Manusia moden sebagai individu hakikatnya hidup terselit di tengah dunia yang semakin tak ramah. Jadi untuk lolos dari hakikat ini, manusia wajib terus bergerak kehadapan dengan penuh keyakinan dan harapan. Model manusia masa depan ialah manusia yang sudah memupuskan garis pemisah antara individu dan kolektif. Persoalan yang timbul, bagaimana garis pemisah antara kedua ini, individu dan kolektif, dipupuskan? Apakah ia masuk dek akal? Lalu diceduk satu kata-kata manis penuh imbuhan dari Oscar Wilde, “only through the vision gained in works of art can the individual see beyond his or her subjective experience.”
Namun dengan segala macam bentuk orde Negara, individu tetap saja dituntut agar struggle menerima apa adanya dengan rutin hidup seharian. Ia lelah yang panjang. Kolektif pula diserkup dengan gebar ketakutan agar fikiran dan emosinya dikongkong, diacu, diseragam-hitamkan seterusnya dituntut agar jangan bangkit melawan. Akhirnya baik individu mahupun kolektif, tewas. Ramai manusia akhirnya terus-terusan jadi orang yang kosong melopong.
Kita semua barangkali tahu akan satu hakikat: kepincangan, ketidak-aturan, kecelakaan, kecacatan, kelemahan, kesakitan dalam tubuh badan Negara itu satu ‘rahmat’ bagi seniman. Banyak isu tergantung tak bertali yang memerlukan satu terjahan melalui seni, yang boleh diangkat, diterjemah, dicerna, untuk ditembus-pandang sisi subjektifnya, meminjam kata Wilde tadi, untuk direnung bersama, baik isu politik, ekonomi, agama, budaya, seksualiti, psikologi, dll. Seharusnya yang memiliki idea, ilmu, kemahiran dan kudrat melihat ini sebagai peluang mencuba, meneroka dan menghasilkan sesuatu.
Namun perlu juga bersikap awas, setiap yang dilakukan itu seharusnya berpandu pada daya intelek, selain perasaan yang luhur. Bukan main buat saja. Mula-mula, dimaafkan, main buat itu. Tapi sampai bila? Jadi kena belajar, dan belajar, walaupun agak leceh, sambil membuat itu, baru molek hasilnya. Ini kerana penyakitnya, jika boleh disifatkan sebegitu, ramai yang boleh bertindak, tapi malang pemikirannya semacam tertinggal (atau ditinggalkan?) ke belakang. Daya tindak dan intelek itu tak seiring dan sejalan, itu penyakit. Pemikiran yang baik menghasilkan hasil tindakan baik. Bertindak di luar lingkaran setan establishment hanya masuk akal dilakukan bertitik tolak dari berfikir di luar batas itu juga. Sebaliknya jika filem pendek yang dibuat itu cuba menempatkan diri ke ruang establishment, demi diterima menjadi ‘sebahagian,’ saya rasa ia satu kerugian yang amat.
Jadi melihat pada potensi yang ada dari penghasilan filem-filem pendek, saya percaya audien seharusnya diberi peluang dan pilihan melihat kepelbagaian naratif dari segi teknik penceritaan dan juga isi naratifnya. Peluang ini harus diambil sebagai satu sarana perubahan sosial yang melihat keupayaan filem pendek mengacau atau sekurang-kurangnya mengejek hagemoni kekuasaan Negara. Begitu juga idea-idea kehidupan yang bosan dan tua yang disaran oleh mekanisme kekuasaan, termasuk juga sebahagian kelompok masyarakat yang diikat fikirasa-nya itu harus ditemplak, dan gantikannya dengan idea-idea segar dan ranum. Ini satu agenda mulia mengoyak tirai tirani diserabuti dogma yang semakin lapuk.
Justeru tanpa keraguan, saya sangat percaya dalam Negara bertuah ini, banyak kesah yang berbaloi untuk difilemkan, yang mampu menjentik kesedaraan sosial, walau hanya menerusi persembahan filem pendek. Dan bila naratif itu cuba diangkat, angkatlah dengan bersungguh-sungguh, bukan sekadar main ‘cucuk-cucuk.’ Saya cukup ikhlas, bercakap dari sisi pemerhati sekali gus peminat.
Disebabkan itu, bila ditanya, apa ada dengan filem pendek? Maka katakanlah, yang ada ialah ‘kegilaan.’ Ini kerana mencari kesempurnaan dalam sesebuah filem pendek bukanlah sesuatu yang menarik, saya kira. Kita sebaiknya merayakan semua sekali, termasuk jua yang ada kekurangan dari genre yang pelbagai warna dan perisa. Bila menonton filem pendek juga, marilah kita mencari nikmat yang tiada didapatkan di format filem panjang. Dialog yang menarik, suntingan yang unik, gambar yang cantik, pelakon yang berbakat, arahan yang artistik, segalanya, asal cuba lari dari idea-idea klise filem panjang. Inilah medannya untuk cuba menggarap apa yang mustahil atau sukar digarap di atas kanvas filem panjang. Atas dasar paduan ruang dan waktu juga, marilah kita tetapkan iman untuk mempercayai bahawa sa-nya filem pendek yang baik tidak wajar berhalkum dewasa.
Dan alangkah elok, andai filem pendek yang diberahikan itu lakunya persis anak-anak kecil yang penuh kenakalan, keberanian, keanjingan, juga kekeliruan kalau ada, yang sedang berlari-lari liar menuju taman kedewasaan. Sesuatu yang menghairahkan bila melihat sebuah filem pendek itu gila merentas segala batasan ‘normal’ seperti letusan ultra volkanik merah saga apinya, yang sentiasa bergelora menggeletek fikirasa.
Lepas dari segala karut-marut yang saya katakan tadi, ya, apa lagi makna ‘melakukan sesuatu’ itu andai tidak dilakukan atas nama meraikan sebuah kehidupan?
Mohd Ikhwan Abu Bakar