Selasa, Jun 30, 2009

Anak Wayang

Rancangan ini pelik sampai kadang-kadang saya keliru beza rancangan ini dengan Raja Lawak. Paling kelakar, peserta-peserta ini diturunkan dari kereta mewah untuk berjalan di atas hamparan merah, (siap ada temuramah lagi tu) sebelum masuk ke dalam studio. Ini mengecewakan, serius. Atas nama bakat, rasanya program Bintang RTM lagi bagus walaupun koleksi pakaian RTM ‘semacam’ ditambah semua peserta dipaksa pakai contact lens berwarna.

Bagi saya, program mencari bakat lakonan tidak relevan langsung. Malah ada pelakon-pelakon drama yang bagus tapi tidak diberi peluang atau digilap melalui medium filem. Pokoknya yang lebih penting adalah idea, mencari seorang pemikir, seorang sutradara dan bukannya ‘bakat’ lakonan. Malah saya rasa penjual ubat kuat di Loken, Ipoh lagi berkarisma.

Tambah aneh, penaja utama rancangan ini adalah Canon! Bercakap tentang konsumerasi, rancangan ini tidak mengiklankan langsung produk-produk Canon. Daripada buat rancangan cari bakat lakonan ala-ala Akademi Fantasia, adalah lebih afdal jika rancangan ini digunakan untuk mencari sutradara muda. Jadikan Project Runway sebagai contoh. Hey Canon penaja utama, paling cikai beri saja mereka kamera D-SLR (model baru boleh rekod video) untuk selesaikan cabaran mereka, yakni video pendek, iklan, PSA, dokumentari atau apa-apa bentuk nikmat visual. Dalam masa yang sama, di bawah sedar pihak penaja sedang mengiklankan kualiti produk mereka. Apapun tiada teknologi yang boleh selesaikan masalah artistik.

Semestinya ke’selebriti’an (ala-ala Anak Wayang) perlu dihumban jauh-jauh. Rekaan setnya ringkas dan kosong, minimal, moden, takde bunga-bunga. Kalau rekaan setnya sarat berhias, macam mana filem nak maju bukan? Bercakap tentang mise en scène. 

Pastikan juri boleh baca filem. Di Malaysia ada lebih daripada tiga orang yang boleh baca filem, oleh itu ini bukan masalah. Cuma ia akan menjadi masalah besar jika yang tak reti baca filem dipilih menjadi juri. Ini sama macam mengaji Quran, ustaz/ah yang ajar mesti tahu tajwid, makna serta paling penting mesti boleh membaca! Kalau tak boleh baca, macam mana nak ajar budak?

Dan paling penting sekali, pengarah kreatif program ini perlu kreatif (dalam erti kata sebenar). Dulu cabaran-cabaran Project Runway Malaysia membosankan, pastikan ia tidak berulang. Walaupun cabarannya bertopengkan nilai-nilai komersial, tapi idea dan pemikiran (selain just duit) disebaliknya perlu ada. Sebab itu perlunya juri-juri yang boleh baca filem. Malah cabaran terakhir adalah ‘filem pendek’, jangan keliru dengan video pendek (ini bukan soal medium seluloid v digital tapi lebih dari itu,) tak semestinya yang dirakam dengan 35mm itu ‘filem’.

Juara dapat apa? Well bukankah David Teo nak 10 pengarah muda? Sediakan salah satu ruang untuk si juara. Daripada lawan dari luar, sekali sekala suntik racun ke dalam sistem ok apa? Pastikan juara muda ini faham filem (degil; agar tidak dipijak,) dan dalam masa yang sama strategi pemasaran berfungsi. Bila filem bagus laku, filem tak bagus laku akan goyang.

Tapi kalau semua yang terpilih dalam program ini tak faham-faham filem juga, alamat ia akan menjadi sumber hiburan lawak saya-lah.


Ridhwan Saidi