Sabtu, Oktober 03, 2009

Menyaman Sebuah Ilusi

Bila keluar saja berita pasal seorang perempuan muda warga Mongolia kena bom sampai hancur berkecai, di suatu pagi di akhir 2006, kepada Jimmy saya katakan, “fuh, cerita ni kalau difilemkan mesti gempak.” Kemudian saya berseloroh, “ini kalau kat US (Amerika), tau dek Oliver Stone, memang settled.” 2009, selang tiga tahun kemudian. Meletop saja berita kematian Nordin Mat Top buat yang ke-dua kalinya, setelah diyakini saheh berdasarkan cop jari miliknya, sekali lagi saya terfikir akan benda yang sama. Maksud saya, kalau dibuat filem, macam best. Pasal saya kira premis dua-dua cerita ni cukup kuat. Filem, bagi saya ada jaminan menarik kalau ada premis cerita yang kuat, sambil disulam dengan kreativiti kepengarahannya sekali. Lebih-lebih lagi kalau ia diangkat dari kesah benar yang mempunyai nilai sosio-politik yang tinggi. Sebelum itu, mari lupakan seketika pasal kapitalisme dalam filem.

Kadang-kadang, ada juga filem yang diangkat dari kisah benar yang tak begitu bagus. Tapi rasanya itu bukan sebab cerita, tapi olahan sang pengarah. Atau mungkin juga kelemahan skrip yang kurang buat kajian dan rujukan. Kurang kajian/rujukan, kesannya olahan kreatif jadi kurang umphh. (Filem ‘Apocalypto’ (2006) yang berlatarkan era Tamadun Mayan mengambil masa empat tahun, kalau tak silap, hanya untuk proses kajian/rujukan. ‘Merong Mahawangsa?’ Mari berdoa.) Yang menariknya dengan filem yang dibuat dari kisah benar ialah filem gaya seperti ini cuba merungkai sebuah misteri. Bukan sekadar memaparkan semula sebuah tragedi. Contohnya filem ‘JFK’ (1991) arahan Oliver Stone. Takpun, macam ‘the Assassin of Richard Nixon’ (2004) yang dibintangi Sean Penn. Maka yang menonton akan menikmati ilusi bahawa apa yang ditontonnya itu-lah disangkakan sesuatu yang ‘real’ sebagaimana peristiwa sebenar yang telah terjadi. Penonton seolah-olah bukan sekadar mengetahui, tapi juga berkongsi pengalaman terhadap sesuatu tragedi/peristiwa itu.

Bagi saya filem yang bersumberkan kesah benar tak semestinya perlu menyalin bulat-bulat dari peristiwa sebenar ke layar lebar. Ia terbuka untuk diceritakan kembali dalam perspektif yang berbeza. Macam kes wanita Mongolia tadi, tak semestinya jika dibikin filem, kesah itu perlu dimoralisasikan. Apa yang penting, kerjasama? Oh bukan. Yang penting, olahan cerita yang menarik, dan kupasan naskah cukup kritikal berdasarkan perspektif yang ingin disampaikan. Konteks apa yang saya tulis adalah menjurus kepada filem fiksyen yang dikonstruk dari awal sampai akhir. Katakan kamu ada sebuah naskah, yang bersumberkan kesah benar, lalu terpulang sama ada mahu dipersembahkan dengan cara apa naskah tersebut. Untuk saya juga, ketepatan fakta tetap penting, tapi bukan jaminan untuk sesebuah filem sebegitu dicop sebagai bagus. Ketidak-tepatan fakta pula bukan hukum mandatori untuk menghukum pembuat filem itu sebagai pemutar-balik fakta alias penyeleweng alias penipu. Nak-nak jika memang pengarah sengaja memilih untuk berbuat demikian atas sebab yang kita sendiri pun belum tentu tahu.

