Ahad, Julai 25, 2010

Sita Sings the Blues (2008)


Empat lapisan mimpi di dalam filem Inception (2010) amat memalukan jika mahu dibandingkan dengan empat lapisan keadaan yang dipaparkan di dalam Sita Sings the Blues oleh Nina Paley. Gaya dan naratifnya cukup seronok untuk dilayan (walaupun ianya sekadar animasi 2D). Kita diberikan 1. Kisah Ramayana dalam bentuk lukisan Rajput, 2. Wacana tentang Ramayanana (teks lama) oleh patung-patung wayang kulit (yang berfikiran moden), 3. Muzikal Ramayana dengan grafik vektor (dengan suara Sita - Nina Simone - seseksi Betty Boop), dan 4. Kisah kontemporari animator (Nina) dan suaminya dengan teknik Squigglevision. Kebanyakannya menggunakan perisian Flash, dan setiap teknik kena dengan naratif, form = content. Selain itu terdapat satu babak tarian dengan teknik rotoskop yang begitu mengujakan. Semasa filem Wayang (2008) keluar saya mengharapkan permainan naratif yang seperti ini, sebaliknya minah dari US ini yang telah memenuhi nafsu sinema saya. Saya pernah menonton animasi pendek Nina bertajuk 'Fetch' dan saya suspek Nina Paley ada memegang tema yang konsisten – ilusi realiti, bayang dalam bayang. Bagi saya Nina adalah auteur jenis baru yang progresif, bergrada depan, tidak seperti old-fashioned fascist-minded auteur yang dah lapuk ditelan zaman. Pengedar bagi filem ini adalah internet – model bisnes lama sudah gagal, ianya tak lagi relevan di abad ke-21 ini.

Ridhwan Saidi