Memaparkan catatan dengan label Toshio Matsumoto. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Toshio Matsumoto. Papar semua catatan

Selasa, Disember 21, 2010

Sinema Char Koay Teow

“How can something so messy taste so good?” 
– Anthony Bourdain dalam No Reservations selepas makan char koay teow.

Selaku seorang anak muda yang akan menjangkau usia 22 tahun menjelang tahun hadapan, saya merasakan wujudnya satu keresahan tak bernoktah di dalam diri saya. Keresahan ini timbul kerana tiada filem berjiwa muda dengan gaya muda yang betul-betul menyeronokkan untuk ditonton setakat ini di negara ini. Filem-filem dengan jiwa dan suara muda ini bukan tidak ada, ada, cuma kebiasaannya ia disampaikan dengan gaya orang tua. Sikap atau attitude kemudaan itu nil.

Esensi punk rock as fuck mustahil kita ketemui di dalam sinema di negara ini. Jika ada pun mungkin gaya sinema muda budak koir. Tetapi rata-rata semuanya datang dengan gaya orang tua. Jadi apa bezanya gaya sinema orang muda dan orang tua kamu tanya? Jawapannya mudah, seperti dapat kamu perhatikan, apa beza ketara diantara orang muda dengan orang tua? Tenaga fizikal!

Kita faham kebiasaannya sinema orang tua meraikan kematangan melalui ketenangan. Tenaganya datang dari 'dalam' dengan syot dan suntingan yang kemas, stabil dan skema. Kita boleh analogikan gaya sinema orang tua ini dengan sebungkus nasi lemak. Nasi setempat, sambal setempat, ikan bilis setempat, kacang setempat, timun setempat, telur rebus setempat. Wujudnya orde, displin dan keharmonian mutlak dalam mempersembahkannya.

Ini sudah tentu berbeza dengan gaya sinema orang muda yang boleh kita analogikan dengan sepinggan char koay teow. Koay teoy, udang, kerang, sotong, lap cheong, taugeh, daun kucai, sos soya disekalikan secara rambang dan comot. Intensiti tenaganya undogmatik – rawak keromo.

Saya tidak kesah jika seorang pembikin filem tua menghasilkan filem dengan gaya orang tua yang bagus, tetapi saya runsing dengan pembikin filem muda yang menghasilkan filem dengan gaya perlahan orang tua. Memang tiada salahnya tetapi di negara ini, ia sudah jatuh ennui. Ini barangkali boleh kita kaitkan sendiri dengan sifat anak muda di negara ini yang rata-rata represif sifatnya. Segalanya dipendam sampai padam. Bara kemudaan itu disia-siakan begitu sahaja. Harapan comel seorang anak muda ghaib.

Filem-filem seperti Tokyo Story (1953) oleh Yasujiro Ozu dan Ali: Fear Eats the Soul (1974) oleh Werner Rainer Fassbinder merupakan antara filem yang benar-benar telah memberikan kesan yang mendalam terhadap diri saya. Tetapi saya juga terinspirasi dengan Breathless (1960), Bara no Soretsu (1969), The Evil Dead (1981), Man Bites Dog (1992), dan La Haine (1995) umpamanya. Kemanakah perginya paparan punk rock as fuck – sinema char koay teow – yang menyentuh perasaan sebegini di negara ini? Bak kata Amy Ikram, tepuk dada tanya selera.


Ridhwan Saidi
P/s: A la Siti Jarum, muak makan nasi lemak hari-hari.

Khamis, November 11, 2010

Sinema 101 Bersama Bin Filem

Kebiasannya bagi mereka yang baru menceburi dunia sinema dunia, mereka akan menyatakan samada Nuovo Cinema Paradiso atau A Clockwork Orange sebagai filem kegemaran mereka. Maka dengan itu, kamu selaku pembaca Bin Filem jika ditanya ‘apa filem kegemaran sepanjang zaman kamu?’ Pastikan ianya bukan Nuovo Cinema Paradiso ataupun A Clockwork Orange—baru tak skema, baru stylo.

*****

Apakebendanya sinema ini? Untuk menjawab persoalan ini, saya mengambil pendekatan struktural. Saya sebenarnya tidak pasti samada ianya ‘pendekatan struktural’, ‘teori struktural’ atau apa, janji ianya bersifat ‘struktur’ daripada apa yang saya belajar di senibina dulu. Untuk memudahkan pemahaman kamu tentang struktur filem yang membentuk sinema ini, saya mengambil konsep struktur bahasa.

Fundamental yang membentuk sinema hanya dua iaitu 1. Sinematografi dan 2. Suntingan. Kalau faham dua-dua ini, bak kata Hassan Muthalib memang “terror of terrorist.”

Di dalam konteks bahasa, sinematografi ini umpama pemilihan diksi atau perkataan. Sebagai contoh lafaz yang digunakan untuk menunjukkan rasa sayang seperti: 
‘sayang’ 
‘cinta’
lurve
Bayangkan kamu sedang berhadapan dengan seorang minah cun atau mamat jambu ini, mahu melafazkan rasa sayang kamu. Perkataan apa yang patut kamu pilih? Sayang, cinta atau lurve? Ini serupa dengan syot di dalam sinematografi, apa yang kamu mahu masukkan ke dalam bingkai (mise-en-scene), dari sudut mana, gaya apa, yang mana jelas yang mana bokeh (kalau shallow focus) dan seumpamanya. Secara amnya, sinematografi ini akan menentukan anjak atau tak berganjak ‘paradigma’ makna/maksud/erti sesuatu syot itu.

