Memaparkan catatan dengan label Za'ba. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Za'ba. Papar semua catatan

Ahad, Mei 03, 2009

Mat/Minah Bloggerempit.

Dari kacamata gua yang sudah sampai tahap Sufi, Buddha, Gandhi, Gaudi atau Theresa ini, gua lihat mat/minah rempit dan mat/minah blogger serupa saja — gua gelar bloggerempit. Dua-dua Melayu dan dua-dua bebal. Satu ligat di atas jalan manakala satu lagi ligat dalam dunia siber. Tambah teruk, dua-dua groupies. Bila ramai kecoh, berlagak kuat/pandai, tapi bila sorang-sorang melilau macam ayam baru lepas kena sembelih. Pemikiran? Kosong macam tong kosong. By nature, attention seeker. Sebab itu bunyi motosikal bising & keluar layout/design blog yang pelik-pelik, tapi ini semua gua tak peduli. Gua terima ia sebagai pencemaran bunyi/visual. Yang gua kelakar, kedua-dua bloggerempit ini hidup berteraskan teknologi moden. Tapi gua pecah perut bila perangai dan mentaliti mat/minah rempit dan terutamanya mat/minah blogger ini sama saja macam zaman Kesultanan Melayu Melaka. Tak berganjak sikit pun. Patuh mengikut acuan yang telah dibentuk. Pabila kulit moden, isi ortodoks mulalah mereka melalut. Sama ada mereka boleh pull it off atau tidak bukan persoalan. Itu hanya sekadar ciri-ciri harfiah. Ok, walaupun gua reject idea strata/kelas/kasta sosial, tapi realitinya biar gua terang begini. Ambil contoh seorang mat/minah rempit ini minat Fasha Sandha. Sekarang mat/minah blogger ini pula — disebabkan konon punya taste yang lebih tinggi dan terutamanya mahu berbeza daripada citarasa ‘rendah’ mat/minah rempit — mereka minat Keira Knightley. Masalahnya adalah, hakikatnya Fasha Sandha dan Keira Knightley ini sama saja kayu bila berlakon. Sama. Tiada beza. Kayu. Kedua-dua kelompok ini telah alami apa yang gua panggil simptom ‘gerhana pencerahan’ akibat ‘radiasi feudal’. Feudal yang maha bahaya inilah yang telah merosakkan jiwa-jiwa orang Melayu daripada menerima wahyu/bisikan Homer Simpsons. Walaupun gua pakai capal, t-shirt pagoda, jaket batik jawa, takde handphone, takde iPod, takde gajet-gajet canggih terkini, tulis blog kat CC, tapi gua rasa gua antara manusia paling moden (dalam erti kata sebenar) di dunia kini. Gua tak perlu pergi ke negara-negara moden untuk menjadi moden, ini picisan, kucing pun boleh buat. Gua moden atas daya fikirasa gua sendiri dikelilingi oleh masyarakat ultra-ortodoks pseudo-moden. Ini meletakkan gua di tahap kesedaran yang lain, selain IQ gua yang maha tinggi. Lu orang nak jadi moden? Huh modeniti yang Za'ba sulam lu bakar, moden konon. Pigi dah!


Ridhwan Saidi

Sabtu, Mac 21, 2009

Ulasan Oh Ulasan...

Tujuan mengarang itu yang sa-benar-nya ia-lah hendakkan supaya orang yang membacha faham dan tahu akan fikiran dalam hati pengarang. Jikalau orang tiada faham membacha-nya oleh sebab pengarang itu leka me-raga2kan yang ia tahu memakai beberapa yang payah2 sahaja, atau susunan ayat yang ber-belit2, atau jikalau karangan-nya mengikut resaman bahasa dagang, maka tiada-lah guna-nya mengarang kerana tentu tiada akan hasil tujuan yang di-kehendakkan itu. – Pendeta Za’ba (Ilmu Mengarang Melayu,1934)

Sebelum saya melereti tulisan ini dengan lebih lanjut, suka saya beritahu kamu, sidang pembaca, bahawa apa yang ditulis adalah pandangan peribadi, dan bukan berniat mahu menyerang sesiapa. Tak penting dan tak minat langsung. Keperibadian seseorang itu tak lebih penting jika dibandingkan dengan ilmu pengetahuan. Hehe..

