Memaparkan catatan dengan label Liew Chee Heai. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Liew Chee Heai. Papar semua catatan

Rabu, Februari 19, 2025

Performans yang saya tonton 2024

Saya mula menulis di blog ini tahun 2008, dan saya percaya kalau nak buat sesuatu buat ia selama sekurang-kurangnya 10 tahun secara konsisten. Dengan praktis selama 10 tahun itu ia jadi sekolah untuk sesiapa pun belajar apa-apa. Menulis membuka ruang untuk saya teroka ke dunia-dunia lain seperti seni teater dan persembahannya misalnya. Saya mula dengan Teater Modular pada tahun 2017, yang bawa maksud ia masih belum 10 tahun; saya kena terus melibatkan diri dengan teater untuk ada kefahaman yang lebih mendalam.

Berbalik kepada penulisan blog ini, ia sudah 16 tahun, dan trend sudah berubah dan tiada siapa guna blog sangat. Tapi kadang-kadang trend boleh datang balik, tapi semua itu tak penting. Yang penting saya perlu sedikit alasan untuk terus menulis di blog ini, dan satu-satu siri yang saya kekalkan ialah himpunan ulasan seni persembahan yang saya tonton sepanjang tahun. Saya sudah mulakan siri ini dari tahun 2017 yang bermakna ia sudah 7 tahun, merentas pandemik 2020.

Ulasan saya kadang-kadang berbentuk nota saja, tapi ada waktu saya senang untuk buat kupasan yang lebih terperinci, ikut mood. Ada waktu selepas saya tonton satu-satu persembahan, saya terus tulis, dan ia tersimpan sebagai draf. Tapi ada waktu saya perlu ingat balik apa yang terjadi, ditulis jauh dari pengalaman pementasan. Saya sentiasa cuba ambil iktibar dari kesilapan teater orang lain untuk ia tak diulang. Seperti sejarah, apa yang telah ketara tidak berkesan, perlu dielak, dalam mengalami kesilapan-kesilapan baru. Teater sentiasa bersifat komuniti, maka cara ia bercambah dan tumbuh perlu saling berefleksi. Saya akan tulis direct apa yang saya rasa, sebab untuk terlalu jaga hati adalah untuk mundur bersama. Apa yang saya tulis ialah apa yang saya rasa, jadi saya sentiasa rasa ia bukan sesuatu yang peribadi, dan fokus saya sentiasa karya atau apa yang dipersembahkan sebagai medium teater.

1. Persiapan Seorang Aktor arahan Syahrul Musa, skrip Saat Omar, artistik Hamzah Tahir. 29 Jun 2024, Studio Sedar Ruang—Saya ada tonton versi awal teater ini yang ditulis untuk projek student Sadiq M. Jamil dan bercadang untuk membandingkan antara kedua-duanya. Play ini seperti ingin memaparkan kelemahan seorang aktor/suami yang mana kejayaannya disokong oleh seorang wanita/suri rumah iaitu isterinya. Dalam versi Sadiq, Watak suami ketara terbaring, dan tak mampu bergerak, dipapah dan dimandikan oleh isterinya. Watak suami kebanyakan waktu terlentang di atas katil dan berada di sekitar tengah ruang pentas di mana lampu sorot disuluh. Watak isterinya pula aktif fizikal bergerak dan berlari, merentas kiri dan kanan bangunan (pentas teater ini outdoor di hujung bangunan empat tingkat, berserta struktur scaffolding besi dua tingkat), dan malah berlari naik ke tingkap tingkat dua (atau tiga?) yang menjadi dapur rumah mereka. Watak suami yang berfalsafah tentang teknik lakonan di dalam keselesaan pajama-nya merupakan satu bentuk kepoyoan. Kedua-dua aktor ini serius di dalam aksi mereka, tetapi selaku audiens pabila kita melihat seluruh kanvas pentas, kita tahu nada play ini menyindir ego dan visi seni kelelakian. Di tangan arahan Sadiq, naskah Saat Omar ini terasa in sync dengan lawak jenakanya.
 
Ini jauh sekali berbeza dengan versi arahan Syahrul Musa di mana setiap yang saya ceritakan tadi merupakan keterbalikan. Dengan ruang pentas yang lebih terhad dan approach naskah yang lebih serius. Ia masih komedi, tetapi bukan dari esensi naskah, tetapi berfokus kepada jenaka add on yang ditambah dan berasaskan situasi. Misalnya setiap malam akan dipetik nama seorang audiens yang hadir (biasanya tokoh) di momen tertentu. Nada jenaka dari play tenggelam dan digantikan dengan keseriusan watak suami yang benar-benar yakin dengan kata-kata dan ilmu lakonannya. Keseriusan dan subversion terhadap play ini membuatkan partiarki timbul di akhir pementasan.
 
Antara imej yang saya suka dalam teater arahan Syahrul Musa ini ialah pabila watak suami lakonan Aloy Paradoks, setelah selesai melontarkan monolog Hamlet dengan penuh perasaan mendalam, lalu terduduk di kerusi tengah di bawah lampu sorot termenung mengalami katarsis. Sementara itu siluet isterinya lakonan Fazleena Hishamuddin melintas ke kiri dan kanan sedang mengemas rumah di hadapannya. Imej ini merangkumkan apa yang saya rasa play ini ingin sampaikan. Jika ia tamat di sini, saya rasa ia persembahan yang baik. Tetapi sentuhan babak akhir buat ia kembali konvensional. Instead of hubungan suami isteri ini absurd dan lucu, adegan akhir ini menerapkan hubungan kuasa yang biasa dipaparkan media popular kita di mana watak isteri itu tiada agency dan yang lelaki kekal dominan. Meski ia play yang sama, tetapi sentuhan direction beri nuansa yang berbeza. Di dalam versi Sadiq, kedua-dua suami isteri ini karikatur yang cocok dengan play dan ruang. Watak suami menguasai dialog tetapi watak isteri menguasai ruang. Tetapi di dalam versi Syahrul Musa ini, watak suami bulat, penuh, realistik, mendalam dan serius (tak dinafikan lakonan Aloy mantap) tetapi ini bikin ia tidak seimbang dan mendedahkan kelemahan watak isteri dengan ayat yang selalu mengalah, idea kena cantas disamping ruang untuk watak isteri ini bermain terasa kecil dan sempit.

2. Waktu Batu. Rumah Yang Terbakar directed by Yudi Ahmad Tajudin. Teater Garasi/Garasi Performance Institute (Indonesia). 28 Julai 2024, One Theatre Hall, Penang (sebahagian George Town Festival 2024)—Sebelum menonton ia secara langsung depan mata, saya sudah terlebih tonton versi rakamannya di youtube. Ia satu fasa di mana saya tonton hampir semua dokumentasi video oleh Teater Garasi di Youtube. Ada beberapa yang berbekas yang menimbulkan emosi meski ia cuma rakaman, dan ‘Waktu Batu. Rumah Yang Terbakar’ merupakan salah satunya (ada beberapa versi, yang saya tonton versi Indonesia Bertutur 2023 di Candi Borobodur). Selain itu, pengalaman penontonan via komputer rumah berjudul “Yang Fana Adalah Waktu. Kita Abadi” (2016) dan “je.ja.l.an” (tidak pasti sama ada rakaman ini versi ‘Yogyakarta, Jakarta 2008’, ‘Shizuoka Jepun 2010’ atau ‘Adelaide Australia 2015’) juga berbekas. Saya pernah dengar nama Teater Garasi (bukan Garasi TV ya) tetapi saya tidak terdedah dengan approach mereka. Berkat internet, kini saya tahu, dan sempena George Town Festival 2024, saya dapat nikmati seni persembahan yang benar-benar meneroka jenis pengucapan sebegini. Sepertimana sebelum ini saya lebih awal mendedahkan diri dengan rakaman performance penuh Pina Bausch, dan kemudian Dumb Type dari Jepun, untuk saksikan sesuatu yang segar dan besar dalam skala nusantara dengan pengucapan hibrid sebegini cukup mengujakan.