Filem dari kesah benar seharusnya bebas untuk direncah dengan aneka ragam kreativiti. Misal, sebuah cerita betul boleh di-dikonstruksi. Sebab filem pada asasnya serupa dengan bangunan, perlu dikonstruk. Sedangkan di sini, sesebuah naskah itu seumpama sebuah lukisan skim bangunan sebelum ianya mula dibina. Di peringkat lukisan skim, yang sebelum itu dimulai dengan percaturan idea konsep, bentuk dan gaya bangunan apa yang bakal didirikan direka di mana rekaan itu masih punya ruang untuk dibentuk mengikut kehendak klien dan kreativiti arkitek. Ini bermaksud, boleh jadi bangunan itu gayanya konsevatif kerana mengikut konteks persekitaran atau budaya setempat. Namun boleh jadi juga lukisan skim itu melanggar stigma konsevatif bangunan persekitarannya dengan gaya dekonstruktivis yang menampakkannya seperti alien walaupun ia tidak salah sama sekali kerana ia bersumberkan idea tertentu, sama ada berdasarkan analisis tapak atau program rekaan atau intuisi seorang arkitek/pereka-bentuk.

Jadi jika filem juga boleh dikonstruk, maknanya ia boleh dibuat dalam pelbagai bentuk dan gaya. Bila dikatakan ianya dikontruk, perlu diingat bahawa ia BUKAN realiti, walau ramai juga pembuat filem yang memilih untuk membangunkan ‘realiti’ itu sedekat mungkin dengan realiti sebenar yakni dunia nyata. Dalam konteks tulisan ini, ia sekadar ciptaan atau cubaan menyalin semula sebuah peristiwa yang sudah berlaku. Maknanya ia boleh jadi sebuah filem yang lain, dengan cerita yang lain sama sekali disebabkan proses konstruksi yang panjang memungkinkan macam-macam kelainan terhasil di akhirnya. Sama ada ditokok tambah atau dipotong di sana-sini naratif asal sesebuah naskah itu. Oleh itu walau setepat mana pun fakta dalam filem sebegitu, filem yang telah dihasilkan adalah menjadi sesuatu yang ‘lain.’ Ia bukan peristiwa sebenar kerana peristiwa sebenar sudah berlalu. Yang ada hanya ilusi yang dicipta oleh pembikin filem melalui rakaman visual yang boleh bergerak. Kerana filem adalah rekaan -- rekayasa -- fiksyen. Malah karektor pelakonnya juga boleh difiksyenkan dengan pelbagai rupa dan gaya. Jadi filem bukanlah ‘kebenaran’ yang disangka-sangka melainkan jalinan gambar yang diletakkan makna. Ia juga tiada sensitiviti selagi unsur sensitiviti itu tidak digali dari sesebuah filem itu oleh orang yang menontonnya. Ini kerana sensitiviti itu sendiri adalah suatu nilai yang konstruktif. Nilai sensitiviti ini pula selalunya boleh dikambus dengan longgokan wang.

Ada juga kesah benar yang difilemkan yang disulam dengan elemen surreal atau fantasi seperti filem ‘Frida’ (2002). Dan filem ini bagi saya amat menarik bukan sekadar paparan suka duka hidup seorang Frida, bukan sebab tebalnya sosialisme/komunisme di dalamnya, bukan jua betapa intelek-nya seorang Trotsky, tapi kerana ada mainan surreal diselit sama dengan cukup cemerlang. Filem dari kesah benar juga tak semestinya diangkat terus ke layar lebar, tetapi boleh saja sekadar terinspirasi dari kesah itu. Filem sebegitu apabila dibuat, besar kemungkinan ia memaparkan satu cerita yang lain, sehingga orang yang menontonnya tak perasan dan sedar bahawa filem itu dihasilkan dari sebuah tragedi yang benar telah terjadi. Bahkan terdapat banyak naskah kesah benar mahupun mitos yang dipersembahkan semula dalam bentuk filem atau teater yang memiliki pelbagai versi yang berbeza.