Apabila membaca petikan tulisan Za’ba di atas, saya rasa seperti ingin mengulas sesuatu yang berkenaan tentang tulisan berbentuk ulasan, tak kira ulasan filem, musik, produk, buku dan sebagainya. Umumnya, terdapat dua gaya ulasan yang kerap dipraktikkan. Satu, ulasan secara terus mencari sasaran, dua, ulasan yang berpusing-pusing – juga mencari sasaran. Saya tahu, memang adanya gaya ulasan yang kedua ini, yang selalunya beralasan yang objek/subjek yang ingin diulas itu bersifat abstrak atau terlampau ‘berfalsafah’ atau ‘berseni.’ Makanya, ulasan itu dihidangkan juga secara ‘berfalsafah’ atau ‘berseni.’

Kalau ikutkan pengalaman, saya kurang berminat untuk membaca ulasan jenis yang kedua. Pada saya, ia hanya membuang masa emas saya saja. Kalau dibaca sekalipun, saya tak mungkin ambil serius, walau tak mustahil penulisnya berkerut-kerut dahi semasa menulis. Sebabnya sangat mudah, kebanyakan tulisan gaya kedua ini adalah ‘susah dibaca’ – macam kata orang putih, hard to read. Ia seperti menapak di atas jalan yang berlopak atau banyak lobang atau benjolan atau disepahi tahi anjing di kiri dan kanan, walhal sayangnya, jalan itu cukup lurus. Saya akan senang lagi suka membaca ulasan yang direct, tak banyak simpang-siur, yang mana ia juga tak bermakna pengulas gaya yang pertama ini bebal falsafah, buta seni atau tak kritikal.

Pengulas filem tersohor seperti Roger Ebert amat saya suka bukan disebabkan beliau itu pengulas terhebat atau apa, tapi jika membaca tulisannya, saya berasa cukup senang hati. Setiap point yang dikeluarkan satu persatu secara jelas, tanpa sebarang cubaan untuk meliuk-lintuk seperti gerakan tubuh penari di Pesta Citrawarna yang membazir. Sebagai tauladan, sila baca ulasannya tentang filem Ingmar Bergman, seorang pengarah yang boleh dikatakan kerap membikin filem-filem ‘berat’ seperti ‘the Silence’ yang saya gagal menemui lapisan makna yang lebih menarik untuk direnungi setelah ditonton. Sesudah membaca ulasan Ebert, saya seperti ditampar kerana ulasannya itu menjadikan filem ‘the Silence’ ringan seperti kapas. Jika saya belum menonton, hasil ulasannya itu pasti jadi sebab mengapa ‘the Silence’ mesti saya tonton. Jadi saya harap, jangan ada yang bersikap bangang menuduh yang Roger Ebert itu pengulas simplistik, tak kritikal, tak faham falsafah, hanya kerana cara ulasannya yang mudah.

Saya juga sering membaca ulasan-ulasan musik dari majalah-majalah seperti Terrorizer, Tales of Macabre (paling saya suka), Metal Maniacs, Maximum Rock and Roll serta beberapa lagi fanzine ‘underground’ dalam dan luar negara. Secara umumnya, ulasan-ulasan rekod musik yang dibuat adalah secara terus, jika bagus direkomen, jika tidak, dikatakan tidak, dan masih bersikap kritikal. Jika sesebuah rekod itu bernasib baik, hasil dari ulasan yang berkesan, pasti akan ada peminat yang terpancing untuk mendapatkan rekod tersebut. Dan saya fikir, inilah antara tujuan ulasan itu dibuat, iaitu memancing pembeli, bukan semata-mata mahu membuka pintu perdebatan ataupun ‘merayakan seni.’

