Memaparkan catatan dengan label Khir Rahman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Khir Rahman. Papar semua catatan

Isnin, April 04, 2011

Belajar Kenal Filem

Kita akan sembang mengenai filem Anu Dalam Botol, sebab bukankah ianya normal untuk bersembang mengenai sebuah filem yang baik?

Yang menariknya mengenai filem ini, ia semacam diserang dari dua penjuru. Yang koya agamis/konservatif akan mengatakan bahawa filem ini ada unsur 'gay' lantas filem ini sucks. Yang koya agnostik/liberal pula akan mengatakan bahawa filem ini merendahkan martabat golongan gay(/transeksual) lantas filem ini sucks. Apa yang boleh saya katakan, kedua-dua golongan ini sama manusia, sama bebal, sama sucks.

Filem seharusnya dilihat sebagai filem.

Mereka yang kononnya 'gayer than thou' menyuruh Khir study fakta pasal beza gay dan transeksual. Katanya watak Bidin/Ruby ini mengelirukan. Adakah dia gay ataupun transeksual? Inilah masalahnya, bagi saya watak Bidin/Ruby ini adalah seorang yang keliru seperti mana manusia-manusia yang saya lihat di luar sana. Kita sebagai bangsa negara ini keliru. Dan keliru ini adalah sifat jamak manusia. Mengenai fakta pula, memang ia berdasarkan fakta, tetapi tak semestinya fakta itu dipaparkan. Filem hidup di dalam fakta dunianya yang tersendiri. Jika mahu meraikan fakta, medium yang tepat adalah dokumentari (itu pun banyak auta.)

Memang saya tidak nafikan jika kita lihat filem ini secara menyeluruh ia memberi gambaran bahawa sewaktu Bidin jadi 'lelaki', ianya lebih melegakan dan menggembirakan; tapi sewaktu jadi Ruby, dengan kita penonton-penonton sekali kena seksa. Tapi ini sekadar permukaan plot sebuah cerita. Adakah golongan 'gayer than thou' ini akan bising kalau watak utama filem ini seorang perempuan? Takkan golongan feminis pula yang akan bising? Jawapannya ya—jika mereka tidak lihat filem sebagai filem.

Begini, mari kita lihat watak Bidin/Ruby yang keliru dan sakit ini. Bila saya sebut sakit bukan bermakna dia gay(/transeksual) dia sakit. Sakit yang saya maksudkan dia ni 'pelik'. 

Lihat, Bidin/Ruby ini hati kering buat pembedahan di luar negara bukan sebab dia temui dirinya seorang wanita (dalam konteks transeksual) tapi sebab pakwe dia kata mesti best kalau Bidin ni perempuan. Dan pakwe dia Ghous ni pun satu, tibai lelaki tapi kata lagi best kalau lelaki tu perempuan. Adakah dia ini seorang gay yang dalam diam biseksual di dunia serba heteroseksual ini? Ya, sekali bayang memang pelik. Tapi kalau kita fikirkan balik, siapakah kita untuk memasukkan mereka ini ke dalam acuan? Manusia seharusnya bebas, suka hati dialah nak tibai siapa pun (asal dengan kerelaan), hey lagi pun ini filem! Takkan kita nak suruh Travis Bickle pergi sembahyang Jumaat, atau pun suruh Hannibal Lecter makan nasi?!

Yang membuatkan filem ini baik adalah kerana ia berjaya membuatkan kita masuk dan rasa ke dalam dunia Bidin/Ruby. Ianya digarap with a dash of ketulusan (macam mana saya tahu? Well saya baru balik dari tayangan filem Pintu Terlarang oleh Joko Anwar yang saya rasakan semangat kepura-puraannya tinggi. Ianya filem yang rajin btw.) Mungkin ya ia adalah jenis-jenis filem yang kamu hanya tonton sekali sahaja seumur hidup. Tetapi ianya merupakan satu pengalaman yang melegakan bagi sebuah filem Melayu.


