Memaparkan catatan dengan label Mamat Khalid. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mamat Khalid. Papar semua catatan

Isnin, Disember 22, 2014

Ophilia dan Filem-Filem Suram Malaysia 2014

Tahun ini filem-filem Malaysia yang saya tonton cenderung gelap dan suram, seperti Amir dan Loqman Pergi Ke Laut, Lelaki Harapan Dunia dan Ophilia. Amir Loqman dan Lelaki Harapan filem yang elok, cuma yang memisahkan Ophilia dari kedua filem ini, antaranya: Ophilia kelakar tanpa mencuba.

Meski kelakar bukan penentu kebagusan sesebuah filem, malah Ophilia bukan filem komedi pun, tapi citra komedinya gred A. Ia ada jenaka absurd seperti penggunaan lesung batu dan belacan! (Barangkali jenakanya menjadi kerana filem ini bukan bergenre komedi, maka jenaka yang berlaku ditelan secara genuine oleh audiens). Saya syorkan pembikin filem Malaysia berhenti bikin filem komedi, sebab selagi kita orang Malaysia, unsur komedi tulen tak akan lari. Kita patut fokus pada karakter.

Watak negro muncul seketika dalam Ophilia tapi ia lawak gila, jika dibandingkan dengan Lelaki Harapan misalnya. Tak adil untuk membanding-bandingkan filem, tapi gitulah gamaknya. Saya akan cuba jelaskan dulu kenapa Amir Loqman dan Lelaki Harapan kureng.

Sekali lagi Amir Loqman dan Lelaki Harapan antara filem yang elok tahun ni. Kenapa? Sebab ada keresahan semasa pembikinnya membikin filem. Pembikinnya mahu luah sesuatu, maka nak tak nak, ia tentu menghasilkan sesuatu (baik atau teruk kita boleh tunda), jika dibandingkan dengan, say... pembikin yang copy paste filem orang lain.

Premis angkat rumah Lelaki Harapan menarik, cuma apa yang ingin disampaikan pada hemat saya sudah disetelkan secara flip hair oleh Man Laksa. Ia menghiburkan, tapi tak semenghiburkan Ophilia. Barangkali sebab karakternya tak dapat cukup ruang kerana terlalu dibebani suara pembikin.

Amir Loqman juga okay cuma karakter-karakternya masih ada kecenderungan karikatur. Ia tidak flesh out macam Ophilia. Ia ada feel yang menarik meskipun. Dunia Amir Loqman mengingatkan saya pada Klang atau Rio de Janeiro di waktu malam. Udara rasa tegang. Kita dapat rasa violence bila hirup nafas. Jenayah boleh berlaku bila-bila.

Ophilia antara filem Malaysia terbaik yang saya tonton di panggung. Melalui trailer-nya, saya rasa ia tak menarik, tapi bila digembar-gemburkan sebagai best, saya mula skeptik. Tapi dalam masa sama saya tahu satu-satunya cara untuk filem ini selamat adalah melalui storytelling. Dan ternyata filem ini selamat sebab ceritanya.

Untuk menentukan filem yang baik di Malaysia tak susah sebab kita sentiasa dihujani filem-filem teruk. Dan filem-filem teruk ini penting dalam menjadi acuan agar kita tahu dan sedar di mana letaknya filem yang baik. 

Filem ini bermula dengan bergaya, dan turut saya akui di sini penamatnya juga tiba ke takah sinematik (ada sesuatu pada senyuman Totoi, ada rasa innocence dan suci). Filem ini tidak sempurna tapi ia serba-serbi terletak. Selain tiga karakter utama Uji, Ozi Gandum dan Totoi, ia turut dibantu lakonan sampingan yang memberangsangkan. Zizan Nin, Sharifah Shahora, karakter Faktab dll., even negro tu pun bagus. Mereka perform dengan baik di dalam ruang singkat yang mereka ada. Bagaimana kamera mengikuti alur pinggul Ophilia dan Ivy cukup seksi.

Antara yang memikat dalam filem ini ialah rekaan grafik, atau efek teks yang muncul di sepanjang filem. Ia nampak selekeh, tapi raw dan real. Ia terasa macam patches yang dijahit. Pendek kata ia antitesis kepada nuansa grafik filem-filem seperti KIL yang kemas. Antara yang saya pelik bila Uji berselisih dengan Ah Beng yang sedang main bola basket, tertera ‘WAR’ dan saya tertanya apakehal ni? Ia janggal tapi saya suka.

Dalam filem ini meski naratornya Uji, tapi yang paling menonjol Ozi Gandum (sebab ia karakter paling bermasalah). Totoi meski semacam watak sampingan tapi dia pada saya antara paling utama dalam filem ini, sebab innocence dia yang menyimpulkan filem ini, lalu bikin ia tragedi yang sweet.

Imej-imej dalam filem ini nampak formal, tapi agak halus. Syot rapat dan klaustrofobik dalam kereta Mini antara yang melekat.

Jika mereka sebuah kugiran, Totoi ini main drum, Ozi Gandum main gitar, Uji main bass/vokal (narator). Saya tidak kenal rapat Raja Mukhriz selaku pengarah, tapi saya syak Uji ada sikit-sikit representasi dirinya. Dalam sebuah kugiran, pemain bass kurang menyerlah jika dibandingkan dengan pemain gitar. Akan tetapi melalui terjemahan visual dan sentuhan sinematografi, Raja Mukhriz berjaya buat ia resonates dengan jiwa audiens tanpa kita sedar.

Mengenai penggunaan sub budaya skinhead, meski ada dinyatakan bahawa ia boleh saja ambil sub budaya black metal atau mat rempit sebab tema utamanya persahabatan, pemilihan skinhead tetap paling cocok, sebab ia grafik yang belum diteroka sepenuhnya di dalam filem Malaysia sebelum ini (Gedebe lebih teatrikal). Dan muzik-muzik yang mengiringi sub budaya ini lebih catchy (juga ada yang bingit) jika dibandingkan dengan muzik black metal, atau ‘muzik apa yang mat rempit dengar?’

Saya rasa ia berpotensi untuk berakhir dengan Schubert, tapi OST dengan feel Enya ini buat mereka bertiga seakan terawang di syurga.


Ridhwan Saidi
P/S: Saya rasa sub budaya dangdut cocok untuk diteroka di layar dan ia punya garapan muzik lokal yang menarik suatu ketika dulu, malah no hal untuk watak utamanya seorang imigran Indonesia yang bekerja di Kota Raya.

Jumaat, Mac 09, 2012

Keaghaiban Bunohan

Kupasan ini mengandungi super-spoiler. Jadi kepada mereka yang belum tonton dan tidak mahu dibelenggu sebarang preconceived idea, lebih comel tangguhkan bacaan.

BUNOHAN bermula dengan dua orang warga kampung yang dalam perjalanan menuju ke kedai kopi, menyatakan bahawa generasi muda (sedang bermain motosikal) tidak lagi melanggan arus kesedaran mistis lama, semakin jasmani, dan boleh kita katakan semakin memutuskan hubungan dengan alam ghaib. Dan kemudian kita akan tiba di sebuah kedai kopi, terdapat sebuah tivi, sedang menyiarkan berita atau 'the making of Bunohan' (kalau tak silap) dan lebih penting nama-nama sebenar mereka disebut: Pekin Ibrahim, Faizal Hussein, yang memberi idea bahawa realiti yang sedang kita nafasi ini sedang berada di dalam tivi, tetapi kemudian kita dapat lihat projeksi apa yang berada di dalam tivi, di layar pula. Siaran tivi (babak akhir filem ini) ditayangkan dan berakhir dengan imej layar koyak. Layar koyak itu kembali di dalam tivi kedai kopi dan kamera berputar 360 darjah, kelihatan siluet dua orang warga kampung tadi, dengan dua cahaya motosikal di belakang, membuatkan seolah-olah mereka ini bayang wayang kulit yang didalangi Dain Said. Mereka seakan-akan patung wayang kulit yang menjadi narator (selalunya dalam kisah-kisah lama ada seorang dua narator (macam Sudin dalam TIGA ABDUL haha) yang cerita tentang cerita, cerita dalam cerita), tetapi mereka tidak bercerita secara langung (mereka hanya 'sembang kedai kopi' tetapi temanya—kehilangan, kepupusan, kematian–terikat kuat) dan dari situ kisah (atau mitos) mengenai tiga beradik Ilham, Bakar dan Adil bermula.

