Memaparkan catatan dengan label Franz Kafka. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Franz Kafka. Papar semua catatan

Jumaat, April 10, 2020

Mempertahankan kedalaman dan kesukaran Seni

Di sini saya terpanggil untuk mempertahankan kedalaman dan kesukaran dalam seni, sesuatu yang dipanggil deep atau payah, atau susah faham dan seumpamanya, anda tahu ia apa. Biasanya pendapat ini akan dipertahankan buat mereka yang paling lemah atau tertindas, dalam konteks ini mereka yang paling normal, atau tak tahu apa-apa fasal seni, atau orang kebiasaan. Ada kala yang mempertahankan mengakui dirinyalah orang yang normal, tak tahu seni dan biasa-biasa itu, dan ada kala si polan ini dapat dan faham apa yang disampaikan karya seni yang deep, sukar dan payah tadi, tapi sebab dia memikirkan golongan yang tiada kefahaman tadi, lalu menyimpulkan bahawa seni perlu boleh difahami semua.

Daripada dua jenis orang ini saya fikir yang kedua lebih teruk, kerana dirinya boleh jadi agen pencerahan kepada mereka yang kurang cerah, dengan menyampaikan dan memberi artikulasi jelas agar seni yang sukar dan deep tadi boleh ditangkap rakyat jelata atau rakan terdekat, tetapi sebaliknya memilih untuk menyamakan dirinya bersama posisi yang paling jahil. Dia diberi kebolehan tetapi mengabaikan kebolehan itu.

Seni seperti ilmu memang alaminya bertangga, atau ia boleh juga jauh ke dalam, di mana kita perlu ada usaha menggali. Jika ia tangga tadi, kita perlu ada usaha untuk mendakinya. Pendek kata, untuk dapat seni ia perlu datang dengan usaha, dan usaha ini serupa sepertimana kita mendapatkan ilmu. Sijil ilmu itu bertangga dari diploma ke PhD, sekolah kita setiap darjah dan tingkatan, semakin meningkat kesukaran dan kepayahannya, ia naik ke atas, tetapi untuk setiap kenaikan ini ilmu itu semakin kita gali ke dalam. Misalnya kita belajar algebra di sekolah menengah, tetapi kita tak boleh terus ke level itu kalau kita tak belajar hal yang paling asas iaitu tambah-tolak-darab-bahagi nombor ketika di sekolah rendah.

Ia nampak ekstrim untuk bandingkan matematik sekolah rendah dengan sekolah menengah tetapi itu ibarat jurangnya. Dan tak sekadar subjek Matematik, ilmu ini sifatnya berangkai di mana apa yang kita fahami melalui matematik, akan dipakai dalam subjek Matematik Tambahan, dan seterusnya di dalam subjek Fizik etc. (andai anda ambil subjek-subjek ini.) Dan jika anda ambil jurusan arsitektur sewaktu diploma, anda ada subjek Structure pula yang secara asasnya merupakan gabungan Matematik Tambahan dan Fizik.

Poligon dan trigonometri (Matematik), indeks dan logaritma (Matematik Tambahan), daya dan tekanan (Fizik) ini semuanya kompleks belaka dan malah saya sendiri sudah lupa apa yang saya pelajari dulu waktu sekolah, tapi itu bukan poinnya, poinnya adalah saya sebagai remaja mendedahkan diri saya kepada ilmu yang sentiasa menguji kebolehan berfikir kita selaku manusia. Begitu juga sikap saya terhadap seni.

Sekarang kita kaitkan hal ini dengan seni. Apa itu seni? Pada saya ia suatu sentuhan yang buat kita rasa. Ia menggerakkan kita. Atau bak kata Franz Kafka, ia mencairkan sesuatu yang keras di dalam diri kita. Dan perasaan ini bertangga dan mendalam seperti ilmu tadi. Jika ilmu melibatkan intelek, seni melibatkan hati, jiwa, detak, kalbu dan sanubari kita. Kita boleh bincangkan dan wacanakan seni, sepertimana kita boleh bincangkan dan wacanakan lawak jenaka. Tetapi untuk rasa seni itu, sepertimana lawak jenaka, kita kena rasa lawak jenaka itu. Kita rasa lucu atau ketawa bila suatu jenaka itu sampai dan buat kita geli hati. Tetapi jika kita bincangkan dan teorikan jenaka tadi, perasaan yang buat kita gelak dan lucu itu tiada. Sama seperti seni, kita rasa secara langsung biar apapun medium seni itu baik lukisan, muzik, filem, senibina, teater dan seumpamanya. Kita rasa suatu perasaan yang mendalam. Kita mulai sedar ada suatu daya yang bergerak-gerak di dalam diri kita, suatu sentuhan ghaib.

Ia sentiasa berjarak dan kita sentiasa cuba mendekatinya. Seni, berani saya kata mendekatkan kita dengan sesuatu yang bersifat kerohanian, atau spiritual atau metafizikal, sakral, ikut apa yang anda mahu panggil, tapi poinnya ia sesuatu yang kita tak mampu kesan dengan pancaindera kita (tolak tepi deria yang bersifat dalaman seperti intuisi). Amat sukar untuk menjelaskan perasaan yang di luar kerangka alam fizikal ini kepada umat yang hanya tertakluk dalam alam fizikal. Sebagai contoh perkataan ‘geli hati’, siapa yang menggelikan hati kita? Mencuit hati.

Dalam matematik yang lebih mengancam (yang tak diajar di sekolah) ada konsep dimensi. Bayang-bayang kita berupa dua dimensi dari tubuh kita yang tiga dimensi. Bagaimana jika tubuh kita merupakan bayang-bayang kepada suatu tenaga empat dimensi, dan seterusnya…? Atau selepas memerhatikan bayang-bayang dua dimensi kita, tidakkah kita tertanya apa yang ada di dalam alam satu dimensi dan alam sifar dimensi? Tidak bermanfaat bukan persoalan ini? Tapi ia bermanfaat buat mereka yang curiga. Suatu ketika dulu manusia hidup tanpa nombor sifar.

Salah satu kesan langsung seni adalah untuk bikin manusia curiga. Curiga dengan hal ehwal sosial, ekonomi, psikologi, di luar dirinya, di dalam dirinya dan seumpamanya. Ia membuatkan mereka yang menekuninya mempertanyakan diri, apa yang baru didepaninya. Tidak dinafikan ada seni yang teruk, tetapi ini kes lain. Dalam hal ini apabila saya sebut seni, yang dimaksudkan memang seni yang betul-betul menggugah dan menggoncang fikirasa.

Dalam The Theater and Its Double tulisan Antonin Artaud, esei pertamanya berjudul The Theatre and the Plague berbunyi,
“The theater like the plague is a crisis which is resolved by death or cure. And the plague is a superior disease because it is a total crisis after which nothing remains except death or an extreme purification. Similarly the theater is a disease because it is the supreme equilibrium which cannot be achieved without destruction. It invites the mind to share a delirium which exalts its energies; and we can see, to conclude, that from the human point of view, the action of theater, like that of plague, is beneficial, for, impelling men to see themselves as they are, it causes the mask to fall, reveals the lie, the slackness, baseness, and hypocrisy of our world; it shakes off the asphyxiating inertia of matter which invades even the clearest testimony of the senses; and in revealing to collectivities of men their dark power, their hidden force, it invites them to take, in the face of destiny, a superior and heroic attitude they would never have assumed without it.”

Dalam esei ini Artaud menyamakan teater dengan wabak. Katanya apabila wabak berlaku, topeng-topeng kita akan tertanggal kerana kita amat terdesak cuma berdepan dengan dua kemungkinan iaitu mati atau menjadi celik dan cerah. Maka dalam situasi ini hal-hal tak terjangka berlaku (dalam konteks ini terutama hal-hal yang gelap) di mana segala hipokrasi dunia gugur, manakala sikap heroik dan keperwiraan muncul secara semulajadi tanpa diduga oleh mereka yang melawan. Meski esei ini lebih menjurus kepada sesuatu yang perverse dan ekstrim (contoh yang diberi merupakan hubungan inses), tapi poinnya adalah untuk melawan norma dan konvensi teater di Barat yang menurut Artaud sudah dikorupkan elemen ‘psikologi’ dan dinaungi ‘teks’. Artaud menuntut agar teater di Barat mencontohi seni persembahan di Timur seperti seni Bali yang ditontonnya di suatu expo di Paris, yang mana ia lebih bersifat metafizikal dan tidak berlandaskan teks.