Di Amerika sekitar era 1950-an, penulis Beatnik, Jack Kerouac telah berhadapan dengan masalah menerbitkan novel pertama beliau, yakni ‘On the Road.’ Puncanya naskah original yang belum disunting mengandungi elemen ‘lucah’ dan unsur yang boleh menyebabkannya berhadapan dengan resiko “libel suits.” Jadi penerbitan novel agung ini beberapa kali tertangguh lantaran perlu melalui proses suntingan demi suntingan kerana syarikat penerbitan tak mahu berhadapan dengan resiko disaman. Masalah ini turut dihadapi oleh ramai lagi karyawan seni dari pelbagai bidang pada waktu itu. Namun hanya selepas lima tahun versi suntingan diterbitkan, versi asal tanpa disunting pula telah diterbitkan. Saya percaya, hanya melalui versi original seperti yang dikehendaki Kerouac inilah yang menjadikan On the Road berstatus cult! Bahkan kebanyakan novel dan filem dari spesis terlarang pada hari ini dapat menikmati permintaan menggalakkan untuk versi yang tak disunting dari khalayak yang semakin berfikiran terbuka, terutama di negara-negara maju. Arakian bukan sesuatu yang memelikkan bahkan melucukan juga apabila susuk bernama George W. Bush (siapa tak kenal?) pun dengan selamba telah dijadikan biopic oleh Oliver Stone dengan judul W. (2008). Malah kalau tak silap Bush itu sendiri telah menonton filem tersebut. Tak ada kecoh-kecoh pun?

Kebebasan kreatif boleh dirayakan, tapi mesti dengan penuh tanggungjawab itu betul. Namun dalam kes filem ‘Dukun’ (2007) misalnya, memang bodoh sangatlah kalau filem ini dihasilkan semata-mata mahu ‘membuka aib’ seseorang. ‘Membuka aib’ ini hanya pandangan dari orang yang tak faham apa itu filem kerana filem dalam erti kata sebenar terutamanya yang bukan dokumentari tiada ungkapan buka/tutup aib orang kerana hakikatnya filem itu tak lebih sekadar ciptaan/rekaan. Pada pendapat saya apabila sesebuah filem itu cuba mengangkat sebuah kesah benar, atau paling kurang pun sekadar diinspirasi dari kesah benar, tak patut timbul hal saman. Soal saman-menyaman dalam konteks filem fiksyen sewajarnya hanya bersabit dengan hal kontrak/perjanjian antara mereka yang terlibat dengan pembikinan sesebuah filem itu, dan bukan apa yang terprojek di permukaan skrin. Contoh, produser mahu menyaman pelakon kerana melanggar perjanjian hingga menyebabkan filem itu lewat disiapkan atau terbengkalai terus. Maknanya kes saman itu timbul hanya melibatkan faktor-faktor ‘profesionalisme.’ Menyaman sesuatu pihak atas alasan menyentuh sensitiviti yang hakikatnya dikonstruk oleh sebuah rekayasa ilusi adalah sesuatu yang lucu, saya percaya, andai difikirkan dengan penuh kesedaran dan rasional.

Dukun yang sepatutnya menemui khalayak dua tahun lepas terkantoi akibat berhadapan dengan  sebahagian masyarakat di negara ini yang daif kefahaman tentang apa itu filem baik sebagai sebuah hasil rekaan, maupun seni apalagi falsafah, termasuklah golongan yang kononnya ‘berpendidikan tinggi’ yang pernah masuk universiti. Sampai saat ini ia senyap tanpa khabar berita. Dukun dilarang dari tayangan umum atas alasan menjaga hati sesetengah pihak dari ‘terguris.’ Ini jelas soal sensitiviti. Tak mustahil jika filem ini ditayangkan, pihak terbabit akan menyaman pihak yang terlibat dengan filem ini atas nama maruah walaupun saya wonder adakah pihak yang hatinya bakal terguris tadi sudah menengok filem tersebut ataupun belum. Pastinya penerbit akan rugi kerana filem ini langsung tak ditayang apatah lagi kos pembikinannya saja dikatakan hampir RM 3 juta.

Dan rasanya tiada pun mana-mana akta atau undang-undang atau garis panduan (setidak-tidaknya) di negara ini yang dengan jelas mengatakan apa yang boleh dan tidak berkenaan sesebuah kesah benar yang mahu diadaptasi ke medium filem. Agak menghairankan juga mengapa pihak penerbit Dukun tidak ‘memperjuangkan’ hak penayangannya di panggung melalui prosedur perundangan. Namun andainya satu hari nanti masyarakat dalam negara ini semakin bijak dan berfikiran terbuka, saya yakin filem Dukun akan termasuk dalam senarai filem penting yang telah mencabar konsep sensitiviti sempit masyarakat, paling tidak dalam konteks dunia perfileman tempatan. Bagus sangat ke tidak filem ini -- Dukun? Itu cerita lain la, brader!


Mohd Ikhwan Abu Bakar