‘Waktu Batu. Rumah Yang Terbakar’ mengkagumkan kerana meski ia bukan persembahan yang berlandas bahasa semata, tetapi bahasa-bahasa percakapan yang terungkap (biarpun berfragmen), amat kuat. Sebagai penulis saya terpaksa akui kebanyakan karya-karya teater di Malaysia lemah dari segi ini, sesuatu yang perlu diambil iktibar. Perasaan saya sewaktu menonton, ada suatu kesedihan dan ratapan profound suara-suara wanita dirasai. Di dalam sinopsisnya tertera perkataan ‘duka ekologis’ (ecological grief), ia barangkali suatu titik mula kerana ekologinya tidak begitu ketara tetapi grief-nya intens dan mendebarkan. Untuk teroka grief dalam teater perasaannya primordial (sejak tamadun kuno), tetapi untuk sentiasa mengalaminya dari semasa ke semasa, dalam mendepani dunia, ia diperlukan. Metodnya penuh kecanggihan, tetapi pada saya bunyi-bunyi yang berpadu (bunyi suara, rekaan bunyi, nyanyian kugiran, bunyi pentas, tiada bunyi, etc.) yang menuju ke suatu bentuk ‘kebakaran’, buat persembahan ini menjadi salah satu persembahan kegemaran sepanjang zaman. Teater merupakan medium yang aneh dan terhad, di mana kita cuma berpeluang saksikan apa yang berada di dalam lingkungan ruang yang boleh kita pergi, di dalam hidup kita. Dan untuk mengalaminya secara langsung, sewaktu Teater Garasi (est. 1993) pelan-pelan bertransisi menjadi Garasi Performance Institute, dari visi Yudi ke Ugoran, untuk merasai ketiadaan sosok Gunawan Maryanto, dari forum formal sebelum persembahan ke sesi informal di restoran Cina selepas persembahan, untuk sentiasa mempersoal kerelevanan membikin teater dan seni, untuk berdisiplin dengan pelbagai disiplin.

3. I Thought We Had A Deal (and I tell you with tongue between your toes) directed and scenography by Liew Chee Heai. 3 Ogos 2024, KongsiKL—Persembahan ini ibarat gambar tiga dimensi di mana kita dapat lihat konfigurasi empat tubuh dalam posisi berbeza dari stesen meja mereka, ke van, ke pentas utama dari kiri ke kanan, depan ke belakang, atas ke bawah. Dari ingatan saya wanita berambut pink kebanyakan waktu berada sedikit jauh dari tiga yang lain, dan dalam masa sama, saya dapat rasa gadis ini lebih meneroka pengalaman Gen Z (loneliness, ootd, etc.), manakala tiga yang lain lebih dalam satu unit generasi berbeza. Eksplorasi tubuh terlihat tetapi abstraksi ini tidak menuju ke suatu perasaan yang koheren. Judulnya yang rambang, barangkali beri sedikit idea bahawa ia bermain-main dan juga sedikit sensual dan absurd (tongue between your toes). Bahagian paling menarik pada saya apabila tubuh lelaki menampung papan dengan tubuh wanita di atasnya, selari dengan gadis berambut pink itu gerudi tembikai. Saya tak tau apa maknanya tetapi ia playful, sensual dan lucu sekali gus.

Penggunaan tiang-tiang yang dihimpunkan secara tergesa-gesa selari dengan musik yang menuju kresendo klimaks persembahan tidak saya faham atau rasai, kerana urgency ini tidak dibina dari awal. Tubuh-tubuh ini tiada karakter penuh, selain dari rupa fizikal, saya tiada idea apakah keresahan tubuh-tubuh ini untuk berada di atas pentas selain melakukan persembahan. Pendek kata saya tak boleh relate dengan tubuh-tubuh ini andai ia tiba-tiba gelisah ingin mengumpulkan batang-batang kayu setempat. Runut bunyi ala klimaks post-rock seolah beri idea bahawa adegan ini penting dan mendebarkan, tetapi ia jadi detached dan buat saya tiada empati. Klimaks ini lalu dihentikan, dan mereka berempat menyanyi pada van yang ditolak ke kiri dan ke kanan, dengan suluhan lampu terang. Ia seperti kesengsaraan terjadi ketika dua orang gelisah mengumpul batang-batang kayu yang panjang di dalam gelap, sebelum segalanya hilang, rupanya ia mimpi ngeri, dan mereka di alam syurgawi ala Teletubbies, menyanyi ke kiri dan ke kanan. Saya sedar tentang bentuknya yang beragam, tetapi secara keseluruhan, konfigurasi-konfigurasi ini tiada graviti mahu menuju ke mana atau bercakap tentang apa. Teks tentang persembahan ini juga agak rambang dan tidak membantu. Ia terbuka yang terlalu terbuka. Tidak dinafikan imej-imejnya kuat dengan penggunaan lampu dan kostum, tetapi sebagai suatu persembahan yang berpadu dengan bunyi dan durasi, ia tidak menampung beban untuk menuju ke suatu arah. Saya sedar saya sedang menyaksikan dan respek kesungguhan para performers, tetapi tiada apa-apa yang bergerak dan menyentuh di dalam, persis melihat catan, saya admire apa yang terpapar, dan boleh appreciate segmen-segmen kecil.

 Ridhwan Saidi

Rabu, Disember 28, 2022

Sembilan performans yang saya tonton pasca pandemik 2021-2022

Meneruskan amalan ‘Lapan performans yang saya tonton dan rasa terkesan untuk tahun 2019’, ‘Tiga performans yang saya tonton dan rasa terkesan untuk tahun 2018’ serta ‘10 Teater Terbaik kami tonton 2017’ cuma pada tahun 2021-2022 ini, turut saya kongsikan perasaan terhadap persembahan yang kurang berkesan dan underwhelm (sebab kalau saya tulis tentang yang berkesan saya cuma akan tulis tentang dua performance saja). Mungkin hari yang saya tonton tak menjadi dan ia menjadi di hari lain, atau mungkin saya seorang saja yang rasa tak terkesan tetapi ia berkesan untuk orang lain. Yang pasti saya perlu telus dengan perasaan saya pada ketika saya berhadapan dengan setiap persembahan dan sesi staged reading ini.


1. Ridzwan Othman's ‘Nudity & Mortality Report: Mount Kinabalu’. 13 Nov 2021, DPACStage reading ini berdurasi 3 jam, yang menurut saya patut ada internal reading dulu untuk edit dan buang apa yang patut sebelum ia dipersembahkan kepada umum. Durasi 3 jam tak menjadi hal kalau ia perlu tapi dalam kes ini ia terasa meleret dan melewah. Yang paling melemahkan play ini pada saya world building-nya di awal kisah. Ia sukar untuk saya percaya bahawa mitologi Sisyphus (secara literal) boleh diimport ke Gunung Kinabalu. Nada komedi yang nonsensical ini perlu di-establish terlebih dulu. Ia mesti ada unsur kelakar terlebih dulu (dalam kes play ini saya tahu ia ingin buat kelakar, tapi pelaksanaannya tak menjadi).
        Seperkara yang turut mengganggu fikiran saya bila Sisyphus digunakan, ia sewajarnya perlu bereaksi dengan The Myth of Sisyphus oleh Albert Camus. Ia elok untuk libatkan pertanyaan tentang kegembiraan, meski dalam naskah ini Sisyphus tak sempat diimport kerana mati mengejut, cuma batunya saja yang diimport (yang bikin saya makin kurang faham dengan cara kerja dan alam import-export budaya dan mitos dalam play ini).
        Bahagian kedua play ini melibatkan seorang ibu (yang saya rasa diaksikan dengan baik, cuma karakter ini di atas kertas tak cukup kompleks) yang mana anaknya menjadi mangsa kemalangan ditimpa bebola batu Sisyphus yang diimport tadi. Saya ingin bersimpati dengan watak ini tetapi gabungan komedi dan tragedi di dalam play reading ini rasa tak seimbang, dan watak ibu ini seingat saya ingin cari kebenaran tentang apa yang menyebabkan kematian anaknya, dan setelah ia diberitahu kisah sebenar, watak ibu ini saya tidak pasti apa perasaannya sebab cerita berpindah ke watak-watak lain sebelum ditamatkan. Saya rasa play ini mahu gabungkan nada komedi dengan tragedi yakni sesuatu yang bukan senang. Bahagian ibu yang tragik itu hampir ada feel, tetapi nada komedi dalam play ini bikin kecamuk dan perlu diperhalusi lagi.

