Isnin, Julai 20, 2009

Disampuk Kertas Merah

Saya tak berapa suka untuk pergi ke majlis perkahwinan. Tak kiralah perkahwinan sesiapa pun. Saya tiada alasan kukuh akan hal ini. Selalunya, saya sedaya upaya mengelak dari dijemput. Tapi setidak-tidaknya, pengalaman cetek menghadiri beberapa majlis kenduri kahwin sebelum ini pantas dijadikan modal. Terutama sekali, bila seseorang datang menjemput, bukan sekadar dengan layangan kad jemputan, tapi juga dengan mulut. Atas rasa rasional kemanusiaan, kadangkala saya akur dan pergi jua.

Biasanya saya datang memenuhi jemputan untuk makan saja. Tapi sambil-sambil, saya kerlingkan mata melihat gelagat manusia pelbagai ragam. Ragam yang adakalanya lucu, ada waktunya juga menyesakkan nafas. Saya lihat, ada anak kecil menangis, tertawa riang, berkejaran, makcik-mak cik sibuk mengomel, pak ciknya pula sedang asyik menyedut tembakau. Ada yang buat-buat sibuk, ada juga yang buat-buat peramah. Bagi budak lelaki ‘yang baru nak naik’, masa ini mereka akan berlagak terjal, terutama di depan ‘awek-awek’, konon biar nanti nampak cool, padahal tak sedar perangai macam bahlul.

Saya masih tak faham, apa yang menariknya dengan kenduri kahwin. Berada di bawah khemah dalam cuaca yang panas, memang merimaskan bagi saya. Badan jadi melengas, melekit, ketiak basah bermandikan peluh. Lepas itu, sesetengah tuan rumah cuba menghiburkan para tetamu dengan sesi karaoke. Zaman sekarang pakai karaoke, mungkin lebih senang dan menjimatkan jika dibanding dengan menyewa sebuah kugiran muzik. Sambil mulut menyumbat makanan, sambil itu juga telinga disumbat dengan nyanyian sumbang para penyanyi amatur. Nasi terus jadi tak sedap. Tambahan pula, kalau yang dimakan itu nasi minyak, makan di bawah khemah yang dipanah panas mentari, sambil peluh bercucuran di dahi.

Ha, lagi satu, orang Melayu sibuk sangat nak tengok pengantin. Apa pasal? Mungkin kerana teruja nak tengok ‘raja sehari’ bersanding, kot. Ye lah, esoknya dah tak jadi ‘raja’ lagi dah. Seumur hidup, ‘sekali’ je dapat jadi raja. Kalau lepas ni nak jadi ‘raja’ lagi, mungkin kena pergi menyeberang Sungai Golok atau Hadyai. Orang Melayu memang suka bab-bab raja ni. Macam nenek saudara saya, mak saya cerita, kalau pergi kenduri kahwin memang takkan balik selagi tak dapat tengok pengantin. Jadi, suka tak suka, terpaksalah tunggu orang tua tu. Ye lah, dah tua, mana lah tau dah nak jalan… karang mengidam pula.

Bila sebut pasal bersanding ni, ha, yang ini pun satu hal. Saya sampai sekarang gagal menikmati estetika persandingan. Saya langsung tak seronok tengok sepasang lelaki dan perempuan duduk terpaku dalam keadaan 'control' di atas pelamin. Apa yang syok sangat entah. Mak andamnya pula bijak, menyolek pengantin dengan make-up, mak datuk, tebal nak mampus! Macam kena tempek dengan tepung gomak. Nak berlakon opera Cina ke apa? Dari segi pakaian, pengantin lelaki memakai persalinan ala-ala raja Melayu gitu, siap dengan keris, rupa dah macam pendekar. Si perempuannya pula, macam pemaisuri dari negeri kayangan mana entah. Tapi saya tengok, saya pula yang rasa rimas. Persalinannya nampak serabut. Apa mereka tak rimas ke? Tak panas ke? Kalau yang sanding kat hotel tu, lain ceritalah.

