Saya dan arwah Jimmy sama-sama pernah menjalani pembedahan besar. Dia paru-paru, saya pula usus. Pernah sekali itu di Seksyen 1, kami memohon hostel di pejabat hal ehwal pelajar. Mula-mula kerani itu kesian, lepas tu jadi kelakar pula sebab ada dua orang yang "kronik". Lalu kami jadi roommate (tapi tak ambil kesah pasal housemate lain dari course lain). Kononnya kalau dia sakit saya tahu, atau saya sakit dia tahu. Sakit sama sakit.
Saya dan Jimmy, kami suka makan. Macam subjek design, lepas makan kami kritik makanan itu. Dan dia sangat cerewet. Hampir segalanya "so-so", kecuali char kuey tiau di depan stesen bas Bota. Di sini juga saya telah makan kerang bakar cicah sos paling sedap dalam dunia. Ianya sebuah warung yang berdiri sendirian di situ. Malam itu dingin, baru lepas hujan. Kami berempat, ada Deri dan Amir sekali.
Kembali di Seksyen 2, setelah mendapat hostel, selaku pelajar senibina, kami tidak ambil pot pasal aktiviti kolej. Bukan menidakkan, tapi tak tahu langsung. Satu malam entah dari mana (beli makan malam) kami pulang. Semua blok gelap dan sunyi seperti tiada bekalan elektrik. Kereta parking luar (kami diberikan kereta oleh keluarga masing-masing kerana baru keluar hospital ketika itu haha.) Jalan kaki masuk ikut pintu pagar. Blok kami paling hujung, tingkat 3. Kami hairan, “mana pergi semua orang?” Rupa-rupanya ada perjumpaan kolej di dalam dewan. Saya lalu, Jimmy mengintai. Saya tanya dia, “ada apa?”. Dia jawab “entah, perjumpaan.” Kami sambung balik ke bilik.
Dalam perjalanan balik ke bilik, ada seseorang mengekori kami. Kami tidak sedar pun, sebab kami tak ingin ambil tahu perkara-perkara yang tidak menarik. Sehinggalah di muka pintu rumah, budak itu bersuara, “korang tak pergi perjumpaan ke?” kami pandang sesama sendiri (sambil Jimmy hirup air milo dalam plastik), kemudian berpaling kembali kepada budak itu menggelengkan kepala. “Boleh aku stay bilik korang sampai perjumpaan tu habis?” tambah budak itu. Kami angguk tanda boleh.
Di rumah, budak itu sambung berkata, “aku ada hal tadi, tak dapat nak pergi perjumpaan, bilik aku kat blok X (serius saya blok sendiri pun tak tahu kecuali ia terletak dihujung)”. Tiba di bilik, saya buka kipas dan lampu macam biasa, tiba-tiba budak itu kata, “eh takpe ke buka lampu, nanti diorang nampak”. Masa ini serius saya pelik, dan lawaknya Jimmy pergi tutup lampu bilik, buka lampu tandas di luar (hormat tetamu rasa saya). Kami berkenalan, katanya budak “mechy.” Saya tanya "mechy" ini kejadah apa? “Mechanical engineering,” Ooo (archy tau le). Jujur, saya tahu budak ini takut gila hanya semata-mata pasal tak pergi perjumpaan. Inilah generasi sains dan teknologi yang kita lahirkan, takut terhadap benda-benda yang tak mencabar langsung. Yang Jimmy pula siap boleh mengintai-intai sambil hirup air milo dekat pintu dewan (Semua orang pandang dia kalau tak silap).
Di semester pertama kembali di Bota, ada lagenda klasik Jimmy sedang merokok seorang diri di dalam tandas. Tiba-tiba seorang penguatkuasa (penyarah gila kuasa rasanya) tanya, “kamu student ke?”. Semua orang pasti ragu-ragu sebab Jimmy ini berjambang, selalu pakai seluar jeans lusuh dan kemeja lusuh. Jimmy tak menjawab, tapi membuat isyarat tunjuk ke arah construction site.
