Khamis, April 29, 2010

Kitaran Terakhir

Akhirnya rekod kutipan tertinggi filem tempatan dipecahkan sendiri oleh pengarah yang sama, yang dikhabarkan kaut lapan juta lebih. Apa yang pasti, sebagai insan yang masih belum berusaha mencuri masa menonton filem pecah panggung ini, tak dapatlah kiranya saya ulas apa-apa mengenainya. Apa yang saya ingin cetuskan di sini adalah berkenaan fenomena filem ini di luar pawagam.

Kita yang ambil pusing pasti tahu, tema dan subjek yang dibawa dalam filem ini adalah berpaut pada salah satu sub-budaya golongan muda hari ini, iaitu ‘rempit.’ Oleh itu bukan sesuatu yang begitu mengujakan sekiranya filem ini berjaya meletup di panggung. Sebab, ‘rempit’ dalam filem ini sendiri berupaya mengheret golongan rempit secara ‘eksklusif’ untuk bertandang ke panggung. Dari aspek komersial, ya, nyata ia berkesan ‘memenuhi permintaan.’ 

(Sebenarnya saya tak fikir produksi David Teo cuba melayan ‘permintaan’ golongan Mat Rempit agar menghasilkan filem ini. Jadi mungkin perkataan paling tepat ialah ‘mengumpan.’)

Saya tadi ada menyebut ‘budaya rempit.’ OK, saya tarik balik kata-kata itu. Rasanya, lebih cocok jika budaya ‘rempit’ ini disebut sebagai ‘fenomena’ atau kata lainnya, ‘gejala.’ Tujuannya supaya ia kena balik dengan apa yang ingin saya utarakan selanjutnya. Jadi fenomena rempit ini telah dibawa masuk ke panggung dengan lapang sasar penontonnya adalah Mat Rempit. Produksi ini dari aspek komersial, telah berjaya mengeksploitasi fenomena semasa ke panggung wayang untuk dijadikan bahan tontonan, sekali gus lelucon santai bagi mereka yang tidak into dengan gejala berasaskan ‘pelumbaan haram’ ini.

Apa yang saya lihat, filem ini juga berjaya mencetus fenomenanya sendiri, kalaupun tidak sekuat fenomena mencari ‘karya syurga’ dalam ‘Ada Apa Dengan Cinta?’ (2002) sedikit lama dahulu. Inilah perbezaannya, iaitu bukan filem mana kuat atau filem mana lemah, akan tetapi, apakah bentuk semangat yang terhambur lantaran cetusan fenomena yang tercetus antara kedua-dua filem ini. 

‘Ada Apa Dengan Cinta?’ ternyata berjaya mencetus fenomena yang tersendiri, bukan saja di Indonesia, bahkan juga di Negara ini. Sampaikan saya yang selalunya sebal dengan filem-filem ‘cinta remaja’ yang tahap plastiknya agak berbahaya bagi emosi itu, kecundang jua akhirnya. Namun jika ditilik semula, filem seberang ini mencetuskan fenomena-nya tanpa berpaut pada mana-mana fenomena hangat di dunia nyata. Tiada ‘rempit’, tiada ‘Akademi Fantasia’, tiada ‘indie’ atau apa. Ia masih tetap juga menumpang pada realiti semasa yang lain, misalnya muzik pop, dan ‘reformasi’ yang sehingga ke hari ini, satu dialog bapa Rangga terus melekat dalam kotak memori saya—“apanya yang reformasi?”— itupun secara santai dan bersahaja sifatnya, selain adegan bercumbu yang durasinya tujuh saat itu. Selebihnya, dengan sedikit berani, filem ini mengherat puisi ke dalam filem. Sedangkan di mana-mana pun puisi bukanlah wadah hiburan pilihan massa jika nak dibandingkan dengan filem dan muzik.

Inilah bezanya dengan ‘Adnan Sempit’ (2010). Filem ini berpaut pada fenomena rempit, sambil naratifnya cuba digodak dengan sebaik mungkin. Saya tiada masalah dengan filem sebegini, yakni jenis yang mengangkat tema gejala-gejala semasa yang berlaku dalam masyarakat ke layar perak, cuma tak berminat jika mutunya rendah. Banyak filem macam ini yang berjaya di pasaran, dan ada juga yang gagal semestinya. Selain merayakan bentuk budaya atau fenomena itu, secara tak langsung ia telah mendokumentasikan fenomena/budaya itu dalam bentuk seluloid. Tapi bagi syarikat produksi filem terbabit, sudah pasti ia adalah tentang keuntungan.

Ditinjau lebih lanjut, filem sebegini juga pada hakikatnya merupakan manifestasi budaya semasa yang berpaksi pada struktur ekonomi dalam sesebuah Negara itu. Ia adalah proses timbal-balik, seperti proses pengeluaran dan permintaan. Maksud saya, kita tak akan dapat menonton ‘Adnan Sempit’ andai sub-budaya rempit ini tidak wujud sama sekali sekali sebagai fenomena/gejala. 

Adalah sesuatu yang tak logik juga, fenomena ini muncul sekiranya sistem ekonomi Negara ini berpaksi pada sistem yang bukan Kapitalisme. Alasannya mudah sekali, gejala rempit tak lahir dengan percuma, atau secara magik, tetapi Kapitalisme-lah yang melahirkan fenomena rempit. Sistem Kapitalisme yang melambakkan mesin beroda dua ini dipasaran untuk diimpikan, dimimpikan, dikumpul wang, lalu dibeli, ditunggang, hingga terlajak dan dirempitkan di jalan raya. (Awas, Mat Rempit bukanlah merujuk kepada mereka yang menunggang motor ‘kapcai’ semata-mata.) Jadi rumusan mudahnya, filem ‘Adnan Sempit’ ini adalah produk budaya Kapitalisme yang bermodalkan fenomena yang lahir dari sistem Kapitalisme itu sendiri.