Plot BUNOHAN ini kalau kita lihat the making of atau video-video yang berkaitan di internet, saya rasa sudah bocor. Malah saya terkejut apabila terlihat Tengku Azura dengan ekor buaya. Saya jadi tidak keruan dan rasa berat tulang nak ke panggung. Tetapi selepas mengalami sendiri BUNOHAN, saya rasa bagaimana cerita itu dipersembahkan yang lebih menarik. Antara ruang yang paling mistikal bagi saya ialah rumah keluarga mereka tiga beradik. Banyak momen-momen menarik berlaku di dalam rumah ini, antaranya bagaimana Bakar dan Jolok membuat persembahan wayang kulit di hadapan Pok Eng, dengan berpura-pura tidak kenal dan malah paling comel apabila Bakar yang mendalangi pelan jahat berpelakuan seperti seorang anak dara, dengan menghidangkan kuih-muih dan minuman dan lap meja. Dan bagaimana Adil dan Bakar tidak berselisih di dalam rumah tersebut, membuatkan saya percaya bahawa kisah/dilema yang sedang saya lihat ini sedang berlaku di alam ghaib, mimpi-mimpi arus ketidaksedaran mistik yang semakin mati.

Ada dua kali (yang saya perasan dan ingat) kata-kata yang menyerlahkan poin 'tema utama' filem ini disebut. Pertama dari Pok Wah kepada Pak Awang Sonar mengenai bagaimana Awang Sonar telah diracun lebih teruk daripada ikan-ikan belaannya (yang diracun oleh Jolok) dan kedua dari Adil kepada Bakar di mana tulang kalau patah boleh sembuh, tetapi apa yang dilakukan Bakar lebih teruk iaitu mematahkan semangat orang. Dua kata-kata ini menjurus kepada sesuatu yang bersifat dalaman dan tidak tampak, sepertimana saya syak keseluruhan filem ini berlaku di alam lain, dan dunia kita di dalam tivi mereka. (Ada dua kali tivi dinyalakan tanpa muncul dalam skrin tetapi bunyinya datang dari kanan belakang pawagam, seolah seperti dari luar layar. Malah pada mulanya saya sangka ada orang sedang bercakap dengan telefon di sebelah, semua orang di dalam panggung pandang ke kanan cari punca bunyi yang sebenarnya bunyi tivi). Sesuatu yang 'dalam' ini akan berbalik kepada syot terakhir filem ini dan mengapa judul filem ini BUNOHAN. Ia berlaku di kampung Bunohan, ini paling permukaan. Siapa yang dibunuh? Secara teknikalnya ramai, tetapi yang paling penting, secara tragisnya ketiga-tiga watak utama. Ilham berkorban demi adik kandungnya Adil, dan Adil yang diselamatkan turut terkorban (dengan cara yang tidak adil) melalui  racun pelir kambing, dan akhir sekali bapa mereka yang ditikam di sebalik kelir sewaktu sedang 'bekerja' (Kita hanya dapat lihat bayang-bayang Bakar melakukan aksi itu). Tetapi kita tidak dipaparkan nisan-nisan mereka. Nisan mereka semua adalah syot terakhir filem ini, iaitu papan tanda projek. Bunohan dibunuh.

Di dalam filem ini, usaha Ilham memindahkan kembali tanah-tanah perkuburan ke tempat asal, yang dipindahkan agar projek pembangunan dapat dijalankan, berakhir dengan dirinya, adiknya dan bapanya mati. Hanya Bakar hidup, dan jika kita menurut cerita, Bakar ini anak Mek Ani manakala Ilham dan Adil anak Mek Yah. Mek Ani isteri kedua Pok Eng ini boleh kita bayangkan yang Mek Ani ini bijak memanipulasi ('merampas' Pok Eng dari Mek Yah haha) seperti zuriatnya Bakar (maaf cara berfikir old-fashioned). Bagaimana Adil menyatakan dirinya dilayan seperti anak haram sewaktu kecil dan apabila mengetahui kejadian sebenar, ianya benar. Ada banyak momen menarik di dalam filem ini dan tidak kurang juga yang tidak. Secara keseluruhannya saya berjaya menikmati filem ini, ia sedikit laju, ya, saya merasakan beberapa kali, belum sempat nak hayati imej, ia sudah bertukar (misal kata kalau dalam BADLANDS saya dapat langit dan bumi dan Kit dan Holly dan jaket denim, untuk filem ini saya baru dapat awan atau kadang-kala paya, lepas tu dah tukar; tetapi ia bukan satu masalah besar, cuma saya rasa tak cukup puas, mungkin solusinya bila keluar dvd kelak saya boleh tekan butang jeda, dan hayati puas-puas hehe). Babak aksi pertarungan tomoi pula terasa perlahan dan sedikit kekok suntingannya (selain rasa tragis kematian Adil yang kurang berkesan pada saya). Dan hampir kesemua efek CGI di dalam filem ini kelihatan janggal pada saya. Janggal dalam ertikata ia mengganggu kemurnian filem itu dalam bercakap soal alam. 

Betulkan saya jika saya silap, ada refleksi kunang-kunang CGI pada air, dan kunang-kunang ini bawa cahaya di waktu malam, ia seakan bawa pengertian yang besar, dan juga babak Ilham bersama burung-burung (bangau? antaranya), yang saya rasakan cuba melambangkan roh tengkorak dan rangka mereka yang telah meninggal dunia, dan kemudian datang seekor burung yang saya tidak pasti jenis apa, mengibaskan sayap secara gerak perlahan, seolah seperti sedang mengibaskan hawa kematian kepada Ilham. Saya rasa CGI di dalam filem ini bawa feel kartun, dan saya hilang fokus pada kejadian yang berlaku, sebaliknya saya merasakan burung, kunang-kunang, dan darah itu seperti ditampal atau ditempel (kerana filem ini turut memuatkan tangkapan imej-imej alam yang cantik dan benar, dan tiba-tiba ada sesuatu yang artifisal, dan keartifisialannya agak terserlah, ia sedikit mengganggu tontonan saya).

Jadi daripada kisah tiga beradik itu, kita kembali ke kedai kopi pada permulaan cerita di mana dua orang warga kampung tadi bercerita mengenai kepupusan tradisi dan pemutusan antara dunia yang ini dengan dunia yang itu, malah kedua warga kampung ini juga menyatakan bahawa terdapat suara-suara watak (yang datang dari alam itu) ketika main wayang kulit semakin menghilang, Seri Rama, Hanuman, dll. Pok Wah tiba dan mengajak mereka untuk main peteri. Dari kedai kopi, mereka bertiga berjalan ghaib masuk ke dalam kegelitaan seperti mereka ini bersifat rohani, dan yang tinggal sekarang hanya papan tanda Bunohan samar-samar, lokasi di mana kisah tiga beradik berlaku. BUNOHAN berakhir dengan imej batu nisan.

Secara peribadi saya suka dengan kehadiran BUNOHAN. Ada yang beranggapan filem ini 'non-linear' tetapi saya rasa tidak. Ia bergerak terus. Secara strukturnya ia cerita dalam cerita, penuh refleksi (sepertimana refleksi air dan cermin yang wujud di dalam filem ini) dan disulami dengan elemen ajaib, sebab saya suspek filem ini berlaku di alam ghaib.

