Memaparkan catatan dengan label Malik Maidin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Malik Maidin. Papar semua catatan

Khamis, September 03, 2009

Raja Poorah-poorah

Saya berada dalam stor buku ‘Times’ sekadar untuk menengok-nengok tanpa niat mahu membeli. Buku yang ada pun berlambak tak habis baca lagi. (takde la ‘lambak’ sangat.) Di situ saya sempat jenguk dan baca beberapa helaian mukasurat buku tentang seorang pejuang kiri suatu masa dahulu, Kamarulzaman Teh namanya. Asal dari Temerloh, Pahang. Kalau tak silap, di Kerdau, kawasan dalam daerah Temerloh ni lah tempat Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya ditubuhkan 60 tahun yang lalu. Sesuatu yang menarik saya kira bila diceritakan bagaimana kesedaran sosial yang dimiliki berpunca dari pengalamannya semasa muda belia. Dia kata, toknya adalah seorang penghulu kampong yang dipanggil Penghulu Lebak.

Selaku seorang penghulu atau ketua di kampongnya, Penghulu Lebak mengamalkan konsep feudalisme kental. Zaman dahulu, penghulu atau ketua kampong ini boleh dianggap bagaikan raja dalam sesebuah kampong yang memiliki ‘kuasa veto’. Maka tak hairanlah juga penghulu/ketua kampong mempunyai hubungan rapat dengan pihak istana ini juga boleh mengarah penduduk kampong untuk mengerjakan sawah bendang tanpa sebarang upah. Begitu juga untuk mengerjakan ladang getah dan lain-lain. Apabila tiba musim menuai, dia minta pula pada anak buahnya menyediakan emping untuk disumbat ke mulut sultan atas sebab yang saya sendiri tak tahu. Mungkin kerana sultan masa tu tak reti memasak dan hanya arif dalam selok-belok seks. Oh bukan, sebab itu tanda ‘penghormatan’ kepada sultan yang menguasai bumi Pahang. Konon!

Kuasa Tuhan, oleh kerana Kamarulzaman ini manusia yang tak mahu mensia-siakan barang yang terselit di antara sepasang telinga, maka dia melihat apa yang dilakukan oleh toknya itu adalah suatu ketidakadilan dan penindasan yang wajib dighaibkan dari alam kehidupan. Sejak dari itu, dia menjadi seorang pejuang mengangkat senjata membebaskan negara dari penindasan dan ketidakadilan. Dan hari ini, setelah tujuh tahun beliau meninggal dunia, feudalisme masih lagi berlangsung, tapi dalam bentuk yang berlainan.

Memang benar, sekarang tiada lagi ketua kampong atau penghulu yang mengamalkan dasar seperti tok Kamarulzaman Teh. Tapi sila ambil tahu, feudalisme hari ini berlangsung melalui politik kepartian. Ketua kampong/penghulu biasanya mempunyai hubungan rapat dengan orang-orang kuat parti politik yang berkuasa. Begitu juga dengan konsep pemberian gelaran dan darjah kebesaran yang lebat berlaku di negara ini bagaikan menerima hujan sepanjang tahun selagi ada sultan/raja yang dipanjangkan umur serta dimurahkan rezeki percuma. Ini tak jauh bezanya dengan amalan datuk Kamarulzaman Teh tadi.

Jadi berebut-rebutlah warga negara ini yang ‘bercita-cita tinggi’ mahu menerima gelar dari sultan – dato’, datuk (Dah ‘datuk’, ada ‘datin’ pulak! Patutnya ‘nenek’), tan sri, datuk seri, tun, dan lawaknya, wakil rakyat dan para pembesar negara dan negeri juga memakai gelar kenamaan – yang berhormat atau yang amaaatttt berhormat. Tapi pada saya, panggil ‘Ahli Parlimen’ atau ‘ADUN’ saja dah memadai, kerana kedua-dua istilah ini merujuk kepada jawatan, bukan pangkat atau gelaran yang mesti disembah oleh orang ramai. Tambah runcing, sampaikan orang yang hanya berkelulusan SPM saja pun, jika dia orang politik yang ‘pandai cakap’, dia boleh dapat gelaran ‘datuk’. (Tapi paling bangang orang yang dah mati pun nak juga diberi gelaran.) Orang yang ada gelaran ini, senang dapat macam-macam tender projek itu, ini. Maknanya, gelaran itu disarung untuk dipamer sebagai ‘modal keyakinan’ dan ‘kad kekuasaan’ untuknya menerima sesuatu tender projek. Macam orang selalu kata…apa tu…‘kabel kuat?’

