Jumaat, Ogos 28, 2009

Marxist Mobile

“Komunisme dan kapitalisme adalah sekeping syiling dengan dua muka yang sama,” bak kata… (tak ingat siapa). Apa yang penting tentang kenyataan ini adalah, rasional bentuk-bentuk sekatan atau penindasan yang bakal diterima oleh orang awam. Sebelum itu, kita perlu tahu apa yang membezakan kedua satah kiri dan kanan ini. Begini, ianya berteraskan sistem ekonomi, lebih kanan (kapitalis/kolektif oligarki/neo-liberal) maka lebih bebaslah (pasaran) ekonomi individu. Pemodal-pemodal asing boleh melabur di negara kita, dan pemodal-pemodal kita boleh melabur di negara lain (yang juga mengamalkan dasar yang sama.) Menuju globalisasi! Cuma yang kaut keuntungan adalah individu-individu bakhil tertentu melalui konglomerat korporat. Para pemodal ini wajib mengamalkan dasar monopoli bagi memenuhi tuntutan "keuntungan maksima", ini hakikat. Istilah "harta awam/komuniti" ditukarganti dengan "tanggungjawab individu". Ini memberi tekanan kepada kelas bawahan seperti fakir miskin agar berdikari mencari rumah, pendidikan dan perubatan –– kemudian jika gagal, mereka akan dilabel sebagai “pemalas” haha.

Di satah kiri (sosialis dan komunis) pula, kebebasan ekonomi setiap individu dikongkong, kononnya agar kesamarataan demi kepentingan awam dapat dicapai (saya bukan seniman). Perhatian! Sosialisme diambil dari kata akar sosial, iaitu utopia indah masyarakat bersosial (hidup bersama dengan minat yang sama –– bukan saja di kelab malam ya). Komunisme pula diambil dari kata akar komuniti, iaitu utopia indah masyarakat berkomuniti (hidup bersama berkongsi persekitaran). Setakat ini, komunisme sebenar gagasan Karl Marx belum pernah diduniawikan dan mustahil (malah sedangkan di akhirat ada syurga dan neraka).

“Saya tidak suka pada pemujaan tokoh,” jawab Amir Muhammad ketika ditemubual oleh Fathi Aris Omar mengenai Lelaki Komunis Terakhir (2006). Pemujaan tokoh yang telah disalahguna ini akhirnya akan mengongkong kebebasan sosial – ke arah kedikdatoran – tidak kira kiri mahupun kanan. Cuma yang lokal ianya apa yang saya gelar “pemujaan tokoh berhierarki” kesan karenah birokrasi. Ambil contoh Che Guevara dan Fidel Castro yang mencetuskan revolusi Cuba pada 1 Januari 1959. Che adalah seorang nomad/vagabond yang secara gerila membebaskan cengkaman kapitalis, neo-kolonial & imperialis tidak kira di mana, melangkaui sempadan antarabangsa. Ini berbeza dengan Castro yang sengaja kekal di Cuba kerana telah punya kepentingan tersendiri.

Selain satah ekonomi (kiri—kanan), ada lagi satu satah iaitu satah sosial (authoritarianlibertarian). Kedua-dua satah ini jika disilang menjadi paksi x dan y akan membentuk spektrum politik (sosio-ekonomi). Seperti satah ekonomi, lebih atas (authoritarian) maka kebebasan sosial individu dan masyarakat lebih dikongkong. Pada tahap maksima, ia menjurus kepada fasisme. Lebih bawah (libertarian) pula maka kebebasan sosial individu dan masyarakat semakin bebas. Pada tahap maksima, ia menjurus kepada anarki. Di sini, saya tidak berminat di mana kamu patut plotkan sudut pandang spektrum politik kamu.

Secara peribadi, kiri itu bergaya (bersifat kemanusiaan), tapi dalam masa yang sama, kebebasan ekspresi individu juga perlu. Jikalau semua façade rumah satu negara ini serupa, pasti bosan bukan? Dan saya juga tidak menolak sepenuhnya laissez-faire, kerana Nabi Muhammad s.a.w pun kapitalis/pedagang, berniaga itu sunnah. Cuma pokoknya kejujuran. Terima untung tapi dalam masa yang sama tidak menyusahkan si pembeli. Ini berbeza sekali dengan kapitalisme (individualistik) tamak tahap ekstrim di negara saya. Pembeli dipaksa atau diancam untuk membeli –– tiada pilihan. Sebagai contoh, kita dibekalkan dengan air kotor, maka dengan itu kita terpaksa beli penapis air. Atau kita dibinakan jalanraya, maka dengan itu kita terpaksa beli kereta. Atau lebih latest, kita disebarkan penyakit H1N1, maka dengan itu kita terpaksa beli topeng. Tekanan-tekanan fizikal secara tersirat ini akhirnya akan menghasilkan masyarakat konsumer, (ini belum masuk tekanan-tekanan mental yang akan menjadikan konsumer-konsumer tadi umpama zombie.)