Ridhwan Saidi

Belajar Markah Filem

Pada mulanya saya beri markah untuk filem sekadar untuk bermain-main memparodikan ulasan-ulasan blog yang lain. Sebab semua orang tahu ulasan filem yang baik takkan beri markah atau bintang. Markah atau bintang ini saya lihat lebih berkiblatkan acuan filem genre Hollywood di mana sebuah filem yang baik adalah filem yang berjaya memenuhi resipi filem genre. Sebab itu juga saya menggunakan markah per seratus yang mana ia adalah markah peperiksaan di sekolah. 

Mungkin ada yang ambil serius sebab sistem markah atau bintang ini lebih accessible bagi mereka yang malas membaca di antara baris. Dan ya, bila saya beri markah pun, walaupun sambil lewa, saya yakin ianya realistik. Seperti subjek di sekolah, ada yang senang dan ada yang susah. Dan membikin filem ini adalah sesuatu yang sukar. Ia bukan seperti menulis novel yang mudahnya seperti memasak seperiuk pengat. Lebih-lebih lagi menulis novel pasca-moden. Kacang!

Susahnya membikin filem ini ibarat seperti menjawab soalan Matematik Tambahan. Saya tidak pasti dengan kamu tetapi sewaktu di sekolah kebangsaan dahulu, mata pelajaran Matematik Tambahan paling susah. Dapat markah satu digit bukan perkara yang aneh. Malah ada kawan sekelas saya yang dapat markah 0 dari mula sampai SPM. Sebab itu saya lega pabila Fasyali mengatakan:

"Macam mana Dalam Botol? Kau beri 60/100 mesti best nih."

Yelah, bayangkan kamu dapat 60/100 untuk ujian Matematik Tambahan pertama. Ia merupakan keputusan yang memuaskan!


Ridhwan Saidi

Rabu, Mac 30, 2011

Jeruk Dalam Botol

"Cubalah start" – kata Normah Damanhuri sambil menyuruh Bidin/Ruby start motosikal.
Saya tidak pasti pada minit ke berapa dialog itu dilontarkan, tetapi lucunya pada ketika itulah saya 'start' masuk ke dalam filem ini. Semua babak-babak gelap sebelum itu bukan tidak penting, ianya penting, cuma saya tak kuasa nak layan depresi berlarutan yang tak berkesudahan. Tidak dinafikan ada beberapa bahagian yang saya sengaja toleh ke tempat lain tanpa segan silu. Kadang-kala entah mengapa saya jadi seronok bila warna-warna cerah mula menggantikan warna hitam yang memenuhi skrin. Alah, macam makan jeruk, jenuhlah kalau asyik layan rasa masam aja. Sebab tu ada jeruk yang datang with a dash of rasa manis. Pendek kata, filem ini kurang manis lah bang!

Tidak dinafikan barisan pelakon di dalam filem ini baik. Cuma saya perasan watak Ghous itu gaya percakapannya serupa macam Khir. Terus sangat seperti tiada intepretasi sendiri. Watak Dina juga kadang-kala menghamburkan gaya percakapan a la teater sang pengarah. Ini serius tak best. Mungkin di lain kali mereka patut ambil semangat Normah, Ogy ataupun Arja Lee yang mana lakonan mereka lebih bermutu.

Satu hal lagi, filem ini banyak rakam sudut dari belakang kepala yang entah mengapa mengingatkan saya kepada filem Enter the Void oleh Gaspar Noe. Tetapi bila difikirkan kembali, perulangan dari sudut belakang kepala ini telah mengiyakan gaya suntingan yang berfragmen. Kita faham bahawa apa yang sedang kita lihat ini adalah suatu koleksi memori yang tersimpan pada pemilik bahu tersebut iaitu Bidin/Ruby (tambahan pula ianya berlandaskan kisah benar – dan kisah benar ini selalunya panjang ceritanya). Jadi ya, filem ini berkesan dari segi itu. Ia berjaya membuatkan kita berempati dengan susuk bernama Bidin/Ruby ini menempuhi segala perit jerih yang dirasakan dialaminya.

Selain itu, melalui garapan Khir Rahman ini, segala persoalan-persoalan yang berlegar-legar di dalam kepala otak kita dijawab pada masa yang tepat. Cuma dengan beberapa baris dialog, dunia filem yang dicipta Khir ini tidak menerajang kita keluar terduduk di atas kerusi panggung. Lubang-lubang plot tertampal rapi (ini suatu keistimewaan bagi filem tempatan, hey filem berbajet 8 juta pun plot berlubang-lubang!)