Ada seorang kawan saya ni, orang Sekinchan, Selangor. Walaupun dia memiliki sebijik Perodua Myvi, yakni salah satu simbol kemodenan (konon), tapi kenyataannya dia masih lagi dibelenggu feudalisme. Katanya, ramai pemuda di tempatnya menjadi ‘anak buah’ kepada seorang menteri kabinet dengan memasuki sebuah parti politik. Saya tanya apa sebabnya, dia kata menteri itu ‘kuasanya besar’. Dia kata besarnya kuasa si menteri ini di tahap mampu melepaskan seorang pemuda dari tuduhan rogol begitu saja. Wow, hanya berbekalkan kuasa besar seorang menteri, seorang perogol akhirnya bebas dari hukuman. Petik saja nama menteri tadi, semua selamaaatttt…alhamdulillah. Undang-undang? Polis? Pergi la mati! Ooo…kiranya si menteri ni jadi ‘payung’ yang jaga anak buah selagi anak buah menyatakan taat setia, la ye? Ini pun salah satu ciri masyarakat feudal yang sepatutnya pada hari ini diabaikan. Kemudian saya tanya, “Habis tu kau panggil apa si mangkuk tu?” Dan dia jawab, “Ayahanda. Tapi biasanya kitaorang panggil dia ‘ayah’ je.” Kah kah kah…kepala ayah tut tut tuttt..!!!

Tapi kat Singapura lain pula ceritanya. Negara republik yang maju ini tak begitu gila dalam hal ehwal pengurniaan darjah kebesaran. Malah Perdana Menteri-nya juga langsung tak memiliki apa-apa gelaran selain nama betul. Lagipun PM itu bukan gelaran, tapi jawatan, dan kedua-duanya jelas berlainan konsep. PM itu satu tugas berserta tanggungjawab, manakala gelaran itu biasanya hanya satu kelebihan untuk mendapatkan tender projek dengan senang. Bila di warta berita, saya berasa senang hati mendengar pembaca berita menyebut nama PM Singapura sekadar ENCIK Lee Hsien Loong. “Encik Lee Hsien Loong berkata…bla..bla..bla..” ‘Encik’ itu bukan pangkat atau darjah kebesaran, tau. Jadi, apa ada hal? Tak ada pun apek ni mati menggelupur ke apa sebab tak dipanggil dengan gelaran pangkat tu semua. Macam di sini, cakap pandai…nak dahulukan rakyat konon, tapi belum apa-apa, gelaran, pangkat dan darjah kebesaran dah berderet-deret. Bila dia lalu kat jalanraya, rakyat semua terpaksa berkuak ke tepi sebab nak bagi dia jalan. Nak-nak masa jalan jam, masa tu lah dia terhegeh-hegeh nak lalu. Paling baru, harga minyak dinaikkan la pulak… Jadi apa ke-poorah-nya dahulukan rakyat?!

Di United Kingdom, pemberian darjah kebesaran masih dilaksanakan kerana serupa di sini, sistem monarki masih lagi wujud. Tinggal lagi saya percaya pemberian gelaran di sana lebih telus, bukan boleh dibayar, atau diberi semata-mata senang untuk mendapatkan tender. Saya tak fikir individu seperti Lord Norman Foster itu perlukan gelaran “Lord” untuk mendapatkan pelbagai projek menarik serata dunia termasuk pangsapuri Troika (tak tahu bila siap), dekat dengan KLCC nun. Ini kerana hakikatnya beliau sememangnya layak berdasarkan segala sumbangan besarnya terhadap dunia seni bina, lama sebelum beliau menerima gelaran tersebut. Dan saya juga tak fikir beliau begitu peduli dengan gelaran itu, tak seperti mangkuk ayun tempatan. Saya dapat tahu, beliau sangat ‘digeruni’, oleh para pekerjanya bukan kerana beliau garang seperti harimau, tapi tahap profesionalisme, dedikasi dan komitmennya melampaui pekerjanya sendiri, yang membuatkan mereka, para staf-nya, naik segan. Sebenarnya beliau bukan digeruni, tapi sangat dihormati.