Bercakap tentang ulasan ini, kita perlu menyoal kembali apakah motif atau purpose kepada sesebuah ulasan itu? Jika saya sendiri yang menanggung jawapannya, saya akan beri jawapan yang termudah, atau teremeh bagi pandangan orang ‘celik seni.’ Saya akan katakan bahawa tujuannya adalah untuk menjambatani teks, objek mahupun subjek dengan subjek sasarannya, yakni bakal audiens, pendengar, pembeli, pembaca dll. Atau kata lainnya: pengulas sebagai orang tengah.

Jika yang diulas itu filem, ia seharusnya dapat membuka ‘peti cadangan’ kepada bakal audiens supaya berkira-kira untuk menikmati atau tak mengendahkan langsung sesebuah filem itu. Sekiranya benar sangatlah filem itu banyak intinya, susah difahami sebab jalan cerita bersimpul-simpul, maka saya fikir seseorang pengulas yang bagus mesti pandai menguraikan simpulan-simpulan itu. Tujuannya, biar mereka-mereka yang masih kelam mendapat sedikit cahaya kefahaman. Paling tidak, sedikit pembayang. Apalah gunanya jika bermodalkan ulasan yang berseni, dengan gaya bahasa seperti diteran-teran, dengan lambakan simbolisme, metafora, analogi, atau apapun permainan semiotik dan semantik, jika akhirnya fikiran pembaca yang sudah atau bakal menonton menjadi kelabu asap? Itu pun belum cerita soal apresiasi lagi! Paling ditakuti, ulasan bersimpul-simpul itu lompong isinya. Teran punya teran, akhirnya tak seketul pun keluar. Oh, apa mungkin saya gelarkan ulasan semacam ini sebagai ulasan gaya ‘sembelit?’

Menyorot lagi sekali kata Za’ba, “bahasa itu alat mengeluarkan fikiran supaya dapat di-ketahui orang dengan mendengar atau membacha-nya. Maka jika bahasa yang di-pakai itu tidak menepati betul2 seperti maksud yang di-dalam hati, tentu-lah orang tersalah faham atau tiada dapat oleh mereka tujuan yang di-kehendakkan itu.”

Akhir sekali, biar saya habisi tulisan ini dengan petikan esei Pak Samad Said pula, ‘Menemukan Makna Hidup daripada Benda-benda Kecil’: Tanpa mengurangi erti dan harga gerakan simbolis atau absurdisme, saya kira keadaan masih membolehkan kita untuk tidak bertopeng-topeng.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Jumaat, Mac 13, 2009

Bodek, Ampu, Kipas...Lepas tu, Jilat!

Bertuahnya ditakdirkan menjadi Melayu, kehidupan saya sejak kecil lagi sudah terdedah dengan pelbagai ragam peribahasa yang terdiri daripada kata pepatah, simpulan bahasa, perumpamaan dan bidalan. Tulis Pendeta Za’ba, “peribahasa-peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.”

Yang menariknya dengan peribahasa ini, ia mampu mencantikkan baris ayat yang dikarang, atau diucapkan, macam kilatnya kasut kulit yang telah di‘kiwi.’

Bertambah menarik lagi, dengan asal satu perkataan saja, orang Melayu dulu-dulu dapat mencipta bermacam kata peribahasa. Dari perkataan ‘kaki’ misalnya. Perkataan ini digandingkan pula dengan perkataan-perkatan lain lalu membentuk simpulan bahasa seperti kaki judi, kaki botol, kaki bangku, kaki ayam. Hasil dari kumpulan pengalaman, pemerhatian dan renungan oleh manusia Melayu hari ini terhadap pelbagai peristiwa dan ragam manusia yang berlaku di sekeliling sehari-hari, kita boleh temui pula peribahasa yang lebih moden seperti kaki bola, kaki betina, kaki kelentong dan kaki bodek.