Saya suka BUNOHAN, tapi saya semacam tidak puas. Saya rasa ini ada kesan langsung dengan konfrontasi akhir Mek Yah dengan Pok Eng (dalam tubuh budak). Sebab secara visualnya ia berakhir dengan baik, imejnya kuat. Tetapi bila dialog itu berlaku (macam final battle KILL BILL VOL. II, bukan pertarungan jasmani, tetapi pertarungan rohani), kita tahu ada sesuatu yang belum setel perlu disetelkan di antara kedua orang suami dan isteri, lelaki dan perempuan, maskuliniti dan femininiti, dualiti alam itu. Kita dapat lihat budak itu berdiri dan bergerak-gerak di dalam rumah (seolah seperti sedang menjaga dan menguasai rumah tersebut) dan Mek Yah pula duduk bersimpuh di atas tanah (statik), dan sampai situ sahaja saya dapat, sebab saya rasa babak itu sangat penting, resolusi kepada filem ini, patut pukul habis. Persembahannya kita sedari menurun. Dan bukan kerana loghat Kelantan yang tersasar, (saya boleh abaikan hal ini berbanding CGI), tetapi kerana kita sudah dipersembahkan dengan sesuatu yang rabak dari mula, (kita ada Jolok, ada Bakar, ada Pok Eng, ada Pak Awang Sonar dll.) ia jadi kurang ummphh! Ia tak sampai, dan saya tak dapat, dengar dan faham apa yang mereka berdua sembangkan. Lidah siapa yang menguasai? Kalau babak ini meletup, saya rasa filem ini boleh pergi lebih lagi.

Saya ada terbaca Mamat Khalid ada mengatakan BUNOHAN sebagai sebuah filem yang lengkap. Saya pula secara peribadi rasa, kalau diukur dari segi kelengkapan, MAN LAKSA lebih lengkap berbanding dengan yang ini. Dan kalau mahu ditolak lebih lagi, KAKI BAKAR masih menjadi kegemaran peribadi, mengabaikan filem-filem Melayu klasik yang sudah berada di dalam kelas yang tersendiri. Tetapi ini pendapat peribadi saya sahaja, saya bukannya sinefelia atau kaki filem pun. Tetapi menariknya ketiga-tiga filem ini berdiri di dalam dekad yang berbeza. 1991-2000, 2001-2010, dan saya rasa BUNOHAN kini mendahului dekad 2011-2020, satu tanda aras yang baik sebelum negara kita mencapai taraf negara maju :-)

Apa pun BUNOHAN akan tetap tersemat di dalam hati saya, kerana ia merupakan filem pertama yang saya tonton di panggung dengan perfect eyesight. Mimpi tidak pernah sejelas ini. So sweet.


Ridhwan Saidi

Jumaat, Januari 21, 2011

Great Day Okay!



Kepada mereka yang mengalami dilema samada mahu menonton filem Damping Malam ataupun Khurafat, saya syorkan anda pergi tonton filem ini. Mungkin ada sesetengah daripada kita yang rasa was-was dengan filem 'Cina' ini seperti mana kamu masuk ke dalam restoran Cina dan mahu makan sesuatu. Tetapi percayalah filem ini dijamin halal! Ianya sebuah filem kekeluargaan yang meraikan semangat kenegaraan dalam ertikata sebenar tanpa perlu mengada-ngada melaungkan slogan 1Malaysia ataupun melacurkan pluraliti Malaysia itu sendiri. Ala, kamu tau kan? Filem-filem yang terlampau memaksa macam Crayon, Estet, 15Malaysia dan seumpama dengannya.

Turut dipuji adalah pemilihan barisan pelakon yang baik, sinematografi yang menjadi dan tataan seni yang lucu belaka. Walaupun saya syorkan filem ini, tetapi kita perlu kembali kepada rasional akal. Filem keluarga ini tidaklah sesinematik sampai tahap The Song of Sparrows yang memaparkan si bapa bawa pulang buah-buah berciciran lalu masuk ke dalam sungai. Ini sudah sentuh tahap langit. Jadi untuk memberikan anda gambaran di mana letaknya filem ini, saya akan gunakan sistem permarkahan yang adil lagi saksama.

Kamu semua pasti pernah menonton Papadom bukan? Sebuah filem keluarga yang telah memenangi filem terbaik FFM tidak lama dulu. Daripada 100 markah, Papadom ini saya berikan 10/100 (sama macam Appalam) manakala filem Majid Majidi, Song of Sparrows pula dapat 90/100. Jadi filem Great Day ini terletak di tengah-tengah – dapat 60/100 markah, yakni amat membanggakan buat sebuah filem komersial tempatan.


Ridhwan Saidi

Selasa, Disember 07, 2010

10 Filem Malaysia Pilihan Hati

Sepuluh filem yang tertera di bawah ini merupakan filem-filem yang secara peribadi telah memberikan kesan yang “ ‘mendalam’ ” terhadap diri saya – tapi awas! Ini bukan soal sempurna atau tidak sesebuah filem itu. Saya bukanlah seorang cineaste, cinephile, filmster, film-holic, film buff, film theorist, film critic, moviegoer ataupun kaki wayang, tetapi hanya sekadar seorang sinematikus; ibarat seekor tikus yang konon buat-buat sibuk berkenaan hal-hal sinema. Sepuluh filem yang dipilih ini disusun mengikut huruf pasal malas nak menentukan yang mana lebih " 'mendalam' " daripada yang mana. Malah jangan pula melatah jika pilihan ‘filem Malaysia’ saya ini melangkaui sempadan geografi dan politik:

6horts (2002) – Amir Muhammad
Himpunan filpen di dalam 6horts ini menyedarkan saya bahawa idea dahulu, produksi kemudian. Filem boleh dihasilkan dengan mudah semudah mudahnya. Satu imej pegun Mona Fandey pun jadi-lah. Sedihnya, baru saya sedari teman-teman 'production-oriented' saya yang tak sudah-sudah berbicara tentang jib-arm, yang terus menerus menghasilkan drama radio, rupanya tidak pernah tahu mengenai filem ini. 

Bukak Api (2000) – Osman Ali
Barisan pelakon (yang bukan pelakon), art direction, mainan kata yang tertera pada skrin, semua ini menyumbang kepada keseksian filem ini. Saya tidak begitu ingat bagaimana filem ini bermula, tetapi pengakhirannya begitu... bermutu. Saya tidak pedulikan sangat detik-detik didaktik yang ditanam di dalam filem ini, pasal ianya diaksikan oleh mereka yang benar.

Dari Jemapoh ke Manchestee (1998) – Hishamuddin Rais
Jika ada satu filem Malaysia atau Melayu yang berjaya menyatukan visual dengan musik, inilah filemnya. Sebenarnya untuk mengesan keberjayaan sesebuah filem itu, rahsianya terletak pada syot pertama dan syot terakhir. Untuk filem ini, ianya akan kekal di dalam ingatan saya sepanjang hayat – dari bumi ke langit, itulah cita-cita anak muda (sepatutnya).

Gedebe (2003) – Nam Ron
Filem ini adalah satu kegagalan yang menyegarkan, sekurang-kurangnya buat saya (ya mengilhamkan). Ianya bermula dengan baik, tetapi kemudian perlahan-lahan merudum ke pengakhiran yang tidak memuaskan nafsu sinema saya. Tapi yang membuatkan saya merasakan filem ini menarik, jika Haru-Biru (2007) menyampaikan suara muda dengan gaya orang tua, filem ini menyampaikan suara muda dengan gaya anak muda – tak kisahlah yang membikinnya secara harfiah tua atau muda, ini berkenaan jiwa! 'Gaya anak muda' ini rare ya amat di negara ini, sebab majoriti anak muda negara ini rata-rata berlagak seperti orang tua, dasar tak sedar diri. Oleh itu marilah kita anak muda bertaubat nasuha, lalu meraikan kemudaan.

Hang Jebat (1961) – Hussein Haniff
Ini tulus klasik. Babak tariannya yang digarap Siput Serawak, beat suntingannya, sinematografinya, muziknya, isi tariannya yang sudah pun memberi petunjuk Tuah dan Jebat bergasak, ini semua membuatkan diri saya malu ketika menonton filem seperti Sayang You Can Dance atau 'teater muzikal' seperti Uda dan Dara. Malu, seribu kali malu!

Kaki Bakar (1995) – U-wei Saari
Kesumo berlari menangis dalam gelap, Kakang sental permaidani pakai parang dalam tandas, Kakang mengeluh kepada anaknya Kesumo dalam perjalanan ke rumah Tuan Kassim. Semua ini, semua ini  – sinema!

