Dunia memang diakui, dihuni berbilion umat manusia. Tapi manusia hidup di bumi, di sebalik jumlah yang ramai, mengalami sensasi pengalaman, pengetahuan, perasaan dan kenikmatan itu secara sendirian. Cuma bagi ramai manusia, sensasi ini cuba untuk dikongsi bersama manusia yang lain dengan mencuri sedikit ruang dalam proses kehidupan seperti bertandang ke konsert atau menghadiri parti buih.
Sejak zaman kecil lagi saya kurang ‘bergaul’ dengan orang lain selain ahli keluarga sendiri. Kawan sepermainan saya tak lain hanya abang kandung saya sendiri. Kini, kami tak serapat dulu. Ada mitos menyebut, kalau hubungan adik-abang itu rapat semasa kecil, bila besar pasti merenggang, dan sebaliknya. Mungkin inilah yang terjadi kepada kami berdua hari ini yang menyebabkan mitos itu bertukar menjadi hakikat.
Adapun masa kecil saya juga saya suka bercakap seorang diri. Dari pengaruh televisyen, jika sesebuah drama atau filem itu cukup mengesankan, terutama hero-nya, maka saya akan ‘melakonkan’ semula babak-babak cerita itu. Ia bukan sekadar aksi, tapi turut disertakan dengan lontaran dialog. Misalnya, jika cerita itu cerita kepolisian, tamat saja cerita, tak lama sesudah itu saya pula yang akan berlagak seperti inspektor. Pernah sekali abah saya menegur – “oi, apa cakap sorang” – sewaktu saya dengan penuh perasan real melakonkan watak seorang kapten kapal yang sedang bergelut dengan gelungan ombak besar di Lautan Pasifik. Ruang tamu di rumah waktu itu saya jadikan set dalam ruang kopkit kapal laut.
Kenyataannya tabiat bercakap seorang diri berlanjutan sampai ke hari ini. Saya tak pasti sama ada pengakuan ini memalukan diri sendiri, bodoh, atau saya bakal dituduh sudah biol. Kalau ya, masakan saya sudah gila sejak belum baligh? Wah wah wah…
Betapa poyonya saya bercakap tentang ‘revolusi’, konon menyeru orang ramai melakukan perubahan sosial. Poorah! Mana mungkin, sedangkan saya tak menyukai orang lain, in particular! Hari ini kawan yang benar kawan bagi saya andai disusun sepuluh jari barangkali jumlahnya tak sampai separuh. Sungguh memalukan. Tak suka tak semestinya benci. Lalu dari mana datangnya rasa tak suka? Mungkin saya perlu menyuluh pada pandangan empirikal Lockean dalam hal ini.
Keluar dari perut ibu, dari satu situasi tabula rasa, manusia membangunkan kehidupan dengan menyerap segala sensasi pengalaman. Ia bermula dengan mengeksploitasikan segala deria – rasa, sentuhan, bau, penglihatan dan pendengaran. Dari sinilah otak mula berfungsi melakukan bertindak-balas terhadap kesemua tindakan pancaindera. Misalnya, macam mana saya pandai makan nasi suap ke mulut menggunakan jari, sedangkan seorang pemuda Irish pasti akan terkial-kial untuk melakukannya? Ini bermula dari ‘peniruan’ saya dengan memerhati gelagat orang yang paling hampir dengan saya. Dalam kes ini, mungkin emak saya, mungkin abah saya. Selain itu, kerja ‘peniruan’ diperhalusi lagi bila ibu bapa saya mengajar saya cara makan yang betul dan beradab. Hasil pengulangan demi pengulangan, akhirnya saya pandai makan suap (bukan rasuah, ya) dengan sempurna. (Masa kecil saya makan nasi berkecah. Emak saya selalu alas pinggan dengan surat khabar lama. Lebih senang mengemas dari asyik mengelap alas meja. Kalau makan atas lantai, lantai wajib dialas dengan surat khabar lama. Haha!) Dari menggunakan tangan, saya mula pandai menggunakan sudu dan garpu. Yang ini dari mana pula pengaruhnya? Mungkin dari ibu bapa saya, arwah datuk saya yang disiplin kehidupannya seperti seorang Inggeris tipikal, atau dari kotak bangang yang kerap menayangkan drama/filem Hollywood? Apa yang pasti, dari babak filem saya pandai melakonkan gaya orang mabuk minum arak dengan hanya memegang segelas teh-O.
