Saya tak pasti memori saya ni sudah terpesong atau belum, jadi baik saya catatkan saja ia di sini sebelum ia terus hilang—selain tatkala saya sedang merehatkan diri dalam mengharungi pembentukan novel ketiga.
Untuk ingatan saya dan pengetahuan umum, Cekik siap sebagai sebuah fiksyen ketika ia mencecah 40,000 patah perkataan—tetapi memandangkan penerbit mahu sekatakan ia dengan dua lagi novel lain (Pecah dan Kougar), iaitu sebanyak 60,000 patah (dan 40,000 patah lebih kepada novella remaja), maka dengan itu saya kena cari lagi 20,000 patah. Seperti nasi goreng yang hampir siap, tiba-tiba nasi putih ditambah, kita perlu perbetulkan rencah dan rasa nasi goreng itu dengan skala yang betul supaya ia kembali kepada sesuatu yang layak dihadam (kerana itu efek penamatnya lari proporsi). Pendek kata selepas menyangka novel saya telah siap dan bersedia untuk melakukan proses rewriting, selepas 40,000 patah, niat saya hanya satu iaitu menambah perkataan selagi boleh. Dari situ dengan selamba saya mengaksikan teknik copy paste dengan menyerakkan ayat yang sama ke serata bahagian, diulang dan diulang dan diulang selagi boleh (saya pernah baca Shit oleh Shahnon Ahmad—cuma tidak sekerap itu, dan bukan lagi permainan bahasa, saya ambil secara literal). Selain itu saya juga dengan penuh kesedaran name drop nama-nama penulis, kedai buku, bubuh khutbah, selitkan esei-esei Sue dan entah apa lagi, macam biasa, sebab nak banyakkan patah perkataan.
Cekik dihasilkan dalam tempoh dua bulan (amat singkat bagi sesetengah orang), tapi objektif saya selain wang royalti, ialah memahami bentuk novel itu sendiri. Kali terakhir saya baca novel semasa di sekolah dahulu (secara tegar), pasca sekolah saya lebih cenderung kepada buku-buku non-fiction. Malah saya menghadapi kesukaran memulakan novel ini. Nak tulis 1,000 patah pun tersengguk-sengguk. Apa kebenda yang nak ditulis 60,000 patah perkataan? Tapi selaku seorang yang pragmatik dan rasional, saya hadir dengan strategi. Saya tahu dengan tempoh yang singkat, saya tak boleh memitologikan kehidupan seharian sebab itu bunuh diri namanya. Saya takkan ambil jalan serius (dalam erti kata sebenar), sebaliknya bermain dengan metafora—dan lebih penting saya akan duduk dalam arus kesedaran karakter supaya segalanya mustahil. Untuk membuatkannya lebih 'kacang', saya ambil watak-watak yang menipu, yang sakit, dan yang naif. Serius bila kita menggarap kisah seorang penipu yang sedang menipu, seorang sakit yang sedang sakit, seorang naif yang tak tau apa-apa—apa yang kita perlu lakukan hanyalah menekan-nekan butang keyboard sikit-sikit lama-lama jadi bukit patah perkataan.
Tetapi masih, menulis bukan sekadar menekan-nekan butang keyboard. Dengan sedikit ilmu teori lakonan dalam filem atau teater yang dipanggil method acting, atau the System atau apa kejadah. Melalui pemahaman cetek saya tahu yang lakonan ini adalah jenis dari dalam. (Satu lagi jenis lakonan dari luar). Pendek kata saya cuma layan method writing melalui pengalaman hidup saya yang baru setahun jagung ini. Saya berkebolehan menjadi Syed Warith sebab saya pernah jadi budak, tapi untuk yang lain saya perlukan unsur-unsur external. Memandangkan saya jenis malas nak buat research, suatu ketika secara magikalnya saya mendapat bisikan—bukan wahyu, bukan intuisi, bukan genius, bukan angin, bukan idea, bukan dan dan dan—ianya melangkaui semua itu, iaitu bisikan tivi dari ruang tamu, dan dari situ datang banyak suntikan pop dan hip.
Selain itu saya juga cuba memasukkan perkataan-perkataan seharian yang terpinggir (daripada kamus) ke dalam penulisan. Ada yang mengatakan ianya lucah, tetapi itu terpulang, poin utama saya memasukkan perkataan-perkataan yang tidak digunakan ini sebab saya dapat satu ilham di mana kebiasaannya seorang penulis research-based fiction akan memasukkan istilah-istilah perubatan, nama saintifik bunga, terma-terma akademik, dan hal-hal sedemikian. Dengan semangat yang sama, saya memasukkan entah apa saya pun dah lupa, tetek ada ke? Tapi yang penting saya menggunakan perkataan yang wujud dalam kamus. Kalau benar novel yang mengandungi perkataan-perkataan 'terlarang' ini lucah, bagaimana dengan Kamus Dewan yang mengandungi perkataan tersebut. Adakah kamus itu lucah sebab menerangkan vagina itu apa? Jawapannya ya lol. Di tambah dengan era globalisasi dewasa ini yang mana kalimah shit dan fuck dan cock itu berhamburan, bukankah lebih lemak menggunakan pukimak?
