“Apa pendapat kamu tentang kerajaan?”
Masa saya pergi tonton filem Sell Out! (2008) oleh Yeo Joon Han, saya tidak meletakkan apa-apa harapan. Malah disebabkan ramai yang memuji filem ini, selaku kontrarian tegar, saya sudah berniat di dalam hati ingin jatuhkan filem ini berguling-guling. Tapi celaka, akhirnya saya yang ketawa berguling-guling.
Secara amnya ia mengisahkan tentang dua orang perkerja, Eric Tan dan Rafflesia Pong yang bekerja dengan konglomerat FONY yang diketuai oleh dua orang majikan. Kedua-dua mereka memilih jalan dengan arus yang berbeza.
Eric mencipta mesin Soya 10 dalam 1 yang tahan lama, tapi majikannya marah dan menyuruhnya meletakkan mekanisma rosak sendiri (sejurus selepas warranty tamat.) Pabila Eric mencipta dan meletakkan mekanisma rosak sendiri, sekali lagi dia dimarahi kerana ‘mencipta’ dan bukannya menciplak dari produk Taiwan. Akhirnya Eric ini telah dihantar kepada seorang pawang lalu terpisah menjadi dua, satu tubuh asal (rujuk zombie) manakala satu lagi adalah jiwa idealisnya.
Rafflesia Pong pula adalah seorang hos (seterunya hos eurasian, Hannah Lo) rancangan ‘seni’ yang tidak mendapat sambutan tapi akhirnya secara tidak sengaja telah rakam babak kawannya meninggal dunia di depan kamera. Situasi ini telah melonjakkan jumlah penonton rancangannya sehinggakan majikannya menggantikan berita pukul 8 dengan rancangan realiti barunya, iaitu merakam saat-saat orang nazak ingin mati. Seterusnya macam-macam gelagat luar tabii yang akan kita tempuhi.
Filem ini bagi saya adalah dari sekolah komedi surreal + gelap + slapstik seangkatan Amélie (2001) dan Citizen Dog (2004) atau mungkin The Taste of Tea (2004). Jika Citizen Dog lebih kepada isu alam sekitar (walaupun ada menyentuh soal kapitalisme,) Sell Out! lebih kuat menyentuh isu kapitalisme/konsumerisme serta dilema dunia ketiga (terutamanya Asia Tenggara khususnya Malaysia). Sampai satu tahap, akhirnya di penghujung filem ini, penonton (rancangan realiti) akan mengundi untuk menentukan Eric yang mana patut mati. Dan yang paling istimewa, Sell Out! ini muzikal.
Syot pertama yang ditunjukkan adalah dalam bentuk POV handheld bergegar sedang bergerak di dalam kedai kopi naik ke atas untuk menemubual tuan direktor (saya agak ini satu tempeleng hebat kepada pseudo-direktor yang menyelit di dalam filem mereka kemudian mengaku konon Hitchcock) dalam rancangan ‘seni’ Rafflesia. Syot pertama ini penting kerana secara amnya ia cuba membuatkan seolah-olah ia realiti (rujuk realisme). Tapi selepas itu baru kita sedari bahawa realiti yang dipaparkan ‘lain macam’ tapi dalam masa yang sama, sebenarnya memang mencerminkan dunia kita sendiri. Selain itu, oposisi binari disatirakan dalam filem ini, tidak kurang juga filem-filem 'seni' pacak & tinggal kamera konon puitis. Sesiapa yang tidak faham oposisi binari, secara automatis akan faham bila menonton filem ini :-)
Hebatnya filem ini, dalam gelak ketawa, wujud juga rasa sedih. [Spoiler] Eric berjiwa idealis itu akhirnya akan dibunuh atas undian SMS penonton. Tahniah kepada masyarakat kita yang telah membunuh jiwa-jiwa besar, dan menjulang minda-minda kecil yang berfikiran sempit lagi serupa. Terima kasih.
Apa pun, filem ini hanya sekadar memaparkan kepincangan sistem kapitalisme/konsumerisme dan dilema dunia ketiga yang berkiblatkan Barat. Tiada unsur-unsur nasionalisme atau sosialisme atau anarki atau apa-apa yang bertentangan dengan kuasa konglomerat gergasi (yang pastinya dari luar.) Dan akhirnya membuatkan saya terfikir, adakah Sell Out! ini sememangnya betul-betul sell out? Macam filem anti-elit untuk golongan elit, anti-borjuis untuk golongan borjuis. Jawapan ini barangkali boleh saya kecapi dengan menonton filem-filem mendatang Yeo Joon Han, dalam mendalami apa idea besarnya.
Akhirkata, berbaloi untuk tonton filem ini (dan bila saya kata tonton, dengan apa cara sekalipun.)
Ridhwan Saidi