Apa yang melucukan, golongan rempit ini majoritinya terdiri dari golongan muda kelas pekerja. Mereka memburuh dan dengan upah yang diperolehi mereka membeli motorsikal dari perusahaan Kapitalis. Lalu mereka pun merempit ke hulu ke hilir untuk berseronok hingga terperangkap dengan gelaran ‘Mat Rempit.’ Apakan daya, ‘kegiatan’ mereka dipandang serong oleh majoriti masyarakat ‘bermoral’ gara-gara pelbagai perkara sampingan yang disifatkan sebagai ‘negatif.’ Niat bersuka-ria bertukar jadi masalah Negara. Dan tiba-tiba, Kapitalis filem nampak potensi gejala ini, untuk ditukar menjadi kepukan ringgit dengan kelompok pononton sasaran adalah golongan Mat Rempit itu sendiri. Akhirnya yang menang di sini tak lain tak bukan, Mr. Profit. Inilah yang dikatakan sebagai: ‘walhasil balik asal.’
 
Jadi boleh juga dikatakan filem ‘Adnan Sempit’ berjaya dari segi kutipan di panggung bukan atas nama ‘filem’ tapi fenomena Mat Rempit itu sendiri. Inilah sebabnya mengapa saya menyifatkan rempit dalam konteks tulisan ini sebagai ‘fenomena.’ Sesuatu fenomena itu tak bersifat kekal, tapi sementara. Ia umpama struktur naratif filem yang disebut “3 Acts” itu; ada permulaan, kemuncak dan pengakhiran.

Berdasarkan pemerhatian rambang, saya mula perasan bahawa fenomena rempit ini sudah memasuki fasa terakhir iaitu fasa penutup. Fasa ini bukan lagi kemucak, sebaliknya kitaran terakhir fenomena rempit. Ini kerana tahun ini apa yang saya perasan di tempat saya menetap, bilangan Mat Rempit yang merempit di malam minggu semakin menyusut. Dibandingkan tahun lepas, setiap kali malam minggu dah bagaikan pesta merempit. Saya sendiri tak punya idea ke mana geng Mat Rempit ini membawa diri. Mungkin mereka merajuk dengan Abang Trafik. Perhatikan juga di media cetak serta televisyen, khabar berita berkenaan rempit semakin berkurangan. Kenapa media massa semakin tak peduli dengan Mat Rempit? Adakah usaha membenteras ‘gejala rempit’ ini telah sukses? Well, saya hapah tak percaya. 

Apa yang pasti, malam minggu di kawasan tempat tinggal saya ini dihuru-harakan dengan hingar-bingar kereta ‘sport bikin’ yang sibuk menukarkan jalan raya menjadi trek perlumbaan. Jadi ada kemungkinan besar filem ‘Adnan Sempit’ ini adalah ‘penutup rasmi’ fenomena rempit di Negara ini. Sekiranya ada lagi produksi filem tempatan yang mahu mengangkat sub-budaya rempit ini, tak mustahil filem itu akan terbabas ke dalam gaung. Malah ‘filem rempit’ yang paling akhir jika mengikut kata Raja Mukhriz, ‘V3, Samseng Jalanan’ (2010), ternyata ‘makan asap’ untuk menandingi kehebatan ‘Adnan Sempit’ merempit di pawagam. Bagi saya pula, ‘V3…’ itu hanyalah filem ‘last kopek’ yang tak perlu diambil pusing lagi. 

Selain filemnya itu dikhabarkan sebagai menarik, ‘lawak gila’, tak dilupa juga promosi gila-gila di radio swasta berbahasa Melayu di mana majoriti pendengarnya juga pasti orang Melayu, saya percaya faktor misteri ‘kitaran terakhir’ fenomena rempit ini juga menjadi sebab mengapa kutipan tiket ‘Adnan Sempit’ di panggung sangat lumayan sekali. 

Atas alasan yang sama, kejayaan kutipan filem ini bagi saya tak tampan untuk dijadikan kayu ukur mood penonton, atau perubahan citarasa, apatah lagi untuk mencongak masa depan ‘industri’ filem tempatan. Ia bukanlah tanda perubahan sebenar citarasa penonton di pawagam. Bagi saya, perubahan citarasa penonton tempatan wajar dilihat pada bentuk filem yang bebas dari sebarang fenomena semasa yang bersifat ‘hip’ dan sementara. Perubahan citarasa penonton hanya wajar diukur berdasarkan filem yang juga dibikin dengan penuh ‘citarasa.’ Citarasa ini sudah tentunya citarasa yang bagus, yang teruk nak buat apa? Hanya pembikin filem yang bercitarasa bagus sahaja yang mampu mencorak citarasa audiens menjadi lebih baik. Saya ambil contoh di Denmark, yang mana citarasa audiens telah disongket oleh gerakan Dogme 95, yakni gerakan filem yang berusaha menganakan pendekatan baru dan segar, dalam ertikata lain, meletakkan citarasa baru dalam filem-filem mereka. Filem ‘Open Hearts’ (2002) misalnya, adalah antara filem Dogme yang paling berjaya menghimpun audiens teramai di negara Scandinavia itu.

Tahun 1993, keluar ‘Perempuan, Isteri dan Jalang’, syukur filem itu laris di panggung. Tapi laris kerana apa lagi kalau bukan dek kerana kontroversi? Tapi sesudah itu, semua filem U-Wei yang lainnya terkulai layu dalam kegelapan sinema tempatan. Ini memberi pembayang bahawa ramai penonton waktu itu  menyusup ke panggung hanya mahu mengendap Sofea Jane mandi berkemban di tepi sungai dan bergolek-golek di kebun getah. Tiada perubahan citarasa seni sinema yang benar-benar berlaku. Keadaan kembali tenang seperti sediakala. 

