Memaparkan catatan dengan label Latiff Mohidin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Latiff Mohidin. Papar semua catatan

Jumaat, Oktober 16, 2015

8 buku puisi Malaysia kegemaran saya

Berikut buku-buku puisi dalam milikan saya yang saya gemar (dengan kuota satu pengarang satu buku, menurut tertib) yang saya percaya cukup sajak, punya dunia dan suara dan faham bahasa (dalam erti kata sebenar) dan sedar ia terjilid di dalam sebuah buku. Senarai ini sebuah proses dan boleh berubah sebab dewasa ini saya cenderung membelek dan membaca dan mencari buku-buku sajak Malaysia lain yang barangkali menarik (saya tak pernah didedahkan dengan puisi sebelum ini). Disertakan sekali sajak paling pendek yang rajin saya taip (dan paling penting berkesan buat saya) untuk anda yang mungkin tiada buku ini, untuk jamah apa yang boleh diberi buku-buku tersebut:

1. OPERA (1988) oleh T. Alias Taib
Di Dalam Gelap 
di dalam gelap
segala-galanya samar dan berbalam
segala-galanya tak pasti
dan hitam:
rambutmu mulutmu perutmu
matamu dadamu
susumu 
di dalam gelap
yang terang hanya satu
cintamu padaku

2. FABLES OF DAWN (2003) oleh Latiff Mohidin (terjemahan Salleh Ben Joned)
A Mirror 
I look out the window
I see myself
walking to and fro
in the middle of the clearing
carrying on my shoulder
a mirror 
The night is late
I look at the palm of my hand
I undo the bandage
there is no wound there
as I close the window
I can hear the sound
of broken glass
on the steps

3. YANG YANG (1986) oleh Abdul Ghafar Ibrahim
Sajak Memakan Kata 
m e m a k a n         k a t a
        m e m a k a n k a t
            m e m a k a n k a
                m e m a k a n k
            m e m a k a n
            m e m a k a
                 m e m a k
                         m e m a
                         m e m
                         m e
                                m

4. POEMS SACRED AND PROFANE (1987) oleh Salleh Ben Joned
Ghairah Padi 
Dalam genggaman ghairah
segempal tanah.
Dalam turutan puas
setangkai padi. 
Tanah padat pejal,
padi miang berderai.

5. UTOPIA TRAUMA (2006) oleh Rahmat Haron
Tamadun 
Pasar-pasar kasar terhampar
–menampar-nampar–
manusia pun mengejar gelar-gelar besar
modal menjalar ke dasar-dasar lebar
yang mengelar leher-leher lapar
Kemudian, segalanya terkapar, terbiar
dan kehilangan Liar.

6. SEKUMPULAN EPITAF DAN SURAT-SURAT YANG LEWAT (2014) oleh Karl Agan
Epitaf II 
Malam ini sajak bercuti,
penyairnya mati tertusuk kata-kata sendiri.

7. SAJAK-SAJAK SEJARAH MELAYU (1981) oleh Muhammad Haji Salleh
petikan ‘ceritera yang ketiga puluh’

telah malam jatuh perlahan
di langit, bukit, sungai dan lembah Melaka,
tidur pun membaringkan penunggang kuda,
berkasih dan dikasih meletihkan,
perasaan sering mengosongkan senja.

8. KATARSIS (1993) oleh Zaen Kasturi
petikan ‘Sesudah Usai Hukum Narapidana’
sesudah kauhabiskan sisa-sisa roti itu, kau pun
bercerita tentang yis dari zuriat sejuta protozoa –
saling bergumul, menerjang dan menggigit adunan tepung


 Ridhwan Saidi
P/S: Siapa ada buku puisi Malaysia yang dirasa baik dan mahu disyor/kongsi dialu-alukan!
P/S/S: Siapa ada Rangkaian Ruba’iyat (1959) mohon fotostat untuk saya kalau sudi. 

