Memaparkan catatan dengan label Vladimir Lenin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Vladimir Lenin. Papar semua catatan

Ahad, Mei 30, 2010

‘Banyak Berfikir’

‘If Socialism can only be realized when the intellectual development of all the people permits it, then we shall not see Socialism for at least five hundred years.’ — Vladimir Ilyich Ulyanov

Setiap orang memiliki tahap keupayaan berfikir yang sama pada asalnya, seperti yang saya percayai. Namun dalam masa yang sama, saya kerap bersikap skeptikal dengan orang yang mudah mengaku seperti ini: aku banyak benda nak difikirkan. Ini mungkin gara-gara saya ini insan yang tak minat berfikir.

Dalam begitu ramai umat manusia, saya tak percaya ramai yang benar-benar mengalami sindrom ‘banyak berfikir.’ Kita boleh mula mempersoalkan kenyataan itu dengan pertanyaan enteng berikut; apa yang kau fikirkan? Ini kerana, apa yang difikirkan itu yang penting, bukan ‘banyak mana’ yang difikirkan kerana banyak mana yang difikirkan itu juga perlu dinilai dengan jenis topik atau subjek yang difikirkan itu dan apakah perkara yang difikirkan itu sepadan dan berbaloi dengan ‘banyak mana’ masa yang telah digunakan. Dalam kata lain, berfikir itu mudah, sedang apa yang difikirkan itu belum tentu mudah.

Ada beberapa sangkaan saya tentang kenyataan orang yang mengaku ‘banyak berfikir.’ Pertama, dia merasakan yang dirinya matang, lalu beranggapan bahawa dia telah/sedang/akan berhadapan dengan bermacam bentuk dugaan hidup. Namun bentuk dugaan hidupnya itu sebenarnya tidaklah begitu luar biasa, dibandingkan dengan orang lain, seperti keperluan melangsai hutang, masalah kekeluargaan, masalah perhubungan, masalah di tempat kerja, dan sebagainya. Berkemungkinan juga dia mahu meraih simpati dari orang lain dengan harapan beroleh manfaat buat dirinya, sebagai faktor nombor 2. Dan paling akhir tersangat mudah, dia mahu kelihatan ‘cool’ di mata orang lain.

Kalau setakat masalah-masalah disebabkan faktor yang pertama tadi, saya sama sekali tak beranggapan orang itu ‘banyak befikir.’ Pengakuan banyak berfikir itu saya percaya sengaja dilebih-lebihkan. Sedangkan yang disangka ‘berfikir’ itu tak lebih dari siri keluhan panjang terhadap kerutinan hidup yang tetap saja bakal ditempuh dengan taat setia. Dia sekadar mengeluh seraya menyalah-gunakan perkataan ‘berfikir’ padahal dia tetap tak berbuat apa-apa. Misalnya, kalau dia ada masalah hutang, dia hanya perlu membayar saja jika mampu dan masalahnya pasti akan selesai. Jika tak mampu, dia perlu berusaha mencari jalan melangsaikannya, oh perlu berfikir juga, namun tidaklah pula sampai ke tahap ‘banyak berfikir.’ Sebab, membayar hutang itu bukan sekadar perlu ‘berfikir’ tapi juga berusaha/bertindak.

Berfikir adalah proses murni yang bermula dengan ‘mempersoal’, mahu lebih, ada tesis, anti-tesis lalu disudahi dengan sintesis. Jelas sekali, ia proses renungan yang sering melelahkan, bukannya proses ‘mengeluh.’ Itu berfikir, kalau melayan emosi pun sama. Saya selalu terasa nak tampar muka orang yang tak habis-habis mengaku mengalami masalah emosi yang berpanjangan.

Memang pada awalnya kita perlu menerima hakikat, semua manusia dilahirkan sama. Dibekalkan dengan akal fikiran yang sama. Tapi sesudah itu, manusia melanjutkan proses kehidupan, berdepan segala macam tragedi, tahun demi tahun, lalu keupayaan inteleknya turut terbangun berdasarkan faktor-faktor tersebut. Setiap jalan yang dilalui oleh manusia itu hampir pasti sentiasa berbeza, dengan sekali-sekala akan muncul ‘orang luar biasa’ akibat dari takdir hidupnya menempuh jalan yang juga luar biasa.