Imej pegun dari Trance and Dance in Bali, Library of Congress

Apa yang menarik tentang kenyataan ini adalah, ketika kita sekarang yang betul-betul sedang dilanda wabak Covid-19, kita secara jamak mulai sedar kapitalisme, konsumerisme dan ketamakan yang kita rai dan dendangkan sebelum ini ternyata mengarut. Dalam situasi ini kita kembali kepada hal-hal asas, kembali kepada roti dan nasi, tolong-menolong di kalangan mereka yang terdekat dan memerlukan, dan dalam masa sama negara diberi mandat kuasa luar biasa, garis sempadan menjadi semakin nyata, malah setiap negara semakin tertutup bagi menumpukan pada permasalahan dalaman sebaran wabak masing-masing, doktor dan tenaga kerja perubatan perlu beri khidmat setempat. Teater tak lagi diperlukan dalam kadar segera, kerana jika kita seperti Artaud anggap teater sebagai wabak yang menanggalkan topeng-topeng hipokrasi kita, kini kita memang sudah perlahan-lahan sedar dan tanggalkan topeng-topeng itu, sebelum situasi yang lebih buruk dan haru berlaku, segala kerja jahat, kegelapan dan ‘cruelty’ muncul,  malam berselimut embun, siang bertudung awan; meski ada yang kekal bertopeng, untuk terus selesa, untuk normalkan situasi. Yang kaya dan pentingkan diri sedang selamatkan diri di rumah agam persis Giovanni Boccaccio barangkali, bersama dua teman dan tujuh gundik bernafsu tapi alim.
“That is why I propose a theater of cruelty.—With this mania we all have for depreciating everything, as soon as I have said ‘cruelty,’ everybody will at once take it to mean ‘blood.’ But ‘theater of cruelty’ means a theater difficult and cruel for myself first of all. And, on the level of performance, it is not the cruelty we can exercise upon each other by hacking at each other's bodies, carving up our personal anatomies, or, like Assyrian emperors, sending parcels of human ears, noses, or neatly detached nostrils through the mail, but the much more terrible and necessary cruelty which things can exercise against us. We are not free. And the sky can still fall on our heads. And the theater has been created to teach us that first of all.” – Antonin Artaud, The Theater and Its Double

Kembali kepada seni yang perlu didaki dan digali ini, ke atas dan ke bawah sekali gus, perasaan yang mendalam memang terletak di daerah yang paling dalam. Kita tak boleh dapat perasaan yang mendalam ini tanpa masuk ke dalam. Ia redundant untuk sebut dalam ini banyak kali tapi itulah maksud perkataan deep. Kedalaman ini punya kesukarannya (jika cetek itu mudah), persis ilmu matematik yang kita belajar sewaktu di sekolah dulu, semakin lama semakin bertingkat kompleksitinya. Perasaan yang besar, hebat dan mendalam memang kompleks. Ia tak boleh dinyatakan secara terus, kerana itu ia memerlukan seni dan puisi.

Puisi contoh yang baik di mana ia ada jarak lingkung yang pelbagai. Kita ada puisi yang pop yang ringkas dan senang faham, yang biasanya menyentuh emosi asas alam emo remaja seperti loneliness, infatuation etc. dan ia selesai dengan satu coret. Ini kita faham, tetapi dalam masa sama kita tidak boleh nafikan kewujudan puisi-puisi yang sudah tertulis dan ambil bentuk yang lebih kompleks seperti pantun misalnya. Mungkin untuk orang sekarang agak renyah untuk cari rima, tapi itulah permainan bentuk puisi ini. Luahan yang dibendung bentuk, itulah puisi tradisional, ideanya bagaimana untuk sampaikan suatu perasaan dengan limitasi yang ada. Sudah tentu pemuisi tulen ada waktu langgar saja limitasi ini demi makna. Tetapi oleh kerana kita kini hidup bersama puisi moden yang tak lagi dibendung bentuk, lalu apa yang tinggal itu perasaannya perlu telus, menjadi dan berhasil. Kita dengar dulu sebelum dibaca. Puisi asalnya dilafaz sebelum dunia percetakan muncul.

Bak kata Artaud, puisi ialah kaos terancang. Ia huru-hara dan dalam masa sama ia ada order. Ia sebentuk sintesis, pertemuan tesis dan antitesis, dan lalu apa yang muncul kita panggil paradoks. Di dalam paradoks ini perasaan yang profound dan mendalam muncul. Seni yang hanya tawarkan tesis tak cukup kompleks. Sepertimana tindakbalas kimia, atau jika boleh kita kata jiwa kita dalam keadaan inertia, kita perlukan suatu daya untuk usik posisi tersebut. Semua ini berlaku dengan seni, tetapi kita tak nampak secara kasat mata. Apa hubungan baris pembayang dengan baris maksud?

Kembali kepada hujah saya dalam mempertahankan kedalaman dan kesukaran seni. Kita sudah tentu lebih mudah faham untuk mempertahankan betapa poligon dan trigonometri, indeks dan logaritma, daya dan tekanan ini semua lebih kompleks berbanding tambah-tolak-darab-bahagi nombor. Kita boleh andaikan bahawa seni yang mudah faham ini umpama tambah-tolak-darab-bahagi nombor, ini kerana paling asas, semua orang boleh buat kira-kira dan congakan asas ini. Tetapi jika seni itu level trigonometri misalnya ia mula jadi susah dan tak ramai faham, meski kita tahu melalui matematik, kita semua perlu ada usaha untuk belajar sampai faham. Ini telah kita alami sewaktu sekolah dulu. Tetapi perumpaan ini tidak tepat sebab seni tak berfungsi macam matematik. Seni yang menjadi, terus di takah advanced, kerana sifatnya kompleks. Seni tambah-tolak-darab-bahagi ini boleh kita umpamakan seperti langkah pengenalan.

Seni perlukan kedalaman kerana yang ada di permukaan ialah klise, dalam erti kata emosi yang digarap sudah menjadi konvensi/kebiasaan hingga ia hilang kesegarannya. Seni tadi boleh di-approach dengan formula. Formula, rumusan atau teori ini berkesan dalam matematik, tetapi dengan seni ia bukan begitu.

Jika kita berbalik kepada poin seni adalah untuk goncang jiwa kita, jika kita sudah terbiasa, ia sudah tiada lagi kesan yang sama. Misalnya sewaktu tayangan filem terawal berjudul Arrival of a Train at La Ciotat oleh Lumière-brothers pada tahun 1895 dulu, ada orang panik dan lari dari tempat duduk sebab sangkakan imej keretapi yang datang ke mereka itu betul-betul datang. Perasaan intens ini tak lagi boleh kita rasai sekarang andai kita lihat video keretapi di dalam skrin komputer kita. Kita sudah sedar bahawa ia cuma imej, tetapi tidak buat orang di awal kemunculan imej bergerak dulu. Orang di zaman itu benar-benar takut. Mereka sedang berdepan dengan teknologi baru. Apa yang baru pada mereka lama pada kita, sepertimana apa yang baru pada kita lama pada mereka yang dari masa depan. Seni seperti sains sentiasa menginginkan pembaharuan.

Seni bukan untuk dijangka. Jika suatu perasaan itu sudah boleh diacu dan dijangka, itu bermakna ia sudah masuk ke dalam domain stereotaip. Sentiasa perlu ada subversion, transgression dan perversion dalam seni, dalam menongkah dan memecahkan acuan seni sezamannya. Jika stereotaip digunakan, ia perlu bawa makna baru, diberi nafas baru.

Seni suatu proses yang berlarutan. Ketika saya tulis esei ini, ada tujuh soalan matematik yang jika terjawab membolehkan penjawabnya menerima sejuta dollar Amerika iaitu P vs. NP Problem, Riemann Hypothesis, Yang–Mills and Mass Gap, Navier–Stokes Equation, Hodge Conjecture, Poincaré Conjecture dan Birch and Swinnerton-Dyer Conjecture. Jika kefahaman kita terhadap matematik paling asas cuma bernaung dalam nombor yang boleh dikira, di luar sana matematik turut bermain dengan imaginary numbers dan complex numbers. Nombor dipetakan seperti diagram yang saya temui di internet seperti berikut:


Jika matematik boleh sekompleks ini, kenapa tidak seni, jiwa dan perasaan?

Satu lagi permasalahan seni untuk kefahaman ramai orang adalah, selain ia akan menjurus terhadap klise, stereotaip, sekadar tesis (tanpa antitesis dalam menemukan sintesis), ia juga cenderung untuk ambil bentuk propaganda atau iklan. Ini kerana propaganda dan iklan tak memerlukan emosi yang kompleks. Yang ia perlukan cuma menjentik sentimen, untuk kita jadi patriotik, untuk kita jadi konsumer. Oleh kerana ia tidak sukar, mendalam, abstrak, payah dan kompleks, hasilnya adalah sesuatu yang senang, yang hanya mengulang makna-makna lama.

Seni yang sukar dan mendalam ini juga kerap diasosiasikan sebagai elitis, seolah lagi ia mudah faham, lagi ia berpihak dengan mereka yang marhaen, jelata, murbawan. Tidak dinafikan memang ada seni yang elitis, ini kerana sejarah seni itu sendiri merupakan amalan golongan aristrokrat. Tetapi kita hari ini yang hidup lebih bebas dengan akses Internet, kita patut bersyukur ia tidak seelitis seperti zaman dulu. Kita orang biasa pun boleh ada akses terhadap seni, malah jika dihalang, kita boleh bertindak dengan bikin seni sendiri.  Ini berbeza kalau kita petani atau nelayan di kurun ke 15 dulu, kita tiada akses terhadap seni istana kecuali kalau kita kerabat diraja. Kita ada seni rakyat berbentuk permainan seperti main wau dan gasing (yang sudah wujud di muka bumi ribuan tahun dahulu), jika ia bukan seni yang jenis berubat dan lebih yang anda tahu apa. Jika kita tekuni permainan wau dan gasing ini, selain ia boleh dipertandingkan yang bikin hormon kita dirembes kelenjar adrenal (adrenaline rush) seperti laga ayam atau laga lembu, kedua-dua wau dan gasing ini juga jika kita tolak tepi elemen bertanding tadi, ia juga sebenarnya terapeutik. Kita terpaku lihat wau itu terapung-apung di udara, dan kita tenang melihat gasing berputar di atas tanah.

