Memaparkan catatan dengan label Ludwig van Beethoven. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ludwig van Beethoven. Papar semua catatan

Selasa, September 22, 2009

Rasional dan Emosi

Kedua unsur ini sebenarnya adalah bentuk pemikiran yang saling bertukar ganti sejak turun temurun. Rasional otak belah kiri, emosi otak belah kanan barangkali, ikut Roger Sperry. Ya kita selalu disuapkan bahawa perasaan ‘ikut hati’ (ala Yasmin Ahmad) ini datang dari jantung (heart) secara literal, lantas menyentuh di bahagian kiri dada. Tapi sebenarnya ianya datang dari pemikiran, fungsi jantung adalah untuk mengepam darah ke seluruh tubuh, termasuk otak. Rasa, intuisi, bisikan, naluri (manusia tak sama dengan haiwan), wahyu (ala Erma Fatima), dan macam-macam lagi wujud melalui akal, satu-satunya keistimewaan manusia.

Dalam evolusi seni musik, ada beberapa zaman, dari Zaman Gelap, Pencerahan, Baroque (& Rococo), Klasikal, Romantik, Kurun ke-20 dan Kontemporari. Perbezaan zaman ini adalah disebabkan oleh pengaruh rasional dan emosi itu tadi. Kita ambil contoh Zaman Klasikal, ketika ini klimaks rasional memuncak dengan formality, order, hierarchy dan simplicity. Ianya well-articulated (rujuk Mozart). Selepas itu di Zaman Romantik, idea-idea formal ini dilanggar dan dikembangkan ikut sedap hati dan emosi. Ianya lebih passionate dan ekspresif (rujuk Beethoven). Ini sama kesnya dalam cabang senibina. Sudah berbuih mulut saya menerangkan beza moden dan pasca-moden dan kali ini akan saya terangkan sekali lagi. Modeniti dalam erti kata lain adalah hyper-rationality. Rasional tahap Gaban sampai segala hiasan dianggap sebagai jenayah. Sampai satu tahap ianya menjadi bosan dan oleh kerana itu, munculnya gerakan pasca-moden yang meraikan kembali emosi, passion, ekspresi dan seumpamanya. Rasional? Hanya pada struktur, itu pun habis logika umum ditolak. Zaha Hadid pernah mencadangkan sebuah highrise dengan satu tiang di satu penjuru sahaja. Orang tengok pun rasa semacam nak roboh. Herzog de Meuron pula mencadangkan sebuah highrise berbentuk pyramid di tengah kota Paris. Konsistensi skyline kota Paris dan rasionaliti dilanggar sekali lagi. Bangunan tidak lagi perlu tunduk kepada Eifel Tower. Ini semestinya mencanangkan perdebatan di kalangan warga kota Paris, ada yang setuju dan ada yang tidak setuju.

Ini boleh juga kita lihat dalam perlawanan bola sepak. Sebab itu saya tidak tertarik dengan EPL kerana ianya hyper-rational. Fungsi perlawanan bola sepak adalah untuk memasukkan gol ke dalam gawang lawan. EPL hanya sekadar memenuhi tuntutan fungsi ini, tiada beauty. Kepada mereka yang tidak minat bola sepak, ini adalah kerana yang mereka tonton itu liga Inggeris. Ia berbeza dengan liga Sepanyol atau Itali. Hey, lihat saja senibina Norman Foster, itulah corak permainan EPL. Sekarang lihat pula senibina Renzo Piano, itulah corak permainan Serie A. Senibina Antoni Gaudi? Itulah corak permainan La Liga, atau lebih spesifik: FC Barcelona. Estetika diraikan!

Sama juga dengan Valentino Rossi kepada yang minat MotoGP. Jika penunggang lain, mereka akan pecut terus meninggalkan yang lain (demi memenuhi tuntutan no. 1) seperti Michael Schumacher dalam F1. Tapi tidak bagi si Doktor Rossi, beliau ibarat kucing, yang gemar bermain-main dengan tikus-tikus (rujuk: penunggang) di kedudukan 2 dan 3. Sengaja biar dipotong pada pusingan ke 3 terakhir dan kemudian memotong kembali di pusingan terakhir. Menang dengan gaya yang heroic. Malah secara peribadi, saya percaya beliau adalah seorang humanis sejati. Ini berlaku semasa beliau berpindah dari pasukan Honda ke Yamaha. Rossi menjadi juara bertahan dengan mesin Honda RC211V, (motosikal dengan pelekat Repsol tu) yakni mesin yang berkuasa gila. Malah dalam permainan video simulasi, RC211V ini berada di dalam kelas S (super) sedangkan yang lain-lain A, B dan C. Dengan pasukan barunya Yamaha, yakni dengan mesin yang lebih cikai, beliau masih berterusan menjadi juara. Di sini beliau mengeluarkan kenyataan yang jelas bahawa manusia yang mengawal mesin dan bukannya mesin yang mengawal manusia. Ini selari dengan konsep 'sublime' Kant.

