Rabu, Februari 26, 2025

Apa yang dibuat untuk tahun 2024

Ada tahun saya terlalu banyak terlibat dengan perkara saya kena senaraikan untuk ingat balik kronologi penglibatan. Rupanya saya sudah aktif menyenaraikan, dan kemudian lebih rajin untuk catit sedikit nota berserta foto-foto, bermula dari tahun 2017, 2018, 2019, 2020 dan 2022. Pada setiap judul saya pautkan ke laman yang lebih komprehensif (terutama buat projek sendiri bersama Moka Mocha Ink) atau sesuatu yang membuktikan projek itu wujud!

AIR MATA DI KUALA LUMPUR [selaku DIRECTOR]
binfilem / Moka Mocha Ink / Siring Siring Production

Idea filem ini di-initiate saya bersama Nurul Aizam dan Tan Cher Kian sewaktu recce Pengalaman Prangin di Pulau Pinang. Urgency untuk bikin filem ini sebab beberapa hari sebelum itu saya terima mesej Facebook dari Stefan Borsos (yang saya tak kenal waktu itu). Dia tanya jika saya ada filem baru untuk dihantar ke IFFR 2024. Sebelum saya balas mesejnya, saya initiate projek ini dan kemudian jawab “Ada, kita tengah shoot”. Di hari pertama penggambaran (29 September 2023) kita shoot tiga adegan. Dalam pada itu, Facebook saya kena hack dan pupus, dan perasaan kehilangan sebahagian identiti ini saya terapkan ke dalam filem Air Mata di Kuala Lumpur.

Kita wrap shooting hari ke-14 pada 27 Januari 2024 dan fundraising ditutup pada 31 Januari dengan kutipan sebanyak RM10,534.10. Kita buat tayangan tertutup buat para penderma di KongsiKL (dengan Filamen sebagai sokongan projektor) pada 10 Mac 2024 sebagai tanda terima kasih. IFFR 2024 yang sepatutnya filem ini dihantar sudah pun berlalu, jadi selepas filem ini siap kita tunjuk ke Stefan andai ia sesuai untuk IFFR 2025, tapi seingat saya, dia tak tunjuk sebarang minat. Kami turut hantar ke beberapa festival lain (sesungguhnya festival fee antarabangsa mahal), dan selepas menerima beberapa penolakan, ia hanya kemudian di hujung tahun kami terima berita gembira tentang filem kami yang terpilih di dalam Tiger Competition, International Film Festival Rotterdam 2025.

BAWANG PUTIH BAWANG MERAH [selaku PLAYWRIGHT]

10-12 Mei 2024 // Teater Ekamatra / diselenggarakan oleh Esplanade sempena Pesta Raya, Malay Festival of Arts 2024

Draf pertama saya tulis 24 Ogos 2023 tapi ia masih belum dalam format dialog untuk dilakonkan, banyak nota dan karangan. Setibanya 30 November 2023 baru bentuk skrip 41 muka surat muncul, tapi kisahnya akan tumbuh dan terus berkembang. Skrip akhir yang dipentaskan draf 5 April 2024 dengan 81 muka surat.

Sewaktu menulis skrip ini saya mengandai-andaikan saja sebab saya tak tahu bagaimana setiap ayat ini dilontarkan oleh pelakon. Saya cuma banyak berkomunikasi bersama Fared Jainal selaku pengarah, dan cuba mengimbangi letak duduk ensembel. Untuk kisah rakyat sebegini, biasanya cerita bergerak mengikuti main struggle protagonis, tapi dalam play ini saya spread-kan satu struggle besar kepada mini struggle setiap watak. Untuk pastikan setiap watak ada sebab musabab kenapa ia berpelakuan sebegitu.

Dalam kisah rakyat, ada yang Bawang Putih baik, dan ada yang Bawang Merah baik. Dalam versi saya ini, saya cuba kelabukan mereka. Saya bikin Bawang Merah yang kena dera, tapi sebab dia tiada akses kepada skrol hikayat dan kebolehan membaca, dia tak pandai sangat tapi dia berani (suatu sifat terpuji). Manakala si Bawang Putih yang berkebolehan membaca skrol hikayat, kuat berangan dan berfantasi, tak seberani Merah, tapi punya empati. Watak mak-mak (Mak Labu, Mak Kundur, Permaisuri) dan watak pemuda istana turut punya mini advencer masing-masing, dengan Kebayan sebagai pemegang cerita.