Selain itu ada seni rakyat yang lahir dari saduran atau parodi kepada budaya istana, dalam erti kata seseorang pernah melihat atau mengintai kehidupan istana, lalu ia dipindahkan menjadi seni rakyat. Sebagai contoh tari puteri mabuk dalam Mek Mulong, yang saya percaya, ajukan dan mimikan ini, dilakukan oleh mereka yang first hand melihat puteri mereka mabuk menari. Ia suatu perasaan yang benar, sepertimana benarnya deskripsi mulut mak inang digocoh dengan tempurung berbulu atas arahan Tun Teja sehingga ‘bengkak mulutnya, darahnya bercucuran’ atas sebab menyampaikan hasrat Tuah. Jika kita tekuni situasi ini, perbuatan Tuah di Pahang ini sebenarnya perbuatan yang sama yang dilakukan Jebat ketika di Melaka. Mak inang yang menjaga Tuah di Pahang sudah terlebih dulu berpesan kepada Tuah:
“Pada bicara bonda jika tuan hendak bermain muda, ini suka bonda katakan: yang bonda pinta pada tuan itu, jangan bermukah dengan gundik raja dan jangan bermukah dengan tunangan orang.”

Nah! Di sini bezanya, elitis yang dimaksudkan ini perihal kuasa, di mana seni itu digunakan oleh pihak tertentu untuk mengasingkan diri mereka, atau membuatkan mereka yang tidak dipunyai oleh dunia seni itu, rasa terasing. Seni yang sukar dan mendalam yang saya pertahankan ini, bukan secara sedar nak menjarakkan dirinya dari masyarakat, sebaliknya ia tuntutan seni itu sendiri untuk transcends ke alam yang lebih halus. Manusia perlu berusaha untuk mendekatkan diri dengan seni, kerana jika seni didekatkan dengan manusia, kesannya sudah dikompromi. Sekali lagi saya guna contoh matematik, di mana segala kesukaran dan kedalaman yang ditekuni dalam matematik, menjadi berguna dalam hal-hal yang kita tak sedar (seperti teknologi yang ada di dalam skrin yang kita tatap sekarang). Seni juga begitu dalam mengawalatur mental dan spiritual well-being kita. Kita jumpa doktor bila tubuh fizikal kita sakit. Seni yang bermakna beri kita katarsis, suatu bentuk kelegaan, penyembuhan, lapang jiwa, dan ini semua berlaku tanpa kita sedar. Ia ketara dalam seni persembahan tradisional kita, begitu juga tragedi Yunani dulu kala. Seni menyembuhkan umatnya mengikut setiap zamannya. Orang kampung berubat dengan permainan Mek Mulong (yang sewaktu saya tulis ini sedang pupus, kerana seni ini datang sekali dengan senibina dan upacaranya; versi pop yang ada sekarang cuma saduran teknikal, sekular sans melupa, berkostum persis Bangsawan walhal yang Wang Tepus lebih santai dan rock n roll) misalnya, tetapi buat mereka yang di bandar, mungkin mereka perlu saksikan seni performans atau teater avant-garde, etc.
Foto Mek Mulong dari laman web Memori Kedah.
Buat yang curiga dengan Mek Mulong boleh rujuk dokumentari ini bagi mendapatkan sedikit impresi kasar: (https://www.youtube.com/embed/lkCEvHkztbw). Ini kerana jika anda google ‘mek mulong’ atau ‘mek mulung’ rata-rata imej yang muncul adalah versi moden, yang mana ia sudah dikostum dan dikomersialkan. Dalam erti kata ia cuma re-enact struktur dan teknik tetapi bukan niat dan makna. Setiap seni wujud dan bertindakbalas dengan konteks dan masyarakat setempat. Apabila ia dialihkan, atau bila anasir lain menyusup, ia akan berubah.  Mek Mulong dalam dokumentari ini sudah sedia sinkretik jika diperhatikan. Apabila seni tradisional dipersembahkan di negara asing atau di hadapan pelancong, situasinya seperti kita sedang eksport budaya untuk diperhati. Apabila seni tradisional dibawa ke bandar, elemen komersial menyusup masuk kerana di bandar unsur materialistik lebih dominan untuk menggugat seni persembahan yang asalnya ratusan tahun dahulu spiritual. Tiada bangsal didirikan dan tiada korban dibuat.

Mungkin kita boleh bersimpati iaitu untuk memikirkan seni demi mereka yang paling tiada akses terhadap seni, yang paling tertindas dan terbawah, seni untuk masyarakat setempat misalnya. Seni yang didaktik dan bersifat pedagogi, seni yang mengajar dan utilitarian. Ya, sudah tentu ia boleh saja, dan lagi lokal dan terus aksi seni-seni yang menggerakkan masyarakat sekitar ini, lebih bagus dan romantis. Ia mengingatkan saya kepada tindak penjajah kolonial kita dahulu kala, di mana diri kita yang lebih cerah dan terpelajar menjadi jurucakap, gatekeeper, wakil dan pelaksana bagi sebuah komuniti melalui teknologi dan kepakaran moden yang kita kuasai. Sejauh mana intrusion ini berlaku, dinamik kuasa, hubungan master-slave, dan sejauh mana komuniti itu menjadi agensi yang bakal bergerak sendiri; ada kebaikan dan kegelapannya. Yang tekun dan telus menjalankan tanggungjawab diberi tabik hormat, agar tidak korup dimamah waktu.

Walau bagaimanapun, seni tak patut dihadkan menjadi mudah dan senang faham hanya untuk mereka yang paling normal dan buta seni. Tahap dan jarak lingkung seni perlu pelbagai, ada variasi, diverse. Andai kita sudah celikkan beberapa kerat masyarakat dengan seni yang mudah dan senang faham tadi, apakah langkah seterusnya untuk individu itu teruskan penerokaannya? Takkan sampai bila-bila kita cuma sediakan seni darjah satu? Mereka yang sudah kuasai seni darjah satu mahu melangkah maju ke destinasi seterusnya, nikmat perasaan yang lebih besar, maha dan luas.

Kerana itu seni perlu sedalam dan sekompleks boleh, kerana untuk menghasilkan ia sendiri suatu kesukaran kerana bukan sebarang orang boleh menghasilkannya. Maka buat mereka yang sudah dianugerahkan kebolehan ini, dia perlu mengusahakannya. Jika tidak kita perlu tunggu kelahiran-kelahiran seterusnya bagi mencapai kedekatan terhadap suatu perasaan seni yang menggenggam ini. Dan bila kita sudah ada karya yang kompleks, ideanya adalah, masyarakat turut sama menjadi dinamik, cerah dan berfikir jauh dan dalam sebelum buat sebarang kesimpulan.

Jika dalam bahasa Inggeris ada drama-drama Shakespeare seperti King Lear dan Hamlet sebagai puncaknya, sebagai pengguna bahasa Melayu kita ada Hikayat Hang Tuah. Hikayat Hang Tuah rumit dan sekompleks tulisan Shakespeare dengan pelbagai pantulan cerita dan motif. Jika kesihatan mental Hamlet selari dengan situasi sosial Denmark, psyche Hang Tuah adalah situasi sosial Melaka. Malah saya syak, hikayat yang dirumikan Kassim Ahmad yang saya baca ini telah disentuh dan ditulis oleh beberapa cara fikir berbeza. Paling ketara adalah, unsur Islam yang muncul di separuh masa kedua, ketika Hang Tuah mula menjadi diplomat yang mana ia tidak seketara sewaktu di separuh masa pertama. Malah Hang Tuah buat pertama kali solat di bahagian kedua ini sebelum ke benua Keling, dan bertemu Nabi Khidir di sebuah pulau.

Dunia kritikan kita telah hadkan perasaan membaca yang intens dan profound ini dengan polemik sempit Tuah vs Jebat. Polemik ini terlalu hitam putih, kita perlu pilih antara kesetiaan Tuah terhadap raja atau penderhakaan Jebat atas nama kesetiaan terhadap saudaranya. Di antara dua pilihan ini ada watak Bendahara yang juga menderhaka dengan menyelamatkan Tuah (di awal kisah saudara kandung raja Melaka diselamatkan, yang kemudian akan menjadi raja di benua Keling; ia motif yang berulang), tetapi atas dasar fikir panjang dan masa depan Melaka, watak Bendahara ini melawan titah raja. Tetapi penderhakaannya tak dianggap penderhakaan, meski ia masih sebentuk penderhakaan. Poinnya adalah untuk tidak ikut emosi dan semberono meski oleh watak raja sekalipun. Ini merupakan usikan halus oleh penulis yang menulis dalam konteks istana (jika ia ditulis dalam istana). Yang sempurna dalam Hikayat Hang Tuah bukan raja tetapi Hang Tuah. Malah posisi Tuah dalam hikayat ini umpama sintesis antara hamba dan raja sekali gus. Sudah tentu bila dibaca Tuah sentiasa memposisikan dirinya sebagai hamba, tetapi perasaan membacanya seolah dia titik tumpu.

