Sabtu, Julai 04, 2009

Jenayah Filem

Pernahkah kamu terfikir, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘filem jenayah?’ Setahu saya, jenayah dalam filem belum lagi dapat dilihat sebagai satu genre filem yang khusus. Penafsirannya sebagai satu genre masih lagi terbuka kepada pelbagai kemungkinan dan terlalu umum. Apakah kriteria umum untuk sesebuah ‘filem jenayah?’ Bagaimana mahu menaksirkan sesebuah filem itu sebagai ‘filem jenayah?’ Apakah ada cinematic form yang khusus untuk menjatuhkan label terhadap sesebuah filem itu sebagai ‘filem jenayah?’

Adakah filem jenis ini wajib melibatkan adegan-adegan ganas, tembak-menembak, kejar-mengejar, kereta terbalik, letupan-letupan extravaganza, polis, samseng, wanita penggoda, cerut Cohiba, kepukan dollar atau apa? Adakah ia mesti membabitkan Mafia dengan susuk penjenayah cult seperti Al Capone? Kalau begitu, bagaimana pula dengan jenayah-jenayah lain seperti rogol, pembunuhan bersiri, atau rasuah politik? Adakah filem jenayah itu Scarface, the Untouchable, Goodfellas, the Usual Suspects, Heat, Blow atau semudah err, Gangster ala Rosyam Nor?

Jika diselak kembali susur galur ‘genre’ ini, ia telah bermula seawal era filem bisu (silent era) lagi, yakni awal abad ke-20. Pernah disebutkan bahawa filem The Musketeers of Pig Alley (1912) adalah antara ‘filem jenayah’ yang terawal. Manakala filem Scarface lakonan Al Pacino pula, yang kita sedia maklum, dihasilkan pada tahun 1983. Tapi, berapa ramai antara kita yang tahu sebenarnya filem arahan Brian De Palma ini merupakan sebuah filem yang dibikin semula sebagai tribute untuk filem Scarface: The Shame of a Nation, dihasilkan pada 1932?

Filem jenis ini (jenayah) juga pernah disabitkan sebahagian daripada filem pasca-perang sekitar awal 1940-an hingga lewat 1950-an yang turut terpalit dalam genre film noir. Noir ini adalah perkataan Perancis yang bermaksud ‘hitam.’ Istilah film noir yang dicipta oleh Nino Frank ini bukan sekadar merujuk kepada ciri filem hitam putih pada waktu itu sahaja, akan tetapi bagi saya, ia juga boleh dilihat sebagai filem yang mengungkap tema perilaku sisi gelap manusia, selain dari adunan pelbagai aspek lain yang meliputi struktur naratif, gaya visual, setting dan karekter. Pertentangan hitam-putih itu sendiri adalah simbolik dialetika antara unsur jahat-baik, negatif-positif. Secara teknikal pula, kontra hitam-putih yang dikuatkan lagi dengan permainan bayang-bayang merupakan mekanisme penyampaian teks dan subteks dalam bingkai filem-filem noir.

Sebagai bukti, jenayah adalah dianggap satu bentuk kesalahan dalam tatacara hidup manusia normal kerana membawa banyak keburukan dan kerugian. Kesalahan jenayah mudah dianggap satu penzahiran sebuah kejahatan. Contoh paling dekat rasa saya ialah filem garapan Orson Welles, Touch of Evil (1958). Sila beri perhatian pada perkataan ‘evil’ pada tajuknya yang bermaksud ‘kejahatan.’ Filem ini sampai ke hari ini berdiri teguh sebagai salah satu filem noir yang paling klasik dalam sejarah, yang menceritakan kisah pertingkahan moraliti sekumpulan pegawai polis. Justeru, saya tertanya-tanya, adakah Touch of Evil ini selayaknya digelar sebagai ‘filem jenayah?’

Sebenarnya, persoalan ini bukannya persoalan yang begitu membelenggu fikiran saya. Saya selalu percaya, terdapatnya hubungan erat antara filem dan penonton. Berlainan dengan cabang seni yang lain, betapa syok sendirinya seseorang pengarah itu, filem tetap memerlukan penonton. Ini yang menjadikan sesebuah filem itu ‘filem’, bukan puisi, lukisan, atau muzik. Misalnya, kamu boleh melukis, lalu, andai lukisan itu mahu kamu perukkan di dalam stor, apa ada hal? Malah, saya berani mengatakan bahawa, setiap filmmaker perlu membabitkan penonton sedari awal pembikinan sesebuah filem itu lagi, iaitu semasa proses merangka cerita. Pendek kata, perlu ada simbiosis antara filem dan penonton. Memikirkan respon audien hanya sesudah filem itu siap ditayangkan adalah tak tepat.

Mengapa saya tuduh begitu? Sebabnya, hubungan filem dengan penonton ibarat pertalian seni bina dengan manusia. Filem mempunyai form dan content. Sama juga halnya dengan seni bina, mengandungi bentuk dan ruang. Bagi saya, senibina tidak akan dikira ‘siap’ selagi ia tidak mula digunakan. Seni bina bermula dari lakaran idea ke peringkat pembinaan dan disudahi dengan kepenggunaan ruang apabila ia siap dibina. Filem pula, bermula dari karangan skrip, ke penggambaran, ke pasca produksi sehingga akhirnya bertemu dengan audien di panggung, barulah ia dikira telah ‘siap.’