Citarasa dan intelek audien tempatan seterusnya ‘diuji’ pula dengan kehadiran filem ‘Sembelit’ dan sekutu-sekutunya lalu para audien hanyut bersama linangan air mata. Kerana itu saya lebih percaya bukannya citarasa terhadap filem yang meningkat, sebaliknya jualan kertas tisu. Walhal, jika disingkap semula kualiti sinema ‘Perempuan…’ walau dari aspek pembuatan tidaklah begitu cemerlang, tapi falsafah, semangat dan permainan semiotik dalam ruang bingkainya itu ia ternyata pada saya lebih menarik dan tak mengada-ngada, katakanlah, jika dibanding-banding dengan filem-filem Yasmin Ahmad sekalipun. Dan secara bias, saya rasakan ‘Perempuan…’ itu lebih dekat dengan hati nurani saya sebagai manusia Melayu.

Jangan juga buat-buat lupa, fenomena ‘indie’ pernah cuba ditolak-masuk ke pawagam menerusi filem ‘Kami the Movie’ (2008) namun telah terkantol. Kutipannya tak lah segah mana. Suam-suam kuku saja. Boleh jadi juga kerana olahan ceritanya kurang umpp lalu gagal menarik Mat Indie ke panggung. Atau mungkin kerana Mat Indie ini majoritinya adalah budak sekolah yang cawat masing-masing masih dibelikan oleh ibu bapa mereka telah kekeringan RM10 untuk memenuhi ruang pawagam. Mungkin juga kerana duit bekalan ibu bapa telah dihanguskan untuk memiliki sepasang denim cengkik. Akibat dari itu, terpaksalah hero dan heroin Mat Indie meneruskan saki-baki perjuangan mereka di corong-corong radio swasta selain di kaca 8TV dan TV3 suku. Lalu terbukti sudah satu kenyataan pilu bahawa, gerombolan Mat Rempit lagi superior dari Mat Indie.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

p/s: Karangan ni terperam hampir dua bulan. Still tak best. Haha.

Jumaat, April 16, 2010

Metamorphosis di DBP

“Arifwaran Shaharuddin telah membuat sebuah presentasi terhadap karya Metamorphosis (Kafka) bersama dengan beberapa pelakon teater, ini adalah hasil yang keluar daripada kerja kajiannya semenjak dia pulang dan ini adalah kerja terakhir yang akan dia kerjakan sebelum dia berangkat. Dalam setahun ini banyak yang dia dapati, dia berpeluang mengenali bakat-bakat muda, kawan-kawan lama dan yang penting sekali rakan-rakan yang baru yang membawa makna baru pada dia. Marilah beramai-ramai datang untuk memeriahkan presentasi ini, dia memang cukup bangga dengan pencapaian para pelakon yang terlibat dalam presentasi ini.”
Saya tiada idea tentang hal ini sehinggalah Fasyali memaklumkan kepada saya bahawa ada persembahan teater di DBP semalam petang. Sudah seminggu saya padam akaun Facebook saya, jadi agak leceh juga sebenarnya untuk saya mengikuti perkembangan situasi semasa, cis.

Tanpa apa-apa harapan, setelah tiba di pintu masuk Dewan Syed Nasir, saya curiga; Apahal cahayanya terbalik menyuluh penonton? Pencahayaannya meletakkan perasaan penonton seolah-olah di atas pentas, ini dikukuhkan lagi dengan keberadaan seorang gadis yang duduk diam di tengah belakang pentas. Gadis itu adalah penonton, dan kita (penonton sebenar) adalah performer. Saya juga melihat gadis itu sebagai satu sindiran terhadap penonton teater konvensional yang pasif. Kadang-kadang memuntahkan emosi tetapi masih melekap di kerusi.

Ada beberapa babak yang berjaya memikat hati saya. Pertama adalah ketika tiga daripada watak itu sedang diambil gambar (1,2,3) ketawa berdekah-dekah dalam senyum di sebelah kanan pentas manakala seorang gadis sedang terbaring terseksa di sebelah kiri pentas. Sebagai ensembel, inilah detik yang paling seimbang tenaganya dibahagikan sama rata penuh perkadaran. Ia asimetri, tetapi timbal. Tenaga aksi fizikal yang dikeluarkan gadis itu (Siti Surya) mampu untuk mengimbangi hilaian tawa yang lagi tiga orang tadi. Malah saya kagum melihatnya merangkak terbalik dengan mulut ternganga merana. Kontra luhur di sini.

Bagi bahagian solo pula, saya mengagumi Sharifah Mariam a.k.a Sherry. Selalunya bila kita nak tengok teater, kita samada datang pada hari pertama atau hari terakhir sebab semua pelakon selalunya akan buat all out. Yang saya tonton ini di tengah. Tenaga yang dibawa Sherry ini serius menenggelamkan babak-babak solo pemain lain. Dia ke depan menepuk-nepuk tangan kiri dan mata kanannya kemudian ke belakang menepuk-nepuk perutnya. Dedikasinya antara yang paling tinggi pada malam itu sampai satu tahap saya pula yang risau, tak penat ke minah ni? (Saya pertama kali mengagumi Sherry ini di Rumah Anak Teater 1 sebagai makcik yang rumahnya diroboh).

Dari segi struktur, terdapat extra turn di mana watak Peran yang dimodenkan (dalam takrifan sebenar) menjadi sesi casting. Dalam wayang kulit, kita ada Pak Dogol. Ia sesi lawak ringan yang diselitkan dan dalam persembahan ini, ia adalah seorang lelaki yang sedang diujibakat untuk menyertai persembahan ‘ini’. Di sini faktor masa dimanipulasi di mana ia telah meloncat ke belakang. Malah secara keseluruhan, teater fizikal ini kabur hujung pangkalnya. Tembok keempat di antara pelakon dan penonton sudah dari mula dihancurkan dengan kelakar.

Secara keseluruhan, ia satu persembahan yang bagus. Antara perkara bijak yang dilakukan (walaupun kedengaran remeh) adalah pemilihan lokasi. Jikalau ia diraikan di dalam ruang komuniti arty farty borjuis, serius saya akan anggap ia sebagai one of those post-modern B.S. Tetapi sesuatu yang moden seperti ini, dimainkan di dalam ruang yang feudal di siang harinya, ini total ironi. Cheers!


