Sabtu, Mei 16, 2015

Sepatah Dua Mengenai Novel BRAZIL

Di sini ingin saya kongsi suatu manual yang baru saya perasan bila BRAZIL siap dicetak, yang hanya saya sedar selepas Azriq petik novel HOPSCOTCH oleh Julio Cortazar dalam reviunya. Saya muat turun pdf dan temui sebuah table of instructions dan dapati BRAZIL juga boleh dialami dengan dua cara (atau pelbagai?) sepertimana HOPSCOTCH dan juga D.U.B.L.I.N.

Kaedah pertama dengan membaca macam biasa dari kulit ke kulit dan berakhir di bab 60. Kaedah kedua pula dibaca menurut bab nombor sahaja (1-60) iaitu naratif travelog atau bab abjad sahaja (A-Z) iaitu naratif Roy Osmera. 

Meski sewaktu menulis saya tidak asingkan dua cerita ini. Saya taip ikut selera dalam satu fail. Bila saya bosan naratif nombor saya akan loncat ke naratif abjad. Jadi bila pertama kali saya dapat buku fizikal, saya terus baca A-Z (mengabaikan 1-60) dan dapati pengalamannya berbeza dari niat asal saya (bila dibaca secara konvensional). Perasaannya macam saya pertama kali baca karya yang ditulis oleh orang lain, oleh Kasma Booty misalnya.

Selain itu buat mereka yang dah baca BRAZIL, barangkali video lo-fi Ramadan in Rio ini boleh jadi lanjutan kepada pengalaman membaca anda. Terima kasih!


Ridhwan Saidi