Hairan, pentadbiran negara saya ini juga kutip cukai pada kadar yang tinggi, tapi dalam masa yang sama saya dimonopoli oleh individu dan konglomerat gergasi, atau lebih teruk GLC (government-link company). Kemudian tak sudah-sudah menggula-gulakan retorik “subsidi” mahu kita berterima kasih lagi bersyukur pula. Hey fungsi cukai/zakat adalah untuk meringankan beban orang ramai, siapa yang mulakan industri kereta nasional dan raikan infrastruktur jalanraya, walhal negara ini negara yang kecil? Negara pengeluar minyak pula tu ish ish ish.

Di negara saya ini juga ada macam-macam cukai. Cukai pendapatan, cukai jalan, cukai pintu, cukai taksiran, cukai tanah, cukai kereta, cukai PTPTN dan macam-macam lagi. Tapi hairan, ada satu benda yang tidak dikenakan cukai iaitu iklan, padahal iklan itu adalah satu bentuk pencerobohan ruang awam (rujuk: Zionis). Sudahlah, menghalang permandangan (contoh ketara: di stesen LRT), tidak menyumbang kepada kebajikan masyarakat pula. Cukai iklan wajib diwujudkan, dan semestinya disalurkan ke tempat yang sepatutnya.

‘“One cannot but recall here a witty formula of life under a hard Communist regime: Of the three features — personal honesty, sincere support of the regime and intelligence — it was possible to combine only two, never all three.” - Slavoj Žižek, reviewing The Life of Others; a film I thoroughly transfixed with last night. Žižek should come to Bolehland where all the features discussed are absent.’ – Joe Kidd

Kini ia bukan lagi soal tamak vs pemurah, tapi soal penjaga planet vs pemusnah planet. Kapitalis haloba ini tanpa disedari sedang menghancurkan Bumi. Kalau tiada planet ini, di mana kita semua nak hidup? Di Marikh? Kemudian para kapitalis ini kaut untung dengan menjual oksigen pula, hebat!

Pada skala negara, memang utopia gagasan Karl Marx tidak dapat dicapai (kecuali kamu semut atau lebah). Tapi dalam skala yang lebih kecil iaitu keluarga, ianya tidak mustahil. Ekonomi di dalam sesebuah perkahwinan itu dikongsi bukan? Selagi ada kejujuran, sokongan dan kebijaksanaan, ianya pasti berhasil. Sebab itu jika kita lihat perkahwinan orang dulu-dulu, mana ada cerai-berai. Bercakap soal orang dulu-dulu ini, kita(?) Melayu ini sebenarnya hidup di dalam dunia matriaki. Tak percaya? Kaji watak Normah Damanhuri dalam Jogho (1997), terutama babak berus periuk di dapur. Sebab itu semua hantu (dalam dunia Melayu) perempuan, ini psikologi. Anehnya di dunia Melayu yang serba matriaki ini, bagaimana pula feminisme timbul?

Berbalik kepada isu perkahwinan tadi, asyik kes cerai saja memanjang di era quasi-globalisasi ini. Kenapa? Semestinya kepentingan peribadi dalam mencapai keuntungan maksima! Kejujuran, sokongan dan (ya Allah) kebijaksaan diketepikan. Bukan nak kata kapitalis ini jahat (ini klise), tapi bila dikupas, hampir semua isu semasa pasti ketemu dengan kapitalis bertuah ini. Barangkali boleh saja saya simpulkan bahawa, samada kiri atau kanan, akhirnya integriti kita selaku individu dalam merapati kebenaran/pahala yang penting. Tapi macam mana nak merapati kebenaran/pahala kalau kebebasan sosial kita dikongkong oleh rejim authoritarian yang meraikan dosa? Hmm…


Ridhwan Saidi