Isnin, April 04, 2011

Belajar Markah Filem

Pada mulanya saya beri markah untuk filem sekadar untuk bermain-main memparodikan ulasan-ulasan blog yang lain. Sebab semua orang tahu ulasan filem yang baik takkan beri markah atau bintang. Markah atau bintang ini saya lihat lebih berkiblatkan acuan filem genre Hollywood di mana sebuah filem yang baik adalah filem yang berjaya memenuhi resipi filem genre. Sebab itu juga saya menggunakan markah per seratus yang mana ia adalah markah peperiksaan di sekolah. 

Mungkin ada yang ambil serius sebab sistem markah atau bintang ini lebih accessible bagi mereka yang malas membaca di antara baris. Dan ya, bila saya beri markah pun, walaupun sambil lewa, saya yakin ianya realistik. Seperti subjek di sekolah, ada yang senang dan ada yang susah. Dan membikin filem ini adalah sesuatu yang sukar. Ia bukan seperti menulis novel yang mudahnya seperti memasak seperiuk pengat. Lebih-lebih lagi menulis novel pasca-moden. Kacang!

Susahnya membikin filem ini ibarat seperti menjawab soalan Matematik Tambahan. Saya tidak pasti dengan kamu tetapi sewaktu di sekolah kebangsaan dahulu, mata pelajaran Matematik Tambahan paling susah. Dapat markah satu digit bukan perkara yang aneh. Malah ada kawan sekelas saya yang dapat markah 0 dari mula sampai SPM. Sebab itu saya lega pabila Fasyali mengatakan:

"Macam mana Dalam Botol? Kau beri 60/100 mesti best nih."

Yelah, bayangkan kamu dapat 60/100 untuk ujian Matematik Tambahan pertama. Ia merupakan keputusan yang memuaskan!


Ridhwan Saidi