Allen dan mengatakan filem-filemnya mengisahkan mengenai hidup Woody Allen, Woody Allen tidak suka. Woody tidak suka kerana samada ia benar atau tidak kisah kehidupannya, itu bukan poin penting. Woody berkarya kerana ingin menyampaikan sesuatu yang lain. Malah Woody juga bertanya kepada para peminatnya yang merasakan filem-filemnya autobiografikal, 'Itu saja ke yang awak dapat?'
Jadi dalam menjadi seorang pembaca yang baik (dan dalam menuju menjadi seorang pembaca yang baik, kita perlu jadi pembaca yang teruk dulu, ini tidak mengapa kerana semua orang perlu bermula dari situ), kita perlu sedar kewujudan dwi kesedaran ini sepertimana seorang pelakon berlakon. Dan dari situ barulah perlahan-lahan kita meneroka kedalaman sesebuah karya tersebut, kita semakin kritikal, kita mula fahami bahawa plot bukan poin utama sebuah novel (kerana itu di dalam novel CEKIK, bagaimana pembunuhan itu berlaku diabaikan, kerana ia tidak penting) sebaliknya kita berpeluang melihat poin tematik tersirat karya tersebut (yang kebiasaannya terletak di penghujung kisah—babak terakhir—resolusi di mana moral (dalam erti kata sebenar) disampaikan) tidak kira novel, filem, teater dan seumpamanya.
Ridhwan Saidi