Ada pandangan yang membangkang teori ini dengan mengatakan bahawa manusia membangunkan sisi individu berdasarkan faktor genetik dan keturunan. Saya tak menolak mentah-mentah pandangan ini. Namun kalau diikutkan pada pandangan pertama, dalam kes saya, ia relevan, malah amat relevan. Puncanya, manusia secara umum mudah membuatkan saya berasa “annoying” atau rasa ‘tak selesa.’ Lingo muda-mudi zaman sekarang kata, tak boleh blah. Apa pasal? Dalam kes saya, pandangan ini saya yakin hadir bersama hasil pemerhatian dan pergaulan saya dengan alam persekitaran. Pengalaman hidup telah mengkonstruk pandangan saya terhadap manusia sekeliling. Saya telah terserempak dengan realiti sosial yang amat hodoh bak hantu Frankenstein. Saya terkepung dalam kelompok masyarakat yang kebanyakannya masih tinggal di dalam ‘gua.’ Manusia tipikal spesis ini memang cukup membosankan. Rasanya inilah punca saya mengamalkan dasar ‘tutup pintu’ dan bila diberi salam, tak dijawab.
Jadi saya pun selalu terfikir apa sebabnya ada manusia bercakap seorang diri? Setakat jawapan yang saya temui, kerana manusia ini mesti bercakap. Dan saya – saya mesti meluahkan. Kerana ada sesuatu yang berlegar-legar di dalam benak fikiran. Bila sudah bercakap sendirian (bukan menulis!), saya akan rasa lebih selesa. Masalah timbul kerana ‘kelemahan’ diri saya sendiri yang tak berapa gemar bergaul atau digaul dalam kuah rojak yang tak sedap. Jadi akhirnya saya terkantoi bercakap seorang diri. Saya umpama filem di panggung yang tiada penonton – membebel, mengilai, mentertawa, memesan, memuji, memuja hatta membangsatkan kehidupan itu sendiri. Filem yang tiada penonton di panggung pada hakikatnya sedang bercakap seorang diri.
Tapi, tunggu seminit. Yang sebetulnya bukan tiada audien. Saya percaya walau jumlahnya mungkin tak ramai, namun tetap ada “potential audiens” yakni terdiri dari kalangan mereka yang ‘celik’ yang barangkali sudi mendengar bebelan saya. Malangnya, golongan ini tak saya temui. Mereka berada di-somewhere. Malah ada kemungkinan “potential audiens” ini tidak akan ditemui sampai bila-bila. Kesudahannya, saya sekadar mampu menembak suara sumbang saya ke zarah-zarah halus yang tak mungkin mengerti. Saya tak menjangkakan “potential audiens” terdiri dari kalangan pembaca ‘Kreko’ atau ‘Mangga’ atau ‘Mingguan Misteri.’ Namun andai saya berjaya menemui golongan ini, “potential audiens”, atau lebih baik kiranya lebih ramai yang ‘celik’ dan boleh berfikir, berkemungkinan saya beralih mengamalkan dasar ‘buka pintu’ pula.
Ironinya, adakah itu sebabnya saya berpura-pura melaungkan revolusi pemikiran? Atau nak lebih pekat poyonya, anjakan paradigma? Pencerahan tak akan berlaku jika tidak dimulakan dengan mempertikai dan mempersoal. Inilah dia asas manusia berfikir. Dalam situasi yang tak menentu ini, bagi yang masih tinggal di dalam gua, secebis keberanian mempertanya mengapa gua ini gelap, itulah salam untuk ‘pencerahan.’
Mohd Ikhwan Abu Bakar