Di negara lain, mereka ada amalkan konsep bar — di sini gua maksudkan dari segi susunatur ruang yakni kerusi tinggi (stools) sebaris duduk mengadap peniaga (dengan counter tinggi menjadi perantara.) Di negara ini, kita lebih kepada meja makan — bukan tidak ada bar, tapi masyarakat kita tidak into it — masing-masing akan minum mengadap/sebelah kenalan masing-masing. Di sini, ingin gua cungkil beza budaya lepak/minum tersirat yang wujud hasil daripada perbezaan orientation tempat duduk. Mereka yang duduk di bar (Irish pub atau kedai kopi Amerika, dll) tidak perlu risau untuk minum sorang-sorang. Sebab, secara teknikalnya mereka akan dilayan oleh peniaga/bartender/coffeegirl/dll. Tapi ini berbeza dengan penggunaan meja makan di sini. Lu duduk sorang-sorang di kedai kopi ataupun kedai mamak end lot yang hip (lebih teruk jika perlawanan bola sepak liga barbarian EPL sedang berlangsung,) lu akan serta merta dianggap pelik. Sebab secara automatis, meja makan untuk 4 orang — untuk bersosial. Lalu akibat goyah tidak mahu dianggap anti-sosial (rujuk pelik,) lu akan bergayut dengan handphone sambil makan pakai satu sudu, atau mungkin bertemankan laptop barangkali. Kononnya wujud ilusi bahawa makwe/pakwe ataupun kenalan Internet sedang duduk semeja sekali dengan lu. Dalam kes bola sepak tadi, lu juga mungkin akan dituduh 'membazirkan ruang'. Dan dengan rasa segan/malu/takut untuk berseorangan ini, akhirnya masyarakat kita perlu bayar hutang yang maha besar. Orang-orang kita tidak reti berdikari serta bertegur sapa dengan orang asing, sentiasa perlu dikelilingi kenalan, setiap masa... rimas gua. Berbalik kepada mereka yang lepak di ruang bar, dua orang yang tidak kenal antara satu sama lain tidak dihadang secara spiritual daripada bertegur sapa. Ini kerana meja bar (raised counter) itu tidak putus. Berbeza dengan meja makan, lu ada berani nak tegur/berkenalan dengan orang asing di meja lain? Sukar, kerana sudah wujud konsep territory dalam meja makan. Ni kawasan gua, sana kawasan lu. Secara semulajadi masyarakat kita telah dibentuk untuk berkelompok (rujuk groupies) dalam meja masing-masing, lalu dengan itu mula bergosip, mengumpat dan memfitnah mereka yang sedang lepak di meja-meja lain. Tiada ruang untuk beramalgamasi, antara ciri-ciri zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Ridhwan Saidi