Memaparkan catatan dengan label Sofia Coppola. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sofia Coppola. Papar semua catatan

Ahad, Mac 27, 2011

Actors Studio, Annexe CM dan Stor DBP

Saya secara rambang telah ke Actors Studio beberapa hari lepas dan tertonton persembahan Wani Ardy. Salah satu lagu yang dimainkan bertajuk 'Belajar'.

Saya sekarang sedang membedah tiga buah filem kegemaran saya dalam mendalami keindahan filem cereka. Sebuah filem melodrama dari Jerman, sebuah filem eksperimental dari Jepun, dan sebuah filem drama dari Filipina. Selain itu, saya juga sedaya upaya dengan rendah diri akan menghadirkan diri untuk menonton acara-acara tayangan filem pendek di sekitar Lembah Klang. Baru-baru ini di Actors Studio, serta beberapa hari lagi di Annexe CM dan Stor DBP.

Tujuannya satu, untuk belajar mengenali kelemahan-kelemahan yang berleluasa di luar sana. Ini penting kerana saya tidak mahu hanya tertakluk dengan filpen-filpen bajet sifar yang telah saya hasilkan. Semuanya hampeh saya tahu, malah saya menggelarkan kesemuanya 'All My Sound Like Shit Attempt'. 

Dua filpen yang telah saya tonton bertajuk Hujan Panas oleh Nadiah Hamzah dan Sangkar oleh Sharifah Amani. Pada malam itu, di Actors Studio entah mengapa, pujian yang melambung telah diberikan kepada mereka terutamanya Amani. Ada seorang lelaki yang emosional memberikan pujian yang gedik iaitu, "Amani ternyata berbeza daripada arwah Yasmin, Amani memang terbaik!" sambil menangis teresak-esak. Khir Rahman turut bersuara dengan mengatakan, "ini filem pertama dah hebat kalau filem ke lapan?!" Selepas mendengar kata-kata itu langsung saya tidak berminat menonton Anu Dalam Botol yang digembar-gemburkan sebagai elok itu.

Entah mengapa pada malam itu, jika saya seorang Pasolini, apa yang boleh digambarkan adalah mereka yang tergolong di dalam lubuk industri hiburan ini sedang melancap kemaluan sesama mereka. Ini secara metafora ya! Bukan mahu cemburu atau apa tetapi ini serius tidak realistik. Malah seorang film buff yang turut hadir pada malam itu menyatakan, "Sangkar sucks!" Bukan saya kata, film buff yang tak minat filem Yasmin tu yang kata.

Malah saya terasa seperti di zaman feudal pabila Amani ini diangkat seperti waris arwah Yasmin. Ada pepatah mengatakan, iman tak boleh diwarisi. Begitu juga bakat cik abang oi! 

Bukan mahu berlaku adil, saya cuba menulis serealistik dan sejujur yang boleh. Kita mula dengan Sangkar dulu ya? Pertama, saya tidak ambil pot jika filem Amani sama dengan Yasmin atau tidak. Itu tidak penting, yang lebih penting samada ia filem yang menarik atau tidak. Ternyata dari kasat mata saya Amani ini terdidik dengan sekolah Yasmin Ahmad, semangat iklan Petronasnya tinggi, cuma secara harfiahnya Amani ini masih lagi kacang putih.

Dalam filem ada benda yang patut ditunjukkan dan ada benda yang tak patut ditunjukkan, dan saya sedari Amani ini kerap menunjukkan benda-benda yang tak patut ditunjukkan. Ianya jadi berlebih-lebihan—membazir. Membazir ni tak elok tau. Seperti di babak terakhir di mana kita sedang melihat pemergian Beto ke Kanada. Watak Amani sedang berdiri membelakangi kamera. Walaupun kita tak nampak riak muka Amani tetapi kita sudah tahu si ibu tiri ini sedih. Filpen ini boleh ditamatkan sahaja tetapi Amani berpaling dan menangis mengadap kamera; sudahlah pendekatan filpen ini drama tipikal yang cenderung membosankan ish ish ish. Oleh itu, di masa akan datang Amani wajar memberikan sentuhan atau garapan yang lebih mengasyikkan.

Dan kalau boleh, buka sedikit filem itu. Kalau Amani nak tau, filpen Sangkar ini tertutup, apa yang minah salleh panggil 'self-contained'. Pabila ia tertutup dan ter'sangkar', maka tak best lah ia.

Mengenai Hujan Panas pula, saya secara peribadi rasa tidak cukup. Atau mungkin susah untuk saya berempati dengan watak Beto yang kekwat sepanjang masa di New York. Begini, ini adalah filem-filem yang digerakkan oleh karakter – apa yang mat saleh panggil character-driven. Kamera lekat dengan Beto, tetapi aneh ianya tidak masuk dalam. Saya tidak mengharapkan ianya sedalam karakter Travis Bickle, cukup sekadar saya dapat bersama watak Beto—tetapi hampa.

Malah ketika Beto ditipu, serius saya tidak sempat rasa apa-apa. Saya suspek kerana perhubungan di antara karakter Beto dan Cewek itu terlalu lekas. Mungkin Nadiah boleh lebih bersabar dalam mengembangkan sesuatu babak kerana dari apa yang saya lihat, ianya seperti dicuit-cuit.