Di sini, saya mahu sentuh tentang ‘kaki bodek.’ Kaki bodek ini secara mudahnya merujuk kepada sikap seseorang yang suka membodek pihak yang dibodek dengan harapan mendapat laba atau mendapat ruang keselesaan atau jaminan keselamatan dari hasil bodekan. Bodek? Kejadah apa bodek ni? Bodek ini lebih kurang sama macam ‘ampu’ – mengampu. Motifnya sama. Saudara-mara kepada ‘kaki bodek’ ialah ‘kaki kipas’, ‘kaki ampu’ dan saya tambah lagi satu: ‘kaki jilat.’

Konotasi ‘kaki jilat’ ini saya rasa lagi cun, lagi provokatif seperti kata arwah Za’ba tadi, “sedap didengar dan bijak perkataannya” – kerana berjaya membuka 1001 imaginasi liar. Bayangkan, kaki jilat ini bukan menjilat ‘kaki’ saja kerjanya, tapi kebarangkalian untuk menjilat bahagian lain juga amatlah tinggi.

Adapun, beberapa minggu lalu, saya berbual dengan rakan sepejabat tentang pengalaman masing-masing sewaktu masih bergelar pelajar. Setelah merayau dari satu cerita ke satu cerita, tak pasal-pasal, tersentuh pula tentang kesah pengalamannya membodek pensyarah perempuan muda. Pendiriannya jelas, membodek untuk dapat markah lebih.

“Kita ni time belajar kena pandai ‘kipas’ lecturer sikit, lepas tu markah mesti best je..kalau tak, tak boleh. Betul tak?” katanya terang-terangan. Saya hanya jawab dengan sekuntum senyuman tawar.

Jadi di sini, saya mahu mengupas hal bodek ini dalam konteks hubungan pensyarah – pelajar. Secara taktikal, saya bersetuju dengan idea membodek demi memperoleh faedah-faedahnya. Taktik ini memang terbukti amat berkesan. Konsep menuntut ilmu di zaman perniagaan ilmu sekarang memang begitu. Ia sudah jadi macam satu permainan yang mana kamu memerlukan kelicikan taktik untuk menang. Maksud saya, untuk grad dengan bangganya.

Tapi masalah bagi saya pula, kerja membodek ini amat bertentangan dengan sifat semulajadi yang memang tak pandai membodek. Saya hanya tahu memuji. Pujian dan bodekan adalah dua hal yang berbeza. Saya melihat pujian sebagai sesuatu yang tulus ikhlas dari hati nurani. Seharusnya tiada sebarang lapikan tipu muslihat atau agenda tersirat. Lagipun, saya amat liat untuk memuji seseorang, sebenarnya. Oleh itu, bila saya memuji seseorang, saya memang betul-betul memaknakannya. Begitu juga mengutuk. Berbeza dengan bodek, ia punya 1001 agenda tersembunyi dan semestinya, berselirat dengan benang kepura-puraan.

Saya juga seorang yang amat-amat mengagungkan kebebasan berfikir. Membodek, mengipas, mengampu atau menjilat semuanya adalah sama sekali bertentangan dengan amalan yang saya agungkan ini. Jadi, mana mungkin saya akan membodek, mengipas, mengampu, menjilat? Malahan, pada saya membodek itu semua adalah kerja manusia yang anti kebebasan berfikir!

Kaki bodek membodek dek kerana mereka seakan tak yakin dengan kemampuan fikiran mereka sendiri. Lepas itu mengharapkan pula pihak yang ingin dibodek agar menjadi ‘Jesus the Saviour’ atau pemberi rahmat kepada mereka. Sedangkan orang yang berfikir sepatutnya tak takut memperjudikan kekacakan intelektual mereka dan mempertahankannya bermatian-matian apabila dicabar.

Hasil yang dituai dari konsep membodek sebenarnya memang seperti hampas tebu yang sepatutnya dibakar. Kerana mahu selamat, markah tinggi, dan suka mengipas, mereka semua jadi pengecut, jadi pak turut. Bersandarkan pengalaman saya yang sudah, tiada sesiapa pun yang bergelumang dengan taktik membodek ini berani mencabar idea atau pandangan yang dilontarkan oleh pensyarah. Hitam kata pensyarah, hitam lah kata mereka. Dan pabila mereka keluar dari sarang pengajian nanti, watak mereka akan menjelma pula menjadi bak pelacur profesional yang hanya tahu mengikut membuta-tuli kehendak klien. Disusuli dengan hujah lanjut, “ala..nak hidup.” Padahal, sepatutnya mereka berani menawarkan idea mereka sendiri.