2. Mortal Man: Two Monologues, playwright Leow Puay Tin, facilitated by Tung Jit Yang. 18 June 2022, Five Arts Centre, GMBB—Satu lagi stage reading work in progress, dengan sinografi dan penyampaian yang baik. Saya sentiasa rasa watak protagonis tulisan Puay Tin ditulis untuk dimainkan oleh Puay Tin sendiri dan dalam kes ini, watak Puay Tin dimainkan oleh Puay Tin sendiri yang membuatkan ia berkesan. Kisah play ini tentang monolog hubungan antara Puay Tin dan Krishen Jit. Kita akan dengar cerita yang sama dua kali, yang pertama diceritakan dari sudut pandang ketiga Puay Tin, dan di separuh masa kedua, kita akan dengar watak Krishen Jit pula menceritakan apa yang telah diberitahu Puay Tin tadi melalui sudut pandang pertama.
        Teks bahagian kedua ini saya rasa tak cukup mendalam untuk hidupkan karakter Krishen Jit. Kata-kata yang keluar umpama petikan bahan kajian bagi sebuah penulisan tesis. Watak ini tak hidup pendek kata. Ia jadi repetitif kerana apa dicakap Puay Tin, diulang sekali lagi oleh watak Krishen Jit tanpa ada tambahan atau kedalaman. Sebagai contoh, watak Puay Tin ini ada beritahu bahawa dia tahu satu anekdot (atau rahsia) tentang isteri pertama Krishen Jit. Ia bikin intrig dan kita fikir sebab pembayang sudah diberi, ia akan didedahkan oleh watak Krishen Jit di bahagian kedua, tetapi ia tiada. Apa yang Krishen Jit cakap cuma apa yang dah dicakap Puay Tin sebagai storyteller di awal kisah. Watak Krishen Jit ini cuma baca petikan surat atau teks yang ditulis oleh arwah Krishen Jit sebenar.
        Bahagian pertama naskah ini sudah elok, cuma sekarang bagaimana untuk beri kedalaman terhadap bahagian kedua. Watak Krishen Jit yang dihidupkan kembali ini perlu dihidupkan oleh imaginasi Puay Tin tanpa kompromi, dengan kata-kata dan cerita-cerita yang telus. Dalam seni kebenaran saintifik tak boleh lawan kebenaran emosi. Watak ini perlu keluar dari kerangka bukti-bukti kajian. Watak Krishen Jit ini perlu berubah daripada subjek menjadi manusia.

3. Ghaib karya Faisal Tehrani, arahan Fasyali Fadzly. 10 Sept 2022, Panggung Eksperimen, ASWARA—Sebelum kita ke play ini, ingin saya sentuh baris-baris ulasan play ini oleh orang lain yang bikin saya jadi tak senang duduk. “Mengkritik karya Faisal Tehrani ibarat meletakkan leher untuk dipancung.” – Roslan Madun via Ghaib: Karya Faisal Tehrani perlu dilihat dengan mata hati. Ayat pembukaan ini pada saya bertentangan dengan apa yang play ini nak sampaikan. Ia seolah menjadikan Faisal Tehrani persis Prof Saudade yang disanjung atas dasar ketokohannya—sebentuk fatwa pemujaan tokoh. “Mereka memanfaatkan seluruh ruang permainan dengan gerak (bloking) yang jujur.” Kenyataan ini juga bikin runsing, sebab ‘lakonan yang jujur’ kita boleh faham, tetapi gerak bloking yang jujur? Bagaimana bloking sesebuah teater itu menjadi jujur?
        “Sure, this plot twist is an efficient and evergreen storytelling device.” – Rahmah Pauzi via Ghaib: Can the Unheard Speak? Dalam ulasan dengan judul ala Gayatri Spivak ini, ia ingin menyatakan plot twist yang berlaku di akhir kisah (yang akan kita sentuh kemudian), tapi dalam kes play ini plot twist-nya tak efficient. Twist di hujung kisah perlu di-earned, dan bukan tiba-tiba terjadi. Untuk kata ia evergreen juga tak pasti, sebab story yang ada plot twist secara semberono ini bukan sesuatu yang senonoh.
        ‘Plot twist’ ini jika kita boleh panggil ia, sewaktu selesai penontonan saya merasakan ia tindakan yang amat old school. Untuk watak tiba-tiba ada penyakit, bayangkan Qayyimah ini merahsiakan penyakit barah. Tetapi dalam kes ini, ia Alzheimer (yang sewaktu penontonan saya sangkakan ia masuk pusat sakit jiwa). Apa pun ia sejenis penyakit yang dirahsiakan, jika dulu watak dalam filem Jins Shamsuddin merahsiakan penyakit daripada anak-anak dan keluarga, dalam kes play ini, penyakit ini dirahsiakan daripada audiens. Dan oleh sebab penyakit yang dipilih Alzheimer, seluruh play yang kita tonton awalnya merupakan fikiran dalaman watak Mama atau Qayyimah ini yang sudah hilang ingatannya (anaknya datang melawat, tapi yang disebut nama Saudade).
        Secara strukturnya, plot twist pertama terjadi apabila Qayyimah mendedahkan bahawa dialah penulis 30 lebih buku-buku Prof Saudade (Saudade cuma tulis satu). Dengan pendedahan kebenaran ini, ia bikin intrig sebab saya ingin tahu apa jenis gaslighting atau pukau jenis apa yang dibuat Prof Saudade sehingga Qayyimah boleh menulis 30+ buku-buku “critical analysis on postmodern feudalism, social justice, and political-religions dynamics in society.” Untuk paksa orang tulis satu buku bukan mudah, inikan pula 30 buah buku yang heavy-heavy belaka. Selain itu saya juga ingin tahu, apa reaksi anak-anak dan menantunya dengan kenyataan ini, adakah mereka percaya? Ini poin penting untuk setiap karakter berubah.
        Selepas Qayyimah menyatakan kebenaran, bahawa dialah ghost writer buku-buku Prof Saudade, plot twist kedua berlaku on the spot dan potong segala perasaan dramatik dan ingin tahu tadi—Qayyimah ini rupanya pesakit Alzheimer yang tak bernama iaitu Mama. Tindakan ini pada saya aneh, ia seolah beri impresi bahawa selepas kita nyatakan kebenaran, kita jadi sakit dan hilang ingat. Yang merunsingkan, saya fikir ia masih okay kalau anak-anaknya yang jatuhkan hukum ke atas ibu mereka dengan tidak mempercayai ibu mereka, tetapi di sini yang menghukum watak Qayyimah/Mama ini dramatisnya. Sakit ini tak dibuat oleh masyarakat dan ahli keluarganya (Qayyimah berkonflik dengan mereka sepanjang play), tetapi akhirnya Qayyimah dihukum penulis/penciptanya. Meski play ini ingin menuju ke sesuatu yang pesimistik dan tiada harapan, ia tiba-tiba.
        Saya fikir potret Prof Saudade yang tergantung itu perlu dibakar, disengetkan atau sesuatu. Sesuatu patut terjadi kepada ikon/berhala ini sebab ia apa yang ditentang dalam play ini, iaitu ketokohan yang berpijak atas usaha orang lain. Itu apa yang saya rasa play ini ingin sampaikan, tetapi dengan watak protagonis yang disakiti oleh semua watak lain, dan lalu diberi penyakit oleh dramatisnya pula, manakala potret antagonis pula tersergam di atas dari mula sampai akhir, dan malah kata-kata terakhir yang keluar dari mulut protagonis merupakan ‘Saudade’. Ia jadi double edged sword di sini, sebab di sisi literal ya kita tahu kita patut berpihak dengan Qayyimah yang tertindas (ini cerita orang tertindas), tetapi secara spiritualnya juga play ini dengan sinografi dan bahasa, meletakkan Prof Saudade di atas altar.