Man Laksa (2006) – Mamat Khalid
Tiap kali filem ini dimainkan di tv, mesti saya terlekat, paling tak pun seketika. Jika Kaki Bakar bermain dengan alam kampung yang lebih serius, filem ini bermain dengan sisi-sisi komedi. Semua tipainduk kampung seperti village idiot, samseng kampung, tok penghulu dan lain-lain menjadi. Chah lakonan Sharifah Aleya dengan kulit putih, bertocang, di dunia nyata ini saya akui ciri-ciri sedemikian memang menjadi kegilaan pemuda-pemuda kampung lantas menjadi gadis pujaan ramai. Mengingatkan saat waktu berhingus, ini melucukan.

Rebels of the Neon God (1993) – Tsai Ming-liang
Kesannya dalam terhadap diri saya, kalau boleh nak buat filem macam ni. Lucunya filem ini direkomen abang penjual DVD tingkat atas Armcorp Mall.

Seman (1986) – Mansor Puteh
Tak pernah saya duga filem ini akan membawa saya sampai ke negeri matahari terbit. Tak pernah juga saya menonton filem Melayu atau Malaysia moden (pasca-studio) sebebas ini.

Tiga Abdul (1964) - P. Ramlee 
Ada dua faktor yang membuatkan filem ini menarik. Pertama ceritanya, kedua penceritanya. Dalam filem ini, penceritanya S. Shamsuddin belum apa-apa lagi sudah berdekah-dekah lawak. Tu belum apa-apa lagi tu.

Wasurenagusa – Yasmin Ahmad 
Tidak pernah dalam hidup saya membaca skrip atau lakonlayar sampai habis. Ini kerana sifat skrip itu sendiri yang skema dan membosankan. Tetapi untuk filem ini, ianya begitu memudahkan. Rupanya yang sah puisi dengan typeface Garamond, santak tengah, sekelip mata habis dibaca tanpa disedari. Membaca skrip tidak pernah seseronok ini.


Ridhwan Saidi
P/s: Belum tengok lagi Amok, Jimi Asmara, Sayang Salmah, Johnny Bikin Filem dan banyak lagi filem-filem Melayu atau Malaysia yang menarik. Kepada mereka yang merasakan hanya filem-filem Yasmin sebagai menarik (dalam negara ini), tolong explore lagi. Tenkiu. Oh! Btw entri ini adalah respon kepada 10 filem pilihan orang lain yang mana 4 daripadanya filem Yasmin. Mengelat betul.

Isnin, November 29, 2010

Monolog Seorang Sinematikus

Aku tak paham dengan diorang ni... Kau tengok la, ada ke patut diorang nilai filem ni bagus ke tidak dengan sekadar melihat samada filem tu 'Malaysia' atau tak? Maksud aku, kalau filem tu cukup rempah-ratus 'Malaysia'-nya, maka filem tu confirm jadi sebuah filem yang baik. Sebagai contoh, apa pendapat anda mengenai filem ________ (Isikan tempat kosong: 1. Estet, 2. Appalam, 3. The Joshua Tapes 4. Crayon)? "Kira okay la, ada feel Malaysia, ada Cina, ada Melayu, ada India, ada semangat muhibah dan toleransi, kira 1Malaysia la filem tu, not bad." Ini penilaian seorang fasis, bila kau tengok filem, kau cari sinema; dan sinema ini don't give a fuck tentang Malaysia atau tak, Iran atau tak, Perancis atau tak, Amerika atau tak, Jepun atau tak, Melayu atau tak. For we are, the citizen of the world.


Ridhwan Saidi
P/s: Tenung dinding kosong lagi mendebarkan.

Isnin, Disember 28, 2009

Keganasan Dalam Komedi

Saya sentiasa ambil serius dengan apa-apa yang dilabelkan sebagai “komedi”. Walaupun ironinya di negara ini, label komedi ini sinonim dengan ‘filem tak serius’. Senang kata filem komedi perlu senang, mudah, tidak perlu berfikir, seronok, gila-gila dan segera (katanya). Tapi apa yang saya nampak selama ini majoritinya hanyalah kebebalan, kebengapan, kegelabahan, dan kebingitan.

Dalam filem komedi tempatan, jika ada watak nerd, watak nerd ini selalunya dipaparkan dengan begitu hodoh sekali. Akira Kurosawa sudah langgar archetype samurai dengan sifat pemalas, kuat tidur, pengotor dll. P. Ramlee pun bikin perkara yang sama dengan archetype pendekar dalam Pendekar Bujang Lapok (contohnya). Kenapa tidak archetype ‘nerd bangang’ ini dilanggar? Sebab saya yakin pemahaman sutradara (yang tidak membaca buku) terhadap golongan nerd selalunya teruk, asyik-asyik bodoh-bodoh alang. Atau sebenarnya kewujudan watak nerd ini adalah umpama ‘village idiot’, cuma dalam konteks “urban” (yang disalahtafsir sebagai bandar)? Maka teruskanlah gaya komedi konservatif you all itu.

Dengan masyarakat kita yang majoritinya sifar empati (seperti langgar binatang dengan kereta tanpa rasa apa-apa), kebodohan sesuatu karakter itu adalah nikmat bagi mereka yang menonton. Ini membuaikan rasa bahawa yang menonton itu relatifnya bijak. Sebab itu filem-filem komedi ‘lawak bodoh’ atau ‘lawak kostum’ sentiasa mendapat tempat di hati audiens/konsumer tegar kita.

Malah masyarakat kita juga sentiasa terkejar-kejar mahu cepat. Dengan itu lawak-lawak itu perlu digelakkan secepat mungkin di dalam sinepleks. Tiada aftertaste. Ini berbeza dengan filem terakhir yang saya tonton di panggung iaitu The Inglourious Basterds (2009). Sewaktu menonton memang wujud macam-macam feel termasuk kelakar itu sendiri, tetapi selepas keluar panggung (sehingga sekarang), bila difikirkan kembali, filem ini sebenarnya benar-benar lawak. (Sembang pasal tikus dan tupai?!) Ini kerana Quentin Tarantino ada sense of humor, seangkatan dengan Lars Von Trier, Werner Herzog dll. Tidak seperti mereka yang seangkatan Andrey Tarkovsky yang jauh lebih serius. Serius yang saya maksudkan di sini adalah dalam erti kata sebenar (bukannya yang poyo serius).

Baru-baru ini saya ada tertonton filem Antoo Fighter di kaca televisyen, dan Ajami Hashim ada mengaitkan/menyamakan filem ini dengan filem-filem Mat Sentol. Serius, ini ralat serius. Mat Sentol ada sense of humor, punya taste, hey ‘telefon dalam peti ais’, sultan di usung ke hulu ke hilir, semua ini ada makna. Menyamakan Antoo Fighter dengan filem-filem Mat Sentol ibarat menyamakan ia dengan filem-filem Mamat Khalid. Ini kerana sense of humor Mat Sentol dan Mamat Khalid dekat.

Kedua-duanya bedal/hentam dalam skala setempat (malah filem-filem komedi P. Ramlee pun). Bagaimana bijaknya Mamat Khalid menembusi LPF dalam Kala Malam Bulan Mengambang (2008) dengan Kuswadinata sepenuh-penuh skrin menunjukkan jari hantu ‘fuck you!’. Cuma soalnya kepada siapa? Saya tahu kepada siapa syot ini ditujukan, sebab Kuswadinata datang berpakaian lengkap macam pendekar Melayu, tetapi sebenarnya hampeh tak boleh diharap. Haha.

Walaupun kita tahu sense of humor seseorang individu itu, tetapi akhirnya ia bergantung kepada perlaksanaan sesebuah filem tersebut, samada berkesan atau tidak kepada diri masing-masing. Saya suka Man Laksa (2006) dan Kala Malam Bulan Mengambang, tetapi benci Zombi Kampung Pisang (2007). Kadang-kadang ada juga filem yang dilaksanakan dengan begitu bergaya sekali, tetapi idea yang dibawa songsang, (satu hal pula). Contohnya Forest Gump (1994) dan Papadom (2009).