Membodek juga selalunya kerap berselindung di sebalik tabir kepatuhan. Nampak macam patuh, macam bagus, tapi sebenarnya ada maksud tersirat. Ini juga satu kontradiksi kepada elemen kejujuran. Senang cerita, membodek ini adalah klon kepada penipuan. Sambil tak menafikan bahawa patuh itu sifat yang mulia, dalam menuntut ilmu, awas, kepatuhan membabi buta tak mustahil jadi penyebab kamu terus diulit kebebalan.

Bagi saya jelas, kebebasan berfikir yang sepatutnya diagungkan, bukan banyak mana gulungan kertas ijazah. Kertas ijazah berlambak-lambak, hatta yang berstatus P.H.D sekalipun langsung tak berguna, tak berfaedah jika pemiliknya kecut untuk menyatakan pemikiran sendiri waktu keadaan memerlukan.

Jika ditinjau sekali lagi, amat malang, gejala bodek telah menjadi duri dalam daging yang dirayakan dalam sebahagian budaya kontemporari di negara ini. Bagi yang memerintah, walau di mana-mana pun, situasi ini pastinya disambut dengan sorak-sorai kegembiraan.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Ahad, Januari 11, 2009

Memang Kosong Pun!

Semalam, saya bertemu ennui. Ennui ini bukan seorang amoi bergetah dari Bukit Beruntung, tapi adalah satu perasaan bosan nak mampus. Jadi, saya rawat demam ennui ini dengan meleburkan diri saya di celah-celah ulat tahi kotaraya, sekitar Bukit Bintang. Tapi, saya seboleh-bolehnya tak mahu rewangan saya ini kosong bersahaja, lalu saya letakkan sasaran saya untuk mencari buku di Borders.

Namun sial, apakandaya, saya tak ketemu dengan buku yang diingini, dan akhirnya saya terpaksa bertransformasi menjadi pemerhati budaya yang tak bertauliah.

Hari minggu, macam biasa. Masa untuk para remaja a.k.a budak-budak ‘kota berlumpur’ berlibur, berjoget terkinja-kinja, dan mungkin, bercengkerama. Saya tak berniat mahupun berminat untuk menjadi moralis, lalu poyo merakamkan gejala keruntuhan moral di kalangan remaja. (Melayu khususnya.) Mata saya hanya galak merakam setiap aksi, setiap situasi tanpa mahu membuat sebarang justifikasi; moral. Rakaman pengalaman yang ditangkap oleh – bukan kamera – tapi mata ini lebih saya hargai, selalunya. Lebih tepat, lebih menusuk terus ke otak, tanpa sebarang salinan analog mahupun digital.

Dan ya, memang benar, mata saya yang semakin rabun ini dapat merakam sesuatu yang menarik semalam.

Oleh kerana saya pernah terbaca (tapi di mana ya?) tentang ‘fenomena’ baju-T budak-budak sekarang yang banyak tertera tulisan-tulisan bahasa Melayu, (atau Malaysia? hish!) saya telah merakam sesuatu di dalam kepala. Telah dikatakan, ‘fenomena’ bebudak Melayu sekarang yang memperaga baju-T bercop dengan slogan-slogan atau tulisan bahasa ibunda adalah suatu tanda yang positif. Positif dalam erti kata, mereka (remaja) sudah tak segan silu untuk memperagakan, atau mengaksesorikan diri dengan tulisan-tulisan bahasa Melayu. Jika sebelum ini, baju-T hanya bertampal dengan tulisan Mat Salleh, baru nampak cool dan tak malu. Sekarang tidak lagi. Baju-T yang bercap tulisan Melayu juga boleh menampakkan yang kamu ini seorang ’Mat Cool.’ Ini tandanya, bahasa Melayu semakin subur. Tahniah!