Tidak seperti Sejarah Melayu yang lebih disunting dan terjaga, Hikayat Hang Tuah lebih longgar dan berangin. Jika dalam Sejarah Melayu saya gemar babak-babak awal yang mistikal, selain deskripsi istana terbakar yang mana prosanya terasa benar dan hidup. Dalam Hikayat Hang Tuah saya kagum dengan aspek simbol dan metafora yang digunakan dan perletakannya di sepanjang naratif. Melaka bermula dengan kelibat pelanduk putih dan berakhir dengan kelibat buaya putih. Seteru Melaka waktu Jebat ada ialah Majapahit, seteru Melaka waktu Jebat tiada ialah Feringgi (Portugis). Ada simetri dan desain yang canggih dalam reka bentuk Hikayat Hang Tuah ini.
“Maka Laksamana pun dibungkus oranglah, seperti adat mengapan orang mati sungguh rupanya. Setelah sudah maka dimasukkan oranglah tubuh Laksamana ke dalam keranda lalu diturunkan ke dalam liang.” – Hikayat Hang Tuah

Sukar untuk jelaskan kekaguman saya sebagai pembaca terhadap Hikayat Hang Tuah buat mereka yang tidak membacanya. Sastera, seperti seni (terutama teater), perlu dialami secara langsung. Kekaguman ini perlu saya ulang dan jelaskan, bahawa ia bukan kekaguman saya terhadap watak Hang Tuah dengan membayangkan kapal layar yang gah dan besar atau arca gangsa sosok Tuah yang heroik. Kekaguman saya sebaliknya terhadap teks Hikayat Hang Tuah yang saya baca, ia menyentuh dan menggerakkan perasaan saya, sepertimana saya baca Hamlet. Saya tak kagum dengan watak Hamlet, tapi perasaan membacanya yang bikin saya kagum, “Oh kita boleh tulis sebegini rupa untuk dapat kesan yang mendalam sebegini?” Meski tidak dinafikan Hikayat Hang Tuah ini secara semberono boleh dilabel sebagai bahan bertulis oleh pihak istana yang menjadi kemegahan kuasa feudal, selain menjadi alat propaganda nasional negara moden kita, tetapi ini boleh saya tapis dan tekuni melalui naluri kepengarangan saya. Yang mengkagumkan saya cuma nilai bacanya. Kemegahan feudal dan propaganda nasional cuma kesan atau intepretasi singkat terhadap karya ini oleh orang lain yang menjadi popular. Hamlet boleh jadi kisah budak emo yang spoilt kalau diambil secara lewa. Tapi sebagai pembaca yang tekun kita perlu terus menggali dan mendalami teks yang ada. Hikayat Hang Tuah beruntung kerana penulisnya misteri, jika tidak posisinya akan dipolitikkan dan lalu terpalit pada teksnya. Saya secara peribadi merasakan bahagian pertama dan kedua digarap dan disusun oleh dua pengarang dominan berbeza, kerana lenggok bahasa dan advencer watak Tuah ini berbeza. Meski dua bahagian ini dipisahkan Kassim Ahmad, tetapi sepertimana cetakan folio Shakespeare, pembahagian lima babak drama Shakespeare dibuat pertama kali dalam versi cetak 1709 oleh editor Nicholas Rowe. Kita tak tahu apa jenis pembahagian yang dibuat Shakespeare, sepertimana kita tidak tahu berapa ramai pencerita, pengarang dan berapa lapis salinan yang dilalui Hikayat Hang Tuah.

Sebagai penulis saya boleh teka melalui naluri, intuisi dan gerak hati di mana penambahan atau penukaran dibuat. Sebagai contoh ada satu waktu, ketika di benua Keling, Hang Tuah kata nak melawat kuil dan masjid, tetapi selepas itu dia cuma melawat kuil. Ia bikin saya skeptik dan menyangka perkataan ‘dan masjid’ itu ditambah. Ini kerana tak pernah di sepanjang naratif Hang Tuah sebelum adegan itu (terutama di bahagian pertama sebelum Jebat dibunuh) ada konsep masjid, jadi bagaimana perkataan ‘masjid’ boleh ada kat situ? Adakah ia petanda awal kepada masjid Baitu’l-rahim Ratna Kemala yang menjadi puncak kekaguman bahagian kedua di mana Tuah solat Jumaat sewaktu di Rom? Ini walau bagaimanapun contoh yang saya ingat (dan perlu diulangbaca untuk diperiksa semula), ada beberapa ayat lagi yang bikin saya risau dan curiga jika ia sudah diusik dan disunting terutama di bahagian akhir.

Adakah nuansa propaganda dan kehebatan Melaka ditanam oleh penulis yang terkemudian, penulis yang menulis penutup? Kerana dari segi struktur, Melaka menjadi pusat semesta Tuah cuma di bahagian pertama, segalanya adalah demi Melaka. Tuah di bahagian pertama ini Tuah pendekar yang banyak bunuh orang, kill count-nya berjumlah ____ (isikan tempat kosong), penuh aksi. Selepas Jebat tiada, bahagian kedua memposisikan Tuah sebagai duta pula yang melawat ke negeri-negeri orang hingga ke benua Rom. Dan di akhir bahagian ini, Tuah sedar bahawa Melaka itu kerdil saja jika dibandingkan dengan ‘negeri Rom bernama Setambul’ (Istanbul). Tiada lagi aksi sebaliknya di bahagian ini Tuah lebih banyak melakukan pemerhatian (observation) terutama tentang budaya orang lain. Nuansa bahagian kedua ini umpama proto-Hikayat Abdullah yang berbentuk laporan berasaskan pengalaman meski masih ada unsur keajaiban:
“Maka Laksamana pun mengambil rial dalam bajunya dua tiga rial diberikan orang tua itu. Maka diambilnya perak itu sa-rial juga sahaja oleh orang tua itu. Setelah sudah maka ia pun memeluk mencium kepala Laksamana, seraya katanya, ‘Hai anakku Laksamana, ambillah cembul ini. Apabila engkau tiada tahu berkata-kata dengan bahasa orang itu maka engkau keluarkan airnya dalam cembul ini, sapukan pada mulutmu dan telingamu, maka tahulah kamu serba bahasa orang itu. Akulah Nabi Hidhir.’”

Ia sentiasa jelas dan nyata di bahagian awal dan pembukaan… Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu, Hikayat Si Miskin semua adegan awalnya saya suka. Sesungguhnya usaha penulis adalah untuk meneruskan cerita yang dah dimulakan.

Ada pendapat yang mengatakan Hikayat Hang Tuah ini ambil semangat Pandawa lima bersaudara dari Mahabharata sebab Tuah pun lima bersaudara juga. Tetapi ia cuma di permulaan, dan andai kata pengarangnya merujuk Pandawa dengan memilih lima orang saudara, ia terhenti di takah bilangan sebab lepas itu ia digarap ikut suka dia. Mungkin Lekir dan Leqiu ini rujukan awalnya Nakula dan Sadewa, kedua-duanya paling tak diceritakan sangat, tapi Tuah, Jebat dan Kasturi, agak jauh dari sifat Yudistira, Bumi dan Arjuna. Tak ada Korawa dan Dropadi dalam hikayat ini. Perjalanannya pun berbeza.

Malah kalau ikut dari segi perjalanan, jika Hikayat Abdullah dianggap sebagai bentuk penulisan moden di mana ia diceritakan secara terus dan realistik tanpa elemen fantastik dan fiksyen, terdapat keselarian di antara Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Abdullah (serta Kisah Pelayaran Abdullah dari Singapura sampai ke Mekah) yang saya perasan. Pekerjaan awal dan akhirnya lebih kurang serupa dalam erti kata Hang Tuah belajar 12 bahasa sebelum belajar seni bela diri, manakala Abdullah Munshi juga menceritakan dengan lebih terperinci prosesnya sewaktu belajar dan mengaji ketika kecil. Naratif dibuka dengan membikin protagonis ada penguasaan bahasa yang pelbagai. Untuk belajar pelbagai bahasa ini sesuatu yang cuma diamalkan di kawasan perdagangan dan kosmopolitan, dan dalam kes ini ia Melaka. Kita maklum bahawa Abdullah Munshi meninggal dunia sewaktu di Jeddah dalam perjalanan ke Mekah. Dalam Hikayat Hang Tuah, Laksamana (Tuah) dan Maharaja Setia (Kasturi) bersama-sama menunaikan haji.


Ridhwan Saidi

Khamis, Februari 14, 2019

Actor dan Director Dalam Teater

Sebelum ini ada saya sentuh tentang kerja saya sebagai director, yang lebih menumpukan aspek direction daripada directing, director sebagai penentu hala tuju daripada director sebagai sosok yang keluarkan arahan. Ini buat ia, dari segi bahasa bertaut kembali dengan satu lagi elemen teater yang penting iaitu actor. Biasanya bila kita sebut actor, kita akan ingat acting sepertimana director itu directing. Tetapi bagaimana jika actor ini lebih mendekati action, dan bukan acting? Sepertimana director lebih mendekati direction dan bukan directing.

Ia pada ketika ini, saya dapati dalam ‘direction’ teater saya, sosok aktor adalah unsur action, iaitu penggerak, yang menggerakkan cerita, tubuh, idea, kata-kata, dari titik stasis di awal kisah—actor sebagai unsur action, yang memberi act, yang menggerakkan dinamik cerita menuju ke arah suatu direction yang saya secara intuitif rasa betul.

Action di sini tidak terhad dalam konteks, ‘show don’t tell,’ atau ‘action speaks louder than words,’ atau aksi sebagai gerakan fizikal tanpa kata-kata. Lafaz kata-kata sendiri sebentuk action, bilamana ia menggerakkan sesuatu di dalam kepala dan dada audien (dan di kalangan actor itu sendiri.) Kata-kata sebagai mangkin/catalyst. Kerana itu puisi dan sastera yang bagus boleh mencairkan jiwa yang beku bak kata Kafka. Minda dan jiwa kita sebenarnya boleh menari, ia gerakan yang berlaku di dalam diri.