Jadi ungkapan banyak berfikir sangat tak padan dengan ‘orang biasa’ yang seharian menjalani kehidupan yang cukup rutin seperti bekerja, pulang ke rumah melayan drama swasta, melayan karenah anak-anak, hari minggu pergi berkelah atau membeli–belah, sentiasa memastikan gerak laku tertib mengikut hukum, apa jenis ‘hukum’ sekalipun, tidur dan bangun tepat berpandu jeritan loceng jam, dan sebagainya. 

Apatah lagi yang paling tragis bagi yang mengaku ‘banyak berfikir’ itu memilih wahana eskapisme picisan seperti; gemar membaca Mangga atau Mingguan Misteri, gemar menonton rancangan realiti TV, rancangan nyanyi-nyanyi kosong seperti Jom Heboh, meminati lagu-lagu pop cinta melulu dan filem-filem pilihan hati pula adalah filem-filem lakonan Saiful Apek, misalnya. Dalam masa yang sama, perlakuan hidup seperti yang dinyatakan di atas sama sekali tak salah, atau hina, tapi berbalik pada konteks tulisan ini, saya sedang menyiasat kebenaran tentang tajuk yang saya sendiri kemukakan.

Jikalau daya fikir (intelek) itu ingin dikelas-kelaskan dan dibubuh dengan satu istilah khusus, bagi saya, mereka yang ‘banyak berfikir’ jenis yang melayan permasalahan rutin harian yang dikira ‘normal’ selayaknya ditahap, apa yang saya gelar sebagai “ordinary intellect.” 

Ini disebabkan, ciri-ciri orang yang banyak berfikir dapat diketahui dengan menilai di manakah letaknya tahap citarasa yang dimiliki, yang membabitkan persoalan pilihan terhadap estetika dan kecenderungannya terhadap subjek kebenaran, juga tahap sensitivitinya terhadap persekitaran. 

Jadi bagaimanakah ciri-ciri manusia yang boleh dipercayai bila dia mengatakan yang dia itu ‘banyak berfikir?’ Ini soalan saya rasa perlu dijawab dengan mengimani bahawa orang yang banyak berfikir itu sentiasa memiliki rasa ghairah mempersoal segala bentuk keterbatasan. Apapun bentuk keterbatasan, baik waktu, ruang dan hukum. Dalam tradisi keilmuan, orang sebegini senang digelar sebagai ‘filasuf.’ Tapi gelaran itu bukan penting sangat, kerana selagi ada upaya dan kehendak mempersoal, sudah cukup. Dia juga cepat naik syahwat bila diajukan persoalan kebenaran, yakni yang membawa ke arah pencarian makna hakiki tentang sesuatu perkara dan fenomena. Dia berfikir secara melewati batas permasalahan hidup yang serba rutin, bahkan ada kemungkinan dia akan terbabas menuduh segala rencam kehidupan harian yang monotonus itu sebagai ‘tak penting.’ 

Kalau dia terpaksa berdepan dengan pihak bank yang menuntut hutang bulanan sekalipun, itu tak menidakkannya dari melayani kengairahannya terhadap subjek-subjek yang lebih menggoda syahwat inteleknya. Kalau pun persiapan perkahwinan terpaksa dia fikirkan, kerana ingin menempuhi alamnya, akan dianggap ia sebagai masalah permukaan, sedangkan dia mungkin dapat membaca permasalahan dasar yang lebih menakutkan, seperti penyakit masyarakat yang gemar menunjuk-nunjuk kemewahan hidup hingga sanggup bergolok-bergadai, lalu menerbitkan pembaziran, ketidakikhlasan, penipuan, dll.

Dia juga tak mudah duduk diam, otaknya tak statik, sentiasa berkeinginan membuka ruang-ruang gelap yang tertutup. Banyak potensi hidup iaitu bakat cuba diteroka, banyak pengalaman mahu dikaut, banyak juga resiko yang bakal ditempuh. Progresi manusia hakikatnya ditolak oleh orang yang semacam ini, walaupun seringkali beresiko disalah erti oleh ‘orang biasa’ yang rata-rata berstatus “ordinary intellect.” Apabila resiko negatif menjelma menjadi realiti, besar kemungkinan akan berlaku pergeseran, penghinaan, pergaduhan, pergolakan, biarpun sementara. Tapi perlu juga dinyatakan, setiap progresi itu wajib meniti proses pergeseran, seperti gerakan roda yang maju ke depan hanya setelah bergeser dengan aspal yang statik dan keras.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Ahad, Oktober 25, 2009