Rabu, Ogos 27, 2014

Editor dan lukisan catan

Kelmarin di sebuah kedai fotografi/minum-minum saya jumpa buku LINE oleh Latiff Mohidin lalu membeleknya dan lihat bagaimana lukisan-lukisan catannya berteraskan unsur-unsur alam mendapat bentuk. Dikepilkan beberapa imej foto sebagai rujukan dan di sebelahnya pula hasil akhir yang bukan serupa literal tapi jelas dari mana ia datang. Ia ketara betapa kuatnya unsur alam dalam karya beliau.

Lukisan catan ini tidak diedit sosok lain, atau sekurang-kurangnya dalam proses seni halus, tiada entiti editor. Yang ada kurator. Kalau ada editor, barangkali ia boleh melukis sekali di dalam catan untuk melakukan pembetulan.

Ini isu saya dengan editor setakat ini. Saya tidak kisah tulisan saya diedit, tetapi selalunya saya merasakan analoginya begini: ambil contoh satu lukisan dari Siri Serangga oleh Latiff, dan editor itu akan padam dan lukis kembali seekor mentadak-mentadu secara realistik guna water color. Editor itu barangkali akan kata, “Bro, kau punya mentadak-mentadu tu samar-samar lah, aku takut pembaca kita tak faham.”

Maka lukisan serangga yang menemani teks Faust itu kini telah menjadi lukisan water color. Apa yang mengganggu di sini bukan soal kesamaran atau jelas tak jelas tapi stail. Stail dan niat yang disampaikan seniman/penulis itu sudah jadi lain. Pernah satu ketika tulisan saya yang diedit terasa seperti ditulis oleh orang lain. Saya tidak kenal tulisan saya sendiri, saya jadi kecewa dan marah.

Semestinya seorang editor akan beretorika mengenai story/cerita. Isunya semua orang boleh tulis cerita yang sama tapi yang membezakan individu/author, adalah stail. Ini fundamental gila.

So sedikit sebanyak seorang editor akan impose stailnya, ini kita faham, cuma kalau prosanya diedit dan dijelaskan no-nonsense macam Henry Miller ke, Bukowski ke, Raymond Carver ke, kita pun suka. Tapi yang dijelaskan bukan prosa, sebaliknya cerita. Menjelaskan cerita ibarat mentadak-mentadu water color tadi. Ia boleh jadi cantik macam stroke water color Yong Mun Sen, tapi ia secara tak langsung menyentuh tentang zaman. Ia jadi old-fashioned. Dan prosanya pula jadi macam... bak kata Bono, “Takde flair.”

Saya sendiri pernah jadi editor dan biasanya kalau seseorang itu boleh menulis, saya tak usik sangat. Tapi kalau ia ada story/cerita yang bagus (LOL), saya akan suruh penulis itu re-write sepuloh kali untuk capai potensi terbaik dirinya. Itu je.

Ridhwan

Isnin, Mac 03, 2014

Ampang Park dan projek zine foto

Ampang Park
oleh T. Alias Taib

ketika kami menyeret langkah
ke kota kaca di sudut sebuah butik
kubayangkan patung berpakaian pengantin di situ
adalah pengantinku yang putih dan cantik


Sajak Ampang Park dimesej Wan Nor Azriq via FB untuk saya rakam selepas saya kongsi idea projek zine foto saya, iaitu untuk merakam foto di sekitar Kuala Lumpur berpandukan route-route seni / literatur Melayu, dan siri pertama yang sedang saya usahakan adalah perjalanan Latiff Mohidin dari Batu Road ke Kota Raya berasaskan catatannya di dalam Catatan yang dihadiahkan oleh Nazim Masnawi.

Terima kasih buat mereka semua, la ni usai setel novel Babyrina saya cadang untuk siapkan zine fotografi ini sebelum Jun, sebelum kembali menulis novel bersama Fixi. 

Setakat ini tinggal 22 ketul Tri X dan dijangka itulah peluru yang saya ada bagi projek ini meski kebiasaannya saya rakam seminggu satu roll. Jika anda ada terbaca prosa atau puisi oleh penulis Malaysia yang merewang di sekitar Kuala Lumpur, punya route, jangan segan jangan silu untuk mesej atau emel ya? Ia sebuah projek jangka panjang maka tiada tarikh luput. Terima kasih!


Ridhwan