Gerakan fizikal atau tarian perlu bekerja keras dalam menggerakkan jiwa dan minda kita yang melihat dan mendengar. Sebab saya rasa ia lebih mudah untuk gerakkan perasaan dan pemikiran manusia dengan kata-kata, daripada secara literal menggunakan pergerakan fizikal. Biasanya bila saya lihat satu-satu performans berasaskan tarian atau teater fizikal, yang menggerakkan saya ialah muzik (atau rekaan cahaya atau set). Jika ia tiada muzik, rekaan cahaya dan set, saya secara visual nampak ada pergerakan berlaku, tetapi ia perlu sesuatu yang lebih, seperti idea, untuk bikin jiwa saya disentuh dan digerakkan. Cuma dengan gerakan atau tarian ini, apa yang minda saya boleh buat cuma analisis. Ia lebih sekadar sebab-musabab dan tidak pergi ke daerah perasaan. Gerakan atau tarian itu perlu puitis dan melangkaui teknik untuk buat jiwa kita terkesan. Sentuhan peribadi sudah tentu memainkan peranan kerana rata-rata tarian dan gerakan fizikal cuma saduran dan pengulangan teknik. Ia mesti beri lebih dari gerakan fizikal itu sendiri. Tubuh yang berpeluh lencun belum tentu boleh membasahkan minda dan jiwa mereka yang memerhati.

Kerana itu saya tidak memerlukan actor saya untuk terlalu bergerak, lebih tenang dengan gerakan-gerakan yang biasa kita lakukan seharian seperti berdiri, duduk, berjalan, berlari (tetapi dengan rinci berbeza) seraya melafazkan kata-kata yang akan sama ada menghancurkan atau menghangatkan jiwa dan perasaan atau boleh jadi juga lafaz kata-kata yang meneroka kedalaman makna yang membuatkan fakulti intelek kita bernyala atau terpadam.

Saya kurang ambil pot tentang acting sebab displin acting patut ditekuni dan didalami oleh para actor sendiri dan setiap actor ada displin yang berbeza. Dan saya boleh hargai bentuk-bentuk displin lakonan yang berbeza-beza ini. Ini saya fikir sudah memposisikan saya di kedudukan yang elok, di mana oleh sebab saya tidak pedulikan sangat tentang acting, saya tiada judgment terhadap acting. Action lagi penting buat saya. Tapi saya sentiasa faham apabila seseorang audien engage teater, hal paling mudah untuk sosok itu kritik dan beri judgment ialah unsur lakonan/acting. Semua orang boleh beri nilai pada lakonan (acting) tapi tak ramai yang boleh nampak mekanisme bagaimana seseorang actor itu menggerakkan cerita (action). Boleh dianalogikan acting itu persis nyanyian vokal manakala action itu bunyi bassline. Suara vokal penyanyi ketara untuk pendengar umum, tapi bunyi bass yang membentuk struktur dalaman sesebuah lagu tak semua orang dengar. Semua orang boleh kritik dan beri judgment terhadap vokal penyanyi, tetapi untuk bassline lebih jarang. Kepekaan ini sebenarnya tak penting untuk audien/pendengar muzik umum pun, tapi amat penting buat seorang director/musician. Ia memberi degupan yang terpendam.


Ridhwan Saidi

Sabtu, Disember 22, 2018

Sentuhan Pada Tiang Bank

Waktu tu cuaca panas. Kami tengah berjalan pulang melintasi tiang gergasi sebuah bank Islam. Aku tak pasti jika adik perempuan aku sentuh tiang bank tu sebab nak bermain atau buat-buat nak pegang, tapi akhirnya dia tak jadi. Satu kilometer kat depan ada simpang masjid. Kami tak biasa dengan masjid ni, tapi lepas lalu pagarnya manusia mula keluar dan melambai ke arah kami. Sama ada mahu menegur atau bagi amaran, wajah mereka ketakutan dan kaget macam baru nampak hantu. Mereka tunjuk ke arah bank tadi dan mengingatkan kami tentang tiangnya yang disentuh. Pemiliknya telah mengeluarkan perintah mahkamah terhadap kami dan soal siasat akan bermula serta-merta. Aku cukup tenang dan ini secara tak langsung menenangkan adik perempuan aku juga. Dia ada kemungkinan tak sentuh pun tiang tu—dan kalau ya pun, apa salahnya? Aku cuba buat semua orang masjid faham. Mereka dengar, tanpa meletakkan apa-apa hukum. Kemudian mereka cakap, bukan saja adik aku, tapi aku pun akan dituduh. Aku angguk dan senyum. Kami toleh kembali ke arah bank, sepertimana kita ternampak kepulan asap dan mencari apinya. Jerebu tiba, melitupi pandangan. Hanya kelibat hitam terlihat. Dan sekumpulan manusia bersut kemas datang ke arah kami. Aku tolak adikku ke tepi—aku boleh uruskan hal ni berseorangan. Dia ingkar. Aku suruh dia tukar bajunya, agar kelihatan manis di hadapan para pegawai. Akhirnya dia dengar cakap dan meneruskan perjalanan pulang ke rumah. Lalu pegawai-pegawai tu pun sampai, dan sebelum sempat berhenti mereka dah tanya kat mana adik perempuan aku. “Dia takde kat sini,” aku sebut dengan nada khuatir, “tapi dia akan datang balik.” Jawapan aku tidak dipedulikan; ia seakan amat penting bila mereka jumpa aku. Ada dua orang pegawai: seorang CEO, muda, ceria; dan PA-nya yang bernama Alghabi. Aku diminta untuk masuk ke dalam masjid. Aku geleng kepala perlahan, aku tertunduk di bawah pantauan pegawai-pegawai bank yang sedang tekun bekerja. Aku percayakan kearifan orang-orang masjid, bahawa mereka akan bebaskan aku. Tapi bila aku langkah masuk ke dalam, CEO itu sambut aku dan kata: “Saya minta maaf banyak-banyak.” Walau bagaimanapun, apa yang dia maksudkan bukan situasi masalah ini, tapi apa yang akan jadi kat aku. Ruangnya kelihatan seperti penjara dan bukan masjid: batu ubin kusam dan gelap, dinding kotor dengan gegelang besi; sesuatu ada di tengah—separuh mihrab, separuh keranda.

Bolehkah aku rasa udara lain selain udara penjara? Itu persoalannya; atau secara kontras—ia ialah, masihkah ada prospek untuk aku dilepaskan.


Ridhwan Saidi
Terjemahan bebas cerpen The Knock at the Manor oleh Franz Kafka.

Khamis, Jun 21, 2018

Mencari Ruang Yang Macam Harem

Dua skrip teater dibaca: MEDEA oleh Euripides dan BAJAZET oleh Racine. Dua-dua rasa minimal di mana latar ruang utamanya ada satu. Untuk MEDEA ia di perkarangan luar rumah Medea, dan untuk BAJAZET ia di dalam harem diraja. Jumlah watak pun tak ramai. Tujuh watak untuk MEDEA (termasuk korus) dan sembilan watak untuk BAJAZET.

Harém
1. Tempat tinggal gundik-gundik raja (orang kaya) Arab.
2. Perempuan simpanan penghuni harem.

(Kamus Dewan Edisi Keempat)

Harem sebagai latar menarik sebab kita yang hidup dalam zaman moden ini tidak dipaparkan secara jelas kewujudan ruang ini. Walaupun sebenarnya memang dalam kehidupan istana Melayu lama, konsep harem ini ada (tak hanya ‘orang kaya’ Arab). Ia di mana gundik-gundik dan dayang-dayang diraja tinggal. Jika kita malas membaca, ruang ini ada digambarkan dalam filem-filem Melayu era studio. Yang paling ketara filem DANG ANOM (1962) oleh Hussein Haniff. Ia ruang di mana tak sebarang orang boleh masuk, terutama lelaki. Malah di pembukaan filem ini, anak gadis kampung diculik untuk dijadikan gundik.

Untuk modenkan ruang ini sukar. Kita boleh guna tandas wanita atau koc wanita, di mana ada lelaki masuk, tetapi ia tak cukup risiko. Sebab lelaki asing yang masuk harem ini biasanya akan dihukum bunuh. Paling beri nuansa barangkali jika ada seorang lelaki masuk ke kawasan surau atau masjid bahagian perempuan. Ada ketegangan dari segi sentuhan dan aurat. Aksi menceroboh kawasan ini sudah tentu tak boleh sekadar atas dasar perversion.

Jika kita kembali kepada BAJAZET, ia ada intrig politik. Ceritanya begini, raja Murat ini tengah berperang nak tawan Babylon. Dia tinggalkan Roxane gundik kegemarannya yang menjadi orang kedua paling berkuasa, malah lagi berkuasa dari perdana menteri (bernama Acomat). Selain itu, Murat ini ada tinggalkan seorang adik lelaki Bajazet (adik-beradiknya yang lain dibunuh) just in case kalau dia terkorban dalam perang, darah lelaki keturunannya ada backup.

Jadi dalam harem itu komplot berlaku. Perdana menteri Acomat nak Roxane dan Bajazet kahwin, lalu menjadikan Bajazet raja baru, tanpa pengetahuan raja Murat yang tengah berperang. Acomat ni nak lancarkan pemberontakan. Dia konfiden sebab dia dapat berita yang raja Murat macam nak batalkan serangan atau mungkin akan kalah waktu nak rebut Babylon. Dalam pada itu, Acomat juga nak berkahwin dengan Atalide, salah seorang puteri keturunan Ottoman. Cuma masalahnya Atalide dan Bajazet sedang bercinta. Tragedi yang bakal berlaku anda boleh bayangkan sendiri…

Tapi poinnya di sini ialah, lelaki/outsider yang memasuki ruang terlarang ini, bukan atas dasar nafsu. Harem itu jadi pressure cooker dalam konflik dan spekulasi perebutan kuasa dan cinta!

