Selasa, Jun 07, 2011

Filpen Eye Love


Filem pendek ini telah memenangi KKIFF 2011 atau nama panjangnya Kota Kinabalu International Film Festival. Terus terang saya suka filem ini. Shot pertamanya amat berkuasa membuatkan saya terpaku lalu masuk ke dalam dunia dreamlike dan ethereal garapan Bebbra Mailin. Walau pun apa yang dipapar foreground lebih kepada hubungan dua hala pasangan bercinta lelaki dan perempuan, dalam masa yang sama saya terkesan dengan latarnya. Alam kesemulajadian Sabah, tangan yang menyentuh bayu, kabus Kinabalu yang berarak secara majestically, warna-warni bunga-bunga mekar yang harmoni, ia penuh rasa. Kuasa sinemanya terasa dengan mainan suntingan dan efek bunyi dan muzik serta gerak perlahan dan gerak mulus si pemegang kamera. Dalam masa yang sama, ia juga penuh gaya. Gaya yang cuba dicapai oleh kebanyakan pembikin berorientasikan produksi tetapi gagal. Kadang-kala ada perkara yang perlu dilakukan secara rendah diri. Permainan ruang masa di dalam filem ini mendebarkan dengan naratif dan narasi yang berkesan. Bagaimana puncak syahwat filpen ini dengan kamera itu bergerak ke belakang mempunyai sentuhan nostalgia yang kuat. Ia seperti meninggalkan, tetapi dalam masa yang sama mahu kembali patah balik. Bagaimana pohon-pohon lebat bergerak rapat diselangi montaj momen-momen indah – ia... tak tahu nak kata, berkesan, menjadi, bermakna – cantik. Selaku seorang manusia, saya berbangga dengan filem pendek tempatan bertemakan cinta dari Borneo ini.


Ridhwan Saidi