Pokoknya unsur humor ini berbalik kepada intelektualiti. Filem yang menghina intelektualiti seangkatan Antoo Fighter haram disamakan dengan filem-filem yang meraikan intelektualiti. Semestinya di antaranya terdapat filem-filem yang tenggelam timbul a.k.a mahu selamat. Filem-filem jenis ini kebiasaannya adalah imitasi eh silap, peniruan dan pengajukan gaya komedi dari luar semata-mata. Filem-filem jenis ini kebiasaannya dikaburkan dengan tangkapan imej-imej “cantik”. Filem-filem jenis ini selalunya saya humban sekali dengan filem-filem yang menghina intelektualiti.

Selain filem, saya juga selalunya sakit hati apabila tertonton rancangan-rancangan komedi tempatan di kaca televisyen. Kebanyakannya kering kontang. Saya boleh terima jenaka prank Just For Laugh Gags atau pun Candid Camera, ia mewujudkan situasi yang kelakar. Kadang-kadang yang buat ia kelakar adalah reaksi orang ramai yang melihat situasi tersebut.

Ini berlawanan dengan rancangan prank vernakular seperti Bang Bang Boom dan Wakenabeb. Dajal orang semata-mata (tanpa idea yang bijak) dengan metod yang ganas, malah lebih ganas dari filem Salo (1975), (Salo punya idea dan ianya fiksyen). Hanya mereka yang sifar empati dapat menikmati rancangan sifar idea sebegini.

Saya pernah tertonton di mana seorang lelaki biasa (bukan selebriti) di’lawak’kan kerana telah bersubahat mengedar dadah entah berapa kilo. Berbelas-belas pseudo-polis mengepung, membuli dan memalukan lelaki tersebut. Ianya bukan dilakonkan (walaupun ada prank yang dilakonkan). Mereka yang sifar empati pasti menganggap situasi ini – lelaki yang sedang cuak dan ketakutan – kelakar, terutamanya pengacara rancangan ini yang rasa diri mereka cool (bluek!). Bagi saya ini adalah keganasan yang dilakukan ke atas orang awam.

Selalunya sesuatu perkara yang dibawa masuk ke negara ini (seperti rancangan prank) kehilangan idea dan jiwanya. Terbaru, flash mob. Saya tahu dan berminat dengan flash mob ini sejak 2000+. Bagi saya ia adalah gabungan prank (practical joke), performance art dan demonstrasi jalanan. Flash mob terawal yang saya ketahui melalui internet dulu berupa menjadi patung (tidak bergerak) ataupun berbaring selama 10 saat di tempat awam pada masa yang ditetapkan.

Ya, daripada meraikan keganasan menggunakan komedi, lebih baik komedi digunakan untuk menentang keganasan. Saya dan Dewa pernah berborak tentang betapa seriusnya demonstrasi jalanan tempatan. Melaungkan slogan, nama Tuhan, banner, ataupun t-shirt dengan warna yang sama. Ianya tidak cukup ikonik, tidak memberikan impak dan membosankan. Kenapa tidak puluhan ribu demonstran jalanan ini memakai topeng plastik Guy Fawkes macam filem V for Vendetta (2005)? Pertama, ianya lebih seronok dan kelakar. Kedua, ianya praktikal dalam menyembunyikan identiti serta mengurangkan kesan gas pemedih mata dan air berasid kepada kulit muka. Ketiga, ia sendiri adalah satu kenyataan jelas, simbolik dan pasti mendapat liputan yang meluas di seluruh dunia terutamanya bilangan hit yang tinggi di Youtube. Ini baru menarik, menyeronokkan dan hebat!

Cuma kepada yang bawa anak kecil, adik-beradik ataupun makwe, dalam keadaan kelam-kabut anda memang takkan jumpa kembali mereka yang tersayang ketika itu, sebab semua muka sama.


Ridhwan Saidi

Rabu, Oktober 22, 2008

Orang Tanya, Saya Try Jawab

Semalam saya disergah satu soalan, di ruangan ‘komen.’ Asalnya, saya mahu jawab terus di situ (komen), tapi apabila saya mula menaip, jawapan saya meleret-leret la pulak. Mungkin kerana tanda soalnya itu banyak sangat kot, ada empat.

Di bawah ini saya tampalkan soalannya.



Apa ya yang menyebabkan saudara berfikir yang perkahwinan menyebabkan "mereka telah kerugian banyak peluang untuk mengutip seberapa banyak pengalaman di usia muda seperti membuat apa-apa saja yang dikira mencabar, adventure, penuh kegilaan, dan…er, romantik, tak mahu meneroka potensi hidup yang lari dari kongkongan tradisi, dan membuka gerbang kehidupan dalam skala yang lebih luas"????


Bukan perkahwinan yang saya hentam, tapi perkahwinan di usia yang terlalu muda. Apa yang saya tulis hanya satu pandangan, atau mungkin saja satu alternatif selain dari meneruskan sebuah tradisi usang yang dilakukan secara gelojoh. Dan tulisan saya juga bukan bersifat tentangan. Pokoknya, ini hanya satu lontaran idea yang mungkin cetek, dan paling penting, pilihan tetap di tangan kamu sendiri. 

Saya terfikir hal ini disebabkan saya agak jengkel melihatkan telatah ibu-bapa muda-muda zaman sekarang. Sibuk mahu kahwin cepat-cepat, tapi tak bersedia dalam banyak segi. Akibatnya, akan timbul pelbagai masalah sampingan, seperti yang banyak berlaku sekarang ini. Alah, takkan kamu tak tahu apa masalahnya…Kalau tak tahu juga, tanya Dino. Dan yang lawaknya mereka mengaku berani mengambil resiko, memikul beban dan tanggungjawab. Konon! 

Berkahwin jadi satu kebanggaan yang kosong, macam pameran, apabila raya, mulalah sibuk tayang anak bini di rumah sanak saudara, buat-buat lagak keluarga bahagia. Ia tak lebih sekadar bingkai tanpa gambar. Bahkan saya suspek ada di antara mereka yang berkahwin muda itu tak lebih sekadar membeli tiket untuk mendapatkan seks halal sahaja!

Perkahwinan satu ikatan yang bakal membataskan sedikit sebanyak kebebasan kamu. Hye, kamu diikat, mana mungkin kamu bebas berterbangan seperti helang? Ini jangan cuba-cuba kamu nafikan. Tanggungan hidup kamu bertambah, dan kalau kamu tak cukup bersedia, ia mendatangkan masalah besar, apatah lagi jika kamu sudah punya anak untuk diberi makan dan minum. Saya agak sedih bila melihatkan ibu bapa muda-muda ini tidak tahu jaga anak, tapi buat anak saja yang mereka tahu. 

Budak-budak kecil ini kadangkala terbiar, kurang kasih sayang, sebab mak bapak sibuk cari makan dan paling teruk, pendidikan mereka terabai. Anak nak melintas jalan pun mereka lepas begitu saja. Budak-budak dilepas-lepaskan, sebab tak larat atau memang malas nak jaga. Kalau dah ditabrak motokar, baru hang tau! Budak-budak manalah tahu apa-apa. Patutnya orang yang lebih tua lah pimpin. Siapakah orang yang lebih tua itu?

Kahwin usia terlalu muda dengan kewangan yang tidak mantap bakal mendatangkan bencana kepada anak yg tidak berdosa. Budak-budak ini kalau mak bapak tak cukup beri pendidikan, bila besar, paling best pun dia hanya jadi mat rempit. Ala, kira okay la tu, kan? 

Barang diingat, pendidikan zaman sekarang bukan murah. Dan kamu tak boleh serah pada TAKDIR dengan mengharapkan mereka jadi bijak tanpa sebarang asuhan. Jangan mudah jangkakan anak kamu boleh jadi genius macam Karim Rashid. Dalam satu abad, nak jumpa seketul Karim pun belum tentu. Kamu takkan tak tahu ‘Salah Asohan?’ 