Eh, betul ke?

Nah! Hujah ini yang ingin saya sanggah di sini. Saya tak nampak apa-apa kaitan di sebalik ’fenomena’ baju-T bertulis bahasa Melayu ini dengan nilai jati diri bangsa, nilai nasionalisme, apatah lagi nilai patriotisme. Saya juga gagal melihat fenomena yang sedang berarak di Bukit Bintang semalam sebagai tanda kesuburan atau perkembangan positif bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Maaf kata la ya, setelah dituras dengan rasional akal, saya merasakan bahawa fenomena yang saya maksudkan ini tiada kena mengena dengan nilai-nilai muluk itu semua. Ia sebenarnya hanyalah fenomena yang cuba diangkat pada masa kini oleh para trend sucker.

Trend sucker ini, maaf, bahasa orang putih. Untuk menampakkan yang saya ini seorang nasionalis bahasa ibunda, kita panggilkan saja sebagai penghisap atau penjilat fesyen atau budaya terkini. Golongan yang melayan trend terdiri dari pelbagai kategori, bermula dari pencipta budaya terkini itu sendiri, yang acap kali digelar sebagai trend setter, sampailah kepada para pengikutnya yang paling tercicir kelewatan. Manusia yang keciciran ini lagi parah, umpama keciciran bas setelah berlari untuk mengejar, akan kelihatan letih dan berpeluh-peluh. Dan, barangkali berbau hapak. Golongan tercicir inilah kebayakkannya menjadi seperti yang saya cop sebagai trend sucker.

Dan lagi satu, yang ramai pastinya trend followers, para pengikut yang kebanyakkannya dimonopoli oleh remaja lepasan dan yang bakal menduduki peperiksaan SPM. Mereka ini, saya tak sampai hati pula nak menjatuhkan sebarang hukuman, justifikasi baik atau buruknya tindakan mereka . Saya sekadar mahu melampiaskan keserakahan nafsu saya pada sesuatu yang saya rasakan benar.

Trend baju-T bercetak slogan-slogan bahasa Melayu ini baru saja tercetus tahun lepas, saya rasa, oleh sebuah kugiran yang pernah ’dihujani kebebasan melampau’ pada suatu masa yang pendek. Jika benar sangat kumpulan musik ini mahu mengangkat bahasa Melayu, ya, mereka boleh teruskannya. Saya tak berminat melayan niat suci mereka.

Tapi jika direnung kembali, hasilan musik kugiran ini tiada kena mengena dengan keghairahan pemuda-pemudi trendy ’memperdadakan’ dada mereka dengan tulisan atau slogan berbahasa Melayu. Mungkin ya pada mulanya, sebagai pencetus trend. Walau apapun alasannya, jika berkarya, menulis atau bernyanyi misalnya, saya fikir kita tak perlu meletup-letupkan lantai perkaryaan kita. Yang penting, kita mesti tahu bahawa kita berkarya kerana ingin berkarya, for fuck sake! Dan yang paling penting, karya itu memang bagus, tak kiralah apa medium atau instrumen yang digunapakai sekalipun. Tak payah sibuk memelikkan diri dengan instrumen yang kita guna. Kalau kamu seorang Melayu dan bernyanyi dengan bahasa Melayu, ah, apa yang perlu diheboh-hebohkan sangat? Perlu ke kita berasa pelik? Atau kecoh? Saya ingat, biasa saja, dan tak pelik langsung. (Tapi saya akan berasa pelik jika terjumpa seorang Mexico yang pandai bernyanyi lagu Tamil.)

Apa yang berlaku ialah, kita buat-buat pelik, buat-buat kecoh. Atas alasan, sebelum ini ramai pemusik bebas kita suka bernyanyi dalam bahasa Inggeris. Apabila kita berhujah bangang sebegitu, yang terhasil adalah lebihan-lebihan rasa pelik atau kagum yang dibuat-buat, yang terjelma kepada sesuatu yang hip dan trendy. Lebihan-lebihan inilah yang bermetamorfosis menjadi bahan kumbahan atau tahi, yang kemudiannya disedut oleh golongan trend sucker yang saya katakan tadi.