Play BAJAZET ini dibuka dengan dua watak lelaki iaitu: perdana menteri Acomat dan pembantunya sudah pun berada di harem. Watak pembantu itu jelas tertanya dan takut-takut sebab bolehkah mereka berada di situ? Dalam konteks teater, lakonan saja tak mencukupi sebab sebagai audien kita juga kena faham konvensi ini. Kedudukan mereka dalam ruang itu sendiri sudah bahaya.

Sebagai audien moden, ia buat saya terfikir jika ada ruang sebegini rupa dalam kehidupan seharian kita hari ini.

Dalam THE TRIAL oleh Franz Kafka, ia dibuka dengan seorang lelaki yang baru bangun tidur tiba-tiba biliknya dicerobohi orang/pihak berkuasa. Elemen ini ada saya secara realistiknya (tak absurd dan ngeri seperti rujukan asal) terapkan dalam playlet Korban Bulan Madu di mana pegawai khalwat menceroboh masuk ke dalam hotel murah yang diduduki pasangan yang sudah berkahwin. Ini sebenarnya mendekati apa yang saya ingin dari harem Bajazet tadi. Cuma dalam kes ini, ruang orang biasa-biasa diceroboh penguasa, manakala yang saya inginkan ialah: ruang penguasa (harem) diceroboh orang biasa-biasa.

Satu fikiran yang saya ada ialah, bila kita terjerumus ke dalam mimpi ngeri. Ini mengingatkan saya kepada filem terakhir Stanley Kubrick berjudul EYES WIDE SHUT (1999). Watak Tom Cruise ini termasuk ke dalam orgi dan ritual satanik di sebuah rumah agam. Dia menceroboh masuk ke ruang yang tak sepatutnya dia pergi. Situasi ini seperti harem Racine tadi sudah bercampur dengan kengerian Kafka (tanpa humor). Bukan lagi politikal, kali ini ia lebih psikologikal.


Ridhwan Saidi

Jumaat, Julai 28, 2017

Teater Balang Kaca

Filem sebagai moving images secara fundamentalnya ialah imej. Saya merasakan ia normal untuk tonton semua filem yang wujud di atas muka bumi, tidak kira dari latar masa apa—sepertimana kita lihat foto—di satu poin yang sama. Kita boleh nikmati foto dari masa lepas dengan latar tempat yang asing. Ada orang tunjukkan fotonya sewaktu bayi, kita memahaminya. Ada orang tunjukkan fotonya sewaktu mengerjakan haji atau melancong ke luar negeri, kita memahaminya. Persis setem, pengalaman menonton ini, collectible. Filem boleh dibawa dan ditayangkan ke mana-mana tanpa mengganggu bentuk medium seninya dan audiennya boleh berada setempat—di pawagam yang sama—tanpa ke mana-mana. 

Ini berbeza dengan teater yang embedded terhadap ruang, cuaca dan cara fikir setempat di mana ia dipentaskan. Ia site-specific, bukan terhad dalam konteks bentuk ‘site-specific art’ tetapi apa yang saya maksudkan di sini adalah, ruang dan waktu beri energi meski pementasan itu dibuat di dalam blackbox atau ruang tertutup. Konteks mendominasi pementasan. Audien yang mengisi ruang adalah sebahagian daripada konteks. Untuk menikmati teater berbeza adalah dengan kita meneroka ruang-ruang yang berlainan, dengan kualiti dan atmosfera berbeza. Di sini teater lebih mendekati arsitektur dan tarian.

Tarian ialah puisi dalam bentuk gerakan. Teater pula lebih prosaik bentukya, tetapi tidak bermakna sebuah prosa tidak boleh punya elemen puitis. Seperti pembahagian rak di kedai buku, ada teater fiksyen, teater non-fiksyen dan yang berlegar di antaranya. Selagi teater guna teks, ia adalah extension kepada literatur. Malah, teks drama ialah literatur. Devising ialah satu tindak, untuk menyamarkan pengaruh literatur.

Teater biasa dianggap transien dan ephemeral. Tetapi arsitektur tak dianggap transien dan ephemeral. Tetapi arsitektur transien dan ephemeral jika kita regangkan waktu, lalu menyedari usia planet dan galaksi di sekeliling kita. Kehidupan ini adalah transien dan ephemeral. Teater dan arsitektur duduk di dalam domain yang sama dengan konteks pengamatan waktu yang berbeza. Dengan imej kita biasanya gunakan analogi kanta, untuk lihat sesuatu secara makro dan mikro. Untuk waktu, mungkin kita boleh gunakan pepatah Einstein: Lima saat rasa macam lima jam bila kita letak tangan dalam oven, dan lima jam rasa macam lima saat bila kita lepak dengan orang yang kita sayang.

Teater tidak seperti filem, di mana filem boleh diimport dan diexport tanpa mengubah bentuk seninya. Teater yang diubah ruang, akan mempengaruhi bentuknya. Sebagai contoh teater yang dibuat di Revolution Stage tidak boleh dibawa secara terus ke Istana Budaya untuk dipentaskan. Kita perlu bertindakbalas dengan ruang dan waktu baru. Ini apa yang saya tekankan kenapa teater dekat dengan arsitektur. Kerana teater merupakan aktiviti yang mengisi ruang sepertimana arsitektur diisi aktiviti bernama kehidupan. Banyak percubaan telah dilakukan untuk membebaskan teater daripada literatur dan teks, tetapi percubaan untuk membebaskan teater daripada arsitektur itu lagha.

Kita boleh buat teater di dalam hutan, atau di puncak gunung atau di dalam jurang lautan atau di bulan, tetapi oleh sebab teater melibatkan entiti manusia, apabila entiti ini masuk ke dalam ruang yang dahulunya tidak pernah dijejak manusia, ia kini sudah dijejak dan di-occupy manusia, lalu ruang yang asalnya bukan arsitektur itu menjadi arsitektur. Ruang itu telah menjadi arsitektur semudah di mana audien berdiri/duduk dan sekitar legar performans. Sewaktu manusia ke bulan, roket atau space shuttle itu menjadi arsitektur sementara sepertimana khemah kenduri kahwin occupy jalan kawasan perumahan untuk beberapa hari.

Di facebook saya ada berkongsi tentang teater The Metamorphosis yang saya tonton di salah satu dewan DBP yang dihuni nyamuk pada tahun 2010. Yusof Bakar pula dari Penang ada berkongsi sebuah pementasan berjudul The Metamorphosis, Android Version sewaktu di Festival Georgetown pada 2015. Ini di mana saya mula menggunakan analogi teater balang kaca. Yang membuatkan The Metamorphosis Kafka ini hebat adalah kerana ia berubah menjadi serangga, sesuatu yang semua orang dalam dunia boleh relate. Dan apa yang membuatkan pementasan yang saya tonton di DBP kuat adalah, ia beri feel serangga seperti lipas terbang dan kumbang yang biasa kita temui di sini. Ia rasa basah dan gelap.

Versi android ini pula saya gambarkan ia sebagai teater yang diimport agar boleh dinikmati di dalam balang kaca. Balang kaca ini saya guna sebab The Metamorphosis asal melibatkan serangga, dan serangga hidup boleh dipamerkan dalam balang kaca. (Sebenarnya ia lebih menyerupai akuarium kering seperti di zoo. Ini hanya jika serangga itu masih hidup—jika ia sudah mati ia dipamerkan di dalam bingkai kaca.) Poinnya adalah, teater bukan seperti filem yang boleh diimport begitu saja. Meski saya faham suasana festival di mana ia melibatkan dialog dan pertukaran budaya. Tetapi bagi saya teater sebenar mesti berdialog dengan lokasi/cuaca/budaya setempatnya terlebih dahulu. Ia perlu tumbuh. Jika ia lipas, ia mesti spesis lipas yang hidup di situ, jika ia kumbang, ia mesti spesis kumbang yang hidup di situ, jika ia android, ia mesti android yang bekerja di situ.

Saya ada persoalkan tentang konteks, dan sebenarnya bukan saya mahukan ada android di situ baru boleh buat teater melibatkan android, tetapi saya lebih faham kalau teater android ini diaksikan di kawasan kilang dan perindustrian Shah Alam misalnya. Ada mesin yang buat kereta, ada sesuatu yang mekanikal, dan kejuruteraan tentang ruang itu. Jadi gerakan-gerakan robot ini tidak asing. Di Georgetown sudah tentu ada pelabuhan atau kilang, tetapi dalam konteks festival ini ia lebih kepada perkumpulan pelancong, expat dan warga setempat yang minat atau curiga pada seni. Produksi Jepun/Perancis-Eropah ini sudah dipakej sebagai tour, jadi ia tiada/kurang tindakbalas langsung dan kerana itu saya melihatnya sebagai android dalam balang kaca. Jika android ini terlepas, saya tidak pasti jika ia boleh hidup, berasimilasi dan membiak di Georgetown.

ridhwan saidi

Khamis, Julai 27, 2017

Reviu Teater The Pillowman


The Pillowman berdurasi 2 jam 40 minit tidak terasa lama kerana ceritanya membawa anda. Malah teksnya saya rasa bagus dan jelas tentang idea storytelling itu sendiri. Ia terserlah di sepanjang pementasan. Saya mengesyorkan rakan penulis dan pembaca untuk tonton teater ini sebab ia menghimpunkan cerpen-cerpen yang menarik. Malah ia boleh jadi kelas menulis untuk mereka yang aspire menulis.