Kalau kamu modal sikit, kamu tak dapat beri pendidikan terbaik untuk anak kamu. Bukan salah mereka kan kalau mereka tak jadi orang tapi jadi zombie. (rujuk filem Zombie Kampong Pisang) Kalau tak percaya, pergi tanya orang Cina, berapa banyak wang yang mereka laburkan untuk beri anak-anak mereka pendidikan yang terbaik? Itu tidak masuk wang yang disalurkan oleh persatuan-persatuan mereka lagi. Kita, Melayu, nak harap kerajaan, tu pun duit kadang-kadang tak sampai, di tengah jalan dah kena kebas oleh pemimpin budiman. Ini hakikat, kalau kewangan tak kukuh juga, famili kamu boleh berantakan. 

Apabila masalah semakin meruncing dan tak mampu dibendung lagi, masa itu mulalah drama tuding-menuding jari. Si bapa tuduh emak, emak tuding ke bapa, bapa tuding ke anak, anak salahkan bapa, emak salahkan anak, anak tuding semula kepada emak… Akhir sekali siapa yang salah? Takdir Tuhan yang salah…hahaha! 

Saya tidak maksudkan duit itu segala-galanya. Tapi, kalau kamu just rely on ‘kasih sayang’ semata-mata tanpa didikan atau ilmu, apa maknanya? Berapa lama kamu boleh bertahan dengan kasih sayang kamu? Kasih sayang saja tanpa beras dan buku – lupakan saja. Dan berapa ramai yang mampu bergantung kepada kasih sayang semata-mata, apatah lagi kalau anak mereka itu santak sampai 10 orang? Kamu perlu realistik. Pendek kata, semuanya perlu saling lengkap-melengkapi, baru cun. 

Mereka yg berjaya keluar dari kepompong kemiskinan rata-ratanya punya kesedaran yang tinggi akan hidup. Apa dia kesedaran tu? Mana datangnya benda alah kesedaran tu? Pastinya dari berfikir dan berusaha sampaikan akhirnya kamu mampu menilai apa yang baik dan apa yang tidak, tang mana yang best, tang mana yang hampeh. Woit, nak tengok Jogho ke Cinta Kolestrol?

Kalau tidak, itu yang ramai keluar televisyen atau suratkhabar, minta simpati, sebab kemiskinan atau anak kena colek. Saya sampai naik tak kesihan pun ada. Saya selalu perhatikan, kerana saya suka merayau-rayau, ibu-bapa muda-muda ini, ada anak dibiar-biarkan. Kadang-kadang tu, dimanja-manja secara berlebihan pula. Sampai anak tu langsung naik tocang. 

Bukan ke Tuhan sudah bekalkan kita akal kepada kita supaya BERFIKIR? Ini tidak, balik-balik babitkan Tuhan, kata takdir Tuhan bla bla bla...sambil menitis air mata. Masalah macam ini tak timbul kalau mereka guna akal. Bukankah akal fikiran itu anugerah Tuhan yang paling ampuh? Orang yang tak percaya Tuhan pun berfikir. Sedangkan Muhammmad bila ditanya sahabat, apa itu agama? Nabi selamba kata ‘AGAMA ITU AKAL.' Tapi orang kita yang sibuk-sibuk, berebut-rebut nak mengaku yang paling Islam, tak nak guna akal pun! Ironi sungguh...

Tapi kalau kamu tetap mahu berkahwin di usia muda, itu kamu punya hal. Tak salah! Duit kamu. Kehendak kamu. Pilihan hidup kamu. Tapi please, biar betul-betul bersedia dan lepas itu jangan sesekali menyesal. Kalau menyesal, nanti saya tumbuk. Saya hanya cuba beri pendapat betapa kamu punya peluang untuk buat apa-apa yang kamu suka, semasa kamu BUJANG, selain daripada berkahwin. 

Contohnya banyak. Di Sweden, negara paling demokratik di dunia, pemuda pemudi di sana, kalau mereka dah habis belajar, ada yang tak terus bekerja. Mereka buat macam-macam. Ada yang main band, ada yang produce magazine, ada yang bikin painting, ada yg aktif dlm NGO, malah ada ramai yang 'tersesat' di Malaysia. Mereka gunakan masa muda mereka untuk berkreatif dan explore perkara-perkara baru yang tak mungkin dapat dilakukan setelah mereka memiliki anak lima atau bongkok tiga. Ini semua pada saya menjadikan naratif hidup mereka lebih berwarna-warni, lebih meriah lagi bermakna.

Saya cukup iri dengan mereka yang sudah merantau ke banyak ceruk dunia, nampak gaya mereka jadi manusia yang lebih hati kering, kental dan selamba. Dan paling penting, minda mereka semakin ‘terang.’ Tak payah nak disuluh-suluh. Suluh-suluh pun, last-last nampak benda lain jugak, kan?

Itu sebab juga saya katakan bahawa kebanyakan dari mereka yang berkahwin terlalu muda ini ‘hanya nampak apa yang betul-betul tercatuk di depan mata, tanpa mahu mengorek sebarang rahsia atau misteri disebalik apa yang betul-betul dilihat di depan mata itu.’ Mereka jarang atau langsung tak memikirkan konsekuen kepada setiap tindakan yang diambil. Mereka turut tidak mahu memandang sesuatu jauh ke hadapan. Bosan.

OK, apa yg Jack Kerouac buat masa usia muda?



HITCH HIKING!


Hasilnya?

ON THE ROAD!

Apa status novel itu sekarang?



CULT!!!


Diletak sebelah Bible lagi di New York – sebab asyik kena curik.

Ketika novel itu belum diterbitkan lagi pun – akibat kena reject - Kerouac sudah MEMBAYANGKAN bahawa suatu hari nanti beliau akan menggenggam dunia.

Hye, kamu boleh buat macam-macam lagi di waktu muda. Pergilah hirup udara segar di luar sana dan berhepi-hepilah selalu..:P


Mohd Ikhwan Abu Bakar

p/s: Oh, bosan pula asyik cerita pasal kahwin ni, ada cerita lain yang lagi menarik kot?

Ahad, Oktober 12, 2008

Jangan Dok Pandang

Di alam nyata, manusia secara umumnya tidak menyukai perasaan takut. Rasa cuak, seram sejuk, nak terkucil, nak pengsan, semua ini antara perasaan-perasaan, yang saya kira, sentiasa cuba dijauhi oleh setiap makhluk yang bergelar manusia. Kata orang, simpang malaikat 44! 

Tapi agak aneh, adakalanya manusia tetap juga cuba menyelusur rasa takut ini, melalui pelbagai cara. Ada yang cuba main ‘spirit’, ada yang ketika zaman kecilnya sibuk nak masuk ‘Rumah Hantu’ di Melaka, ada yang poyo cari hantu, dan masuk rancangan ‘Seekers’ yang mengarut, lalu tak sampai sepuluh minit dah terjerit-jerit, padahal satu habuk hantu pun tiada, ada yang baca kitab Tamar Jalis, ada yang baca kitab Mastika dan akhir sekali, ada yang cuba merasai nikmat ketakutan ini dengan menonton filem seram. 

Bagi saya pula, secara peribadi, saya akan berasa seram ketika menonton siri drama Gerak Khas.

Filem seram ternyata mampu menyediakan wadah ketakutan kepada kita. Filem seram yang berjaya sentiasa berjaya membuatkan hati penontonnya bagai nak meletup, disudahi dengan rasa terkejut atau terus menjerit. Filem seram yang sukses sentiasa sukses menewaskan minda sedar kita, menenggelamkan realiti agar menjadikan kita hidup di bawah sedar buat seketika waktu. 

Ini bermakna, ia berjaya memindah kesedaran kita dari realiti untuk masuk ke dalam alam ketakutan yang dicipta. Jika kita menonton filem seram dengan kesedaran penuh (conscious), maka kita akan hilang nikmat rasa ketakutan. Sebab itu kebanyakan dari kita hanya membiarkan elemen conscious dihanyutkan oleh naratif filem-filem seram ini, agar ketakutan itu dapat dirasai.

Pernah satu ketika dahulu saya menonton Ju-on, filem seram yang dikhabarkan sebagai amat menakutkan, sebuah filem Jepun, kalau tak silap, bersama rakan-rakan, bergelap dalam sebuah bilik. Nak feel la konon. 

