Isnin, Mac 21, 2011

Dingin Alam Dingin Mesin

Beberapa hari lepas saya telah ke DKU Aswara untuk menonton beberapa buah filem Akira Kurosawa sempena menyambut ulang tahunnya yang ke 101. Salah satu faktor utama yang menarik minat saya untuk memandu dari ceruk Sungai Buloh adalah kerana ia ditayangkan dengan menggunakan projektor 35mm. Di dunia serba Youtube dan Vimeo ini, kadang-kala kembali kepada medium asal menyerlahkan betapa syoknya pengalaman menonton dengan putaran gulungan filem pada kitaran 24 bingkai dan satu flicker—lebih-lebih lagi menonton karya-karya besar daripada sutradara tersohor dari negara matari terbit itu. Dalam kes ini, saya telah menonton Throne of Blood (1957), Sanjuro (1962) dan The Hidden Fortress (1958).

Walau bagaimanapun DKU di Aswara ini terkenal kerana kesejukannya. Saya mendapat tahu bahawa dewan itu tidak mempunyai alat kawalan—jadi bila dibuka ianya terus berada pada kesejukan tahap maksima. Di negara ini, perkara sebegini tidak begitu mengejutkan. Cuma dalam beberapa hari lepas, saya telah berpeluang untuk merasai kesejukan udara subuh kota Shanghai. Buat pertama kali dalam hidup, setiap hembusan nafas saya mengeluarkan wap. Ianya sejuk dengan angin kering yang kuat. Tetapi kesejukan alam ini ternyata berbeza dengan kesejukan mesin alat penghawa dingin yang saya alami di DKU Aswara. 

Saya mampu untuk merasa betapa lainnya hawa sejuk alam yang meresapi segenap pelusuk bahagian kulit yang terdedah. Ianya sekadar menyapa bahagian luaran tubuh saya. Ini ternyata berbeza dengan hawa sejuk mesin yang menusuk otak. Mungkin kesannya berbeza kepada lain-lain individu, tetapi terhadap saya, ianya membingitkan. Saya terasa seolah-olah telah dikurung di dalam peti sejuk bahagian ais yang dijana oleh tenaga elektrik. Ada suatu daya yang membuatkan semangat dingin itu tidak menyelesakan. Ia malah, menyakitkan. Lebih-lebih lagi sewaktu tayangan filem Throne of Blood yang dihadiri belasan orang. Isipadu penonton dalam dewan itu tidak seimbang dengan julat suhu yang dikenakan.


beku otak,
Ridhwan Saidi