Berbalik kepada pementasan, ia tiada momen yang menjengkelkan (dalam konteks lokal ia rare) yang bermaksud ia baik, tapi dalam masa sama ada beberapa benda yang tidak hit saya—ia tidak menusuk ke dalam.

Perkara pertama yang saya perasan atmosferanya kurang feel. Bukan apa yang terpapar tetapi apa yang ada di luar sana. Tiada rasa ‘police state’ yang berada di luar pentas/blackbox. Kita tahu watak utamanya bernama Katurian yang hidup dalam negara polis. Ia seumpama Josef K. dalam The Trial (1925) dan Sam Lowry dalam Brazil (1985). Jadi in a way ia buat saya curious tentang dunia yang bagaimana Katurian ini hidupi, negara polis yang bagaimana?

Katurian dengar sesuatu dari bilik sebelah, tetapi tidak pernah melihatnya. Dalam konteks pementasan, audien juga perlu bayang sesuatu tentang dunia apa yang ada di luar sana. Atmosfera, feel dan dunia ini tidak jentik imaginasi audien, antara salah satu faktor saya suspek kerana rekaan bunyinya literal. Bunyi efek pintu bilik tahanan itu adalah benda terjengkel jika saya boleh pilih sesuatu. Bila ia literal ia sudah limit-kan ruang untuk imaginasi.

Hal kedua pula lebih tampak, saya mahu bicara tentang tone. Nama ‘Katurian’ ini sendiri sudah set the tone. Kita tahu, macam novel Kafka dan filem Terry Gilliam yang saya beri contoh di atas, tone-nya bagaimana—ia gelap dan lucu. Untuk dapatkan sense gelap dan lucu ini tidak mudah, sebab ia melibatkan sensibility yang tak boleh diajar atau dikonstruk. Saya percaya teksnya gelap dan lucu, tetapi approach lakonan kadang-kala menjadi terlalu serius dan realistik.

Ia serius dalam erti kata, watak Katurian ini beberapa kali menyatakan bahawa story-nya paling penting. Malah dia ada menyatakan bahawa biar dia mati dulu, asal story-nya hidup. Dia seriously mean it, seakan ia hakikat terpenting bagi seorang penulis. Saya rasa perlu ada lapisan self-absorbed etc., sebab bila seorang penulis kata ceritanya benda paling penting, sesuatu yang lucu sedang berlaku. Mungkin sebab saya seorang penulis, tapi saya rasa ia absurd untuk secara serius kata cerita adalah benda paling penting. Tidak seperti ‘aku mahu hidup seribu tahun lagi’ Chairil Anwar. Dalam kes ini ia beri energi dan gema yang mendalam. Dalam konteks pementasan ini, energi yang diberi Katurian dalam menjustifikasi kenapa cerita itu penting tidak bergema.

Walau bagaimanapun watak Katurian lakonan Arief Hamizan, saya boleh layan. Watak Tupolski (good cop) lakonan Qahar Aqilah paling kuat dalam pementasan ini, sebab saya percaya karakter ini belong to this world. In fact, ia beri a sense of bagaimana police state ini rasa. Hubungan, perbualan dan permainan antara Katurian dan Tupolski juga menjadi, dan malah saya yakin adegan paling kuat dalam pementasan ini adalah bila Tupolski menceritakan ceritanya kepada Katurian: tentang budak pekak yang bermain di landasan kereta api. Tupolski ketara is a bad storyteller, dan ini cuba dibetulkan/dinasihati Katurian seorang storyteller yang baik, tapi apa yang penting dalam adegan ini adalah: Tupolski ada cerita yang perlu diceritakan. Ia satu momen relief, sebab seluruh pementasan ini adalah mengenai authorship Katurian.

Watak Ariel (bad cop) lakonan Ivan Chan pula terasa ia dari action flick filem Hong Kong. Watak bad cop ini antara watak paling bahaya dalam pementasan di Malaysia. Sebab biasanya ia cenderung untuk inflict pain terhadap orang tahanan dengan idea bahawa lagi sakit seksaan yang dibuat, lagi kuat kesannya terhadap audien, yang mana ia tidak benar sama sekali. Malah ia desensitized makna pain itu sendiri. Sekali lagi di sini imaginasi amat penting, di mana kesakitan kuat bila dibayangkan audien. Ia bukan soal berapa realistik kesakitan ini mahu digambarkan. 

Approach lakonan realisme limitkan potensi dunia The Pillowman ini. Ia mesti transcend realisme itu sendiri: ia mesti pelik, lucu, gelap dan hilang akal. Sebagai contoh, sewaktu Ariel ingin seksa Katurian dengan bateri kereta, ia situasi yang lawak, tetapi garapan atau gesture Ariel yang ‘seriously mean it’ untuk menyeksa, buat ia tidak hit tepat. Watak Ariel menarik dan penting di dalam teks, tetapi portrayal-nya sewaktu pementasan (yang saya tengok), agak jumpy tak hit momen dengan betul. Ada beberapa contoh, ini salah satu: Sewaktu latar belakang Ariel di-reveal Tupolski, ia tak revealing atau beri efek/makna besar terhadap audien. Kita rasa biasa-biasa saja, meski watak ini amat penting sebab dia akan menentukan pengakhiran pementasan ini. 

Dari segi kostum, Ariel ini mengingatkan saya kepada A Clockwork Orange versi filem di mana ada iktibar yang boleh kita ambil—dari segi violence terutamanya. Ada lapisan violence yang lebih dalam, lebih dari seksaan fizikal. Bila difikirkan, Ariel sebenarnya juga terseksa—apabila berhadapan dengan kes Katurian. Bagaimana dia melangkaui seksaan batinnya. Thread karakter Ariel ini amat menarik.

Michal lakonan Phraveen Arikiah pula saya okay sewaktu menonton, tapi entah mengapa sukar untuk saya ingati watak ini.

Dari segi garapan Nicole Ann-Thomas, perasaan overall tentang pementasan ini sudah saya sentuh di atas. Kadang-kala saya rasa gambaran empat orang pelakon pembantu terlalu literal, tetapi ia masih berkesan untuk saya fokus. Dan saya suka pillowman tu, cerita dan kostum bantalnya. Tetapi penggunaan darah terasa too much bagi saya. Bukan too much dalam erti kata saya tak boleh tahan dengan darah atau keganasan, tetapi ia berbalik kepada sensibility: ‘it seriously mean it’, untuk beritahu bahawa darah itu ganas. Bak pepatah hipster, ia try hard.

Seluruh pementasan ini tidak cukup gelap dan twisted, malah ia tame buat saya. Tetapi darah ini bawa ia ke daerah splatter. Saya cuma kepingin untuk ia lebih fun macam Braindead Peter Jackson, sebab sekali lagi saya rasa sentuhannya agak deadly serius. Selain itu, bantal sebagai metafora kepada keseluruhan tema pementasan juga ada potensi untuk diteroka. Makhluk pillowman ni ibarat hantu bapak Hamlet yang datang ke dalam hidup Katurian. Audien perlu rasa bantal sebagai objek yang bahaya dan tender.


ridhwan saidi

The Pillowman nakshah Martin McDonagh telah/sedang dipentaskan di Black Box, Enfiniti Academy oleh theatrethreesixty di bawah arahan Nicole Ann-Thomas berlangsung dari 20-30 Julai 2017.

Isnin, November 21, 2011

Kitaran Berkat

Magiknya apa yang orang tulis, akan berlaku kemudian, macam label 'tipikal binfilem' pada CEKIK, yang pada saya tersasar, tetapi kemudian ianya semacam satu bentuk keberkatan bagi saya untuk mengerjakan novel seterusnya AMERIKA dengan satu matlamat, iaitu ia sebagai sebuah novel yang 'tipikal binfilem'. Ia seolah satu kenyataan tersirat saya kepada mereka yang konfiden habis, apakah benar kenyataan mereka itu? Ianya okay untuk konfiden bagi orang lain, tetapi saya tidak pernah sesekali konfiden, untuk menyatakan saya seorang... (isikan tempat kosong), kerana saya tidak tahu, dan orang lain juga tidak tahu, bagaimana saya boleh tahu, menjadi setahu itu untuk betul-betul yakin, saya tidak tahu, seperti jika kamu seorang Muslim, membaca kitab Quran sekali baca, kemudian konfiden habis apa yang dibaca tadi, menjadi tahu tentang segalanya, kesimpulannya terjerat pada minda kamu yang tumpul itu. Membaca buku ini,  tidak kira samada ia elok atau pun tidak, dari sastra ke pulp, boleh diagak timbang taranya, berat ringannya, dan untuk tahu berat ringan ini, perlu datang dari pengalaman, perlu rasa yang paling berat, dan perlu rasa yang paling ringan, dan dari situ barulah nikmat itu datang dengan kesedaran, dan dengan kesedaran kita faham bahawa tidak semestinya yang ringan itu tidak best dan sebaliknya, dan novel (malah filem) yang best ini berupaya membuka hal-hal yang tak disedari kewujudannya oleh si pembaca di dalam kehidupan (Malah ada yang menganggap, tanpa elemen ini sebuah novel itu menjadi tidak bermoral). Dan sewaktu saya sedang mengerjakan novel ketiga ini, punca pertama kenapa saya menulis entri ini, kitaran berkat itu berulang; novel AMERIKA banyak dikaitkan dengan sesuatu yang bersifat Kafkaesque dan bukan sahaja dalam bentuk ulasan, tetapi juga tatkala saya bersembang dengan orang. Susuk gergasi sastra moden dari Prague ini, salah seorang perawi triniti sastra moden menurut Milan Kundera, semacam terapung-apung di sekeliling saya dan secara tidak langsung, saya dapati novel ketiga saya ini Kafkaesque dalam erti kata sebenar tanpa saya sedari. Terpulang kepada mereka yang membaca kerana teks itu menjadi milik sementara mereka, tetapi bagi saya ya AMERIKA itu mungkin ada tona eksistential tetapi tidak secara spesifik Kafkaesque. Tetapi menyedari selepas menyedari hal ini, saya fikir apa kejadah dengan label-label kelihatan bijak ini? saya cuma mahu menghasilkan sesuatu yang best bwahaha!


