Selasa, Mei 05, 2015

10 cerpen Malaysia kegemaran saya

Berikut cerpen-cerpen yang lekat di dalam kepala saya pasca baca—secara kronologi menurut tertib bila ia terawal dibaca—biasanya sebab ada imej-imej yang jelas untuk saya pegang hingga ke hari ini, macam mimpi, atau kadang-kala sebab baris terakhir yang menangkap. (Senarai ini boleh berubah semestinya. Izinkan saya sertakan sekali ayat pertama dan terakhir cerpen-cerpen tersebut, atau dalam kes Seribu Kali Sejuta kali saya pilih baris yang saya rasa menarik).

1. Di Mana Perginya Katak Hijau Itu oleh Hishamuddin Rais
“Saya dibesarkan di Jelebu yang pada satu ketika dahulu dianggap kawasan pendalaman yang agak ulu. Binatang, burung, serangga dan katak tidak pernah berdusta dengan alam ‘bukan seperti kita’ manusia.”
2. Sepetang Di Kafe Oedipus oleh Mohd Ikhwan
“Pada suatu petang, dua pemuda baru pulang dari sebuah pameran seni lukis di pinggir kota. Maka selepas membuat bayaran, mereka bertiga pun berangkat pulang ke habitat masing-masing.”
3. Yang Aneh-aneh oleh Uthaya Sankar SB
“Benar-benar di luar dugaan saya, wanita itu meluru ke arah tingkap lalu melompat keluar. Haruskah saya pergi semula untuk mendapatkannya?”
4. Seribu Kali Sejuta Kali oleh Fatimah Busu
“Di atas bahunya aku bebankan dengan bungkusan cinta yang abstrak. Di belakangnya aku lambakkan dengan galasan rindu yang pedih. Pada lehernya aku gantungkan dengan beban harapan yang sentiasa membakar.”
5. Betisnya Bunting Padi oleh Usman Awang
“Dia mempunyai sepasang kaki yang bagus. Tahulah aku, bahawa Ghani atau Gabriel atau Arthur Koh atau Govinda Raju atau Kim Swee dalam hal betis dapat juga dikalahkan oleh orang lain, sungguhpun orang ini tidak suka akan sukan sama sekali.”
6. Pada Hari Fatimah Comot Bawa Sayap Pari-Pari ke Sekolah oleh Sufian Abas
“Tak ada siapa percaya Fatimah Comot dapat sayap pari-pari. Satu tompokan yang comot.”
7. Baby Care oleh Saat Omar
“Bagi lelaki sepertinya dia dikatakan memiliki apa yang manusia moden miliki; duit, isteri yang baik, anak-anak yang terpelajar dan rumah yang dijaga pengawal keselamatan dari Nepal. Sekian.”
8. Cethu oleh Nabila Najwa
“Basah dari bibir ungu melingkari hujung keretek yang tidak terjamah api. Sebagai mantera bahawa kita menyatu.”
9. Ah Khaw Masuk Syurga oleh A. Samad Ismail
“Aku ingat si Ah Khaw mula-mula dia mengenakan pakaian Melayu. Matinya pun pada malam Jumaat!”
10. 525 oleh Ahmad Kamal Abu Bakar
“525 melangkah masuk ke dalam bilik dengan sebuah beg tangan kecil dan senyuman bernilai ratusan ringgit. Semoga ubat tahan lama ini akan meresap masuk ke dalam hati aku...”

Ridhwan Saidi