4. Kubah Panggung, idea-konsep Sarina Aziz, arahan Afiza Asram, skrip Azwan Azhari. 2 Okt 2022, MaTIC, KLPlay ini tentang sekumpulan penggiat teater yang mana tempat latihan mereka (iaitu JKKN, KL) mahu dirobohkan. Untuk menghalang tindakan ini, ia bermula dengan protes dan sepanduk, tapi kemudian mereka dapat idea untuk buat kertas kerja tentang sejarah bangunan yang penuh sejarah itu dalam menghalang ia dari dirobohkan (untuk apply sebagai bangunan warisan barangkali). Bermula dari sini, play ini mengaksikan semula memori-memori di bangunan ini.
        Secara ideanya play ini menarik, tetapi apa yang kurang pada saya bagaimana ia disampaikan. Ia tidak jelas untuk sebuah play yang ingin sampaikan fakta sejarah. Ia mulanya terasa metafiksyen, kerana pada awalnya saya sangkakan mereka sedang bercakap tentang bangunan MaTIC (di mana persembahan ini berlangsung), tetapi rupanya ia merujuk kepada bangunan lain di KL (selepas setengah jalan ditonton). Rekaan pentasnya minimal dengan prop bongkah-bongkah putih dan kain putih sebagai latar. Tetapi minimalism ini jadi excessive, dalam erti kata ia jadi serabut bila digabungkan dengan pencahayaan dan pancaran projektor yang berwarna-warni.
        Play ini merentas waktu (sepertimana play Opium selepas ini), dan secara kronologi. Tetapi ironinya, oleh kerana penyampaiannya tidak jelas dan tiada clarity, ia terasa kabur. Penyampaian di sini bukan oleh para aktor, kerana lakonan mereka jelas saja (malah ia meyakinkan untuk sebuah grup teater amatur yang mana cuma ketuanya saja yang paling into lakonan). Yang tak jelas adalah bagaimana bangunan JKKN, KL itu yang juga merupakan watak penting, tetapi tidak diberikan imej yang kuat. Saya ada rasa pancaran projektornya lumens rendah, membuatkan saya sebagai penonton tak rasa kewujudan bangunan itu. Fakta-fakta tentang bangunan juga tidak cukup kuat untuk kita membayangkan kewujudan bangunan itu (saya masih terpesong memikirkan ia tentang panggung MaTIC itu sendiri).
        Ada satu momen yang mengesankan apabila ensembel pelakon memainkan semula watak tokoh-tokoh teater dari masa lalu yang bikin lucu dan nostalgik. Malah nama grup teater mereka juga sempena nama yang serupa dengan nama grup teater Mustafa Noor (yang saya sudah lupa). Dengan premis ini, saya fikir penting untuk grup ini dalam masa sama mencari identiti sendiri selari dengan usaha mengkaji sejarah bangunan JKKN, KL, tetapi ini tidak diteroka di dalam play ini. Saya malah lupa bagaimana play ini berakhir. Ia tiba-tiba menjadi gembira. Play ini terasa simplistik dan moralistik dengan idea bahawa jangan protes ikut emosi via demonstrasi jalanan, sebaliknya buat kertas kerja untuk establish bangunan (yang bakal dirobohkan) dengan sokongan sejarah, sebagai bangunan warisan.

5. Opium at Closing Time, written and directed by Tarrant Kwok. 26 Oct 2022, Black Box, DPAC—Satu lagi play tentang Alzheimer tetapi secara strukturnya ia lebih baik dan jelas jika dibandingkan dengan Ghaib. Play ini menampilkan memori-memori lama seorang ibu bernama Yen yang lahir dalam keluarga yang buka kedai runcit, melalui zaman perang, darurat, Hartal Pulau Pinang 1967 antaranya. Yen dijaga oleh anak lelakinya bernama Chai yang saya rasa watak ini boleh diperkukuhkan, kerana setakat ini watak ini monotonous dan tak ada arc, dan cuma dipaparkan perlu bersabar dan suruh ibunya Yen kembali duduk di kerusi, selepas Yen selesai menceritakan memorinya kepada audiens.
        Ia tiba-tiba berubah apabila dua kali adegan Chai menjadi muzikal yang pada saya janggal sebab ia muzikal dari perspektif Chai: untuk beri idea bahawa meskipun Chai ini sewaktu jaga Yen tak berperasaan sangat, lebih kepada menahan sabar dan menahan marah bila ibunya cakap hal lepas (seperti ingin bersiap-siap untuk ke konsert Sudirman misalnya), tetapi sebenarnya dia sayangkan ibunya (ini dinyanyikan secara muzikal). Untuk shift perspektif ini daripada watak Yen kepada Chai mungkin berkesan andai ia sebuah komedi light-hearted, cuma dalam kes play ini ia turut melibatkan trauma-trauma negara di masa lalu yang berlaku di Penang.
        Naskah play ini ada potensi (untuk alami peristiwa-peristiwa gelap negara yang banyak dan tak berfokus kepada satu ini menarik), tetapi pelaksanaannya boleh lebih diperhalusi. Sebagai contoh oleh kerana play ini berdepan dengan unsur sejarah yang dark dan ganas, adegan askar Komunis (atau Jepun?) ambil beras dan nyawa dari kedai runcit mereka ini boleh diberi sentuhan muzikal agar ia lebih intens dan harrowing. Maksudnya daripada gunakan muzik gembira untuk situasi gembira, ia akan lebih menakutkan jika muzik gembira digunakan di situasi yang tak sepatutnya. Jika Nudity & Mortality Report: Mount Kinabalu cuba menyeimbangkan antara komedi dan tragedi, dalam Opium at Clossing Time ia sedang menyeimbangkan sesuatu yang light-hearted dengan historical trauma, memang bukan mudah. Range antara ringan dan berat ini kalau tak jauh, membuatkan perasaannya tersekat di tengah dan ia bahaya kerana di tengah ini terletaknya mediocrity.