Walau bagaimanapun, nuansa wanita yang disebut Fadz jelas terasa. Walaupun Nadiah ini anak didik Spike Lee, tetapi secara peribadi saya lihat Nadiah ini dekat dengan jalan Sofia Coppola. Saya tidak kata nuansanya sama, cuma saya lihat potensinya ada (jika Nadiah lebih banyak bersabar). Ah, tonton sahaja Lost in Translation.

Apa pun setakat ini filem pasca-studio terbaik di Malaysia dapat 80/100 markah daripada saya. Tajuk filem itu Kaki Bakar oleh Uwei. Oleh itu, jikalau srikandi sekalian mahu bikin filem cereka, pastikan markahnya melebihi 80 ;-)


Ridhwan Saidi

Sabtu, Disember 04, 2010

3 Kesilapan Utama Menilai Filem

“Filem yang baik mesti bermesej”
Ada pepatah mengatakan, ‘kalau nak beri mesej tak payah buat filem, sebaliknya pergi ke pejabat pos.’ Cuma, dengan dunia serba canggih masakini tak perlu ke pejabat pos pun, kalau nak beri mesej gunakan SMS, Twitter dan seumpamanya. Tak perlu bebankan diri buat filem.

Ini penting, sangat penting kerana sesiapa yang berfikiran begini sebenarnya sudah terpesong daripada erti sinema. Sinema tidak beri apa-apa mesej, yang beri mesej adalah iklan (sinema cuma mengusulkan fikirasa.) Ada beza diantara iklan dan sinema, ianya tak ubah seperti membandingkan papan iklan Nescafe dengan catan Basquiat.

Oleh itu saya menyeru mereka yang meminati filem agar tahu, kenal dan faham sinema itu dulu. Untuk faham kena kenal, untuk kenal kena tahu. Kenali yang mana sinema dan yang mana iklan 90 minit. Kalau tak tahu cari orang yang faham, terus belajar dan belajar.

Bagi mereka yang membikin pula, ini baru tauhid. Dalam waktu yang sama, cara-cara pembuatannya (fikah) terutamanya suntingan, juga harus difahami. Suntingan ini amat penting kerana ia satu-satunya keistimewaan sinema. Dengan fotografi, sinematografi secara semulajadinya dipermudahkan. Dengan seni halus, mise-en-scene secara semulajadinya dipermudahkan. Dengan muzik, bunyi secara semulajadinya dipermudahkan. Maka setelah itu barulah proses pemurnian dilakukan.

“Filem mesti bermoral dan berbudaya”
Moral ditentukan oleh diri kita sendiri. Maka dengan itu kesepakatan umum untuk menentukan samada sesebuah filem itu bermoral atau tidak, tidak boleh dicapai. Filem sebagai filem tiada kena mengena dengan moral.

Budaya yang ditonjolkan di dalam filem pula tidak sepatutnya disamakan dengan budaya dunia yang dihabitat kita ini. Budaya yang wujud di dalam filem adalah budaya yang dikonstruk, ini sama kesnya dengan ‘drama realisme’ yang sebenarnya adalah realiti yang dikonstruk. Realiti yang dikonstruk dan realiti sebenar tidak sama.

Realiti yang dikonstruk menggunakan cahaya dan bayang ini boleh diibaratkan seperti mimpi. Kita tidak berkebolehan untuk masuk ke dalam dunia mimpi/filem itu, dan kita juga tiada daya dan upaya untuk mengubahnya (kecuali pengarah atau err produser). Ada yang mengatakan bahawa mimpi ini datang dari alam bawah sedar, lubuk kereptiliaan manusia, dan seumpamanya. Sebagai contoh, kamu bermimpi kamu sedang berlari dalam keadaan berbogel mengelak daripada dipatuk oleh seekor ular tedung gergasi. Sekarang, adakah mimpi kamu itu dianggap sebagai tidak bermoral atau tidak berbudaya?

Jika jawapannya ya, siapa yang akan kamu pertanggungjawabkan? Tuhan?!

“Filem mesti logik”
Bagi saya kalau nak logik tak payah tengok filem. Hidup di duniawi ini selogik-logiknya. Sesebuah filem tidak harus terikat dengan logik akal kerana logik juga dikonstruk (menggunakan akal) di dalam filem. Bagi saya yang lebih penting adalah keberkesanan pembawaan sesebuah filem itu.

Sebuah filem drama, period, historical atau berhaluan realisme sebaiknya logik dengan kontex (sejarah) dunia nyata. Ini ada benarnya, tetapi kadang-kala sentuhan artistik dari segi mise-en-scene yang dilakukan oleh Zhang Yimou dalam filem CURSE OF THE GOLDEN FLOWER (2006) ataupun muzik new wave yang disuntik Sofia Coppola dalam MARIE ANTOINETTE (2006) tidak ada salahnya selagi ia berkesan. Jangan pula satu hari nanti kamu terkejut andaikata tertonton babak Megat Sri Rama dan Dang Anum sedang bercinta diiringi muzik kugiran Carburetor Dung. Kenapa perlu gusar dengan sesuatu yang asing? Bak kata fixter, chillax*!


Ridhwan Saidi
* chill + relax