(Ke)sumbangan Teori Moden

Bukan rahsia, di negara khatulistiwa panas lembab sepanjang tahun ini, sering berlaku kecelaruan fahaman antara teori dan teknik. Baik pelajar, guru, pensyarah, jurnalis, penulis, karyawan; mereka punya kecenderungan untuk menganggap cara sesuatu ciptaan itu dihasilkan, itulah teori. Lebih menyakitkan, hampir tak wujud perdebatan teori yang bersifat ilmiah walau di universiti. Universiti jadi tempat paling membosankan. Pergi kelas – tercopong dengar pensyarah membebel -- balik kelas -- tidur (sedang dikupas dalam esei berlainan). Maka berkokoklah mereka tentang apa yang disangka teori, yang pada hakikatnya menjurus kepada aspek teknikal semata-mata. Jadi bila sebut saja pasal teori, teori senibina misalnya, masing-masing akan terbayang batu-bata, simen, asbestos, tetulang keluli dan topi keledar keselamatan yang berwarna putih tu. Seolah-olah, teori itu pengenalan tentang ‘apa itu senibina.’ Macam kalau teori itu berkenaan reban ayam, ia bermakna cara-cara bagaimana reban ayam itu didirikan. Kalau dalam muzik, macam mana caranya nak menegangkan tali gitar, itulah teori kononnya.

Sedangkan sesuatu teknik atau hukum pembuatan itu termasuk sebahagian dari proses penghuraian sesuatu teori. Maka teknik hanyalah salah satu disiplin dalam berteori. Ini kerana teori berfungsi menerang dan mentafsir sesuatu bentuk fenomena atau kejadian/ciptaan secara analitikal. Teori muzik muncul sesudah muzik dihasilkan, dan pelbagai jenis teori muzik terhasil dari pelbagai bentuk muzik serta berencam wacana dan debat. Ini bermakna teori hanya muncul sesudah sesuatu fenomena/kejadian/ciptaan itu wujud, seterusnya diperdebatkan secara ilmiah. Teori juga berpotensi lahir berpandukan karya seni yang telah dikembangkan daripada manisfesto, dan manifesto itu adalah dalam bentuk teks.

Konsep teori ada macam-macam. Pada asasnya, teori bersifat ‘spekulatif.’ Walaupun terdapat konsep ‘teori saintifik’, namun asasnya tetap bersifat spekulatif sebelum ia dibuktikan kebenarannya secara saintifik/logik. Dalam teori falsafah pula, ‘tiada salah, tiada betul.’ Teori itu bolah dilanggar oleh sesiapa sahaja selagi memiliki hujah-hujah yang jitu. Falsafah itu sendiri, bak kata Nietzsche, adalah wacana yang penuh kontradiksi yang tak berkesudahan. Akan tetapi dalam hal ‘teknik’, ia tak mungkin bersifat spekulatif kerana teknik bersifat saintifik. Sebab, by hook or by crook, teknik mesti berasaskan logika. Contoh; teori berspekulasi bahawa rumah itu boleh didirikan tanpa menggunakan walau seketul paku, dan dengan teknik-teknik yang tepat, berdasarkan logik, maka akhirnya rumah itu siap didirikan. Eureka, maka terhasilnya ‘teori saintifik!’

Seni tradisional mengandungi elemen ritual serta bersifat kekal yakni tak boleh diduplikasi (atau replicate) atau dicetak sewenangnya, kecuali ditempa (syiling, keris, dll), dilukis dan diukir semula. Contoh, bangunan kuil-kuil purba di Greek. Ukiran-ukiran pada tiang Doric, Ionic dan Corinthian dilengkapi elemen kepercayaan dewa-dewi Greek kuno. Begitu juga Candi Borobudur yang mana temboknya dihiasi lukisan/ukiran naratif Ramayana dan Mahabrata yakni epik penting dalam kepercayaan Buddha Mahayana. Dalam seni persembahan tradisional pula, elemen ritual boleh dikatakan terdapat dalam setiap bentuk persembahan. Misalnya; Kuda Kepang, Mak Yong, Main Puteri, dll. Biasanya persembahan diadakan bagi meraikan sesuatu keramaian atau perayaan, maka sebab itu ia diiringi elemen ritual. Pendek kata, faktor kosmologi memainkan peranan penting dalam seni tradisional. Ia juga, seni tradisional, tak bebas dari dipisahkan oleh strata sosial. Golongan bangsawan menikmati teater bangsawan, manakala rakyat biasa lebih rapat dengan Dikir Barat, misalnya.