6. Two Lines in a Square devised by Ora, Seng Soo Meng and Li-Chuan Lin (Aki), 5 Nov 2022, Now TheatreEmosi yang dibawa tidak jauh daripada play Opium sebelum ini tetapi dengan pelaksanaan yang berkesan. Ada satu kesedihan terpendam, dan ia turut berdepan dengan trauma masa lalu. Secara sinopsisnya ia berkisar sekitar tiga generasi di dalam satu keluarga: Watak Atuk lakonan Seng Soo Meng telah kehilangan anak lelakinya di dalam satu rusuhan (kaum), diikuti oleh watak cucunya lakonan Ora yang ingin mengkaji dan menyiasat tentang kehilangan bapanya. Watak ibu lakonan Li-Chuan Lin muncul sebagai hantu memori dan dokumentasi rakaman audio. Dari segi geografi, feel-nya terasa lebih memberat ke Taiwan (ada ikan paus disebut), dan kurang rasa hangat khatulistiwa.
        Meski play ini dilaksanakan oleh tiga orang dari tiga negara iaitu Malaysia, Singapore dan Taiwan, tetapi oleh kerana pementasan ini terjadi di Malaysia, saya rasa alangkah baik jika ia spiritually lebih grounded dengan atmosfera di Malaysia/Singapore. Barangkali perasaan membaca sari kata Inggeris ini yang buat saya terbayangkan ia memberat ke Taiwan. Boleh jadi buat mereka yang menonton dan memahami bahasa Mandarin, lenggok bahasanya buat ia rasa lebih setempat.
        Saat yang paling menangkap untuk saya terjadi apabila watak Ora berbual dalam bahasa Inggeris dengan AI jam tangan pintarnya. Ia momen yang membolehkan saya terhubung dengan kata-kata yang diucap (ia difahami), tapi dalam waktu yang sama perasaan loneliness dan sedih pula yang menyusup tiba. Selain itu fizikaliti Soo Meng yang berlakon dengan prop bangkunya membolehkan kita membayangkan adanya basikal dan titi. Kedua-dua aktor yang berada secara langsung ini beraksi dengan baik, cuma yang kurang berkesan pada saya adalah keberadaan pancaran video Li-Chuan Lin yang dirakam dengan efek glitch/jump cut? Kesan ini entah kenapa bikin saya sedikit detached dengan persembahan, untuk memikirkan kenapa ia sebegitu rupa pada ketika itu. Saya rasa keberadaan watak Li-Chuan Lin ini tentu lebih baik jika ia dizahirkan secara lebih berhantu (projection life size?/tanpa jump cut?). Kerana ia bukan tubuh fizikal dan bukan juga memori dari komputer, ia memori yang datang secara ingatan manusia (selain itu ada memori berbentuk rakaman audio yang disimpan anaknya). Ini walau bagaimanapun cuma satu hal kecil, tetapi secara umumnya emosinya stabil dari awal hingga hujung dengan direction yang jelas. Satu daripada dua performans yang elok buatannya yang saya tonton untuk tahun 2021-2022.

7. 14 Februari, tulisan dan arahan Walid Ali, Black Box, DPACJenaka offbeat Walid ini membuatkan saya terumbang-ambing antara perasaan mahu cringe, rasa hambar, dan lucu dalam waktu yang sama (perasaan ini tak tetap di satu pola sebaliknya ia sentiasa berubah-ubah arah sepanjang play). Jika saya boleh gambarkan bagaimana rupa jenaka ini, ia naif, shallow, ada waktu anti-jokes, ada waktu slapstick, dan ada waktu mendekati lawak-lawak meme di internet. Tapi, di bawah lapisan komedi ini sensibility-nya masih berlegar-legar di sekitar stereotaip yang membuatkan lawaknya rasa dari masa lampau (dari tahun hujung 90an dan awal 2000an, sekitar terbitnya filem Titanic barangkali). Ia ada potensi untuk jadi dark comedy dengan menyentuh hal-hal sensitif dan taboo, tapi oleh kerana cara ia di-handle ringan dan naif, sukar untuk kita fahami sifat karakter yang tiba-tiba mahu selfie dan buat IG story sebelum terjun KLCC misalnya, tanpa kita faham perangai dan situasinya terlebih dulu. Adegan yang paling berkesan untuk saya apabila Nadia meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap lelaki (dalam mencari pasangan), meski baris ayatnya biasa, tapi terasa benar (bila dikontras dengan hal-hal lain).
        Di atas kertas, kedua karakter lelaki (Sadiq) dan perempuan (Nadia) ini terasa karikatur, dan sifat mereka juvenil dan kebudak-budakan dari sekolah (awal) hingga dewasa (akhir). Tiada proses pembelajaran dan kematangan berlaku setelah mereka menempuh penolakan dan perpisahan sebanyak 100 kali (atau adakah ia 1,000 kali?). Sebagai penonton yang memerhati, tak dinafikan watak lelaki lebih banyak ditolak, manakala watak perempuan pula lebih banyak menolak. Ia tentu lebih baik jika dinamik setiap perhubungan mereka ini jadi lebih luar duga, rencam dan mencabar.

8. khakkhakkhak performance by Liew Chee Heai (creative director), Loke Xiaoyun, Sandee Chew, Tung Jit Yang (26 Sept, part 1?), KongsiKLPerfomans ini lebih berupa instalasi dengan manusia di dalamnya yang melakukan aksi yang berulang-ulang, sebentuk endurance art. Telah dijelaskan lebih awal bahawa ia berdurasi 4 jam (meski performance ini bertahan selama 3 jam setengah), jadi saya sebagai audiens sudah persiapkan diri untuk turut endure durasi ini. Cuma pengalaman saya bersama performans ini adalah seperti berikut:
        Dalam sejam pertama saya duduk paling hadapan (tapi kerap berjalan ke belakang sebab repetition yang berlaku meresahkan), kemudian sejam kedua saya duduk paling belakang, agar bayang-bayang audiens beri satu layer foreground kepada performans tersebut (entah kenapa bayang dan gerakan tubuh audiens bikin saya jadi tenang), selain itu, saya turut keluar untuk berbual kerana saya seakan sudah tahu struktur performans ini iaitu ia perlu endure gerakan-gerakan tertentu dalam tempoh tertentu, sebelum ada reset point, untuk gerakan dan posisi performer berubah. Sejam ketiga saya makan dan minum di gerai mamak. Sekembalinya untuk saksikan sejam terakhir (yang akan berakhir dalam 30 minit), visualnya kembali memukau untuk beberapa ketika, dan pada ketika ini, para performers (termasuk improvisasi suara) sudah rabak dan sudah blend in dengan rekaan set tersebut yang membuatkan perasaannya lebih baik. Aksi yang dibuat juga lebih kuat, dengan Chee Heai terbalik dengan kaki seperti dahan pokok (sama dengan posisi pembukaan), Jit Yang dengan botol-botol plastik di dalam baju sebagai pelapik sebelum dia berlari melanggar dinding bangunan, manakala Sandee pula mandi dengan cawan kecil yang diceduk dari gayung yang berisi air (mungkin objek yang saya sebut silap, tapi  performans ini memang perlukan audiens untuk lihat dari jarak jauh).
        Ia ada imej yang menarik dengan sebuah pulau di tengah, ada pintu di kiri, dan tangga merah di kanan. Takungan air (rekaan set ini membanjirkan ruang penformans dengan air) membuatkan kilauan beralun pada dinding, selain ia beri sedikit pantulan apabila kita melihatnya. Ia kelihatan cantik visually di dalam foto dengan variasi permainan cahaya ini, tetapi aksi-aksi yang terisi... ada sesuatu yang buat saya susah untuk endure sekali.
        Secara umumnya saya merasakan satu jam setengah terakhir performans ini baik, tetapi dimulakan dengan dua jam awal yang longgar. Oleh kerana rekaan set tidak berubah di separuh masa pertama (di separuh masa kedua pokok akan diganti, dan botol-botol plastik muncul terapung) saya rasa ia boleh ambil lebih masa dalam mendedahkan karakter-karakter ini, satu persatu instead of ketiga-tiga mereka muncul serentak dan buat aksi berulang yang sama. Ia terlalu cepat. Dan saya selaku audiens juga amat cepat untuk tangkap loop yang dibuat. Sebagai contoh Sandee masuk dan pusing di pintu yang sama secara berulang kali. Sandee cuma pusing di sebelah bingkai pintu tersebut, membuatkan aksi pusing pintu ini ambil masa dalam 5 saat. Untuk Sandee buat kitaran ini tiga kali, ia cuma ambil 15 saat (sekadar anggaran). Dan bila perbuatan ini diulang tiga kali, secara automatik kita tahu ini repetition yang akan dibuat oleh Sandee, dan perulangan ini akan dibuat selama 40 minit (anggaran saya). Jit Yang pula meloncat-loncat dalam lopak air, sambil berkata sesuatu yang inaudible, selain mengetuk kepalanya untuk keluarkan air yang masuk telinga. Aksi ini juga diulang selama 40 minit tadi. Chee Heai paling tenang dengan menterbalikkan tubuhnya, kita cuma nampak kakinya ke atas, sedang mengimbangkan diri. Dan kaki ke atas ini seperti sebatang pokok yang ada di atas pulau kecil itu. Selepas 40 minit, cahaya menjadi terang dan semua performers berdiri di hadapan mengadap audiens, untuk beri idea bahawa ia reset point, sebelum ketiga-tiga performers berubah posisi (Chee Heai ke pintu pula, Sandee ke area tangga merah, manakala Jit Yang ke pulau di tengah). Apabila ini berlaku, secara cepat juga ia mendedahkan bahawa kitaran yang sama akan berulang kembali. Satu aksi baru di posisi baru yang berulang, sebelum ia di-reset kembali.
        Apa yang ingin saya cakap kat sini adalah, bila struktur dan mekanisme performans ini terbongkar, ia tak lagi beri intrig, dan selain itu, oleh kerana rekaan pentas agak statik dan sudah didedahkan kesemuanya oleh lampu, maka tiada lagi misteri yang tinggal. Yang tinggal kini hanya rentak gerakan tubuh performers. Dan ia hanya boleh sustain minat audiens jika ia ada rentak yang tepat, atau gerakan itu amat bagus. Tetapi oleh kerana setiap gerakan ini berasaskan improvisasi dan repetitif, ia jadi longgar. Dan kerana itu, ia hanya selepas 2 jam, baru bibit-bibit kesatuan/chemistry muncul di kalangan performers tetapi ini sudah terlewat buat audiens yang secara perlahan-lahan meninggalkan lokasi.
        Menyentuh tentang rentak: rekaan set ini beri hawa stillness (yang bergerak hanya air dan pantulan bayang-bayang dari air), dan kerana itu apabila Chee Heai mengimbangkan diri dan terbalikkan dirinya ia paling mendekati semangat set ini. Malah rekaan set yang surreal ini buat saya membayangkan bahawa ia dunia dalam kepala Chee Heai (yang juga merangkap pereka set). Sandee di kiri dan Jit Yang di kanan, membuat gerakan yang pada saya terlebih dari yang sewajarnya (excessive). Ia terlalu awal, dan saya fikir Sandee dan Jit Yang patut tumbuh, lahir dan muncul perlahan-lahan dari semangat ruang ini. Ia ingin tarik perhatian, tapi dalam masa sama sebab ia laju, abstrak, repetitif dan serentak, susah untuk kita kekalkan perhatian. Jika performans ini embrace stillness dan slowness di bahagian awal, ia tentu akan jadi lebih baik.

