Sejarah sinema dunia telah melangkaui usia 100 tahun dimulai adik beradik Lumiere. Walaupun ya, kita boleh katakan yang wayang kulit itu pra-sinema dan analogi Gua Plato itu antara salah satu konsep terawal sinema. Malah sebelum adik beradik Lumiere terdapat mereka yang lebih terdahulu menghasilkan foto bergerak, cuma mereka tidak menayangkan kepada umum. Apapun yang ingin saya bebelkan hari ini adalah mengenai sinema yang kita sedia maklum itu.
Sepanjang lebih 100+ tahun ini, pelbagai paten gerakan muncul. Antara yang paling menarik minat saya adalah gelombang sinema baharu tidak kisahlah samada Nuberu Bagu (Jepun), Nouvelle Vague (Perancis), Free Cinema (Britain), JDF (Jerman), Parallel Cinema (India), Direct Cinema (Kanada), 'pasca-Neorealismo' yang tak bernama (Itali), Australian Film Rennaisance, Cinema Novo (Brazil), New Hollywood (US), Hong Kong New Wave, Taiwan New Wave, Czechoslovak New Wave, dan dan dan. Semestinya yang paling hip adalah French New Wave yang terinspirasi daripada Italian Neorealism. Tapi apa yang saya nak kupas di sini adalah sinema New Hollywood yang terinspirasi daripada French New Wave.
Tetapi sebelum itu kita waijb faham yang sinema gelombang baharu ini tercetus hasil tindakbalas penolakan terhadap sinema paten lama. Jadi setiap negara-negara ini harus mempunyai naratif agung yang hendak didekonstruk. Sinema gelombang baharu adalah satu bentuk dekonstruksi. Sebagai contoh French New Wave menolak naratif sinema klasik. Oleh kerana kebanyakan mereka ini terdiri daripada sinematikus dan pengkritik filem dunia, maka dengan itu, definisi klasik mereka luas; yang pasti terutamanya sinema Classical Hollywood.
Oh ya sebelum kita memasuki sinema New Hollywood ini, ingin saya kongsikan pengamatan amateur saya ini. Ada perbezaan ketara secara jamaknya di antara sinema Barat dan sinema Timur—bagi saya-lah. Barat atau Timur ini terpulang kepada kamu mahu definisikan ia sebagai apa. Yang pasti, sinema Barat amat merayakan semangat realisme dan kesinambungan (termasuk Classical Hollywood Cinema dan Italian Neorealism) bertitik tolak seawal Nanook of the North (1922), manakala sinema Timur pula meraikan semangat montaj terutamanya di Jepun dan USSR (kini Russia) bertitik tolak seawal Battleship Potemkin (1925). Tradisi ini malah berterusan sehingga ke hari ini malah di Malaysia sekalipun. Tak percaya? Cuba kira berapa banyak fade to black yang takde kesinambungan. Malah, disebabkan ini juga penonton kita yang terdidik dengan gaya 'Barat' akan komen tang plot hole sebab tak realistik. Walau bagaimanapun ini bukan soal realistik atau tidak, tetapi kerana garapan kebanyakan filem Malaysia sendiri yang hampeh. Ini pendapat saya-lah, tak tau betul ke tidak.
Berbalik kepada New Hollywood (1960-1980s), ia adalah hasil tindakbalas terhadap sinema Classical Hollywood (Zaman keemasan: 1930-1960s) yang bernadikan sistem studio seperti MGM, RKO, Warner Bros., Twentieth-Century Fox, Paramount dan dan dan. Di era kegemilangan Classical Hollywood ini, realisme dan kesinambungan dirayakan dengan suntingan yang halimunan. Wujudnya orde-orde seperti hukum 180 darjah, eye-line match, match on action, bunyi diagetik, dan dan dan. Jika kamu ke sekolah filem, kamu akan belajar ini. Jika kamu mahu belajar tanpa ke sekolah filem pun boleh. Cuba tonton filem porno profesional, kontinya dijaga dengan teliti malah lebih teliti daripada produk filem tempatan.
Jadi bagaimana boleh berlaku pertukaran paten sinema di Hollywood daripada Classical Hollywood kepada New Hollywood? Begini, Classical Hollywood telah merudum jatuh disebabkan oleh dua perkara, pertama kes United States v. Paramount Pictures, Inc. (1948) yang saya kurang faham kenapa. Boleh jadi atas sebab kuasa monopoli yang dipegang oleh studio-studio gergasi ini sehinggakan ada yang mengatakan ia adalah paku pertama keranda Classical Hollywood. Sebab kedua? Televisyen.