Ridhwan Saidi

p/s: Gangguan paling ketara adalah nyamuk di dalam dewan.

Khamis, April 08, 2010

Franchising, Post-Modernity dan Manchester United

Macam manusia, kapitalisme juga berubah dan berevolusi. Noam Chomsky mengatakan bahawa ia telah mati pada tahun 1920-1930an. Yang kita salah tanggap hari ini adalah state capitalism yang menjurus ke arah fasisme, ini yang ditolak. Bagaimanapun proses perubahan ini telah menarik minat saya.

Kapitalisme pada awalnya kononnya adalah sistem yang paling sejati liberal. Malah laissez-faire bagi Adam Smith sendiri adalah satu konsep yang bebas daripada cengkaman dan campurtangan kerajaan pada ketika itu. Ianya berbalik kepada kebebasan individu (dari sudut ekonomi). Pada waktu itu, sebuah kilang (besar) akan menghasilkan satu produk (monopoli), dan bahan mentah bagi produk-produk ini kebiasaannya dijarah dari negara-negara yang dijajah. Wanita disundal, lelaki diburuh. Ianya datang sekali dengan kolonialisme dan imperialisme.

Masuk Perang Dunia Pertama hingga selepas Perang Dunia Kedua, dunia bergoncang lalu murung. Munculnya sub-sub kilang yang joint venture di antara satu sama lain dalam menghasilkan sesuatu produk. Saya tak tahu kenapa tetapi logiknya pada ketika itu, ekonomi sesebuah negara itu sedang kembali bangkit membangun.

Kemudian masuk tahun 50-60an (lebih kurang), syarikat-syarikat multi-nasional mula berkuasa. Ianya berkembang dalam bentuk franchise. Produk-produk yang dihasilkan didomestikkan mengikut citarasa setempat. McD di Malaysia tak sama dengan McD di Jepun. Nak tahu lebih lanjut tolong tonton pembukaan filem Pulp Fiction (1994). Satu elemen penting kapitalisme pada tahap ini: produk tidak sepenting nama/brand. Malah status nama dan brand sesebuah syarikat itu yang akan menentukan nilai produk tersebut.

Bila kita lihat Manchester United, ianya sebenarnya adalah satu bentuk branding. Ada nama tapi produknya biasa saja. Macam kamu makan sebungkus nasi lemak berharga RM 20 di hotel 5 bintang. Serius kepada mereka yang sudah melalui tahap self-actualization, pasukan M.U ini ya boleh menghasilkan gol, tetapi sebenarnya tak reti ‘bermain’ bola sepak. Ini saya sedari ada berkait paut dengan post-modernity di mana keruntuhan akhlak berlaku serta keindahan itu ditolak.

Ini berbeza sama sekali dengan La Liga ataupun Serie A yang mana corak permainannya lebih ‘tradisional’. Ia masih mengekalkan unsur-unsur pencerahan di mana beauty itu diraikan. Bila ada orang mengatakan bahawa EPL itu memainkan ‘beautiful football’, bagi saya itu karut.

Macam senibina Inggeris Norman Foster misalnya, mereka lebih rasional. Bandingkan ini dengan senibina Renzo Piano (Itali) atau Antoni Gaudi (Sepanyol). Walaupun bola sepak Inggeris ini ke arah rasionaliti, pantas dan straight to the point, tetapi kadang-kadang ia tak masuk akal. Saya tak rasa melambung bola ke dalam kotak penalti (bukan ‘pass’) dengan harapan ia disudahkan oleh penyerang barbaric seperti Wayne Rooney itu rasional. Macam kata kawan saya, “Ini bukan bola sepak, ini pinball!”


Ridhwan Saidi

p/s: Pemain-pemain M.U emo seronok untuk dilihat. Penyokong-penyokong M.U emo meluat untuk dilihat.

Selasa, April 06, 2010

Generasi Muda Masakini dan Piet Mondrien

Sebelum saya menuntut ilmu arsitektur, saya sempat bergelumang dengan fakulti Art & Design di Perak selama setahun. Semester pertama untuk asas (foundation) dan semester kedua barulah masuk fine art. Semasa di semester asas ini, ada kelas Drawing. Salah satu task yang perlu kami selesaikan adalah meniru (imitate/copy) mana-mana lukisan para masters.

Generasi muda masakini yang digerakkan oleh teknologi internet, saya sedari munculnya 2 kesan akibat daripada teknologi ini. Pertama, maklumat itu boleh diakses dan diderma di mana-mana sahaja dengan kemudahan gajet sedia ada. Dengan itu ia telah berjaya memecahkan tempurung dan mengurangkan kesulitan seseorang itu untuk mengetahui atau berkongsi sesuatu kepada dunia. Kedua, saya perasan golongan yang tersedia dilabel ‘malas’ ini mula mengeksploitasi kemudahan internet dengan copy paste assignment mereka asal siap.

Ini berbalik kepada pengalaman kelas meniru lukisan masters itu tadi. Out of all, mereka – generasi muda masakini – meniru lukisan Composition II in Red, Blue and Yellow oleh Piet Mondrian. Sudahlah lukis pakai pembaris, tak tahu Golden Section pula. Ish ish ish generasi muda masakini…semua pun nak ambil mudah — poodah!


Ridhwan Saidi

Manusia, Senibina dan Persekitaran

Selama 2 tahun sejak saya bikin filem pendek pertama saya iaitu Ah Long, saya masih belum berpuas hati dengan apa yang dipanggil seni filem ini. Ada sesuatu tentang filem ini, di sini – di negara ini – yang saya masih tak puas hati; iaitu sesi perbincangan dan kritikan selepas tayangan. Ianya tidak sampai ke tahap yang saya harapkan. Ya, harapan yang tidak kesampaian itu mengecewakan, tetapi masih terlalu awal untuk saya menyimpulkannya. Di dalam senibina, sesi kritik sangat hidup, dan persoalan besarnya adalah “kenapa?”. Secara amnya kita bukan nak tahu sangat kenapa, tetapi pasal sengaja nak dengar “sebab” atau “hujah” kenapa ia diperlakukan begitu. Lagipun orang muda zaman sekarang macam saya ini, mahu juga asah skill bercakap saya.