Ooh ketika di Perak ini, ada satu perkara yang buat saya terpinga-pinga fikir apa. Kebanyakan budak-budak hingusan ini memakai kemeja-t tertera “silver state.” Saya tak faham kejadah “silver state” ini apa; rupa-rupanya “negeri Perak”. Bukan apa, kata nama khas di-Inggeris-kan? Tak tercapai dek akal saya untuk sampai ke tahap itu.
Di Bota, saya masih ingat lagi menonton The Passion of the Christ (2004) bersama Jimmy. Malah sampai sekarang masih lagi menjadi tanda tanya DVD itu milik siapa. Ketika itu batch kami duduk sekelompok di blok D (blok baru yang tidak diduduki oleh pelajar lain.) Ruang lingkup untuk bergerak bebas, paling ramai satu bilik dua orang. Saya duduk satu bilik ada 4 katil.
Di Seksyen 2 pula, satu malam itu saya meminjamkannya DVD Nuovo Cinema Paradiso (1988). Dia tonton, saya tidur. Keesokan paginya ia seolah macam biasa takde apa-apa yang berlaku. Saya tanya dia, “amacam filem tu?” Dia balas, “Itu filem paling hebat pernah aku tengok.” Dan tak pasal-pasal dia mula mengupas babak penamatnya yang menyimpulkan kembali ketiga-tiga perkara: sayang Toto kepada Alfredo, sayang Toto kepada sinema, dan sayang Toto kepada Maria. Jimmy boleh terima filem ini kerana dirinya yang sentimental. Saya pula tidak begitu relate dengan filem ini walaupun ada la sikit-sikit jiwa sentimental. Ini kerana Jimmy ketika kecilnya rapat dengan arwah datuknya. Saya pula rapat dengan nenek, dan dengan itu beberapa tahun selepas itu di dalam garret Pudu Lama, saya telah mengalami kesan sentimental paling hebat semasa menonton Tokyo Story (1953) seorang diri.
Oh titik bagaimana mulanya minat saya pada filem pun ada kaitannya dengan Jimmy. Satu hari di Bota, Jimmy ajak pergi Tanjung Malim naik kereta. Saya tak mahu, sebab saya boleh pandu, tapi tak suka memandu. Dia kata dia nak belanja pau sebab sedap katanya. Saya pun kata ok, sebab dalam kepala saya ingatkan perjalananannya sejam saja, rupanya lebih. Tiba di Tanjung Malim, rupa-rupanya Jimmy mahu bertemu dengan teman wanitanya. Saya rasa dipergunakan pada mulanya, tapi nasib baik saya telah diperkenalkan kepada kedai Ravi. Mulai dari hari itu, tiap kali saya pulang ke KL, mesti singgah ke kedai Ravi beli 10 DVD pakai duit PTPTN.
Ilmu teknikal saya tentang sinematografi pun ada bersangkut-paut dengan Jimmy. Di semester kedua kami satu kumpulan dalam subjek fotografi. Dia ada kamera SLR Yashica, saya takde. Kami kongsi. Paling lawak kami tak tau nak buka penutup belakang itu pun. Sampai tiba-tiba En. Meor (mantan dekan yang cool dan humble) datang, buka dan berikan penjelasan informal tentang aperture, shutter speed, ISO dll. Ianya hanya dalam 2 minit, tapi ilmu 2 minit inilah yang saya bawa dan kembangkan kepada video sampai ke hari ini. Dengar punya dengar, tapi satu lagi masalah yang kami hadapi adalah, setiap kali cuci foto jadi hitam. Sebab filem itu tidak dipaut dengan betul. Bukan sekali, tapi berkali-kali. Rakam foto bagai nak rak travel, tapi filem masuk tak betul, hampeh.
Setakat ini Jimmy adalah orang yang paling sentimental, idealis, baik hati dan berjiwa halus pernah saya kenal. Ia berlawanan dengan Dewa yang lebih realis dan sinikal. Apapun elemen yang menghubungkan kami adalah humor!
Ridhwan Saidi
p/s: Secara teknikal, tiada di antara kami yang sekolah filem. Sampai sekarang saya tergelak kagum pabila Jimmy tulis skrip di awal kemunculan Bin Filem dulu.