PENGALAMAN PRANGIN: a speculative performance [selaku DIRECTOR]
19-21 & 26-27 Julai 2024 // Capri, Jalan Magazine (gathering point) to Lorong Prangin (end point)

Teater ini merupakan teater dengan skala ruang/spatial terbesar dengan jarak jalan kaki 1.1 km dan jalan kaki + basikal 2 km setiap peserta. Ia pengalaman yang panas dan penat dan ada waktu saya tertanya biasanya bila kita buat teater dalam black box, paling banyak show kita buat tambah show matinee (selain di waktu malam); dalam satu hari ada dua show. Tapi untuk Pengalaman Prangin kita ada tiga full length show berjarak 2 km perjalanan setiap satu. Yang sudah itu sudah, tapi tak dinafikan ia sebuah persembahan yang menguji fizikal dan menyihatkan tubuh badan. Makanan yang lazat di Penang bertukar menjadi tenaga buat persembahan. Terima kasih buat audiens yang menyertai, serta buat para performer dan pelaksana yang bergelumang dengan projek sekali seumur hidup ini.

KENDURI SENI PATANI 2024 [selaku ARTIST]
10 Ogos - 3 Disember 2024 (tamat kerana banjir) // Sapakafe'36 Premium (3F)

Untuk pameran ini, karya Nurul Aizam & Ridhwan Saidi | Kawanku oleh Ali Abu Yassin (My Friend by Ali Abu Yassin) | Audio recording (2023) dipamerkan dan dipilih oleh Low Pey Sien. Oleh sebab ia tak melibatkan material fizikal, kita cuma hantar fail audio saja. Ia dipasang Pey Sien sewaktu di Patani.

 
Ini adalah persembahan kelima dan terakhir dalam siri Beyond Moving with Artisans yang sudah bermula sejak 24 Mei 2022 di PJPAC. Jika Pengalaman Prangin besar dari segi ruang, BMOA besar dari segi waktu. Saya bertindak selaku dramaturg bagi projek koreografi Lau Beh Chin ini, dan ia memerlukan saya untuk punya suatu cara fikir yang baru. Untuk berfikir tentang dramaturgi, saya lakukan ia selalu untuk projek-projek sendiri, tetapi untuk berada di posisi dramaturg (sebagai role) bagi projek orang lain, ia sebentuk tanggungjawab.
 
BMOA merupakan sebentuk introspection buat Beh Chin dengan kerja-kerja amal, komuniti, alam, diri, dan keinginan berkongsi keindahan gerakan tubuh. Selaku dramaturg, di awal-awalnya saya banyak membantu dari segi bentuk kerana idea Beh Chin cenderung mencapah ke pelbagai arah. Saya syorkan Beh Chin beri fokus ke tiap-tiap hubungan (ada lima kesemuanya) dan dari situ satu persatu terlaksana. Untuk siri terakhir ini yang menjadi penutup (selepas dua tahun lebih), saya cuba untuk mengundurkan diri perlahan-lahan, dan tidak terlalu intrude dengan bentuk performance yang akan terhasil. Ini kerana di versi pertama berbentuk lecture-performance di Aswara, kehadiran saya lebih bersifat director. Beh Chin dan Chi Ying menaip pada laptop, berdansa dengan jari-jemari, dan berbual kerana artisan ketika itu seorang petition typist. Saya belum fasih dengan posisi dramaturg ketika itu.
 
Untuk siri kelima dan terakhir di The GodownKL ini, banyak hal terjadi dan ia personal kepada Beh Chin (yang amat rapat), Xue Li, dan juga saya, setelah menerima berita Uncle Ng Kim Long meninggal dunia. Dua tiga hari saya diam dan tergamam. Dari posisi tak bertenaga dan penuh kerunsingan itu, saya syorkan Beh Chin untuk ajak lagi beberapa orang untuk terlibat membantu menggerakkan projek yang kurang dari sebulan perlu dipersembahkan. Ia mudah untuk membatalkan segalanya, tetapi kami fikir ia perlu diteruskan, dan ia berupa surat melankolik terakhir buat Uncle Ng, serta pakcik dan makcik di dalam siri lain yang sudah tiada, juga kepada seni-seni kraftangan setempat yang kian pupus. Sebuah tribute dalam bentuk kerja keras dari kami, dalam bentuk seni tari.