Seterusnya suntingan pula iaitu bagaimana cantuman syot-syot tadi memberikan makna/maksud/erti. Kamu ada “ ‘sayang,’ ‘cinta,’ ‘lurve’ ” dan “ ‘awak,’ ‘kamu,’ ‘you’ ”; bagaimana kamu cantumkan (sintax) dua daripada perkataan-perkataan di atas? 
‘sayang awak’
‘sayang kamu’
‘sayang you’
‘cinta awak’
‘cinta kamu'
‘cinta you’
lurve awak’
lurve kamu’
lurve you’
Setiap cantuman mempunyai konotasi yang berbeza. Diksi yang berbeza ini boleh disamakan dengan syot sinematografi tadi. Ambil contoh syot wajah seorang lelaki kemudian cut to syot sebungkus nasi lemak; ini mengesyorkan makna bahawa lelaki itu sedang melihat nasi lemak itu (jika dianjak barangkali lelaki itu mahu makan nasi lemak tersebut). Ini dikenali sebagai efek Kuleshov, salah satu teori asas suntingan.

Seterusnya, lepas kamu sudah tahu kedua-dua elemen sinematografi dan suntingan ini, kamu perlu segera sedar bahawa ia mempunyai dua tahap yang berbeza iaitu 'teknik' dan 'naratif'. Pada mulanya ya, memang sinematografi dan suntingan ini teknik, tetapi apabila ditolak lebih jauh ke dalam, sinematografi dan suntingan ini akan sebati lalu larut ke dalam naratif sinema. Ini apa yang kita selalu panggil, ‘bahasa filem’. Bagaimana ini boleh berlaku? Kerana setiap sinematografi dan suntingan memberi makna/maksud/erti yang tersendiri seperti bahasa. Filem itu tidak lagi bercerita menggunakan ucapan kata (dialog, narator dll.) tetapi berbahasa dengan fundamental komponen sinema itu sendiri iaitu sinematografi dan suntingan.

Ini kita boleh jejaki kembali kenapa teori klasikal sinema terbahagi kepada Realism dan Formalism. Seperti dualiti yin dan yang, Realism ini merayakan aspek sinematografi berbanding suntingan. Syot yang durasinya panjang (long take) akan membenarkan penonton anjak paradigma sesuatu visual itu, dalam masa yang sama syot-syot ini disusun dengan suntingan yang rendah diri. Di dalam Realism, sinematografi menonjol. Sila rujuk filem-filem Carlos Reygadas.

Berlawanan dengan Realism, Formalism pula meraikan aspek suntingan (sintax) berbanding sinematografi. Cantuman montaj yang disusun lebih rapat dengan durasi yang lebih singkat melalui sinematografi yang lebih rendah diri. Di dalam Formalism, suntingan menonjol. Sila rujuk filem-filem Toshio Matsumoto.

*****

Filem-filem yang bagus pasti berteraskan idea (yang tak bagus berteraskan produksi, anti-idea dll.). Tetapi saya menolak habis-habisan ‘idea’ bahawa “sebuah filem harus bertitik tolak daripada sebuah idea.” Bagi saya ini kerja pemalas dan selaku post-modernist thinker wannabe, saya merasakan lebih afdal jika banyak idea diserakkan lalu membentuk sebuah filem. Jika sebuah filem bertitik tolak daripada otoriti satu idea dan idea itu misal kata teruk, maka teruklah keseluruhan filem itu bukan? Bagi saya lebih baik idea itu diraikan sepenuhnya, berjuta-juta partikel idea, lalu membentuk sebuah filem. Ibarat berjuta-juta rakyat membentuk sebuah negara. Baru demokrasi terpimpin!

Di dalam ‘industri-tanpa industri’ filem tempatan kita, jika sesebuah filem itu teruk, yang akan disabit kesalahan selalunya penulis skrip. Selalu juga saya dengar ada pihak-pihak tertentu yang cuba mencari ‘skrip-skrip bermutu’. Izinkan saya berkata, skrip bermutu tetapi digarap oleh pembikin taik kucing nak buat apa?!

Kita perlu kembali kepada common sense, skrip itu sebenarnya apa? Sesebuah skrip apabila ditolak lebih dalam kita akan menemui cerita dan di dalam cerita itu terselit idea. Idea ini yang patut kita raikan, begitu juga dengan garapan seorang pembikin. Apabila ditolak lebih jauh, garapan itu juga sebenarnya adalah idea – bagaimana kamu menggarap sebuah idea, bagaimana kamu beridea tentang idea, itu yang penting. Naskah yang bangang sekalipun jika diserahkan kepada seorang pembikin yang merayakan idea, insyaallah pasti ok. Tak percaya, tanya John Waters.


Ridhwan Saidi
p/s: Kepada yang menghantar esei Surat Cinta Kita, diharap bersabar kerana kini saya sedang bertungkus-lumus menyiapkan novel sulung saya. Saya tak reti menulis novel, jadi terkial-kial sikit, maka dengan itu projek Surat Cinta Kita itu telah ditunda sehingga tahun hadapan atau sehingga novel saya ini siap. Terima kasih.