Memaparkan catatan dengan label Harold Pinter. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Harold Pinter. Papar semua catatan

Isnin, November 07, 2022

Berahi Dalam Teater Lokal

Berahi boleh datang dalam dua bentuk: 1. ia terbenam di dalam play itu sendiri, di dalam naratif, dan 2. ia datang sebagai daya, oleh pelakon/penari/performer, sebagai satu bentuk sexual drive. Saya akan berikan tiga/empat contoh play yang saya tonton dalam menjelaskan dua unsur berahi yang boleh muncul di atas pentas.

Saya tonton THE LOVER tulisan Harold Pinter, arahan Shahrul Mizad sewaktu penilaian Fatimah Zahari (aktor yang kemudian saya kenal via Jejak Tabi, apabila Fatimah membaca skrip Kurator Dapur, Teater Modular.) Ia jelas kepada saya bahawa seluruh play ini ialah satu bentuk sexual power play, di mana role-playing diperlukan dalam menghangatkan kembali hubungan suami isteri yang dingin. Ia tidak literal, tetapi terbenam di dalam.

THE LOVER dalam bahasa Melayu yang saya tonton ini contoh play di mana berahi itu hadir dalam naratif (sebagai subteks), tetapi tiada sexual drive dimunculkan oleh aktor, sebab ia akan jadi redundant, sebaliknya mereka bermain mata dan berguling-guling ala filem Hindustan untuk larikan titik fokus terhadap elemen berahi ini kepada sesuatu yang lebih fantastik dalam skala domestik. Ini apa yang saya tangkap dari apa yang dipentaskan, saya belum pernah baca naskhah asal.

Untuk contoh bentuk kedua pula akan saya pilih SKIN & FLOWERS: IN TEND(ER) oleh Veshalini Naidu, kolaborasi bersama beberapa orang, tetapi dua performer yang akan keluarkan sexual drive ini ialah Hannan Barakbah dan Theyvapaalan Jayaratnam. Keinginan dan desire ini ketara (buat mereka yang menonton), meski teks persembahannya (barangkali) lebih berfokus kepada seksualiti. Ada garis di sini. Seksualiti lebih political in nature, manakala berahi yang ingin saya sentuh pula lebih kepada primordial instinct. Oleh sebab seksualiti ini politikal, maka ia guna fakulti intelek, manakala dengan berahi pula kita tidak perlu terlalu berfikir. Jadi perlu jelas di sini bila saya guna berahi, yang saya maksudkan ialah fakulti yang bukan fikiran/akal/intelek dan bukan juga hati/jiwa/perasaan, tetapi naluri kebinatangan yang terletak pada alat kelamin kita. Politik identiti, seksualiti, semua ini terletak di aras fikiran/akal/intelek. Begitu juga dengan sexual harassment, domestic abuse, dan isu-isu sosial yang lebih politikal sifatnya, maka paling mudah bila saya guna berahi, saya memaksudkan seks sebagai nikmat hidup (joy of life), sebelum ia jadi problematik.

Lagi satu play di mana berahi hadir sebagai daya ialah piece Nana dalam THE HUMAN EXHIBIT: MENTAL HEALTH, di mana kain pelikat, batik, kamera dan dildo strap bagai muncul dalam persembahan, tetapi kali ini ia puitis dan politikal. Posisi seksual antara suami dan isteri dijungkir balik seraya Nana bermonolog tentang Tun Fatimah dan srikandi Melayu (antaranya seingat saya). Biarpun sekejap, ia beri kesan mendalam. Ruang performans dalam stor bawah tangga (3 kaki lebar) ini kecil dan sempit tapi besar rengkuhannya.

Ini akan membawa kita kepada contoh play terakhir iaitu A TALE OF STAR-CROSSED LOVERS arahan Lee Swee Keong dengan lima aktor Lim Soon Heng, Lim Kien Lee, Hana Nadira, Zul Zamir, Sandee Chew dan dua penari Cahyo Sandhidea dan Selvia Arbella. 

