Sabtu, Julai 11, 2009

Produksi dan Kolektif

Tatkala saya sedang menulis entri ini, saya sudah pun lupa semua karangan yang pernah saya tuliskan sebelum ini. Malah username blog Gua Tak Peduli pun saya dah lupa, celaka. Tapi tidak mengapa, rasanya apa yang ingin saya sentuh kali ini belum pernah ditulis.

Bagi saya unsur yang menggerakkan sesebuah produksi adalah duit – dan tugas seorang produser adalah untuk mengawal/memantau aliran duit agar simbiosis kos—untung dalam kitaran yang diingini. Disebabkan duit ini umpama nadi atau darah yang mengalir di dalam sesebuah produksi, dengan itu semestinya ikatan yang terbina di antara kesemua pasukan produksi itu juga adalah duit atau dengan lebih mesra dipanggil gaji. Tapi ada juga yang kononnya cuba sulami hubungan diantara pasukan produksi itu dengan kasih sayang. Ini saya tidak hairan kerana akhirnya duit juga yang diperlukan untuk suap anak bini di rumah, di negara bertuah ini.

Tidaklah bermakna saya menolak konsep duit (walaupun saya pernah bakar duit kertas RM50), tapi disebabkan projek filem pendek saya tidak dibiayai dana satu sen sekalipun. Maka dengan itu ia terpaksa bergerak secara kolektif/himpunan individu, yakni atas dasar minat semata-mata ditunjangi idea, (ditokok faktor ‘misteri’ bin filem.) Semestinya budaya kerja konvensional lagi glamer ala-ala industri ditolak habis-habisan. Jangankan “action” atau “cut,” pengarah pun tiada. 

Selain budaya kerja di belakang tabir, proses rakaman konvensional (dalam konteks sekolah filem tempatan terutamanya) juga disodok. Kebiasaannya kamera, cahaya serta bunyi dirancang pacak (kononnya supaya cantik dan tidak diganggu oleh kebenaran) dan kemudian si pelakon yang dibedak akan masuk ke dalam ruang artifisial itu. Dengan kata mudah, apa yang ingin dipaparkan dirancang dengan kepuraan demi kepuraan. Untuk menerbalikkan ini semua, mudah, bukan pelakon atau subjek yang perlu masuk ke dalam ruang rakam kamera, tapi sebaliknya kamera yang perlu mengikuti subjek di dunia realiti. Andai kata tiba-tiba si pelakon tidak mahu berlakon, mahu balik rumah, kamera mesti terus ikut, serius.

"Ianya jauh dari mudah untuk menunjukkan kebenaran, tapi kebenaran itu cukup mudah." –Dziga Vertov

Dalam Kaki Lima, selain daripada metafora Buta, Rabun, Celik, pengadeganan serta gerakan kamera juga dirancang bersebab. Kalau kamu rajin, ketika si Celik sedang memimpin si Buta, kamera/audiens bergerak ke hadapan/maju, tapi pabila kamera/audiens mengikuti si Rabun beretorika pula, ia bergerak mengundur ke belakang. Maju/undur ini mise en scène bagi saya (selain faktor ruang-masa.) Walau apapun hasil akhir filpen ini cukup subjektif. Ini cocok dengan skala universiti yang seharusnya dipenuhi dengan audiens yang aktif lagi kritikal dan bukannya pasif. Filem pendek dalam erti kata sebenar, dan bukannya drama pendek!

Jujur sebenarnya saya tidak gemar pendekatan realis atau vérité separa Kaki Lima dan lebih meminati kolaj montaj bisu yang berbahasa dengan bayang-bayang visual penuh efek-efek Kuleshov. Walau bagaimanapun, tidaklah bermakna saya melakukannya secara lewa. Adapun Kaki Lima ini hanya sekadar projek sisi spontan, ditulis dengan penuh rasa kekecewaan, dalam durasi yang singkat. 


Ridhwan Saidi