Malah ruang yang dirakam juga jelas sifatnya. Kita kenal rumah Bidin/Ruby, kita kenal rumah kampung keluarga Bidin/Ruby dan kita kenal rumah mewah Dina. Ianya dilaksanakan secara kecil tetapi terbukti berkesan. Ogy yang tak menang tangan menyambut tetamu waktu kenduri kahwin juga sangat benar semangatnya. Semua ini serius patut dijadikan kayu ukur buat pembikin filem 8 juta.

Cuma tragedi yang digerakkan Khir ini tidak pergi pada takah yang menakjubkan. Ianya tidak ditolak dan dimurnikan. Begini, sebelum menonton filem ini kebetulan saya baru lepas menghadam antara filem tragedi terbaik dunia dari Filipina, iaitu Maynila in the Claws of Neon oleh Lino Brocka. Ada dua bentuk yang ketara di sini dan saya perlu menggunakan muzik sebagai analogi atau metafora atau apa kejadah yang kamu nak panggil.

Jika kamu biasa dengar muzik klasik Barat, ianya dramatik dipenuhi naik turun berskala sana-sini. Ini berbeza dengan musik tradisional Nusantara dimana ia cenderung monotonous—mengkhayalkan dan memabukkan. Inilah perbezaan ketara di antara dua filem ini. Di dalam Maynila, watak protagonis itu dileburkan sedikit demi sedikit dengan berumpankan harapan-harapan kecil (manisan). Berharap sikit–kena tibai, berharap sikit–kena tibai, dan ini diulang sehingga satu tahap ia mencapai klimaks. Seperti melancap, kamu berikan satu usapan nikmat kemudian lepaskan, kemudian kamu ulang lagi. Ianya berlarutan sehingga kamu datang.

Bagi filem Jeruk... eh Anu Dalam Botol ini pula, ianya ibarat satu usapan yang perlahan dari pangkal sampai hujung. Secara sinematiknya kita tak capai. Kita dapat mengenali dan mendekatkan diri dengan karakter-karakter yang ada di dalam filem ini, tetapi itu sajalah... 

Di dalam filem ini juga jika kamu perasan, perempuan-perempuan di sekeliling Bidin/Ruby telah dibelasah dengan teruknya. Ibunya yang punya harapan—hancur. Dina yang punya harapan—hancur. (Bakal) mak mertuanya yang punya harapan—hancur. Dihancurkan oleh seorang transeksual yang sakit, melalui garapan seorang pengarah lelaki, hah!

Watak protagonis atau Bidin/Rudy ini kita dekat tetapi tak faham – setiap tindak-tanduknya saya rasakan 'sakit'. Tiada motivasi mahupun harapan. Dia nak bayar hutang ya, tapi itu hal kecil dan dapat diselesaikan. Malah saya merasakan Bidin/Rudy ini koya depresi, terlebih emo, sehingga satu tahap secara bawah sedar telah berlaku kejam terhadap mereka yang berada disekelilingnya. Dan serius, statement 'maaf' di penghujung filem ini adalah antara pengalaman yang paling evil pernah saya lalui.

Okeylah kalau nak markah, saya bagi 60/100 markah sama macam entah apa tajuk filem tu saya dah lupa.


Ridhwan Saidi
P/s: Evil yang dimaksudkan setaraf dengan pengalaman menonton filem Henry: A Potrait of a Serial Killer. Kepada yang keliru, ini adalah satu pujian.
P/s/s: Ada satu lubang plot yang pada mulanya saya sedikit keliru. Sewaktu babak Bidin/Ruby mandi bogel, saya ada perhatikan payudaranya (walaupun dalam gelap) tetapi ajaib ianya berubah. Filem ini tidak menerangkan ke manakah hilangnya payudaranya itu? Adakah itu payudara hasil pembedahan atau makan jamu atau apa? Kalau melalui pembedahan macam 'jeruk'nya, bagaimana ia boleh ghaib? 10 markah di'potong' untuk ketidaksinambungan ini.