Ridhwan Saidi

Rabu, Oktober 12, 2011

Logika Fiksyen

1. Telah beberapa kali saya bertemu dengan situasi dan ulasan yang membincangkan hal logik/tak logik dalam sesebuah kerja seni tak kira filem mahu pun novel/la/let. Kebiasaannya nama Gregor Samsa akan dipetik kerana hujahnya, secara tidak logik si Samsa ini telah berubah menjadi lipas. Contoh: "Ala bro, takpe kot tak logik, sedangkan Franz Kafka tulis novel pasal manusia berubah jadi lipas."

2. Sebelum itu, dalam The Metamorphosis, bukan lipas yang digambarkan tetapi lebih kepada sesuatu berbentuk kumbang koboi mutan (dan barangkali hanya boleh didapati di dalam dunia fiksyen atau sesetengah orang panggil Realiti dengan huruf pertama besar).

3. Kejadian Samsa menjadi kumbang koboi mutan sekali fikir memang tak logik/realistik, tapi rasional untuk dunia novela itu. Bila rasional meresapi zakar sesebuah naratif, secara alaminya wajah lelaki yang menadah mani yang terpancur menjadi logik (saja testis lawak gay di sini). Nah, inilah bezanya. Ini berbeza dengan situasi-situasi yang tidak logik tadi, macam novel Ahadiyat Akashah, ambil contoh Lagenda Budak Setan, tetibe je si Kasyah tu berubah jadi lipas masuk ke dalam air tin minuman untuk pedajal Ayu. Tak rasional bukan? Atau seperti kata Roslan Jomel mengenai novel Amerika, watak Dahlia itu terlalu muda (berumur 16 tahun) untuk membicarakan hal-hal kompleks. Nanti kejap. Kompleks? Umur enam-belas tahun? Tak logik?

4. Hmm... apa kata kita ambil contoh lain. Macam contohnya kisah seorang penjual tisu ni, sehari suntuk dia menjual tisu ke hulu ke hilir, tapi takde siapa beli, berpeluh-peluh di bawah panahan terik sang suria, last-last dia menangis dan guna tisu tu balik buat lap peluh, buat lap air mata, menangis kegembiraan. Erk! logik logik...

5. Kita cuba pula yang ini, seorang penulis wanna-be mahu menjadi seorang published writer, tak tido malam bersengkang mata menaip 50,000 patah perkataan novel masterpiss eh masterpiece, lima kali re-write, dalam masa lima hari, tapi karya agung maha emonya ini ditolak oleh semua syarikat penerbitan, lantas penulis itu mengambil keputusan untuk menerbitkan karya anak-anak jirannya. 

6. Ini mungkin tak logik, tapi boleh dirasionalkan. Kalau watak penulis wanna-be itu seorang yang terpelajar, atau budak skema tipikal novel-novel cinta tempatan, adalah menjadi tak rasional untuk dia tak terbitkan novel dia sendiri. Kecualilah kalau (selain gila), si penulis itu orang susah menulis semata-mata kerana ingin mengorat anak gadis tuan punya syarikat penerbitan, yang telah dikenakan syarat oleh emak bapaknya jikalau hendak masuk meminang, kamu kena jadi published writer terlebih dahulu. Putus harapan dan akhirnya cinta tersayangnya telah pergi menuntut ke United Kingdom atau Universiti Al-Azhar dijaga oleh seorang teman wanita merangkap hijabster lesbian, membuatkan dirinya berazam untuk tidak membenarkan anak-anak muda kawasan kejiranan melalui nasib yang sama, mengusahakan penerbitannya sendiri.

7. Bila fikir balik la kan noks (oh crap), bukan APA yang menjadi hal di sebalik isu logik dan tak logik ini, sebaliknya BAGAIMANA sesebuah fiksyen itu digarap oleh pengarang dalam merasionalkan hal-hal yang berlaku, yang penting.

8. Dan tentang gadis 16 tahun tadi, yang membicarakan hal-hal kompleks? Tentang cita-cita, tentang harapan, tentang politik. Jika kita nilai secara nyatanya (disedut ke dalam realiti dengan huruf pertama kecil ini), hal itu bukan sesuatu yang janggal, ya sulit (jika dikelilingi mereka yang skema), tapi bukan tak logik. Perempuan matang dulu daripada lelaki, dan 16 tahun tu dah besar sangat kot. Come on! 


Ridhwan Saidi
P/s: Kalau logik tapi membosankan tak guna juga.

Jumaat, April 16, 2010

Metamorphosis di DBP

“Arifwaran Shaharuddin telah membuat sebuah presentasi terhadap karya Metamorphosis (Kafka) bersama dengan beberapa pelakon teater, ini adalah hasil yang keluar daripada kerja kajiannya semenjak dia pulang dan ini adalah kerja terakhir yang akan dia kerjakan sebelum dia berangkat. Dalam setahun ini banyak yang dia dapati, dia berpeluang mengenali bakat-bakat muda, kawan-kawan lama dan yang penting sekali rakan-rakan yang baru yang membawa makna baru pada dia. Marilah beramai-ramai datang untuk memeriahkan presentasi ini, dia memang cukup bangga dengan pencapaian para pelakon yang terlibat dalam presentasi ini.”
Saya tiada idea tentang hal ini sehinggalah Fasyali memaklumkan kepada saya bahawa ada persembahan teater di DBP semalam petang. Sudah seminggu saya padam akaun Facebook saya, jadi agak leceh juga sebenarnya untuk saya mengikuti perkembangan situasi semasa, cis.

Tanpa apa-apa harapan, setelah tiba di pintu masuk Dewan Syed Nasir, saya curiga; Apahal cahayanya terbalik menyuluh penonton? Pencahayaannya meletakkan perasaan penonton seolah-olah di atas pentas, ini dikukuhkan lagi dengan keberadaan seorang gadis yang duduk diam di tengah belakang pentas. Gadis itu adalah penonton, dan kita (penonton sebenar) adalah performer. Saya juga melihat gadis itu sebagai satu sindiran terhadap penonton teater konvensional yang pasif. Kadang-kadang memuntahkan emosi tetapi masih melekap di kerusi.

Ada beberapa babak yang berjaya memikat hati saya. Pertama adalah ketika tiga daripada watak itu sedang diambil gambar (1,2,3) ketawa berdekah-dekah dalam senyum di sebelah kanan pentas manakala seorang gadis sedang terbaring terseksa di sebelah kiri pentas. Sebagai ensembel, inilah detik yang paling seimbang tenaganya dibahagikan sama rata penuh perkadaran. Ia asimetri, tetapi timbal. Tenaga aksi fizikal yang dikeluarkan gadis itu (Siti Surya) mampu untuk mengimbangi hilaian tawa yang lagi tiga orang tadi. Malah saya kagum melihatnya merangkak terbalik dengan mulut ternganga merana. Kontra luhur di sini.

Bagi bahagian solo pula, saya mengagumi Sharifah Mariam a.k.a Sherry. Selalunya bila kita nak tengok teater, kita samada datang pada hari pertama atau hari terakhir sebab semua pelakon selalunya akan buat all out. Yang saya tonton ini di tengah. Tenaga yang dibawa Sherry ini serius menenggelamkan babak-babak solo pemain lain. Dia ke depan menepuk-nepuk tangan kiri dan mata kanannya kemudian ke belakang menepuk-nepuk perutnya. Dedikasinya antara yang paling tinggi pada malam itu sampai satu tahap saya pula yang risau, tak penat ke minah ni? (Saya pertama kali mengagumi Sherry ini di Rumah Anak Teater 1 sebagai makcik yang rumahnya diroboh).

Dari segi struktur, terdapat extra turn di mana watak Peran yang dimodenkan (dalam takrifan sebenar) menjadi sesi casting. Dalam wayang kulit, kita ada Pak Dogol. Ia sesi lawak ringan yang diselitkan dan dalam persembahan ini, ia adalah seorang lelaki yang sedang diujibakat untuk menyertai persembahan ‘ini’. Di sini faktor masa dimanipulasi di mana ia telah meloncat ke belakang. Malah secara keseluruhan, teater fizikal ini kabur hujung pangkalnya. Tembok keempat di antara pelakon dan penonton sudah dari mula dihancurkan dengan kelakar.

Secara keseluruhan, ia satu persembahan yang bagus. Antara perkara bijak yang dilakukan (walaupun kedengaran remeh) adalah pemilihan lokasi. Jikalau ia diraikan di dalam ruang komuniti arty farty borjuis, serius saya akan anggap ia sebagai one of those post-modern B.S. Tetapi sesuatu yang moden seperti ini, dimainkan di dalam ruang yang feudal di siang harinya, ini total ironi. Cheers!


Ridhwan Saidi

p/s: Gangguan paling ketara adalah nyamuk di dalam dewan.