Dalam bidang senibina, kitaran itu lengkap setelah rumah atau bangunan yang kita reka itu diduduki orang. Dalam bidang filem (lebih-lebih lagi filem pendek), selain ditonton orang, satu sesi discourse perlu untuk melengkapi kitaran ini, bagi saya-lah. Memikirkan hal ini, tiba-tiba saya terperasan perkaitan di antara sesuatu yang pernah saya belajar dahulu dengan situasi ini.

Di zaman di mana manusia mula pura-pura menyintai alam sekitar ini, boleh kita kategorikan sesebuah rekaan senibina itu kepada 2. Pertama senibina dengan sistem terbuka, dan kedua senibina dengan sistem tertutup. Senibina sistem terbuka ini adalah senibina yang bertindakbalas dengan alam. Ianya seperti rumah-rumah yang punya pengaliran udara dari luar, gerai mamak, pasar malam dll. Di dalam rekaan yang bagus seperti rumah Melayu tradisional, ada cross ventilation dan stack effect bagi melancarkan dan menyejukkan lagi sesuatu ruang itu tanpa perlu menjana tenaga yang tidak perlu.

Sistem tertutup pula adalah senibina yang memutuskan sebarang hubungan dengan alam. Contohnya seperti rumah, McD, KFC, pusat membeli belah berhawa dingin dan apa-apa yang bersifat artifisial. Antara ciri-cirinya seperti: di waktu siang menggunakan lampu walhal cahaya matari percuma di luar.

Cuba mengaitkan ini kembali kepada audiens yang menonton filem, ya saya percaya manusia masakini (warga Malaysia khususnya), juga terbahagi kepada dua iaitu manusia dengan sistem terbuka dan manusia dengan sistem tertutup.

Manusia dengan sistem terbuka ini adalah mereka yang bertindakbalas dengan persekitaran mereka. Mereka ini ada kesedaran tentang realiti yang berlaku di luar sana, samada hujan atau panas. Sebaliknya golongan manusia dengan sistem tertutup pula adalah mereka yang memutuskan hubungan dengan persekitaran mereka. Seperti penghawa dingin, mereka konstruk ekosistem dan realiti mereka sendiri. Ini sama konsepnya dengan analogi Plato’s Cave itu. Menolak kebenaran dan kekal jahil (ignorant). Sebab itu audiens kasual di negara dunia ketiga (seperti di negara ini) sentiasa mencuit hati saya.

Dalam skala yang paling kecil, Mautopia adalah tentang Pancha Delima dan Puncak Perdana. Ramai yang menonton tak mampu relate dengan persekitaran yang mereka duduki itu sendiri. Ini ibarat jika saya hasilkan sebuah lukisan ‘hujan’ dan dipamerkan di dalam galeri berhawa dingin yang mana pada ketika itu sedang hujan di luar. Pemerhati-pemerhati seni yang tak pernah keluar merasai hujan, takkan mampu relate dengan lukisan hujan itu, walhal hujan sedang menangis di luar. Mereka ini telah konstruk ilusi syurga duniawi mereka sendiri. Ini cukup advance bagi warga negara dunia ketiga. Pudina betul!


Ridhwan Saidi

Ahad, April 04, 2010

At The End of Daybreak

Dalam perjalanan ke Midvalley, saya tidak meletakkan apa-apa harapan terhadap filem ini. Malah, saya memikirkan helah apa yang patut digunakan untuk tidak menonton filem ini. Di dalam kepala saya, duit yang saya ada ini mahu digunakan untuk membeli peralatan melukis. Saya mahu melakukan sesuatu yang aktif secara fizikal dan bukannya duduk pasif di dalam pawagam. Ini serupa seperti saya mengadap laptop di rumah.

Apapun ini adalah ulasan saya terhadap bentuk dan sains filem tersebut instead of nilai-nilai kemanusiaan. Hal-hal manusiawi cinta-cintun itu boleh dibaca di Tonton Filem.

Filem ini dimulai dengan grafik ganas dan kejam seekor tikus di dalam sangkar mati menggelupur disiram air mendidih. Menariknya filem ini adalah bagaimana babak-babak di akhir kisah yang dipenuhi plot holes dan jump cut, telah diisi secara bawah sedar di awal dan pertengahan cerita (rujuk babak gunting rambut, artikel surat khabar yang dibaca). Kita hanya perlu menggunakan imaginasi kita berasaskan visual-visual yang telah dipancarkan. Sebagai contoh, saya syak pemuda itu telah merogol mayat gadis tersebut sebab...

Seperkara lagi yang menarik adalah bagaimana bentuk filem ini dibina. Ianya diulang secara berkadar. Sebagai contoh terdapat satu babak di mana terdapat ketidaksinambungan ruang dan masa. Gadis 16 tahun itu ada di dalam bilik mahu keluar rumah. Di dalam bilik – pakai kasut – di dalam bilik – buka pintu – dan seterusnya. Ketidaksinambungan yang mudah ini saya perasan diulang sekali lagi di penghujung cerita, cuma ianya semakin kompleks. Yang mana dulu yang mana kemudian? Ianya tidak absurd membabi buta kerana kita telah diberikan rujukan, ini matematik.

Saya tidak berminat sangat dengan hal-hal manusiawi seperti moraliti dan maruah kerana filem ini mempunyai sisi intelek (yakni sains) yang bagus ditambah ia tidak mengada-ngada ‘berat’ atau ‘dalam’. Permainan matematika dalam orde-nya indah disamping beberapa syot yang berkuasa terutama ketika pemuda itu sedang mendail telefon (menghubungi seseorang). Syot mendail ini boleh diambil secara literal, tetapi saya melihat ia sebagai suatu transisi dari alam hidup kepada alam kematian (menghubungi Tuhan). Ianya spiritual. Bagi saya ia adalah ‘durasi cerita’ terakhir tetapi didahulukan (rujuk permainan ketidaksinambungan masa tadi).