Sampai ke satu babak yang konon menakutkan, hampir semua yang di dalam bilik menjerit, kecuali saya. Bukan saya nak berlagak macho atau cool. Cuma sememangnya saya tak rasa apa-apa kerana saya cukup sedar yang merangkak-rangkak terkial-kial menuruni tangga itu tak lebih sekadar minah Jepun yang disolek sedemikian rupa. Kalau dia tak disolek sedemikian rupa, rambut mengerbang, serabai macam baru bangun tidur, mata dicelak sampai naik lebam, mungkin dia itu sebenarnya seorang minah cun. 

Ketika itu, saya hanya menikmati jalan ceritanya sahaja. Silap saya juga, saya menonton filem itu dengan conscious, maka saya tak dapat menjerit bersama rakan-rakan. Haha!

Sama seperti perasaan-perasaan lain, rasa takut ini terbukti, sebenarnya, mempunyai nikmat. Kalau tak, masakan orang tetap menghabiskan wang untuk menonton filem seram di pawagam? Terjerit-jerit ketika menyaksikan filem seram itu satu manifestasi nikmat. Oleh itu, kamu tak perlu rasa meluat, menyampah atau rasa ’nak sekeh kepala sekor-sekor’ dengan mereka yang terjerit-jerit di dalam panggung ketika filem seram sedang dimainkan, disebabkan kamu sendiri ’tak rasa apa-apa.’ 

Ia umpama kamu menaiki roller coaster. Kamu tahu ia sangat mencuakkan, tapi kamu tetap berdegil, kamu tetap ingin mencubanya, semata-mata ingin merasai nikmat ketakutan. Kamu tak perlu marah kepada mereka yang terjerit-jerit ketika menaiki roller coaster, melainkan kamu itu Mr. Bean.

Nikmat seram ini saya rasa sebenarnya satu bentuk eskapism, satu cubaan kita untuk lari dari rutin hidup yang mundane, monotonous, predictable. Apabila hidup ini terlalu rutin, atau asyik bergembira tak sudah-sudah, kita akan mencapai satu takat di mana kegembiraan dan yang rutin itu menjadi terlalu banal dan hilang nilai. Hidup ini ternyata perlu diserikan dengan sikit elemen ketidakdugaan dan unsur-unsur suspen, saya fikir.

Entah kenapa, malam raya lalu saya memberanikan diri menonton filem Melayu di kaca TV. Ini saya anggap antara cubaan saya merasai perasaan seram, selain dari menyaksikan drama Gerak Khas. 

Sebelum itu, ingin saya nyatakan bahawa saya sebenarnya amat segan untuk membakar duit saya di pawagam, lebih-lebih lagi untuk menonton filem-filem ’glokal’, apatah lagi kalau ianya filem seram. Ala, faham-faham la kan...

Lagipun, filem-filem yang ditayang di pawagam tempatan biasanya tak menarik minat saya. Filem-filem yang ditayangkan ini, kebanyakannya hanya tahap mediocre. Selalunya, jika saya terasa seperti ingin menonton di pawagam, apabila tiba di sana, saya akan terpinga-pinga.

Tapi yang paling saya terasa ialah, filem-filem ini, walaupun tak semua, ’lepas’ di panggung kerana ianya adalah jenis filem yang tak mungkin menggertak kuasa hegemoni pemerintah, filem-filem yang boleh berkompromi dengan keberadaan nilai-nilai establishment palsu, langsung membuai masyarakat supaya terus ’ketiduran.’ Tak hairanlah mengapa negara kita memiliki Perdana Menteri yang kuat zzzzzz...

Filem-filem hebat, mahsyur dan masyuk, setakat yang sudah saya tonton, sentiasa mampu menjentik rasa, menyentap minda dan membuatkan saya terjaga dari tidur. Dan kesemua filem sebegini yang sudah saya tonton datangnya dari medium cetak rompak. Long live pirate DVD!

Jadi, raya lalu sempat saya menonton beberapa filem, di TV, antaranya Syaitan, sebuah filem yang saya kira seperti bayangan rupa syaitan, buruk, mengelirukan tetapi langsung tak mencabar (tolong jangan bandingkan dengan Jean-Luc), dan membosankan, Zombie Kampung Pisang, lagi okay, serta Jangan Pandang Belakang. Ha, ni yang ambo nak ghoyak ni...

Menonton JPB ini juga saya anggap satu nikmat, maaf ya, bukan nikmat seram, tapi nikmat lawak.

Setelah menonton JPB, saya rasa ia cukup ’hebat.’ Tak hairanlah JPB mampu mengaut kutipan pecah panggung, kutipan filem tertinggi selepas filem sembelit lakonan Awie yang sungguh memilukan suatu masa dahulu. Di Malaysia, jumlah kutipan RM 7 juta memang bukan sedikit.

Apa yang hebatnya tentang filem ini? Saya rasa, di sebalik unsur seram yang cuba diterap, sebenarnya JPB berjaya membuat saya rasa seperti menonton filem komedi slapstik. Saya melihat JPB sebagai filem lawak seram, lebih lawak dari Zombie Kampung Pisang! Tapi awas, jangan cuba bandingkannya dengan Senario. Sebagai individu yang tak sukakan perasaan takut, apatah lagi bersedih, menonton JPB ini memberi satu pengalaman yang cukup berharga kepada saya, lebih-lebih lagi sewaktu di malam raya.

Dalam filem ini, perjalanan cerita dalam konteks filem seram adalah terlalu predictable. Saya boleh menjangka keseraman yang cuba ditimbulkan dalam JPB, semudah melihat suasana suram yang menyelubungi kediaman yang dihuni anak Khatijah Tan, yang memikul watak utama dalam filem ini. 

Saya tak pelik kalau hantu suka menyakat Dharma, watak lakonan anak Khatijah Tan ini, setelah melihat keadaan rumah beliau yang langsung tak ceria. Tapi saya rasa agak pelik, apahal sepanjang masa suasana rumah Dharma kelihatan suram sentiasa? Apa pasal rumah ini hampir bergelap gelita? Tak mampu bayar bil elektrik ke? Saiz rumah agak besar, tapi anak Khatijah Tan ini duduk sorang-sorang saja? Wah, hebat! Mana perginya kaum keluarga beliau yang lain? Kawan-kawan? Dia ni anti sosial ke? Ha, kan dah kena kacau hantu! Ahahaha!

Saya rasa, saya akan lebih suspen sekiranya pengarah memilih untuk mewujudkan suasana yang ’normal’, persekitaraan yang tampak tiada apa-apa keganjilan yang mungkin berlaku, tetapi hakikatnya akan terjadi peristiwa-peristiwa yang bakal melemahkan jantung. Maksud saya, kejadian-kejadian yang unpredictable, tak dapat dijangka di sebalik rutin harian yang kelihatan normal. Sekurang-kurangnya, saya akan lebih menghargai unsur-unsur sebegini kerana ia tak terperangkap dengan klise filem-filem seram yang berlambak-lambak sekarang ini, yang seolah-olah wajib menunjukkan elemen gelap, kusam dan suram yang tiada makna dan berlebih-lebih.

Pun begitu, saya masih menghargai babak-babak ketika Dharma berada di kampung, yang saya rasa lebih cool dengan persekitarannya yang tampak lebih 'normal.'

Ada satu babak, ketika Dharma baru keluar dari lif, dan tak tahu hujung pangkal, muncul pula kelibat hantu anak beranak, ada bapa hantu, ibu hantu dan anak hantu berpakaian serba putih masuk ke dalam lalu menebeng di dinding lif dengan masing-masing tertunduk malu. Ini lagi saya pelik! 

Soalnya, mengapa hantu-hantu ini muncul dengan tiba-tiba? Apa kaitan hantu anak beranak ini dalam kesah hidup Dharma? Apa kaitannya dalam filem ini? 

Sampaikan tamat saya tonton filem ini, saya langsung tak menjumpai pertalian atau apa-apa tanda hubungan antara hantu anak beranak dengan retetan siri kejadian-kejadian seram yang dialami oleh Dharma. Hantu sebenar yang mengacau Dharma berpunca dari hantu yang mula-mula mengganggu arwah teman wanita beliau, dan hantu ini tak pula ditunjukkan beranak-penak!