9. Schism oleh Arifwaran, black box AswaraPerformans ini seri dengan Two Lines in a Square di mana ia dua persembahan paling mengesankan yang saya tonton di tahun 2021-2022. Persembahan seni sentiasa tentang getaran dan perasaan yang disampaikan dengan direction yang jelas. Schism tentang aspek kekaguman/spectacle/tasmat dan ia dibuka dengan tarian berkostum suatu makhluk, disinari pancaran laser yang hi-tech (dalam konteks performans ini). Semakin performans ini berjalan, semakin ia menuju ke teknologi low-tech, efek praktikal lampu-lampu, dua projektor serta boneka gergasi dengan etos DIY. Ideanya adalah untuk teknologi low-tech ini lebih mengkagumkan daripada sinar laser yang canggih. Tak hanya kekaguman, semakin kita menuju ke penghujung, ada emosi yang ditanggung dan diheret membuatkan aksi di hujung kisah semakin memberat.
        Selain secara visual, dari aspek rekaan bunyi beberapa babak awal menggunakan muzik yang rancak dan bingit (muzik kelab, rave atau sesuatu), kemudian di tengah kita ada puisi Sebatang Lisong oleh Rendra, audio pidato Sukarno?, audio temubual bersama Arifwaran sendiri, sebelum berakhir dengan lagu That Wonderful Sound nyanyian Shagul Hamid. Ia ada energy yang sangat raw, hingga satu takah ia membuatkan ruang black box Aswara itu terasa seperti KongsiKL, lalu sekilas ia buat saya merasakan kerja-kerja SeniTiga/etc. di KongsiKL secara umumnya (yang saya suka dan rasa paling kontemporari berbanding persembahan-persembahan lain di ibukota) kini terasa tak cukup sesuatu... tak cukup kedalaman, barangkali kerana ia terpisah dari derita lingkungan dan masalah kehidupan? Tak juga, sebab saya fikir semua orang akan pancarkan masalah dalaman diri mereka melalui karya sama ada dia sedar atau tak, cuma bagaimana ia disampaikan itu yang menjadi soal.
        Jika ada sesuatu yang boleh diperhalusi, saya fikir cerita tentang lapar via rakaman audio itu boleh dianjak ke takah fiksyen—agar kelaparan yang digambarkan menjadi semakin tak masuk akal, tapi kita tahu perasaannya benar. Anjakan fiksyen ini saya fikir akan lebih membantu menghidupkan boneka gergasi itu kerana kedua-duanya memerlukan audiens untuk berimaginasi.


KESIMPULAN
Dalam kes dua performans yang mengesankan saya untuk 2021-2022 iaitu Two Lines in a Square dan Schism ini, apa yang tiada pada werk-werk teater dan performans lain ialah penguasaan cara menterjemahkan emosi yang terpendam. Teater, filem, seni performans atau malah apa-apa seni kontemporari hari ini sentiasa bersifat eclectic, jadi nak tak nak penguasaan tubuh, penguasaan bahasa, penguasaan visual, penguasaan bunyi, dan macam-macam penguasaan tambahan lain perlu ada di dada. Bagaimana sesuatu emosi itu di-articulate melalui gerakan tubuh, melalui pengucapan bahasa, melalui imej visual, melalui susunan peristiwa, melalui rekaan bunyi, dan semua ini perlu koheren dan serentak sebagai ensembel. Koreografi cahaya dan ruang sepenting koreografi kata-kata dan gerakan tubuh. Bila perlu tak bergerak? Bila perlu diam? Bila perlu gelap? Bila perlu senyap? Semua ini perlukan sensitivity dan penguasaan dalam menuju suatu direction yang jelas.


Ridhwan Saidi

Sabtu, Disember 07, 2019

Lapan performans yang saya tonton dan rasa terkesan untuk tahun 2019

Meneruskan amalan tahunan blog ini dengan senarai ‘Tiga performans yang saya tonton dan rasa terkesan untuk tahun 2018’ dan ‘10 Teater Terbaik Kami Tonton 2017’, berikut merupakan lapan performans yang saya tonton dan rasa terkesan untuk tahun 2019. Selain itu saya perlu pisahkan werk sendiri dengan orang lain, jadi di entri ini terkumpul kerja-kerja teater/play/performans saya: ‘Apa yang dibuat untuk tahun 2019’.

Terkesan di sini dalam erti kata saya dapat rasa sesuatu. Ada sesuatu yang bikin saya heightened, biar pun sekejap dan tidak menyeluruh, sebab perasaan ini amat langka lagi-lagi dalam seni persembahan (ia lebih mudah dialami via buku atau filem). Mungkin semuanya menjadi, atau mungkin ada bahagian-bahagian tertentu yang menjadi. Hati saya terbuka dan saya diserap/terserap masuk ke dalam dunia/karakter itu. Dan adakala pilihan ini secara tak langsung menjadi kuat apabila ada play/performans lain yang dibikin kemudian, dengan kepekaan atau isu yang sama, tetapi kurang kuat membuatkan kita teringatkan play/performans yang lebih kuat dan padu di awal tahun. Tanpa melengahkan masa, ini merupakan lapan pilihan performans/teater yang saya tonton dan alami di tahun 2019 yang mengesankan:


Orang Asing (2019) tulisan Hariry Jalil, arahan Afendy Shah (Asterik Anak Seni), Revolution Stage, Februari 2019
Apa yang saya gemar dari pementasan ini rekaan setnya dan nuansanya beri impresi ‘kemas’ hasil sentuhan Afendy Shah. Sebuah male melodrama, ia tulisan baru oleh Hariry Jalil. Ia play yang berkisar tentang situasi watak suami pertama yang dipenjara, seorang suami kedua serta hubungannya dengan seorang anak lelaki remaja yang bisu. Di tengah-tengahnya ada watak isteri dan anak perempuannya yang sedang sakit di dalam wad, tetapi fokusnya lebih kepada tiga lelaki tadi. Kita boleh kata bahawa ia sebuah cerita tentang kelelakian dan maskuliniti yang diuji takdir, dengan penuh ketegangan (ia turut menampilkan dua badut sans humor). Penulisannya berkisar kehidupan dewasa yang matang, dan ini buat ia menyerlah pada saya, kerana selalunya play baru yang ditulis atau di-devised lebih longgar bentuknya dan selalunya amat mudah dipengaruhi budaya popular dari segi garapan dan kata-kata menjadikannya keanak-anakan atau penuh sentimental, menjadikannya jengkel atau senang dijangka.