Dari segi mise-en-scene (atau ‘setting’ bagi yang kurang faham), saya tertarik dengan penggunaan terowong sebagai node. Saya sedar 3 kali ia diulang. Ke kiri dengan awek (bersama cinta) naik motosikal, ke kanan mencari awek (mencari cinta) dengan motosikal dan akhirnya menangis meninggalkan ibunya (meninggalkan cinta) diiringi azan. Terpulanglah kepada anda untuk memahaminya dari sudut semiotik. 

At The End of Daybreak (2009) oleh Ho Yuhang ini adalah sebuah filem Malaysia (dalam erti kata sebenar). Walaupun perspektif yang digunakan adalah daripada kacamata seorang Tiong Hua, tetapi hal-hal semasa Malaysiawi yang digarap cukup Malaysia. Bila sebut tentang Malaysia, semestinya ia datang sekali dengan 'keunikan' bukan?


Ridhwan Saidi

Khamis, Mac 11, 2010

Pasca Fringe Film Fest

“Filem pendek itu penterjemahan fikiran yang terkandung akal, faham dan percaya yang tersurat, tersirat, padat, mampat dan tepat ke dalam ruang, bingkai dan bentuk filem yang durasinya singkat.”
- Moizzis Rcong
Pertama sekali terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat, secara langsung atau tidak langsung. Sebenarnya filem-filem yang ditayangkan tidak dipilih (kecuali ‘Bila Punggok Rindukan Bulan?’ oleh Bennylita Nasution kerana telah ditayangkan pada tahun lepas). Oleh itu, secara amnya semua yang dihantar tangan, dipos, atau dipinjam ditayangkan bulat-bulat.

Ada orang suka semua filem, ada orang suka filem tertentu dan ada orang hanya suka filem sendiri. Cabaran utama saya selaku kurator (cewah!) untuk tayangan malam itu adalah untuk memastikan kesemua filpen-filpen yang ditayangkan seronok untuk ditonton. Satu-satunya cara untuk memanipulasi keseronokan ini adalah melalui susunan (syntax) setiap filpen-filpen tersebut. Ala macam susun lagu dalam album, mana boleh pakai letak. Ambil Sub Rosa dan Awan Mendung Menanti Pelangi misalnya, kepada yang perasan, saya cuba bawa audiens pada malam itu terbang sekejap ke US, kemudian patah balik ke tanah air. Dengan kata mudah, setiap filpen yang ditayangkan mempengaruhi dan bersimbiosis dengan filpen sebelum atau selepasnya.

Untuk malam pertama, saya tiada komen. Ianya bergerak lancar seperti apa yang saya bayangkan. Walaupun di penghujung malam, mujur DVD calar ‘Awan Mendung Menanti Pelangi’ ada ganti kepunyaan salah seorang audiens. Kalau tidak memang haru malam itu haha. Malam kedua pun saya gembira, cuma saya percaya ada 2 filpen patut bertukar posisi, demi melancarkan binaan momentum semangat sinema audiens. Apapun kedua-dua malam itu macam kata teman saya, punya getaran sinematik yang menarik (sesuatu yang tak boleh didapati di kelab-kelab malam), lol.

Berikut adalah filpen-filpen yang ditayangkan:

Malam Pertama (5 Mac 2010).
Ronamaya (2010) 15 min, Amer Zaman
KakMin (2009) 7 min. Ajami Hashim
Tiada Judul/Rumah Ares (2009) 11 min. Ares Bahar
Capal (2009) 7 min. Azizulhakim Salleh
Sinkronis (2009) 18 min. Jaja Kadir
These Odd Things (2010) 11 min. Halimi Hassan
Babi Itu Khinzir (2010) 3 min. Faiq Khalifa
Pintu ke Pintu (2009) 15 min. Aliff Ihsan
Sub Rosa (2009) 9 min. Nadiah Hamzah
Awan Mendung Menanti Pelangi (2009) 20 min. Azri Abu Hassan

Malam Kedua (6 Mac 2010).
Destinasi (2009) 11 min. Tasyrif Tajudin
PERTA.M.A (2010) 11 min. Halimi Hassan
Bila Gambus Tak Berlagu (2008) 17 min. Maszalida Hamzah
Mautopia (2010) 11 min. Ridhwan Saidi
Session to the Womb (2009) 10 min. Sharifah Soraya
Sujud (2010) 7 min. Muhamad Rahimi
Language Kebangsaan (2009) 3 min. Faiq Khalifa
The Colour of Ideas (2010) 7 min. Low Weiyan
Konsekuensi (2008) 20 min. Razaisyam Rashid
Qalam (2009) 10 min. Hadi Koh

Ulasan: Tonton Filem, Razaisyam, Zara, Sigerets


Ridhwan Saidi

p/s: Minta maaf kepada mereka yang dapat booklet versi ‘dekonstruksi’ (a.k.a muka surat berterabur).

Ahad, Februari 07, 2010

Keaslian Seni

Sesetengah pembikin filem (/pendek) di institusi saya ini ternyata mahukan kelainan. Mereka ingin hasilkan sesuatu yang tidak pernah dibuat orang, pendek kata sesuatu yang baru. Ini apa yang mereka percaya sebagai ‘originality’. Tidak menghairankan jika hasilnya berupa sesuatu yang di luar luar tabii. Ini tidak mengapa bagi saya, cuma selalunya perlaksanaannya kelakar. Jika ditanya kepada saya apa itu originality, saya akan menjawab serupa mana Antoni Gaudi kata:
“But man does not create…he discovers. Because of this, originality consists in returning to the origin.”
Keaslian adalah pengembalian kepada asal usul.