Tapi jika diperhalusi pemerhatian, kita akan dapati sedikit-demi sedikit acara kenduri kahwin juga mengalami perubahan, hasil asakan, bukan saja kemodenan, tapi perubahan corak fikir dan kepercayaan masyarakat. Kita ambil acara persandingan sebagai contoh. Acara ini kalau diikutkan, memang tebal dengan pengaruh Hinduisme seperti acara menabur beras kunyit atau menepung tawar. Kalau rajin tengok filem Hindustan atau Tamil, pasti kita pernah terserempak dengan adegan yang sama, lebih-lebih lagi jika filem itu melibatkan adegan perkahwinan. Ini kerana memang nenek moyang kita, sebelum kedatangan Islam, kalau tak sembah pokok, sembah api, lepas tu, jadi penganut Buddha, atau Hindu. Mujur juga Nabi Muhammad bukan seorang fasis. Kalau tak…

Pengaruh Hinduisme ini, secara umumnya sampai sekarang tak berubah. Ada pengantin yang berbusanakan ala Barat, tapi masih ditepung tawar dan direnjis-renjis dengan apa benda entah. Air mawar kot? Aik, bukan ke yang orang siram kat kubur tu pun air mawar juga? Entah le. Kalau dilihat pengaruh Barat, rasa saya yang paling ketara ialah ketika acara memotong kek tinggi bertingkat sampai ke siling. Yang ini memang obvious, kalau sesiapa sangkal memang patut kena tempeleng. Saya tertanya, mungkinkah pengaruh potong kek ini diceduk dari filem-filem Hollywood?

Kemudian, kalau perasan, orang sekarang suka buat majlis resepsi. Yang ini pun tiru mat salleh. Dulu setahu saya mana ada. Yang ada hanya acara kenduri makan-makan, lepas akad nikah. Kenduri dulu-dulu bagi saya menarik la juga, sebab yang terlibat akan bergotong-royong merewang. Kopek bawang sama-sama, hiris lada ramai-ramai, kacau nasi kawah bergilir-gilir. Dirikan balai/khemah pun ramai-ramai. Berat sama dipikul, ringan sama di…? Takkan dah lupa, bang... Jadi majlis itu lebih bermakna dan menyeronokkan, sebab ada acara rewang ni semua. Biasalah, kalau dulu-dulu, di kampong-kampong memang orang dalam kampong tu saja yang merewang. Orang kampong ni pula kebanyakkannya saudara mara antara satu sama lain. Jiran depan rumah, saudara, sebelah rumah, saudara, selang tiga rumah, saudara, ah, siasat punya siasat, satu kampong bersaudara rupanya! Tapi itu dulu…

Kalau sekarang, orang ramai pindah duduk di bandar. Biasanya atas faktor nak cari makan, lah. Duduk dalam taman perumahan, kat rumah teres satu, dua tingkat, atau apartmen bertingkat-tingkat. Jadi, macam mana nak merewang? Payah! Nak selesai masalah, panggil katering. Semuanya dok pakai upah. Kesannya, belanja jadi makin mahal. Maka terbunuhlah budaya rewang… Inilah dia tuntutan zaman. Kat Singapura, benda-benda macam ni dah berlaku lama dah, sebab mereka rata-rata tinggal di rumah pangsa.

Bagi yang berada sikit, mereka mungkin sewa dewan orang ramai, atau hotel. Jadi, para tetamu hanya perlu bawa perut. Kalau majlis tu di hotel, tetamu makan atas meja bulat, yang barangkali memuatkan lapan susuk manusia dalam satu-satu masa. Macam dalam Anugerah Grammy kat Hollywood. Masakan biasanya tak sedap, sebab yang masak orang katering. Syarikat katering ini orangnya bukannya pandai masak, dia tahu meniaga saja. Kalau gelas, guna gelas yang ada kaki. Ala, yang macam orang putih isi wain merah tu la. Cuma orang kita tak berani la nak pakai wain yang betul-betul punya. Jadi depa pergi tuang dengan pseudo wain a.k.a air sirap. Maka kita pun berilusilah yang kita sudah ada kelas, ada prestij, tak pun macam mat salleh la gamaknya, sebab warna minuman dalam gelas berkaki tu, merah. Itu yang saya tension, gelas saja bergaya mat salleh, tapi isinya masih sirap...arrgghhh!

Dari majlis perkahwinan ini, kita dapat menyedari betapa budaya Melayu itu memang tak fix, tidak tetap kepada sesuatu unsur atau elemen saja. Ia bukanlah sesuatu yang mendukacitakan, bukan jua berita buruk umpama kiamat datang esok. Saya mengerti, budaya kita sebaliknya budaya yang ditabur dengan pelbagai rencah budaya yang berlainan, dan sentiasa berevolusi mengikut peredaran zaman. Masakini, faktor penting yang mempengaruhi perubahan budaya kita pastinya media massa.

Eh, nanti sat, saya nak tanya. ‘Resepsi’ ni pundek apa?


Mohd Ikhwan Abu Bakar