Manakala seni moden pula cuba membebaskan ‘diri’ dari elemen-elemen tersebut dan lebih mudah diduplikasi dalam pelbagai cara. Salah satu puncanya ialah kerana seni moden berusaha untuk di-masyarakat-kan dengan cubaan menghapuskan strata sosial. Dengan kesempatan ini, seni moden telah dijadikan wadah pembangunan masyarakat. Seterusnya, pengisian seni moden sarat dengan penyataan-penyataan politikal bagi menggerakan mobilasi sosial masyarakat ke arah agenda perubahan. Disebabkan saya menganggap rock ‘n’ roll juga satu ‘seni’, maka di sini boleh dilihat bagaimana bentuk muzik moden ini telah dijadikan anthem kepada gerakan ‘anti perang’ terutama di Vietnam dan Algeria dekad 1960-an dan 70-an. Rock ‘n’ roll juga muzik yang mendendang kebangkitan golongan muda, tanpa mengira latar belakang, seraya menendang nilai-nilai establishment usang ke dalam gaung sejarah. Jadi, peranan artis tak hanya berekspresi menghasilkan ‘kecantikan’ semata, tapi memikul beban tanggungjawab menyampaikan ‘propaganda.’ Lalu mesej-mesej propaganda ini dianggap sebagai ‘pengisian’ baru terhadap sesuatu bentuk seni moden itu. Suatu paradox juga, hari ini seni moden cenderung menjadi barang komoditi dagangan bagi meraih keuntungan. Ini kesempatan yang berjaya disambar oleh golongan kapitalis. Kesannya, seni moden hari ini bergerak berpaksikan kuasa modal.

Sekarang, tolehkan pandangan ke Rusia di awal abad ke-20, terutama di era Revolusi Bolshevik di mana munculnya gerakan ‘Soviet Contructivist.’ Sesuatu bentuk teori datang dengan gagasan/agenda. Dalam Soviet Contructivist, seni avant-garde (advance guard) cuba dibebaskan dari keterasingan dengan masyarakat awam. Yang avant-garde cuba di-masyarakat-kan. Unsur avant-garde dirayakan dalam seni tapi ideanya ditolak dari terus menjadi modal borjuasi berlagak pandai dari golongan proletar. Ia gerakan seni-politikal yang sarat dengan propaganda Bolshevik. Bahkan senibina avant-garde gaya S.C juga adalah suatu cara menyatakan idea-idea revolusi bagi melupuskan elemen usang senibina lama era Czar dari ingatan kolektif masyarakat. Lihat pada form, contents, teks, warna, tekstur, pattern yang ternyata jelas, berterus-terang, tegas (firm) dan tak mengada-ngada. Pendek kata, no B.S. Dan semestinya, S.C ini penuh dengan elemen teoritikal. Perlu diketahui bahawa senibina ‘Deconstructivist’ adalah legasi artistik dan teoritikal dari gerakan Constructivist setelah ianya lesap bersama tumbangnya kepimpinan V.I Lenin.

Jadi terbukti seni moden itu sarat dengan elemen teoritikal. Maka dikarang berkajang-kajang teks bagi mengabsahkan kedasya(i)tan sesuatu hasilan/produk seni. Teori hadir menggantikan ritual dalam seni. Walhasil, seni moden wujud seolah-olah sekadar untuk menghantar visual atau mengilustrasikan sesuatu teks, yakni teori. (Termasuk juga mesej propaganda.) Beauty, atau estetika seni itu bergantung pada teks. Jika dalam teks disuratkan bahawa jika berbuat begini, ia cantik, maka andai seni itu dihasilkan berdasarkan hujah teks tadi, hasilnya juga automatik jadi cantik. Atau di sini, teks hadir sebagai pemangkin hujah kualiti sesuatu seni itu. Segala-galanya telah ditentukan oleh teks. Sedangkan asalnya fungsi teori dalam seni adalah untuk menyokong keberhasilan sesuatu seni itu. Seperti kesnya dengan penyataan manifesto seni, ia adalah teks dengan tujuan memberi pedoman buat artis berkreatif, pada mulanya dengan motif melawan suatu aliran seni yang lainnya. Tapi bagaimana pula dengan penerimaan khalayak, adakah mereka mampu memberi penilaian jujur yang bebas dari dogma manifesto?