Semasa menonton filem, emosi dibiarkan melayang melayan audio visual (hanya berfungsi terhadap filem yang bagus, dan bagus itu subjektif). Kira lebih kurang macam dengar musik-lah. Resensi secara rasional dan kritikal serta segala teori-meori pula datang kemudian, yakni setelah filem itu selesai ditonton. Sesebuah reviu itu adalah untuk menjambatani seseorang penonton dengan filem tersebut mengikut perspektif si penulis reviu. Di sini rasionaliti itu perlu, kerana jika penulis reviu itu melayan perasaan, menjadi satu hal pula untuk orang lain mengupas reviu tersebut dengan lagi satu reviu. Dengan itu untuk mengatakan bahawa seseorang penulis reviu atau ‘film theorist’ itu terlalu berfikir dan tidak ‘rasa’ adalah tidak masuk akal (lebih-lebih lagi rasa itu dari ‘hati’).

Walaupun semua bentuk–bentuk di atas cenderung memuji emosi. Tapi dalam konteks negara ini, rasionaliti itu lebih penting. Sebab hakikatnya pemikiran di negara ini masih melayan emosi feudal dari dulu tidak berubah-rubah. Sebelum kita meraikan emosi romantik, mesti lepas fasa rasionalisasi dulu. Jika tidak padahnya manusia dibom, dicampak, dipukul, dirogol, diliwat, diculik, didera atau dibunuh ikut emosi ketuhanan feudal.

Dulu kita ada Hussein Haniff dan P.Ramlee. Apa beza idea mereka? Rasional dan emosi! Jika Hussein Haniff adalah rasional Klasikal, P. Ramlee adalah emosi Romantik, bagi saya-lah. Cuma mereka muncul dalam garis masa yang sama. Lihat formality, order, geometry, suntingan dan komposisi dalam babak-babak tarian istana filem Hang Jebat (1961). Walaupun ianya bersandarkan pada rasionaliti dan kesempurnaan, tapi ianya cukup indah. Malah saya percaya tiada koreografi tarian dalam filem-filem Malaysia kontemporari seperti Sayang You Can Dance (2009) yang mampu menandingi keindahannya. Berbeza dengan P. Ramlee, beliau pula adalah seorang artis (dalam erti kata sebenar). Beliau sudah melangkaui rasionaliti, hey Ibrahim Pendek boleh keluar dari bingkai foto tu. Ini saya kira sama kesnya dengan Yasmin Ahmad. Beliau ikut naluri kemanusiaan kerana bendul rasionaliti itu sudah dilangkah. Ini berbeza sama sekali dengan pseudo-Yasmin yang ramai di luar sana (terutama pelajar filem). Layan emosi semata-mata tanpa anjakan rasionaliti, sebab itu filem jadi keras semacam.

Kalau kita kembali kepada sejarah musik, kenapa ada perubahan dari zaman Klasikal ke Romantik? Kerana pada ketika itu Revolusi Industri sedang berlaku. (Penentangan terhadap golongan aristokrat dan munculnya golongan middle-class.) Saya tidak menentang sama ada idea sesebuah filem itu datang dari rasionaliti atau emosi, kerana hakikatnya filem saja tidak boleh mengubah pemikiran masyarakat. Kalau dibawa ke tahap yang lebih tinggi, filem sebenarnya tak penting pun. Lebih baik turun ke jalan daripada duduk membatu di dalam gelap mengadap Youtube, kan? Senibina jauh lebih penting kerana ianya aksi terus. Masyarakat hidup di dalam senibina. Perancangan bandar yang baik berpotensi mengubah cara hidup dan mentaliti komunitinya. Ini rasional yang paling agung, tahu tak kenapa masyarakat kita tidak boleh berfikir di luar kotak? Kerana masyarakat kita telah disumbat ke dalam kotak. Tidak kita bukan berada di Zaman Kegelapan, tapi berada di Zaman Kekeliruan. Sudah tiba masanya segala carutan kekeliruan ini disanggah, dan budaya rasional terpuji disembah.


Ridhwan Saidi

Selasa, Oktober 07, 2008

Namaku Bukan Karmen

Pagi ini, celik mata, saya terasa ingin menulis sesuatu. Asalnya, saya tak mahu mengepos apa-apa entri pada hari ini, tapi nyata saya tak mampu mengepung bakaran gelodak asmara (pundek). Saya nyata ‘menagih nikmat’. Dan ketagih nikmat saya bukan terhadap internet, tapi filem. See, saya bukannya internet junky. Hehe…

OK. Tadi malam, saya menonton Prenom Carmen/ First Name: Carmen/ Nama Pertama: Carmen. Ini satu lagi filem Jean-Luc Godard yang telah saya tengok.