Hormat bukan rasa ketakutan yang muncul dari paksaan atau tekanan. Ia hanya hadir secara semulajadi bila sifat dan tingkah-laku serta pemikiran individu yang dihormati itu mewajarkannya dihormati. Apapun ceritanya, manusia moden sebenar seharusnya bebas dari memiliki gelaran-gelaran bullshit itu semua. Orang yang memiliki gelaran/pangkat/darjah kebesaran secara umumnya akan terawang-awang di langit ilusi kelas tinggi. Mereka pasti fikir mereka melebihi orang biasa yang tak memakai gelar dan mereka perlu dihormati. Namun mereka tak tahu bahawa memiliki gelaran pangkat itu lambang feudalisme dan bersifat kuno, malah tak relevan langsung dengan aspek kehidupan di abad ke-21. Jadi untuk maju dalam erti kata sebenar, antara perkara yang perlu dilakukan ialah dengan membebaskan negara ini dari amalan pemberian darjah kebesaran. Macam mana nak bebaskan, kamu tanya? Pam..pa...pammm!!!


Mohd Ikhwan Abu Bakar

p/s: 1. Raja Perlis baru-baru ni kata, dia (baginda?) bimbang dengan ancaman golongan yang mengamalkan dasar "pecah dan perintah" kerana ia boleh menggugat perpaduan rakyat. Hehehe. Sebab kelakar.

2. Oh, jangan sesekali dilupakan darihal seekor penyu gelap yang berenang menyeberangi Selat Inggeris beberapa tahun lalu. Beberapa bulan selepas selamat pulang ke darat, si penyu bertuah badan sedap berlemak ini menerima gelaran ‘datuk’, sebuah rumah, upah serta selamat diijabkabulkan dengan seekor duyung. Apa cerita penyu ni sekarang, hah? Ke, dia dah bertelur? Opss…maaf, lupa pulak. Dia penyu jantan daa…

Sabtu, Februari 14, 2009

Leteran Di Pagi Valentine

Hari ini, hari Valentine. Secara teknikal, saya tak sambut apa-apa hari ini. Nak sambut buat apa? Untuk yang konon sedang bercinta, mereka mungkin teruja akan kedatangan hari ni, mungkin. Sungguhpun saya tak merayakan hari Valentine, saya tak iri langsung, dan juga tak bermakna saya menentang perayaan ini. Jadi, ini hari saya ingin berleter, macam Mak Cik Bedah. Boleh kan?

Pernah sekali saya lontarkan soalan pendek kepada seorang rakan, yang konon sedang bercinta. “Eh, esok hari Valentine. Kau tak sambut ke?”

Ini soalan umpan. Saja-saja. Sebenaranya saya tak peduli sama ada dia dan kekasihnya sambut Valentine atau tidak keesokan harinya. Tak penting. Cuma saya cukup berminat untuk dengar respon dari rakan saya ini. Lagipun, saya memang berminat melihat reaksi manusia. Dan katanya, dia tak sambut. Buat apa sambut, itu hari orang Kristian. Dang!

Pada saya, hari Valentine juga seperti kebanyakan hari-hari perayaan lain, sebagai penambah seri, seri dalam perjalanan ketamadunan manusia. Lebih banyak perayaan, lebih meriah kehidupan, lebih berwarna, lebih bermakna. Hampir kesemua perayaan perlukan mitos atau kisah lagenda, selain dari faktor-faktor fundamental lainnya seperti keagamaan, ideologi atau budaya. Mitos dan legenda inilah yang selalunya membentuk naratif sesebuah perayaan menjadi lebih indah. Perayaan Krismas misalnya, telah disulam dengan mitos kedatangan Santa Claus, padahal si Santa Claus ini logiknya tiada kena mengena dengan hari kelahiran al-Maseh Jesus, kerana orang tua berjanggut putih melebat ini hanya sebahagian naratif kepercayaan Pagan milik orang asal Eropah, lama sebelum agama Kristian bertapak di sana. Pendek kata, perayaan tanpa elemen mitos dan legenda mungkin akan jadi perayaan yang kurang seri laksana malam Aidilfitri tanpa diterangi pelita Tujuh Likur. Atau kalau masak nasi lemak, nasi itu tak cukup santan. Apa barang! Sama juga halnya dengan hari Valentine ini, tak terlepas dari mitosnya sendiri. Tapi mungkin kamu semua, pembaca, sudah tahu kan kisah di sebalik hari Valentine yang terselit dalam lagenda Aurea, jadi tak perlu saya ceritakan lagi. Bagi yang tak tahu, kamu boleh google.