BOOM BOOM BANG: PLAY & PARODY IN 1990s K.L. [selaku CO-CURATOR]

13 Oktober 2024 - 9 Mac 2025 | Ilham Gallery (level 5)
 
Sepertimana posisi dramaturg memerlukan suatu cara fikir spesifik, begitu juga posisi kurator. Saya terima pelawaan untuk jadi co-curator bersama Rahel Joseph, Simon Soon dan Azzad Diah sebab jadi sifat saya untuk sentiasa cuba benda baru, tapi dalam masa sama, saya rasa selaku penulis dan dramatis, ada sesuatu yang boleh saya contribute kepada pameran ini. Dengan pameran ini saya dapat bertemu Joe Kidd dan lihat arkib muzik di rumahnya, serta bertemu dan berhubung dengan Hatta Azad Khan perihal filem Mat Som (1990) dan sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, antaranya. Dua pertemuan ini mendalam kerana saya berpeluang bertemu dan bersembang dengan mereka secara fizikal.

Pertemuan dan sembang ini diteruskan dengan sesi programming di mana tayangan filem dengan kolaborasi Wayang Budiman dan SIAR iaitu Perempuan, Isteri dan Jalang (1993), Hati Bukan Kristal (1990), dan Bintang Malam (1991) membolehkan saya untuk menjemput dan berbual bersama U-Wei Haji Saari, Sofia Jane, Habsah Hassan, Adman Salleh dan Shaharuddin Thamby. Ini diikuti satu sesi penutup kepada tayangan tiga filem 90an ini dengan sesi ‘Reel Talk: Bicara Sinema, Apresiasi dan Sebagainya’ dimoderator Alee Isa (Wayang Budiman), dengan panel Nik Amir Mustapha dan Ali Agung (SIAR).

Selain berkenaan filem dan merentas ke tahun 2025, satu sesi staged reading Hangus (dari sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu) juga terasa penuh di mana selepas sesi bacaan oleh lapan orang anak muda (dibaca oleh anak muda ini permintaan penulisnya), ia diikuti sesi bual bicara bersama Imuda dan Hatta Azad Khan yang melengkapkan apresiasi. Saya harap di dalam sesi-sesi yang saya moderate, ada insight yang menarik serta buah fikiran yang dapat kita ambil manfaat.

PEDAGOGI WANITA TERTINDAS [selaku PLAYWRIGHT]

10 Disember 2024 | Dewan Jubli Perak, Shah Alam

Seingat saya projek ini sangat suntuk. Saya perlu hasilkan skrip dalam kurang dari sebulan tentang keganasan domestik. Diarahkan oleh Taha Long, selain play mid-length ini, ada satu lagi projek yang bergerak selari berbentuk kempen kesedaran di masa rehat / lunch time parlimen Selangor, dan satu lagi di Pesta Buku Selangor berjudul Di Sebalik Tirai. Di Sebalik Tirai berbentuk verbatim threatre di mana kata-kata tiga mangsa dera etnik berbeza dibaca. Ini sedikit sebanyak membantu saya untuk memahami situasi yang berlaku, dan kebanyakan waktu mangsa sudah terjerat dari segi mental.
 
Senang untuk kita orang luar cakap mangsa boleh saja lari dari penderaan itu, tapi di posisi mangsa ia tak semudah itu. Di dalam Pedagogi Wanita Tertindas, saya perlu bina situasi dan monolog yang boleh buat audiens buat seketika percaya dan berempati dengan watak yang sudah terjerat ini. Saya sudah tahu dari awal durasinya perlu mid-length (full-length lagi bagus cuma kita tak cukup masa), ia tak boleh short play sebab durasi yang singkat akan bikin emosinya karikatur. Saya perlu berhati-hati kerana mangsanya wanita, dan tidak tulis semberono seperti ayat lelaki. Shasha Fairus sebagai watak isteri (dan ibu yang mengandung) banyak beri input dan peka dengan watak yang akan dibawanya, sentiasa membantu dalam pembentukan watak. Oleh kerana ia sebahagian kempen kesedaran, buat pertama kali saya all out gabungkan kedidaktikan Freire, Boal, dan Brecht, bermula dengan suatu yang komikal dan main-main dan berakhir dengan suatu yang tragik dan serius, dalam menyampaikan korus mesej terakhir.
 
Ridhwan Saidi