Dengan kemunculan peti bernama televisyen, mereka yang dahulunya berhibur dengan ke panggung wayang kini telah beralih pula di rumah. Siapa yang mahu ke panggung wayang jika kualiti hiburan yang ditayangkan itu boleh ditonton di rumah. Seperti burung Phoenix yang mati menjadi abu untuk hidup sekali lagi, dalam kekiamatan sistem studio ini maka muncul-lah golongan-golongan baharu yang terdiri daripada mereka yang muda, counter-culture dan terdidik dengan ilmu filem di sekolah filem. Daripada producer/studio-oriented, kepada kesegaran, tenaga, seksualiti, dan semangat serta minat terhadap medium filem itu sendiri.
Bak kata Jean-Luc Godard, untuk buat filem kamu perlukan pistol dan perempuan. Elemen keganasan dan seksualiti seperti dalam filem Bonnie and Clyde (1967) yang melangkaui apa yang dibenarkan di kaca televisyen telah membuatkan filem ini berjaya (secara ekonomi dari sudut pandang penerbit dan artistik dari sudut pandang pengkritik.) Penonton-penonton muda terutamanya telah membanjiri kembali panggung wayang. Filem-filem berhawa hippies, yang paparkan LSD bagai, atau yang koboi, tinju, elemen seks, dan ganas mendapat tempat di hati penonton. Dennis Hopper, Martin Scorsese, Francis Ford Coppola, Terrence Malick, Woody Allen, Stanley Kubrick, Milos Forman, George Lucas, Roman Polanski, dan dan dan adalah penggerak sinema New Hollywood ini. Robert De Niro, Al Pacino, Clint Eastwood, Mia Farrow, Peter Fonda, Harvey Keitel, Jack Nicholson, Jon Voight, Christoper Walken dan dan dan pula adalah pelakon yang muncul di era New Hollywood. Ah! Pendek kata di era ini filem-filem dan lakonannya deep belaka.
Jika televisyen adalah antara paku pertama keranda sinema Classical Hollywood, ada dua filem yang menjadi paku terawal keranda sinema New Hollywood pula iaitu, Jaws (1975) dan Star Wars (1977). Ianya seperti satu bentuk revivalism terhadap sistem studio lama era Classical Hollywood di mana ia secara tak langsung mengembalikan kuasa kepada para produser – producer-oriented. Filem-filem berkonsep tinggi dengan mentaliti block-buster, ada sequel atau prequel, siap ada spin-off dengan iklan tv atau produk atau patung permainan (sekarang permainan video) jadi hip. Para produser kembali tersenyum kerana kuasa kembali kepada mereka untuk memainkan peranan yang lebih besar (di era New Hollywood pengarah lebih berkuasa menentukan hala tuju sesebuah filem). Secara ringkasnya inilah yang berlaku di Hollywood sana:
Hollywood Silent Era (1910-1930s)
|
V
Classical Hollywood Narrative (1930-1960s)
|
V
New Hollywood (1960-1980s)
|
V
Hollywood Block Buster (1975-sekarang)
Maka dengan itu, pabila istilah 'Hollywood' dilemparkan, ianya bukan sekadar filem block buster yang kita lihat di pawagam itu. Ada beberapa lapisan seperti di atas. Ya kita nampak yang penerbit-penerbit kita kini amat berkiblatkan Hollywood Block Buster, malah ada satu tu konon Jerrry Brukheimer. Tetapi malangnya mereka tidak berminat dengan sejarah sebaliknya pulangan wang semata-mata. Kadang-kala saya runsing memikirkan kenapa filem kita yang kononnya berkiblatkan Hollywood ini tidak realistik? Yang membuatkan Hollywood berjaya adalah kerana ia dibikin secara realistik dengan kontinuiti yang tegar agar kita penonton larut ke dalam dunia ciptaan mereka. Kebanyakan filem kita pula sebaliknya penuh dengan suntingan yang menerajang kita keluar terduduk di dalam panggung, membuatkan kita perasan medium filem tersebut. Ini... ini aneh! Saya benar-benar tidak faham, apa yang pembikin kita perlu lakukan hanyalah meniru bulat-bulat bagaimana dalam sesebuah babak yang banyak syot, suntingannya dighaibkan. Takkan meniru pun kantoi? Atau mereka terlalu bebal untuk tahu ini.
Ridhwan Saidi
P/s: Rujuk bukan sebarang rujuk, rujuklah filem yang 'betul'.