Jelas sekali, babak ini kantoi dalam menjalinkan hubung kait antara unsur seram yang cuba ditandai melalui kewujudan entiti hantu dengan keseluruhan jalan cerita. Saya tak terlalu peduli dengan plot. Senang cerita, walau semua babak dalam filem adalah buatan, namun babak ini nampak terlalu dibuat-buat, semata-mata ingin memberi idea yang JPB adalah sebuah filem seram lagi menyeramkan. Hakikatnya, ia menjadikan JPB sebuah filem lawak yang murah.

Dan pada saya, ia tak lebih sebagai babak copy and paste dari beratus-ratus lagi filem seram yang lain, terutamanya yang datang dari Korea dan Jepun.

Motif sebenar hantu yang mengacau Dharma ini juga agak kelam. Sampai ke akhir cerita, saya tak nampak sebab musabab hantu ini beria-ia benar mengganggu hidup beliau. Nak kata saka pun bukan. Ia sekadar memberi klue bahawa teman wanita Dharma mati akibat tekanan melampau setelah kerap diganggu si hantu. Dan mentang-mentang la Dharma ini teman lelaki si mati, hantu ini nak kacau Dharma pula. Bosannya!

Imej hantu yang dipapar juga satu lawak. Muka hantu itu tak menyeramkan, tapi melawakkan. Fizikal hantu jelas kelihatan, berterbangan ke hulur ke hilir langsung tak membuatkan lutut saya terketar-ketar. Untuk saya, hantu hanya menarik untuk ditinjau dari sisi misterinya sahaja. Unsur misteri yang mewarnai imej hantu inilah yang membuatkan kita tercari-cari, ingin tahu rupa hantu yang sebenar. Lagi tak nampaknya hantu itu, semakin ia menjadi misteri, bertambahlah keseramannya.

Tapi jika hantu bebas berkeliaran melayang-layang di udara macam burung, dan kita, manusia, bebas pula melihatnya dengan jelas, maka ini akan membunuh unsur misteri hantu tersebut. Dan saya yakin, selepas itu, tiada siapa yang akan ambil pot lagi dengan apa yang dipanggil sebagai hantu. Kalau hantu hilang taring, kelak Uncle Seekers pun susah nak cari makan.

Saya bercakap dalam konteks saya sebagai penonton, bukan dalam konteks realiti filem ini. Harap maklum.

Selain itu, kegagalan Dharma menyebut ’s’ dengan telus juga saya anggap satu lawak. Ssss...la, bukan ‘h’! Susah sangat ke nak sebut? Alahai...ahahaha!!!

Namun, terdapat juga adegan lawak, yang memang betul-betul lawak. Serius, bukan lawak seram. 

Adegan yang saya maksudkan ini ialah adegan yang melibatkan perbualan antara watak Opah, lakonan ibu Adlin Aman Ramli, dengan Dharma. 

Si Opah bertanya kepada Dharma, “nama cucu siapa?”

“Nama saya Dharma, opah.”

“Dharmaopah?”

“….”

LOL!

Saya ingin membungkus pojok kali ini dengan mengucapkan ‘selamat hari raya’ kepada Ahmad Idham kerana berjaya membuatkan saya ketawa terbahak-bahak ketika malam raya yang lalu. Sekian.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Khamis, Ogos 14, 2008

Tekstur dalam Filem

Ketika saya kecil, saya percaya bahawa dunia ini hitam putih. Saya menonton Kala Malam Bulan Mengambang (2008) bersama teman wanita saya dan Jimmy di pawagam suatu ketika dulu. Saya tidak saja suka ke pawagam, saya pencinta filem, bukan kaki wayang, ada perbezaan di situ. Ada sesuatu yang telah Mamat Khalid lakukan berjaya menarik minat saya ke pawagam, ianya dibuat hitam putih. Sebelum ini saya hanya melihat kerja-kerja beliau di kaca televisyen waktu raya. Zombi Kampung Pisang (2007), Rock (2005) dan Man Laksa (2006) kecuali Lang Buana (2003) yang belum saya tontoni. Secara jujurnya, saya berasa janggal melihat ketiga-tiga filem ini. Ada benda yang bikin kacau, saya tidak dapat menikmati filem-filem ini secara menyeluruh. Saya dapat tangkap kritikan-kritikan sosial beliau, tapi ia kekurangan sesuatu, ataupun terlebih sesuatu. Saya mempunyai perasaan bahawa filem-filem ini jika dibuat hitam putih, ia lebih kena melihatkan reka set dan kerja cahaya beliau. Perkara ini paling menyerlah apabila saya menonton Zombi Kampung Pisang.

Saya pernah bereksperimen dengan video pornografi yang bagus dengan pencahayaan yang baik. Saya jadikannya hitam putih, kemudian level, brightness dan contrast dikawal. Dengan hanya membuang warna, ia menghasilkan aura filem yang begitu unporno. Alang-alang menyeluk pekasam, editing dilakukan dengan membuang mana-mana babak yang bosan, sedikit sentuhan slow motion diberikan, aksi-aksi disusun kembali. Maka dengan itu terhasillah sebuah karya erotika. Pornografi didekonstruk menjadi erotika.

Apabila filem dibuat hitam putih, ia menyerlahkan tekstur, yang biasanya dikaburi warna. Saya berani mengatakan ini kerana sebelum saya memasuki dunia perfileman secara serius (konon), saya berkecimpung dalam dunia fotografi (sekadar memahami konsep kamera SLR). Cuba bayangkan sekeping gambar bersama keluarga dan sanak saudara di hari raya. Dengan warna, mata menjadi penat dan keliru dengan hierarki warna baju-baju. Tidak tahu yang mana ingin difokus. Dengan hitam dan putih, warna baju-baju ini sudah tiada, tekstur mengambilalih. Mata akan fokus terhadap muka-muka tanpa campurtangan warna baju.

Jika garisan adalah titik yang sedang berjalan, maka filem adalah foto yang sedang berlari. Filem hitam putih yang bagus ibarat karya-karya aksitektur Richard Meier. Beliau seorang modenis, hanya menggunakan material putih pada bangunan. Kenapa? Kerana beliau membiarkan cahaya matahari mengecat ia dengan keredupan bayang. Ini memberikan kedalaman dan perspektif di dalam sesuatu ruang itu. Arkitek pasca-moden Santiago Calatrava juga banyak menggunakan warna putih. Saya tidak tahu mengapa.

Walau bagaimanapun filem berwarna juga dapat memberikan rasa tekstur, ini adalah di tahap yang lebih tinggi (dari segi teknikal) dan bukan calang-calang orang mampu melakukannya. Saya tidak pasti tentang kamu tapi, bagi saya Once Upon a Time in the West (1968) oleh Sergio Leone dan trilogi The Godfather oleh Francis Ford Coppola adalah contoh terbaik. Saya dapat rasai teksturnya (baik dari segi teknikal maupun emosi).

Francous Truffaut pernah rasa tidak puas hati dengan warna filem berwarna sulungnya, Fahrenheit 451 (1966). Ketika itu adalah peralihan zaman di mana dari filem hitam putih ke warna. Perasaannya mungkin sama seperti saya menonton Hang Tuah (1956), rasa janggal. Reka setnya terasa seperti mainan. Mereka yang leka dengan warna telah melupakan tekstur hitam putih. Kini kita berada di dalam era peralihan sekali lagi. Kali ini dari media filem ke digital. Steven Spielberg, M. Night Shyamalan, Oliver Stone, dan Paul Thomas Anderson telah bersumpah untuk menggunakan media filem hingga hujung nyawa. Apa pula akan terjadi bila generasi baru leka dengan teknologi digital? Apa jadi apabila keadaan menjadi terlalu mudah? Apa akan terjadi apabila seseorang merakam dengan kamera digitalnya perjalanan ke Pantai Timur mencari pelacur? Ini pelik, bikin kusut, Un Chien Andalou (1929) raja filem surreal pun tak sepelik ini.


Ridhwan Saidi