Kenapa? Kerana kita manusia di era globalisasi ini pada asasnya serupa, iaitu selaku konsumer global. Tidak ada bezanya kamu di sini minum Pepsi dengan minah Belanda di China yang minum Pepsi. Atau kamu di sini memakai seluar Levi's dengan mamat Afrika di Jepun yang pakai seluar Levi's. Atau kamu di sini isi minyak Shell dengan minah Chile di Kanada yang isi minyak Shell. Sama.

Untuk menjadi asli adalah dengan bertindakbalas terhadap semangat setempat. Di sini biar saya mulakan dengan senibina terlebih dahulu kerana ianya tampak dan lebih jelas. International Style yang didokong oleh para modenis bermula 1900 suatu ketika dulu, idamkan senibina yang serupa satu dunia. Bangunan-bangunan tingginya berbentuk empat segi, bersudut 90 darjah dengan tingkap (curtain wall) bergrid ada hampir di mana-mana sahaja di seluruh dunia. Walaupun ianya memenuhi fungsi semata-mata, ianya membosankan dan sampai satu tahap, bersifat anti-manusia.

Ini berbeza dengan senibina vernakular yang bersifat contextual. Ia respon kepada cuaca dan alam setempat. Rumah kampung kita jika dipindahkan ke benua Afrika atau Antartika atau ke Jepun, malah Nepal sekalipun, ianya tidak berfungsi. Inilah keaslian. Ia mempunyai nilai-nilai keaslian yang meraikan alam 'sekitar'.

Bagi saya internasionalis umpama pokok, dahannya boleh ke mana-mana bahagian dalam dunia ini, tetapi akarnya tetap bertapak di satu tempat.

Pernah dahulu ada seorang kenalan saya ini bertukar barang secara barter dengan seorang mamat Peranchis di Peranchis. Mamat Peranchis ini mahukan kretek Gudang Garam, kenalan saya ini pula mahukan CD-CD lagu rare. Di Peranchis barangkali rokok kretek ini rare. Jadi mereka pun trade dengan sistem barter.

Dalam cabang filem, tidak kira komersial atapun tidak, originality tetap wujud. Yang membuatkan saya tidak begitu gemar dengan filem-filem komersial ada dua, pertama perlaksanaannya, kedua (paling teruk) ideanya. Idea francais Anak Mami oleh Prof. Razak itu original bagi saya. Ia adalah sesuatu yang dekat dengan dirinya. Cuma tidak banyak ‘buah-buah’ rahsia Jawi Peranakan yang disisipkan, ini barangkali atas faktor komersial. Atau mungkin ia sudah diterapkan ke dalam telemovie Anak Mami (1996) yang lebih raw, (yang saya belum pernah tonton).

Sama halnya dengan Wan Azli dengan Budak Kelantan (2009) yang dekat dengan dirinya. Ianya lebih real dan original tak kisah pendekatan apa yang ingin diambil.

Bayangkan jika Wan Azli mengarahkan filem tentang anak mami ataupun Prof. Razak mengarahkan filem tentang budak Kelantan. Ia punya gap dan berpotensi untuk menjadi tidak jujur (lagi lawak). Jika dilakukan kajian dan research bertubi-tubi sekalipun, ianya tetap tidak sebati di dalam jiwa.

Baru-baru ini saya tertonton telemovie Indie Yeah Yeah (2010) yang entah apa-apa itu. Serius, My Indie Rock Darling (2008) oleh Razaisyam itu berganda lebih menarik. Mungkin dari segi perlaksanaannya saya tidak gemar, tapi ia sekurang-kurangnya punya jiwa kenaifan bebudak 'indie' dari kawasan luar bandar. Ia tidak mengada-ngada seperti Sayang You Can Dance (2009) yang cuba menggapai sesuatu yang entah di mana.

Secara amnya apa yang saya ingin sampaikan terlihat pada niat filem-filem Hollywood yang mula mengamalkan dasar pandang ke Timur. Filem-filem Timur yang dikitar semula {seperti Shutter (2008), Shall We Dance (2004) dll.} ini saya jamin lebih teruk daripada yang asli {Shutter (2004), Shall We Dansu? (1996) dll.}. Cuma kuasa mereka dari sudut komersial adalah dalam bentuk kuasa pasaran (ini tak boleh kita nafikan). Yang pasti, jiwa filem-filem kitar semula ini berada di lingkup geografi yang berbeza. Jadi, pasti ada sesuatu yang tidak kena.

Dari segi teknik dan perlaksaan filem sebagai medium pula, ia milik setiap manusia. Kerana ia adalah seni. Jika dalam Mautopia Fadz mengatakan bahawa ia mempunyai doppleganger tipikal Lynch. Saya boleh kata dalam filem-filem Lynch, ia mempunyai doppleganger tipikal Maya Deren. Ini sebenarnya serupa macam falsafah.
“The safest general characterization of the European philosophical tradition is that it consist of a series of footnotes to Plato.”
–A.N. Whitehead
Contoh: Dalam karya Tarantino kita jumpa Fassbinder (New German Cinema), dalam karya Fassbinder kita jumpa Truffaut (French New Wave), dalam karya Truffaut kita jumpa Hitchcock, dalam karya Hitchcock kita jumpa Murnau (German Expressionism) dan seterusnya. Oleh itu bagi saya mahu mencari originality dari segi teknik (lagi-lagi buat filem pendek) adalah kerja gila.

Saya pernah bertanya kepada Amir Muhammad samada ada filem yang lebih terdahulu berkonsepkan pantun {padahal saya tahu Tokyo Magic Hour (2005) ada unsur pantun} pasal tak nak sama. Beliau kata takpe, kalau sama pun tak mengapa. Bagi saya ini seperti sejarah. Kita perlu tahu sejarah agar sejarah tidak berulang. Sama seperti filem, saya mahu tahu untuk dijadikan rujukan supaya tidak mengulangi perkara yang sebijik serupa (kalau sama baik buat kerja komersial). Paling koman, rujukan tadi dimanipulasi kena dengan hidup saya. Sebab kesamarataan terlampau membosankan sebenarnya.