A TALE OF STAR-CROSSED LOVERS pamerkan kedua-dua bentuk: berahi terbenam dalam play dan juga diberikan daya oleh para aktor. Play ini diinspirasi teks Romeo and Juliet oleh William Shakespeare, tetapi dipaparkan persis scene study. Adegan-adegannya tidak dijalin secara koheren. Ia ambil bentuk dream logic, atau bak bahasa pasar: ia abstrak.

Play ini tidak propel ke depan secara naratif, kita disoriented dan disengaged, tidak tahu kita di scene apa, dan apatah lagi kita tidak tahu siapa Romeo dan siapa Juliet (kerana ia berubah dari satu aktor ke satu aktor.) Kata-kata Shakespeare hilang makna, dan tinggal bunyi, walau bagaimanapun, lebih lanjut saya dapati kata-kata sendiri tenggelam dan tidak membantu naratif (ia barangkali membantu aktor, tetapi bukan naratif). Malah muzik lebih digunakan dalam menguatkan scene, cuma pada telinga saya pilihan muziknya tidak kena. Ia terlalu Eurocentric dan melodik dengan muzik rakaman orkestra (salah satunya oleh Claude Debussy), ia terlalu Barat dan berat (untuk adegan dengan emosi yang ringan). KeBaratan ini aneh, ditambah dengan kata-kata Shakespeare era Elizabethan dalam loghat Malaysian-English, ditambah dengan bahasa dan tarian Jawa, ia penuh dengan keasingan dan suatu pertembungan yang membingungkan.

Ia bermula dengan banyak kata-kata Shakespeare di awal kisah, dan semakin lama semakin kurang, dan kita ditinggalkan dengan elemen visual. Tidak dinafikan secara visual ia kuat dan ada sesuatu berlaku, cuma apabila ia tidak disokong oleh elemen lain, seperti muzik (yang pada saya tidak cocok), dan naratif yang koheren, maka yang tinggal cuma lakonan. Dan aksi terkuat biasanya berlaku bila para pelakon berada dalam posisi kaku atau sedang berjalan (tanpa bercakap).

Kendatipun play ini tidak koheren, tetapi jika kita lihat secara jauh, play ini sebenarnya sedang berusaha mengabaikan kata-kata. Kata-kata ialah antagonis dalam play ini. Kata-kata dilafazkan secara banyak, dan tidak dimainkan, malah ia sukar untuk kita faham apa yang dicakap. Ia hanya dirasai bila kata-kata itu tinggal bunyi seperti wailing dan moaning (dalam konteks kesengsaran mental dan juga nikmat berahi).

Saya akan kongsikan beberapa adegan yang bawa semangat berahi. Di awal kisah ada adegan Sandee jatuh dan terbaring di lantai dikepung oleh Kien Lee, Zul Zamir dan Hana Nadira. Mulanya saya rasa ia tentang power, tapi selepas didedahkan dengan adegan-adegan lain selepas itu yang ketara berbaur seksual, pemahaman saya terhadap scene awal berubah dan kini saya lihat ada gaze dan daya masochism tertanam. Antaranya ada aksi dressing dan undressing, foot & stocking fetish, blindfolded, bondage dan onani yoni dengan kepala sebagai linggam (seraya melafazkan ayat-ayat Shakespeare umpama mantera).

Sama ada sedar atau tidak, performer sedang memberikan sexual drive kepada play yang asalnya tragedi cinta remaja ini. Play ini lebih bermain dengan intuisi, imej visual (imaginasi) dan naluri primordial berbanding mendalami kata-kata dan naratif. Kata-kata Shakespeare dan naratif Romeo and Juliet sekadar menjadi pakej luaran. Pisau Juliet di Verona dihulur Rama dari Jawa... geram je kita!


Ridhwan Saidi
p/s: Tulisan ini telah ditulis pada November 2018 dan hanya diterbitkan kini empat tahun kemudiannya.

Isnin, Januari 29, 2018

Mencari Naskah Teater Malaysia

1
Buat masa ini keterujaan saya adalah untuk baca teks-teks teater kontemporari pasca Nam Ron. Sebab yang sebelum-sebelum itu (1940an ke 1990an ke Nam Ron) sudah saya belek dan baca, dan masih terus membaca sekali-sekala. Stok bacaan ini sentiasa ada dan sentiasa boleh dirujuk di perpustakaan manakala untuk naskah baru pula, lebih sukar, sebab ia tidak bercetak. Saya perlu minta secara peribadi untuk dapat dan baca. 