Dan bila becakap tentang Valentine, ini bukan soal agama, tapi soalan cinta, soal kasih sayang, ah, senang cerita, soal kemanusiaan. Apa yang dilakukan oleh si paderi bukan atas dakwah agama semata-mata, tapi ekspresi fitrah manusia yang tak mampu dibendung oleh sang penguasa. Membaca naratif Valentine, kita dibawa semula ke dasar kemanusiaan hakiki, tentang betapa rasa sayang (bukan restoran) itu adalah fitrah manusia semua bangsa, tanpa agama, atau belenggu kuasa. Kuasa ‘cinta’ (huh!) itu sentiasa merentasi sempadan bangsa, sempadan kepercayaan, sempadan usia, malah, sempadan geografi. Magis cinta nyata tak mampu dihalang oleh tebalan tembok Jericho, jerisi besi Carandiru, sepasukan FRU mahupun ‘tangki’ Abrams, Lautan Hindi atau Pasifik atau apapun. Magis cinta mungkin berkemampuan membuatkan si penghayal cinta sanggup menyeberangi Selat Inggeris bertarung dengan gelora ombak. Tak percaya, tanyakan saja pada si Malik Maidin.

Kalau ya dakwah sekalipun, apa salahnya. Adakah orang Kristian saja yang boleh bercakap soal cinta dalam dakwah? Adakah untuk bercinta, seseorang itu perlu menjadi bongok hingga timbul rasa mahu memeluk pegangan Kristian, hanya kerana pengaruh kisah St. Valentine? Alahai, lembiknya iman kamu! Jikalau sesama manusia kita ditakut-takutkan untuk berkasih sayang, seperti cerita dalam lagenda Auden tentang larangan bagi pria untuk berkahwin, atas alasan askar yang sudah berkahwin tak perform di medan perang, hanya kerana para pria mahu dijadikan alat buat pengukuh kekuasaan, apa perlunya kita bermimpi tentang cinta kepada Tuhan? Satu hal yang agak menarik juga, hari Valentine ini tak dibalut oleh doktrin-doktrin karut. Ia masih suci sebagai hari untuk berkasih bagi manusia-manusia bebas yang mahu berkasih sesama manusia, suka sama suka, konon. Cuma ya lah, di akhirnya, terpulang kepada kamu nak sambut atau tidak...

Apa? Maksiat? Come on...adakah kamu perlu menunggu setahun sekali, tanggal 14 Februari, hanya untuk ‘membuat cinta’, yang sekali itu sahaja? Maksiat bahkan berlaku setiap masa!

Dan jangan juga terlalu sempit fikiran. Hari Valentine bukan hak milik mutlak pasangan yang tak diikat tali pernikahan. Ini kerana, di Filipina, hari Valentine sebenarnya lebih menjadi keutamaan bagi pasangan suami isteri, bukan pasangan yang belum atau yang tak mahu menikah. Ertinya, tak mustahil di sana ada pasangan laki-bini usia lanjut yang mungkin melangkaui angka 100 yang masih bernafsu untuk meraikan hari indah mereka.

Tapi, apabila saya bercerita tentang cinta, saya juga tak mahu terlalu beromantik dengan konsep cinta mulus bagai Romeo dan Juliet. Seorang pemusik/penyanyi pujaan saya, Nick Cave, seorang yang handal dalam bab-bab menulis lagu cinta. Beliau katakan, lagu-lagu cintanya dibuat buat isterinya. Tapi dalam masa yang sama, apabila dibawa masuk ke ruang yang lagi kudus, nyata, katanya, lagu-lagunya itu adalah sebagai penyampai prahara cintanya terhadap Yang Maha Esa. Ya, beliau bercakap tentang Tuhan, bukan bininya, bukan kekasih gelapnya atau siapapun, sesungguhnya. Bingo!

Patah balik pada jawapan rakan saya tadi. Bagi saya yang tinggal di negara bertuah ini, ia bukanlah jawapan yang pelik. Saya, seperti yang telah saya katakan di awal tadi, hanya ingin menduga. Tapi, jawapan sebegitu memberikan saya satu persoalan menarik. St. Valentine ini kebetulan saja beragama Kristian. Kalau tak, bagaimana? Apakah jika St. Valentine ini seorang Sami Buddha, maka ia akan jadi perayaan Buddha? Dan kalaulah si Valentine diketahui hari ini sebenarnya seorang Tok Imam? Mungkinkah rakan saya dan kekasihnya tadi akan mula menyambut hari Valentine? Wow!


Mohd Ikhwan Abu Bakar

p/s: Esok, tanggal 15 Februari lagi penting buat saya...lupakan cinta bila dua gergasi Milan akan bergaduh sesama sendiri. Forza Rossoneri!