Cukup dengan wacana lucah lagi tak bermoral ish ish ish, sekarang mari kita beralih ke precint lain. Baik—setelah Cekik diterbit, dijual dan dibaca, dengan teknologi yang dipanggil internet, saya berpeluang membaca feedback orang ramai, dan tak dinafikan kadang-kala saya terinspirasi dengan ulasan yang mereka buat. Ada yang brutal, ada yang shocking, ada yang kelakar, ada yang ethereal, ada yang sihat, ada yang profound, ada yang membuatkan mereka masuk ke dalam satu dunia yang tak pernah dialami. Tidak kurang juga yang tak suka, tapi serius saya sebagai penulis yang membaca, tak dinafikan ada beberapa bahagian yang bosan—tapi kalau saya hanya ada buku itu tersangkut di dalam kesesakan jalanraya super, saya akan baca dari mula Warith bersiap-siap nak ke masjid sehingga ke surat-surat Zaid, sebab ianya kelakar nak mampus. Saya sendiri tak rasa macam saya yang tulis benda tu... ah lupa saya ceritakan, dalam menghasilkan Cekik, saya menaip secara automatik sambil berbaring, bukan meniarap dan mengadap skrin, tapi secara literal berbaring dan kedua belah tangan ke sisi kiri tubuh. Laptop terletak atas kotak dan saya menaip dan menaip dan menaip tanpa melihat keyboard pun, kadang-kala saya tak sedar antara tidur dan jaga, tapi semua ni saya tak ambil kisah selagi patah perkataan bertambah. Ianya menarik bila kita sedar-sedar novel tu dah bertambah 2,000 patah perkataan, canggih!
Ada yang merasakan saya terlalu mencuba menulis, tapi jujurnya tidak. Saya tahu tulisan yang mencuba tu macam mana, sebab saya biasa buat dan biasa baca. Cekik ini ketika siap merupakan draf ketiga bertukar-tukar tangan dengan penerbit, tetapi setiap proses sebenarnya penambahnaikan jumlah patah perkataan, jadi secara literal ia adalah draf pertama yang tak terusik. Tak sempat nak rewrite atau lakukan permurnian, tetapi ia berkesan kerana kalau saya murnikan, sia-sialah usaha saya melayari kehidupan method seorang Warith. Dan Warith dan Suria ini dibentuk sebagai hipster, ini penting, ini sangat penting kerana tiada penulis dalam bahasa Melayu lain meraikan budaya hipster yang begitu kontemporari sekarang. Dengan Suria sebagai hipster merangkap pensyarah universiti swasta yang berakademika melalui esei-esei—poin utamanya bukan sebagai wacana akademik, tetapi ia lebih kepada nak berlawak jenaka; siapa ambil literal atau terlalu serius atau merasakan ianya lame terutama golongan skema dan emo yang takde sense of humor, tak dapat den nak nolong.
Ada yang mengaitkan Nora Zain dengan lagu kumpulan Komplot, tapi jujur saya tak pernah dengar muzik-muzik kumpulan itu. Semua orang dengan citarasa yang baik pasti tahu Nora Zain ni agen wanita yang mongel, seperti mana Suria Menado saya gambarkan seperti Maria Menado, bapa Zaid iaitu Tok Jeff saya ambil dari nama Jefri Zain, Nancy dari Nancy Drew, spontan. In fact saya taip, saya copy paste, saya lukis, saya tinggalkan secara spontan tanpa apa-apa daya nak menghasilkan masterpiss... eh masterpiece, oeuvre, magnus opus, apa ke-voodoo—sebab saya tahu dan sedar novel ini tentang apa (lagi pun budak-budak belum akil baligh aja nak hasilkan masterpiece). Malah saya boleh cincai tekan butang-butang keyboard ep[jewsjno aindeioqw aj wodakmw okansd aokdnm akosmdkiow qkdnomw kodmqw lg[rw lh[okae fkefn kewFj joaij ao oifaj pwkf fa[krg[a whra wjikthreok p pro i feioj dif iH rwiur hqiwh aFY e89yro iflwk q3joit sehingga menghasilkan corak abstrak pada beberapa helai muka surat, ya ini menambahnaik jumlah patah perkataan, tetapi saya tidaklah sepoyo itu.
Saifullizam Tahir dalam satu sesi wawancara di Shah Alam ada bertanya kepada saya, berapa banyak hal yang benar daripada kehidupan saya berada di dalam Cekik. Saya jawab sikit iaitu bawah 50%. Apa yang benar berlaku dalam fiksyen ini sesuatu yang saya tak faham, tetapi saya buat pemahaman sendiri. Sebagai contoh saya pernah masak mi Maggi, maka sudah semestinya itu benar bukan? Rumah kampung Warith, dengan sebatang sungai di belakang, berhadapan sebuah surau, itu rumah pensyarah saya di Bota, ia digabungkan dengan tanah perkuburan di Sungai Besi di mana letaknya pusara pakcik saya—maka ia menjadi benar sebab saya pernah mengalaminya dan ianya sesuatu yang saya nampak secara jelas ketika menulis. Pengalaman-pengalaman hidup ini, tak semestinya sesuatu yang berlaku kepada diri sendiri, ia juga boleh berlaku dari apa yang kita lihat, tak kisah kejadian depan mata atau dalam tivi. Saya pernah ponteng sekolah maka ia benar, saya juga pernah... oh ya, menonton filem China Cat merupakan satu-satunya research yang saya lakukan bagi Cekik lol. Jadi apa yang berlaku ini, dari pengalaman melalui memori (tidak kira lurus atau terpesong), ia direnjiskan dengan imaginasi lalu kita bentuk ia menggunakan teks—maka terhasil-lah fiksyen. Jadi bila saya kata bawah 50%, yang selebihnya unsur-unsur luaran seperti bunyi tivi dari ruang tamu tadi. Bila iklan Friskies saya terus tulis pasal kucing, bila iklan mi segera saya terus tulis pasal mi Maggi, bila rancangan bualbicara waktu pagi, saya terus tulis pasal tudung.
Apa pun, saya gembira kerana ada pembaca yang dapat layan Cekik, dengan itu saya layangkan sejambak flying kisses, meski pun saya belum dapat curahkan intensiti penulisan blog ke dalam skala raksasa novel yang babi payah itu ha ha.
Ridhwan Saidi