Meski play ini ada sikap drama tivi Melayu, tetapi keterbalikan watak (lelaki dimangsai dan berserah kepada takdir) tadi bikin ia unik, berbanding play (terutama dalam bahasa Melayu) lain yang ada waktu cenderung misoginistik dan disturbing (di mana watak perempuan dimangsai secara emosi dan fizikal dari mula sampai habis), atau masalah tipikal iaitu watak-wataknya cuma satu dimensi dan rata. Ada juga play-play yang lebih kontemporari dan rajin gerakan ensembelnya tetapi tidak cukup kuat dalam menyampaikan teks, lebih gaya dari makna/isi—kadang-kadang kita rasa ia macam koreografi Anugerah Juara Lagu. Orang Asing meski kelongsongnya realisme dan old skool, tetapi garapan dan sensibility-nya tak terjerat untuk embrace klise budaya popular yang tidak senonoh. Ini amat dihargai, kerana benda terakhir yang saya nak temui dalam teater ialah unsur bawaan tivi yang bukan-bukan (yang selalu saya temui!).


to which my brother laughed; (2019) arahan Tung Jit Yang, Pentas 2, KLPAC, Feb-Mac 2019
Dengan live performance dan score asal oleh kugiran Shh… Diam!, saya dapat rasakan tenderness dan dalam masa sama, suatu enclosure seperti bubble apabila ia tiba di penghujung. Ia rasa begitu middle-class, bandar, personal dan tulen, cuma oleh kerana ia kerap merujuk kembali kes sebatan yang berlaku di Terengganu, percanggahan kelas dan sensibility ini adakala buat ia rasa berjarak dengan kes sumbernya (bila saya bayangkan nuansa di Terengganu). Ia paling ketara apabila ensembel performer menjalankan kitaran fesyen show. Kontras antara kota yang ada KL Fashion Week dengan Dungun jauh, dan bagaimana ia boleh didekatkan?

Dalam melawan violence yang berlaku di Terengganu, play ini meraikan cinta di dalam ruang selamat Pentas 2 di Kuala Lumpur, didukung oleh majoriti audiens yang sedia menyokong, lagi pula sebelum intermission, para audiens dipinta untuk bersolidariti dengan performer tanpa kata-kata selama 20 minit. Saya cukup faham apa yang sedang berlaku, mekanismenya (John Cage) dan apa yang diingini, tetapi ia buat saya fikir kembali kenapa saya berada di ruang teater: buat sementara adakah ia okay untuk saya memilih menjadi (minoriti) antagonis di dalam panggung itu?

Meski saya sedar kes sumber cuma dicubit, dan empati lebih berfokus kepada setiap ahli ensembel yang mendedahkan diri masing-masing, saya boleh tangkap urgency yang diperlukan dalam meluahkan rencam perasaan masing-masing. Ada momen yang intens dan menyentuh. Ia boleh jadi sedikit privilege (kerana kita tak boleh elak dari bandingkan situasi di Terengganu yang jadi rujukan), tapi entah kenapa saya boleh appreciate ia sebagai naratif Kuala Lumpur, dan kerana itu ia kontemporari? Sastera dan teater di Malaysia rata-rata punya semangat, sentimen dan nuansa kampung, dan jarang sekali ia all out bandar. Jika ia berlatar bandar, kampung biasanya menjadi jalan keluar untuk capai kebahagiaan. Play ini terbalik. Buat jarang-jarang kali, kebahagiaan ada di bandar.


Void in Void (2019) arahan Liew Chee Heai, dalam siri SeniTiga, KongsiKL, April 2019
Segmen pembukaan oleh Lee Ren Xin amat kuat dan cukup solid di mana kita di dalam gelap, melihat beberapa lampu bergantungan di lehernya yang sedang berusaha mencari jalan keluar dari timbunan perabot lama dan rak yang melekat di dinding. Ia amat simple dan di sini saya akui bahawa yang buat ia mengikat dan intens adalah energi gerakan tubuh, yang berlaku di dalam gelap—bikin misteri. Ia mengingatkan saya kepada Plato’s Cave atau sesuatu. Jika TubuhDang TubuhDut oleh Ayu Permata Sari menjadi pilihan saya tahun lepas dalam mendepani bahasa tubuh, tahun ini ia segmen Ren Xin yang satu ini.

Segmen kedua lebih scenic dan fotografik yang turut menampilkan Liew Chee Heai. Kita nampak imej-imej tubuh dan pohon dalam cahaya low-key. Ia kemudian akan menampilkan projeksi tangan gergasi pada dinding Kongsi, lalu bertindih dengan permainan bayang-bayang tangan Ren Xin. Perlu saya puji di sini, dalam persembahan ini rekaan bunyi live-nya amat mengisi ruang dan connect dengan apa yang berlaku. Jarang saya suka rekaan muzik dalam play/performans yang ditonton. Majoriti semua performans lain yang saya hadiri, rekaan bunyinya seakan ditampal atau tidak sebati dengan performans, tetapi yang ini tidak. Ia atmosferik sehingga tiba di penghujung, seluruh peformans ini akan mengepung kita secara tiga dimensi. Banyak performans kontemporari cuba tamatkan performans mereka dengan muzik berintensiti tinggi sebelum lalu ia tiba-tiba sunyi (Violent Event turut melakukan hal yang sama), tapi yang ini menjadi untuk saya, kerana perasaannya via muzik terbawa dari mula.

Performans ini meyakinkan saya bahawa sesuatu yang abstrak boleh menjadi, setelah rata-rata bertembung dengan sesuatu yang abstrak dan tidak menjadi. Bagi saya sesuatu yang abstrak pasti menjadi, apabila ia datang dari diri yang berisi. Jika diri kosong, abstraksi itu biasanya cuma jadi permukaan dan stail yang kosong dan tidak bermakna. Dalam kes ini Liew Chee Heai merupakan seorang fotografer dan peladang, dan bagaimana perasaan fotografi dan berladang terpancar sebagai live performance. Adakala kita terasa seperti di dalam galeri, adakala kita terasa seperti di dalam kamera.


Plunge, play reading (2019) tulisan Jean Tay, bikinan Irfanuddien Ghozali and team, IFI-LIP Yogyakarta Auditorium, Julai 2019
Reading ini berbekas buat saya kerana performans para aktor-nya. Ia rasa kemas dan berlagu. Ia ada rentak yang tepat, ada kala saya rasa kebanyakan pementasan penuh yang saya tonton, tidak temui rentak ini. Ini membuktikan bahawa meski ia cuma bermain dalam bentuk play reading, ia sudah cukup untuk memberikan kesan. Dari segi naskhah, apresiasi saya datang dalam cara berbeza dalam erti kata, oleh kerana reading ini salah satu dari program bacaan Asian Playwrights Meeting, saya lebih terdedah dalam menekuni semua play dari setiap negara, untuk tangkap cara bercerita dari setiap sampel yang ada. Sejauh mana naratif diteroka, dari negara ke negara. Untuk Plunge ini, ia menarik kerana skopnya merentas seluruh Asia Tenggara, berlatar krisis ekonomi yang melanda kita pada tahun 1997. Bagaimana sesuatu yang makro dari sudut pandang seorang ekonomis, menjadi mikro via cerita yang disampaikan oleh seorang pembaca berita.


