Ahad, Januari 18, 2009

Selamat Jalan, Bung Robin

foto: dirembat dari facebook

Tahun 2009 baru tak sampai sebulan, tapi saya telah dikejutkan dengan kematian seorang kenalan jauh, jauh dari seberang.

Robin Hutagaol, si pembanting set drum Noxa, kugiran grind asal Jakarta, Indonesia, meninggal dunia semalam.

(Saat saya menulis ini, saya masih lagi tak mengetahui punca sebenar kematian beliau.)

Tahun 2005, undur empat tahun kebelakang, saya mengenali beliau secara tak sengaja. Waktu itu, saya berkunjung ke stor musik saudara Fadzil, the Mad Rocker, di Johor Bahru. Mendiang turut berada di situ, ketika itu. Beliau sendiri yang memperkenalkan saya kepada Noxa.

Secara peribadi, saya rasa bandnya tidak begitu original, tapi penuh tenaga. Sebagai sebuah kugiran yang mengalunkan irama grindcore, tenaga adalah segala-galanya. Itu mungkin, yang lebih diperlukan dalam kugiran grindcore seperti Noxa. Ada yang lagi penting, iaitu komentari sosio-politik dan suara-suara kemanusiaan dalam lirik-liriknya, yang sebahagiannya digarap oleh Robin sendiri.

Album seterusnya agak memeranjatkan saya. Saya mendapat tahu, album kedua telah diadun dan dikemaskan di kota New York, Amerika. Saya tak berkesempatan mendengarnya lagi. Walau ia satu pencapaian yang membanggakan bagi sebuah band dari Asia Tenggara, tapi yang nyata, mereka tak kecoh-kecoh. Kalau di sini, ‘artis’ yang baru MELANCONG ke Hollywood pun digembar-gemburkan dalam majalah dan TV.

Noxa juga pernah mendapat jemputan bermain gig di Jerman sekitar 2006 namum gagal dipenuhi akibat kegagalan mendapatkan visa. Tahun lalu, 2008, band beliau mendapat sekali lagi tawaran persembahan di Eropah. Kali ini di Helsinki, Finland untuk Festival Metal Terbuka Tuska. Dan kali ini, mereka berkongsi pentas bersama Slayer, Morbid Angel, Carcass, Kreator, Entombed, Primordial, Dying Fetus, Behemoth dan banyak lagi band metal dari serata dunia!

Kali terakhir saya menemui mendiang ialah dua tahun lepas, sewaktu menyaksikan konsert Slayer di Singapura. Beliau tetap dengan imej boot berapi-nya.’ Orangnya mudah, ramah, dan baik hati. Paling nyata, beliau begitu jujur dan betul-betul komited dalam lapangan musik yang dijelajahinya.

Oh ya, saya teringat pula satu kisah dengannya yang saya anggap lucu. Ini kali pertama saya melepak dengannya, kebetulan waktu itu sekitar bulan puasa. Waktu hampir berbuka, beliau selamba makan seraya berkata, “eh, sorrylah, aku Kristian, aku tak puasa.“ Saya hanya tersengih bercampur kagum dengan kejujuran.

Saya sebenarnya seakan ‘dipaksa’ menulis hal ini kerana saya telah dilanggar kebetulan. Beberapa minit sebelum saya mengetahui berita sedih ini, saya baru saja berniat bertanyakan khabar berita tentang dirinya serta Noxa melalui facebook. Mungkin saya akan bertanya, “bila Noxa nak turun Malaysia lagi?”


Mohd Ikhwan Abu Bakar