Seeing is believing, not believing is seeing.

Nampak, kalau itulah kesnya, resiko yang bakal dihadapi adalah kepura-puraan, pretentious, dan seni jadi  predictable. Sebab kepercayaan yang ‘seni itu cantik’ telah dikonstruk oleh teks (teori/manifesto). Jadi buatlah apa saja, asalkan kena teorinya, terus jadi cantik. Maka khalayak jadi takut untuk menilai seni itu dengan berani dan jujur, kerana ‘kekuatannya’ telah digembar-gemburkan oleh teori/manifesto. Teori/manifesto menjadi mekanisme pertahanan kental. Maknanya, seni moden menggantikan  feel dengan teks. Misalnya dalam filem jika seorang pengarah mengikut Dogme 95 – kamera bergoyang – adakah ia perlakuan jujur atau hanya percikan manifesto yang ditulis oleh orang lain? Adakah kamera sengaja dipegang dengan tangan semata-mata mahu mengikut ‘dogma’ tersebut? Seni moden beresiko membuatkan artis itu berdondang sayang -- O.. betapa seni-nya aku -- hanya kerana dia mengikut teori (teks), bukan kata hati (feel) yang lebih jujur. Ini yang dikhuatiri terjadi, malah sebenarnya memang terjadi. Seni satu kerja kraf, membabitkan persoalan estetika. Maka setiap kraf perlu ditangani dengan ‘sempurna’ dan cuba mencipta ‘kecantikan.’ Tapi teori kadangkala menyebabkan artis meremehkan aspek kraf demi menyahut seruan teori/manifesto biarpun secara teknikal, krafnya itu kelihatan teruk. (Tapi ada juga situasi yang mana feel tadi dikelepet dengan kata ‘poetic’ bagi menutup ciptaan yang teruk dari segi pembuatannya.) Apapun bagi saya, ini terlebih dahulu menjadi persoalan buat artis itu sendiri, bukan khalayak.

Secara peribadi, bukan saya menolak seni moden, dalam apa bentuk sekalipun. Saya juga tak mengesyorkan kita perlu kembali ‘menghidupkan’ seni tradisional lalu ‘membunuh’ seni moden. Saya juga langsung tak menolak sebarang teori/manifesto. Bahkan menguasai teori itu penting, bagi menambahkan kefahaman dan intelektualiti seseorang. Cuma bagi saya, dalam menilai, manusia perlu jujur dengan kembali pada naluri asas – common sense – sebagai manusia. Percaya cantik sebagai cantik setelah benar dinilai berdasarkan citarasa/intelektualiti seseorang. Kualiti mesti mampu dinilai secara jujur, dan yakin untuk membezakan mana satu yang bagus, mana satu yang teruk, tanpa dipengaruhi teori yang dicanang oleh ahli teori dan pengkritik seni. Seni tak perlukan teori hanya semata-mata mahu membuktikan ianya berkualiti. Maksud saya, setiap orang wajar membuat penilaian berdasarkan intelektualiti masing-masing. Malah sebenarnya dengan cara itulah discourse seni akan terus berlanjutan kerana berlakunya kontradiksi demi kontradiksi pandangan.

Kalau arkitek Jacques Herzog, dia kata dia tak peduli sangat pasal gaya yang khusus, maka rekaannya sentiasa berubah-ubah berdasarkan projek dan program rekabentuk. Barangkali dia ini, arkitek yang ‘berjiwa artis.’ Dia juga tak terikat dengan sebarang teori senibina yang khas; cth: Deconstructivist. Herzog de Meuron dekat dengan Decontructivist, hakikatnya adalah label yang diberi oleh para jurnalis, dan pengkritik senibina tanpa mereka sendiri ambil peduli. Kata Jacques Herzog lagi, apa yang penting baginya ialah; beauty and intelligence. Jadi kesimpulannya; makan dulu, teori kemudian. (Tapi kat tempat yang betul-betul sedap la, bukan William.)


Mohd Ikhwan Abu Bakar