Damage Joy (2019) oleh B-Floor Theatre, arahan Nana Dakin, Bangkok Art and Culture Centre, Oktober 2019 dan Violent Event (2019) konsep dan koreografi oleh Billinger & Shulz (Jerman), Host BKK, Oktober 2019
Foto: The Momentum
foto: Alex Brenner via Billinger & Schulz FB page
Damage Joy dan Violent Event dua pementasan berbeza yang saya tonton di BIPAM 2019. Meski setiap satunya menarik dengan cara tersendiri, tetapi dalam reviu ini saya gabungkan sebab entah kenapa perasaan saya menjadi penuh apabila kedua-dua play yang bermain dengan pain dan keganasan ini bertemu. Satu dari Thailand dan satu dari Jerman. Dua-dua bermain dengan unsur humor, atau dark humor tapi dengan sensibility yang berbeza. Satu amat Asia dan Timur, ini malah termasuk bentuk tubuh, manakala satu lagi lebih Eropah dan Barat. Kontras ini bikin dialog di dalam kepala saya, dalam menggarap violence ke dalam kerja teater. Humor sudah awal-awal di-establish dalam Damage Joy kerana keempat-empat watak-wataknya berupa badut, yang akan saling menyeksa antara satu sama lain demi nikmat (joy) audiens. Audiens secara konsensus boleh menghentikan penyeksaan ini, tetapi ia tak berlaku dalam sesi saya. Manakala humor dalam Violence Event menyelinap perlahan-lahan. Ia bermula serius persis kanak-kanak bermain, dengan satu tumbukan ke perut dan genggam wajah untuk dicampak ke lantai, sebelum kita sedar bahawa tindakan-tindakan ini makin lama makin mengarut (dalam erti kata violence dipaparkan, tapi dalam masa sama tindakan ini bukan untuk diraikan tetapi dikritik) sehingga ia menjadi koregrafi tarian dengan gesture-gesture yang barangkali amat subversif di hadapan penonton Barat.


In Ter’s View x New Cambodian Artists (2019) arahan Wichaya Artamat dengan kolaborasi New Cambodian Artists Dance Company, Saeng Arun Art and Culture Center, Oktober 2019
Format temubual dan diseling dengan performans serta dokumentasi video ruang latihan ketiga-tiga mereka di Siem Reap memberi lapisan makna terhadap gerakan-gerakan yang mereka lakukan—ada sentuhan autobiografi mereka secara kolektif, sebagai penari kontemporari. Ini penting sebab rata-rata performans yang menggunakan gerakan dan tarian yang saya saksikan setakat ini di Malaysia, membawa naratif yang simplistik. Misalnya penari ini kelihatan dibelenggu dan terikat, dan akhirnya ia berjaya bebaskan diri. Aksi gerakan yang gunakan naratif ‘ingin bebas’, terlalu mudah pada saya, ia tiada lapisan lebih mendalam. Selain itu, meski New Cambodian Artists ini di pihak yang ditanya, dan penggerak siri In Ter’s View dari Thailand (dan lelaki) yang akan sentiasa bertanya, ia tidak membuatkan mereka yang cuma di pihak yang menjawab ini dimangsai, sebaliknya mereka stabil dan kuat sebagai perempuan. Ini saya kagumi, kerana dalam konteks kebiasaan di Malaysia, jika orang yang ditanya itu tiada kesedaran bahawa mereka agency, soal jawab ini akan jadi satu hala. Cuma pihak bertanya yang berkuasa persis interogasi.

Maafkan saya sebab asyik membanding performans ini dengan situasi di Malaysia, tetapi satu lagi yang bikin saya terfikir ialah, betapa mereka ini kontemporari kerana dari kecil sudah dibentuk dengan seni tarian tradisional yang lebih rigid dan mencengkam. Ini naratif paling basic, untuk menjadi kontemporari, iaitu untuk membebaskan diri dari naungan disiplin tarian yang sudah ada acuan. Kita manusia diacu untuk masuk ke dalam acuan itu. Untuk menjadi kontemporari adalah untuk keluar dari acuan itu. Ia dikotomi tradisional-moden yang straightforward. Cuma di Malaysia saya dapati ada juga para penari lepasan universiti yang selalunya serba boleh. Mereka boleh gerakkan pelbagai teknik dan jenis (jika bukan semua!) tarian tradisional dan moden. Jadi ia bikin saya tertanya, jika mereka melakukan sesuatu yang kontemporari, ia terbit dari kegelisahan, belenggu atau masa silam yang bagaimana, atau ia sekadar saduran teknik?


The Optic Trilogy, play reading (2019) tulisan Alfian Sa’at, arahan Bhanbhassa Dhubtien, Alliance Française auditorium, Oktober 2019
Sewaktu di BIPAM telah saya tonton deretan performans tanpa/kurang kata-kata dan lebih berasaskan gerakan yang mempesonakan, dan ini telah menginspirasikan saya untuk tinggalkan kata-kata... sehinggalah saya tonton play reading The Optic Trilogy ini di hari terakhir. Ia mengembalikan keimanan dan kepercayaan saya terhadap kata-kata. Bahawa kata-kata merupakan teknologi tercanggih teater. Seluruh direction play reading ini menghampiri apa yang saya bikin dengan Teater Normcore. Gerakan minimal dan cuma lafazan kata-kata yang tepat. Meski pun ia cuma play reading, dengan dua aktor duduk di kerusi tinggi, dengan helaian kertas A4 (serta seorang lagi pembaca stage direction di kerusi rendah), ia sebati dengan naratif. Pembaca lelaki dari Thailand manakala pembaca perempuan dari Filipina, dan cara mereka sebut kata-kata dalam bahasa Inggeris agak kontras. Ia memberikan lapisan tentang cara mereka berdua berhubung—seorang sedikit pelat, manakala seorang lebih bulat sebutannya—siapa yang lebih memendam rahsia?

Play yang terbahagi kepada tiga bahagian ini mengenai rasa keterasingan, keseorangan dan kerinduan dan ia diakhiri dengan satu gesture sentuhan yang sewajarnya membuatkan kita rasa hangat, setelah luahan kata-kata dingin, kejam dan brutal dihamburkan. Dengan sihir dan magik kata-kata, perasaan saya benar-benar ditusuk dan terbuka, untuk masuk ke dalam dunia kedua karakter yang sedang di dalam kesakitan ini. Ada poin mengingatkan saya waktu baca skrip Harold Pinter atau tonton The Bitter Tears of Petra von Kant, Rainer Werner Fassbinder (ini rujukan peribadi, dua bacaan dan tontonan ini membekas dalam diri saya) yang mana perasaannya intens walaupun secara visual tiada apa-apa pergerakan berlaku. Ia sesuatu yang saya sendiri ingin capai dalam teater saya dan tak saya sangka dapat saya saksikan ia di depan mata saya melalui play ini. Di era di mana manusia mulai sinikal dan tidak lagi mempercayai kata-kata, ia memberi saya semangat untuk terus meyakini kata-kata, dan drama, dan gerakan, dan sastra, dan sentuhan, dan karakter, dan puisi.


Ridhwan Saidi

P/s: Ada dua play reading dalam senarai ini, dan saya mulai sedar bahawa saya kini cukup pasti bahawa meski pun play reading bukan produksi teater penuh, tapi jika fikiran dan perasaannya terisi, alangkah ia lebih bermakna daripada produksi teater penuh sans fikirasa.