Oleh itu, semasa peringkat lakaran idea lagi, arkitek seharusnya menebak setiap kemungkinan yang akan dihadapai oleh bakal pengguna ruang rekaannya, sama ada ia mampu berfungsi dengan baik sekaligus memberi keselesaan fizikal dan mental. Filem, pembikinnya pula perlu memikirkan apakah yang akan dipersembahkan kepada khalayak penonton itu akan, bukan saja ‘menghiburkan’, tapi juga mampu memberi kepuasan mental tanpa memperbodoh-bodohkan mereka (penonton). Ini tergantung kepada mutu content, bukan permukaannya saja. Jika filem itu teruk, ia sama juga dengan ruang bangunan yang menyusahkan pengguna, seperti tinggi siling rumah yang kurang dari tiga meter, yang menyebabkan ruang menjadi panas.

Mengapa ini mungkin terjadi? Puncanya, arkitek itu tidak memikirkan keselesaan manusia sebagai pengguna sewaktu rekaan dihasilkan, akibat hanya mengambil kira seni bina sebagai objek fizikal, kemudian ditampal pula dengan pelbagai elemen estetika picisan. Ini sama juga dengan filmmaker yang mengajak penonton supaya percaya bahawa filem sekadar hiburan semata-mata, tengok saja, tak payah fikir apa-apa dan enjoy. Hasilnya, filem sebegini hanya tinggal seputar soal untung-rugi bagi pembikinnya, manakala penonton cukup sekadar berani bertanya kepada diri sendiri sama ada wang yang mereka laburkan untuk menonton sesebuah filem itu ‘berbaloi atau tidak.’ Itu sebab, saya katakan ketika penulisan skrip lagi, pembuat filem harus mengambil kira apakah yang akan diberi kepada penonton itu bukan hanya ‘a well told story,’ tapi mampu ‘menjentik’ pemikiran penonton.

Tapi, bukankah kita sering terdengar, sesetengah pembikin filem tempatan selalu mengaku bahawa mereka membuat sekian-sekian filem menjadi begitu dan begini lantaran dari memikirkan kepuasan audien? Atau katanya, mengikut kehendak penonton? Adakah ini benar dan boleh dipercayai? Secara peribadi, saya meragui keikhlasan mereka. Kenapa?

Sebagai jawapan, mereka ini lazimnya ‘gemar’ memperbodoh-bodohkan penonton. Apa yang saya maksudkan dengan memikirkan audien ketika mula merangka cerita bukan bererti mengikut kehendak audien atau selalunya dikatakan, ‘memenuhi selera penonton’ secara membuta tuli. Memikirkan audien saat mengarang skrip bermaksud memikirkan sama ada filem yang dihasilkan akan menyentuh minda dan hati penonton, bukan menggula-gulakan mereka. Bukankah filmmaker sepatutnya sentiasa treat audien sebagai orang yang bijak? Jika kita berfikir yang kita akan berurusan dengan orang bijak, maka kita juga wajib memastikan yang kita tak akan memperbodoh-bodohkan mereka. Sebaliknya, jika kita perlu memberi sesuatu kepada orang yang kita anggap bodoh sedari awal lagi, maka kita rasa cukup selamat untuk memberikan yang cincai-cincai sahaja.

Tak dinafikan, filmmaker yang suka beralasan ‘memenuhi selera penonton’ ini juga telah ‘memikirkan’ kepuasan penonton, tapi sekadar untuk memenuhi ruang eskapisme dan hiburan kosong. Tetapi saya percaya pengakuan ‘memenuhi selera penonton’ itu dibuat atas nama keuntungan. Mereka berpegang kepercayaan karut filem sebagai produk bagi memenuhi komoditi pasaran hiburan. Ia umpama melambakkan pasaran dengan barang mainan buatan China. Mereka kata memenuhi selera penonton, padahal hakikatnya mereka memikirkan keuntungan dengan cara mudah. Saya ragu-ragu apakah mereka menghiraukan fikrah penonton, kerana mereka seolah-olah sekadar meletakkan sampah dengan kepercayaan penonton akan tatap apa saja sampah yang disogok di depan mata. Yang lawaknya, mereka sering berkata ‘penonton hari ini sudah matang.’

Kemudian, mereka akan menggunakan beberapa formula tipikal bagi menghasilkan filem bermutu rendah ini. Antara formula basi yang kerap dikitar semula adalah seperti meletakkan ‘baby doll’ yang sedang popular, yang disolek tebal-tebal untuk dijadikan ‘pelakon,’ dengan kepercayaan penonton akan ke panggung kerana mahu melihat baby doll tadi mengilai di layar perak. Unsur kosmetik ini adalah satu penipuan dalam filem, dan penipuan ini juga adalah satu ‘jenayah.’ Dalam hal ini, mari kita berkongsi pandangan dengan arkitek modenis, *Adolf Loos, untuk melabelkan filem-filem sebegini sebagai ‘filem jenayah’ yang sebenar.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

p/s: Adolf Loos merupakan arkitek modenis tersohor kelahiran Austria yang pernah menulis 36 rampaian esei di bawah tajuk; Ornament and Crime pada 1908.