Selasa, Oktober 07, 2008

Namaku Bukan Karmen

Pagi ini, celik mata, saya terasa ingin menulis sesuatu. Asalnya, saya tak mahu mengepos apa-apa entri pada hari ini, tapi nyata saya tak mampu mengepung bakaran gelodak asmara (pundek). Saya nyata ‘menagih nikmat’. Dan ketagih nikmat saya bukan terhadap internet, tapi filem. See, saya bukannya internet junky. Hehe…

OK. Tadi malam, saya menonton Prenom Carmen/ First Name: Carmen/ Nama Pertama: Carmen. Ini satu lagi filem Jean-Luc Godard yang telah saya tengok.

Kali pertama saya tonton filem Jean-Luc adalah menerusi filem Contempt, bukan Breathless. Kali pertama ini cukup bererti buat saya. Kali pertama ini membuka lembaran baru kefahaman saya tentang seni wayang bergerak ini. Kali pertama ini laksana saya bertukar kiblat. Kali pertama ini seolah melalui malam pertama yang sungguh nikmat. Barangkali...

Lalu, apa yang saya jumpa? 

Keganjilan.

Bukan, serius, bukan saya mahu membuat resensi filem di sini. Tadi malam, saya saksikan filem ini untuk kali pertama tanpa kefahaman yang jelas. Terus terang saya katakan yang saya agak blur. 

Kadangkala, seperti kata U-Wei Shaari, “tak faham itu indah“. Dan tadi malam, saya terpaksa bersetuju.

Lalu, apa yang saya jumpa?

Pengalaman tadi malam sebenarnya menyebabkan saya semakin memahami kerja-kerja kreatif pengarah lagenda Perancis ini. Bukan filem yang saya faham, tapi pemikiran seorang individu. 

Berdasarkan ‘pencerahan’ yang saya lalui malam tadi, saya mula sedar bahawa filem-filem beliau adalah cukup bebas, bebas sebebas bebasnya dari segala aturan lapuk. Karya beliau tidak terkepung dengan sebarang nahu, stigma, undang-undang, atau terma dan syarat. Godard tidak cuba untuk memenjara minda penonton ke dalam naratif filem beliau. Ini semacam memberi kebebasan kepada penonton bukan saja untuk menafsir malah ‘menikmati’ filem tersebut. ‘Menikmati’ di sini saya maksudkan seperti makan biskut – cecah kopi, sekadar menikmati gerakan-gerakan visual secara nihil. Seperti beliau pernah berkata, just take it!

Ini kerana, tiada konsep aturan dalam kerja filem beliau. Kita tak perlu gusar keciciran perjalanan cerita, kerana ’cerita’ itu belum tentu bermakna. Dengan menunggang-terbalikkan naratif atau plot, beliau berpeluang untuk bermain dengan medium filem sepuas-puasnya, memasukkan apa saja yang dirasakan bukan perlu, dari segi musik ataupun sinematografi, tapi sentiasa mencabar daya imaginasi dan kreativiti. 

Dan sebab itu dalam kerja beliau, saya mendapati bahawa beliau begitu menitiberatkan aspek editing. Naratif filem tidak sejalur, tapi ia bebas untuk ditikam mengikut resa beliau. Ada satu babak, ketika musik dari Beethoven berkumandang dengan asyiknya, lalu dengan tiba-tiba, sound dimatikan, dan secara automatik mood penonton akan sikit terganggu. Kekacauan sebegini amat menarik hati saya.

Sememangnya Godard bukan sahaja seorang pembikin filem, beliau juga komposer, pemuisi, dan penulis yang dengan rencam berani mengadun segala macam bentuk seni lalu dituang ke dalam acuan filem sekaligus. He is a true artist, in the true sense of the word.

Dalam filem-filem Godard, beliau tak dapat lari dari bermain-main dengan aspek emosi yang mendalam. Ini juga bagi saya amat menarik (saya akan cuba relate dalam konteks architecture di lain masa). Dari aspek ini, kebiasaannya musik akan memainkan peranan penting. Penggunaan musik oleh Beethoven yang membuai perasaan kemudian secara halus ‘dicamouflage’ dengan lagu dendangan Tom Waits bukan saja memainkan mood, tapi seakan menyuntik kesegaran dalam filem ini. Perlu diingat, filem ini dibikin pada 25 tahun yang sudah.

Beliau amat pakar dalam hal ehwal menangkap gerakan awan, visual langit terbentang luas serta deruan ombak memecah pantai. Selalunya ia adalah metafora kepada sebuah kehidupan. Tapi dalam konteks filem ini, ia seperti perantaraan antara satu momen ke satu momen yang lainnya. Babak-babak sebegini banyak dilayarkan dalam First Name: Carmen.

Satu lagi ciri yang saya dapat tangkap dari filem ini ialah habit Godard menggunakan elemen perempuan dan pistol. 

Godard juga gemar menjadikan filem beliau sebagai platform untuk melemparkan pandangan peribadi dan kritikan. Dan setiap pandangan mahupun kritikan ini juga biasanya tidak terikat dengan naratif filem. Ia ditebuk secukup rasa. Maka amatlah perlu untuk penonton observe setiap dialog dengan khusyuk, jika mahu menemui makna dan nikmat menonton filem-filem Godard.

Kadangkala saya terfikir yang Jean-Luc ini membikin filem, ceritanya tiada makna, sekadar penghias atau kulitan sahaja. Ia umpama menatap catan di atas lembaran kanvas renjisan tangan Jackson Pollock, barangkali nampak semacam cakar ayam dan tak tentu arah, tapi maknanya perlu disingkap dengan teliti, dengan mengambil kira subjek, bukannya objek, dan hasilnya bukannya cerita, tetapi ‘filem’.


Mohd Ikhwan Abu Bakar