Kali pertama saya tonton filem Jean-Luc adalah menerusi filem Contempt, bukan Breathless. Kali pertama ini cukup bererti buat saya. Kali pertama ini membuka lembaran baru kefahaman saya tentang seni wayang bergerak ini. Kali pertama ini laksana saya bertukar kiblat. Kali pertama ini seolah melalui malam pertama yang sungguh nikmat. Barangkali...

Lalu, apa yang saya jumpa? 

Keganjilan.

Bukan, serius, bukan saya mahu membuat resensi filem di sini. Tadi malam, saya saksikan filem ini untuk kali pertama tanpa kefahaman yang jelas. Terus terang saya katakan yang saya agak blur. 

Kadangkala, seperti kata U-Wei Shaari, “tak faham itu indah“. Dan tadi malam, saya terpaksa bersetuju.

Lalu, apa yang saya jumpa?

Pengalaman tadi malam sebenarnya menyebabkan saya semakin memahami kerja-kerja kreatif pengarah lagenda Perancis ini. Bukan filem yang saya faham, tapi pemikiran seorang individu. 

Berdasarkan ‘pencerahan’ yang saya lalui malam tadi, saya mula sedar bahawa filem-filem beliau adalah cukup bebas, bebas sebebas bebasnya dari segala aturan lapuk. Karya beliau tidak terkepung dengan sebarang nahu, stigma, undang-undang, atau terma dan syarat. Godard tidak cuba untuk memenjara minda penonton ke dalam naratif filem beliau. Ini semacam memberi kebebasan kepada penonton bukan saja untuk menafsir malah ‘menikmati’ filem tersebut. ‘Menikmati’ di sini saya maksudkan seperti makan biskut – cecah kopi, sekadar menikmati gerakan-gerakan visual secara nihil. Seperti beliau pernah berkata, just take it!

Ini kerana, tiada konsep aturan dalam kerja filem beliau. Kita tak perlu gusar keciciran perjalanan cerita, kerana ’cerita’ itu belum tentu bermakna. Dengan menunggang-terbalikkan naratif atau plot, beliau berpeluang untuk bermain dengan medium filem sepuas-puasnya, memasukkan apa saja yang dirasakan bukan perlu, dari segi musik ataupun sinematografi, tapi sentiasa mencabar daya imaginasi dan kreativiti. 

Dan sebab itu dalam kerja beliau, saya mendapati bahawa beliau begitu menitiberatkan aspek editing. Naratif filem tidak sejalur, tapi ia bebas untuk ditikam mengikut resa beliau. Ada satu babak, ketika musik dari Beethoven berkumandang dengan asyiknya, lalu dengan tiba-tiba, sound dimatikan, dan secara automatik mood penonton akan sikit terganggu. Kekacauan sebegini amat menarik hati saya.

Sememangnya Godard bukan sahaja seorang pembikin filem, beliau juga komposer, pemuisi, dan penulis yang dengan rencam berani mengadun segala macam bentuk seni lalu dituang ke dalam acuan filem sekaligus. He is a true artist, in the true sense of the word.

Dalam filem-filem Godard, beliau tak dapat lari dari bermain-main dengan aspek emosi yang mendalam. Ini juga bagi saya amat menarik (saya akan cuba relate dalam konteks architecture di lain masa). Dari aspek ini, kebiasaannya musik akan memainkan peranan penting. Penggunaan musik oleh Beethoven yang membuai perasaan kemudian secara halus ‘dicamouflage’ dengan lagu dendangan Tom Waits bukan saja memainkan mood, tapi seakan menyuntik kesegaran dalam filem ini. Perlu diingat, filem ini dibikin pada 25 tahun yang sudah.

Beliau amat pakar dalam hal ehwal menangkap gerakan awan, visual langit terbentang luas serta deruan ombak memecah pantai. Selalunya ia adalah metafora kepada sebuah kehidupan. Tapi dalam konteks filem ini, ia seperti perantaraan antara satu momen ke satu momen yang lainnya. Babak-babak sebegini banyak dilayarkan dalam First Name: Carmen.

Satu lagi ciri yang saya dapat tangkap dari filem ini ialah habit Godard menggunakan elemen perempuan dan pistol. 

Godard juga gemar menjadikan filem beliau sebagai platform untuk melemparkan pandangan peribadi dan kritikan. Dan setiap pandangan mahupun kritikan ini juga biasanya tidak terikat dengan naratif filem. Ia ditebuk secukup rasa. Maka amatlah perlu untuk penonton observe setiap dialog dengan khusyuk, jika mahu menemui makna dan nikmat menonton filem-filem Godard.

Kadangkala saya terfikir yang Jean-Luc ini membikin filem, ceritanya tiada makna, sekadar penghias atau kulitan sahaja. Ia umpama menatap catan di atas lembaran kanvas renjisan tangan Jackson Pollock, barangkali nampak semacam cakar ayam dan tak tentu arah, tapi maknanya perlu disingkap dengan teliti, dengan mengambil kira subjek, bukannya objek, dan hasilnya bukannya cerita, tetapi ‘filem’.


Mohd Ikhwan Abu Bakar