Trend semasa ini bersifat pop, semestinya, serta tak tahan lama seperti ketulan ais yang lekas cair. Jika ketulan ais diletakkan di tempat yang panas, ia akan mencair dengan lebih cepat. Begitu juga kesnya dengan budaya pop ini. Kalau kamu perasan, makin hot atau hip sesuatu trend, lagi cepatlah trend itu padam. Oleh itu, biar saya berlagak sebagai tok nujum di sini. Saya berani meramalkan bahawa trend baju-T ini tak lama, paling kuat pun ia hanya mampu bertahan sampai hujung tahun ini saja. Justeru, mungkin ini akan menjadi simbol kemerosotan bahasa Melayu pula! Hahaha!!

Tambahan pula, ada satu lagi yang perlu kita sedari, trend atau budaya popular ini tak memiliki sebarang nilai falsafah yang sebenar. Trend semasa ini tiada kesinambungannya. Boleh hidup secara tiba-tiba dan mati dalam sekelip mata. Ini berbeza dengan letusan budaya Hippie suatu ketika dahulu, atau sub-kultur Punk, yang mana ianya ditopang oleh falsafah-falsafahnya yang tersendiri, walau ramai jua yang cuma ikut-ikutan. Malah, Black Metal juga mengandungi nilai falsafah, di sebalik palitan ‘corpse-paint,’ di sebalik hingar bingar dan karatnya alunan musik mereka. Falsafah-falsafah inilah yang memberi nilai kepada sesuatu kewujudan budaya atau sub-budaya lalu menampakkan pembudayaan yang ada hujung-pangkalnya.

Tak akan pernah wujud sentimen nasionalisme, patriotisme, atau apa-apa bentuk nilai sosiologi positif sekalipun dalam budaya pop atau trend semasa. Saya mahu katakan, trend semasa tak lebih sekadar budaya picisan yang diraikan oleh para remaja, sebagai wadah eskapisme runcit-runcitan sewaktu muda. Ideanya sangat cetek. Maknanya, kalau dahulu mereka memakai baju-T bertulis dengan istilah Inggeris, bukan kerana mereka berpaling dari budaya tempatan. Tapi kerana melayan trend. Sekarang pula, yang tengah ‘in’ dan kelihatan hip ialah istilah berbahasa Melayu, maka itulah pilihan mereka. Jangan buat-buat pelik, jika satu hari nanti datang trend memakai baju-T tertera bahasa Jepun, maka mereka ini tak mustahil akan beralih ke bahasa Jepun pula. Kalau ini terjadi, adakah kita akan menganggap yang golongan trend sucker ini sedang berusaha mengaplikasikan ‘dasar pandang ke timur?’

Saya juga hairan betapa mudahnya penjiwaan Melayu mereka, hanya semurah sehelai baju. Soalnya, apakah mereka ini pernah membaca Hikayat Hang Tuah? Apakah mereka ini mengenali Pendeta Za’ba? Adakah mereka pernah merasa cencaluk? Adakah mereka ini tak malu menumis sambal? Jikalau jawapan kepada soalan-soalan ini cenderung ‘tak pernah’ atau ‘tak tahu’, nescaya terbukti bahawa fenomena baju-T ini memang sekadar trend murahan.

Selain itu, pastinya di sebalik trend ini, tersisip nilai yang lain, selaku nilai yang sebenar, yakni nilai komoditi pasaran. Pastinya akan ada pihak yang menangguk di air yang keruh, untuk menjala untung. Disebabkan itu, trend baju-T ini sekadar kilauan budaya pop yang bertopengkan keuntungan dan konsumerisme. Adalah sangat lawak jika kita percaya bahawa bahasa kebangsaan mendapat signal positif dengan hanya melihat seorang remaja ’mendadakan’ baju-T bercetak frasa, “Saya Jiwa Kosong” – ha, tahu takpe.


Mohd Ikhwan Abu Bakar