Khamis, Mac 17, 2011

Previu Bunohan di Annexe, CM



Majlis pelancaran ini berlaku minggu lepas sejurus sebelum saya tinggalkan Malaysia. Jadi di sini saya cuba untuk ingat-ingat balik apa yang saya rasa pada ketika itu. Pertama mungkin boleh saya mulakan dengan apa yang saya tidak suka.

Majlis ini secara keseluruhannya menarik, cuma terdapat dua perkara yang membuatkan saya secara peribadi, rasa kurang ummph! Pertama pengacaraannya yang pabila saya pejamkan mata, saya seolah-olah merasakan diri saya seperti berada di Finas. Liyana Fizi, seorang penyanyi seharusnya tidak boleh formal, keras dan kaku.

Kedua, sesi soal jawab bersama media. Dain Said bagi saya adalah di antara orang yang kita senang dan seronok pabila mendengarnya bercakap – suaranya terang dan jelas, petah pula tu. Tetapi soalan-soalan yang dikeudarakan oleh wartawan-wartawan media kita tidak begitu menggerakkan. Kalau saya wartawan media, mungkin saya akan tanya kenapa banyak sangat tangga dekat majlis pelancaran itu. Adakah 'tangga' sebagai simbol atau objek dekat dengan diri pengarah? Atau kebetulan banyak tangga, lantas dijadikan hiasan majlis tersebut. 

Dain ada beberapa kali saya sedari cuba menekankan konsep mise-en-scene tanpa menggunakan istilah tersebut. Latar alam bagi filem ini merupakan petunjuk dan penguat kepada jiwa karakter terbabit. Dain bermain dengan angin monsun, paya bakau, awan mendung, tanah gersang dan dan dan. Macam kata Amerul Affendi yang mewarnai filem ini, "alam adalah batin manusia."

Turut mencuri perhatian saya adalah kata-kata ringkas yang diberikan oleh Faizal Hussein. Walaupun Faizal ini seorang yang soft spoken, tetapi pengalaman yang diluahkan menyentuh perasaan. Faizal bercerita lebih kurang begini, "kita nak berlakon ni, tapi pengarah kata tak cukup lagi dua titisan peluh kat dahi—tak cukup lagi dua titisan peluh kat dahi!"

Akhir sekali jika kamu lihat poster filem ini, ia menggunakan teknik HDR. HDR adalah teknik paling cheesy kalau tak dapat dimainkan dengan betul, tetapi nampak gayanya poster filem ini berjaya pull it off – saya harap filem ini pun begitu.



Ridhwan Saidi