2
Saya ada tonton tiga teater student Aswara yang merupakan penilaian akhir mereka. Jumlahnya ada empat tapi saya sempat tengok tiga werk iaitu TREM BERNAMA DESIRE oleh Tennesse Williams, THE LOVER oleh Harold Pinter (kedua-dua werk ini diterjemah ke bahasa Melayu) dan TANAH AKHIRKU sebuah teks baru yang dikredit sebagai sekumpulan panel iaitu Xavier Fong, Siti Jasmina Ibrahim, Lim Mei Fen dan Ashraf Zainul.

Teks yang baik biasanya berat, dan ini menjadi beban atau struggle bagi seorang pelakon dan pengarah untuk mengusahakannya. Walau bagaimanapun seperti TREM BERNAMA DESIRE dan THE LOVER, ceritanya siap dan cukup. Ini berbeza dengan TANAH AKHIRKU di mana banyak benda yang belum masak dan selesai. Dari segi cerita ia masih belum jadi.

Di sini ia beri kita dua situasi. Pertama, kita ada teks yang sudah teruji bagus, dan lalu pengarah dan pelakon perlu sampaikan apa yang teks itu mahu sampaikan. Dalam TREM BERNAMA DESIRE, watak utamanya yang dibelenggu madness, ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakonkan. Emosi ini muncul secara halus. Ini antara hal yang menjadi isu saya dengan pementasan ini, ia terlalu berat untuk dibawa student itu, dan maka apresiasinya jatuh ke tahap student work. 

Tapi sebagai audien baru, saya seronok dan enjoy untuk ikuti ceritanya. Meski pelaksanaannya (teater-teater adaptasi ini) andai ia lemah atau gagal, sekurang-kurangnya saya masih boleh ikuti cerita. Ini hanya boleh berlaku kepada audien newbie seperti saya. Jika audien itu sudah biasa menonton TREM (atau filemnya), ia jadi satu hal lain. Audien itu boleh membanding-bandingkan dengan pementasan yang telah ditonton sebelum itu. Ceritanya sudah tidak rasa fresh, maka kepekaan mereka lebih terjurus ke unsur lain.

Hal yang sama berlaku dengan THE LOVER. Dalam konteks ini, pembawaan karakternya tidak seberat TREM, sentuhan pengarahnya pula perlu lebih peka. Kerana teks ini saya fikir, kritikal dengan gaya hidup orang berada yang menggunakan role-playing untuk menghiburkan diri. Ia juga sebentuk madness, tapi lebih playful. Ini isu saya dengan pementasan ini, niat itu tidak jelas lalu ia terawang-awang di permukaan, lebih terjurus ke semangat filem Hindustan. Walau bagaimanapun, oleh kerana ia pengalaman pertama saya dengan teks ini, saya boleh terima sebab ceritanya menarik. Saya boleh ikuti cerita dengan mendengar lontaran dialog.

TANAH AKHIRKU pementasan terlemah sebab asasnya iaitu cerita sudah lemah. Ini situasi kedua. Meski ia menarik sebab ia teks baru, tetapi ia berisiko sebab apabila teksnya gagal, seluruh yang lain ikut sekali. Bak kata Hemingway, “All bad writers are in love with the epic.”

Karakter utamanya sebentuk Mary Sue, jadi ia sangat bahaya. Jika untuk TREM dan THE LOVER, pelakonnya perlu jadi Blanche dan watak isteri—sesuatu yang di luar kerangka diri mereka, tetapi perlu dicari di dalam—watak Mary Sue ini indulge dirinya sendiri di dalam ruang selamat, dan naratif cerita menyokong tindakan ini. Ia menjadi sayang andai se-power mana pun pelakonnya, ia tak boleh pergi jauh, sebab naratif karakter itu tak tolak pelakon itu untuk teroka emosi-emosi yang lebih sukar dan mendalam. Ia terjebak dengan klise. Karakter-karakternya belum didarah dagingkan di atas kertas.


Ridhwan Saidi