Bayangkan kita di negara komunis dengan rumah flat yang sama setiap seorang. Bagaimana dengan kebebasan ekspresi individu? Tak ke bosan.

Di sini, ini soal idea bukan teknik. Dari segi teknik saya bikin Mautopia cara bajet adi-rendah pasal memang bajetnya adi-rendah pun. Takkan guna teknik handheld pasal nak ikut Dogme95.

Menyentuh tentang Dogme95, ia adalah salah satu penanda jatuhnya konsep auteur. Filem bukan lagi milik seorang individu bernama pengarah, tetapi kerja berkumpulan: pemberi idea dan pelaksananya. Duo-duo popular seperti Dolce & Gabbana (fesyen), Herzog & de Meuron (senibina), Coen Brothers (filem) dan seumpamanya mendapat tempat.

Di Malaysia, jikalau teater kita ada KoKen. Semasa vol.1 ada 4 pengarah dengan 4 play dilangsungkan. Vol. 3 Tanda pula ia semakin maju, dengan kolaborasi 6 pengarah, 20 pelaksana (+ partisipasi secara tidak langsung penonton) dalam 1 play. Ini sama seperti jika suatu masa dulu, satu kanvas hanya seorang artis saja yang melukis. Tapi kini (barangkali), satu kanvas ada dua atau lebih individu yang melukis pada masa yang sama dengan stroke yang bertindih dan bertindan. Kanvas itu dikongsi bersama atas dasar keterbukaan dan toleransi setiap individu. Barulah dunia semakin maju.


Ridhwan Saidi

Sabtu, Februari 06, 2010

Nutrien Sinema

Sesetengah orang jaga pemakanan (seperti tidak makan nasi goreng* dan hanya minum air suam**), tetapi saya pula cukup pantang berpantang bila tiba bab makanan. Semua pun saya bedal, walaupun usus saya pernah dibedah, dipotong dan disambung. Tak minum wine tak cultured la beb!

Bila tiba bab filem, saya cukup berdisplin. Saya bukan jenis belasah tengok saja. Jika ada orang belanja saya tonton filem yang saya tak mahu tengok, saya tak tengok. Saya sangat cerewet. Tidaklah bermakna saya hanya menonton filem-filem pilihan kritik ataupun yang abstrak gila babi. Pokoknya, keseimbangan. Bagaimana nak tahu seimbang atau tidak? Rujuk piramid nutrien makanan. Bukankah filem itu makanan minda? (cewah!)
Nutrisinema. Umumnya hierarki piramid nutrien makanan ini diatur atas dasar keperluan tubuh dalam menjana tenaga dan mengawal sistem pertahanan tubuh. Kandungan karbohidrat, protein, vitamin, air, mineral, lemak dan minyak perlu diambil pada kadar yang seimbang. Sama juga seperti filem, saya terima filem pada kadar yang seimbang. Filem-filem berkhasiat, saya tonton lebih selalu daripada filem-filem yang memudaratkan. Filem-filem bertih jagung yang tidak berkhasiat itu saya tonton kadang-kadang.

Dalam sebulan, boleh dikatakan saya menonton minimum 20 filem-filem berkhasiat dan maksimum 1 filem yang tidak berkhasiat. Seperti orang lain, saya juga mendapat sensasi nikmat daripada filem-filem yang tidak berkhasiat ini, ibarat cokelat. Saya gemar cokelat dan filem-filem cokelat ini. Tapi awas! Di celah-celah filem-filem cokelat ini, terselit filem-filem tahi. Eeuw!
The President: [while eating a meal of feces] Carlo, do this with your fingers.
[the President sticks two fingers in his mouth]
The President: And say, "I can't eat rice with my fingers like this."
Male Victim: [with fingers in his mouth] I can't eat rice.
The President: Then eat shit.
Salo (1975)
Ridhwan Saidi
* Melemahkan tenaga batin bagi lelaki bak kata Fadz.
** Air berais akan memejalkan minyak menjadi ketulan.
p/s: Ditujukan buat Legion, 20,000 BC, Sayang You Can Dance dan seumpama dengannya.

Ahad, Januari 24, 2010

Matinya Seorang Tetamu

Budaya konsumer global yang dianuti warga Malaysia hari ini, sedihnya semakin hari semakin sebati dengan jiwa kita. Sehingga akhirnya setiap pemikiran – termasuk yang melibatkan ilmu dan idea – terjerumus sekali ke dalam lembah kejahilan. Contoh paling ketara adalah dengan membandingtarakan nilai sesebuah filem yang ditayangkan di panggung itu dengan harga tiket. Misalnya, “membazir sepuloh ringgit aku aje tengok cerita tu!” atau “aku percaya hanya orang yang bayar tiket sepuloh ringgit berhak mengkritik sesebuah filem”. B.S!

Tradisi lesu ini berlanjutan sehingga ia menyelusup masuk ke dalam dewan Pancha Delima tempoh hari. Kedengaran suara-suara hati berbisik seperti, “filem macam ni nak tayang kat luar?” atau “penonton kat luar tu boleh terima ke filem macam ni?” dan seumpama dengannya.

Ini tidak betul. Buat seketika saya terkeliru di mana saya sedang berada. Di 'universiti', atau di GSC? (Selain imej rupabentuk bangunan ini yang menyerupai Carrefour).

Ada perbezaan ketara di antara filem pendek dan filem (feature). Selain skala, nilai komersial adalah perkara terakhir yang patut ‘difikirkan’ di dalam sesebuah filpen. Filpen adalah mengenai idea semata-mata. Filem pendek Saw atau Alive in Joburg misalnya, adalah mengenai idea. Dari (idea) filem pendek ini barulah ia seterusnya dikembangkan ke dalam bentuk feature – iaitu siri Saw (2004-2009) dan District 9 (2009) – lalu dikomersialkan dan diniagakan. Dalam negara kita ada Anak Halal (2007).

Tidak ada filem pendek yang dikomersialkan (jika ada, ia sukar menjana keuntungan). Tidak pernah juga kita dengar istilah 'filem pendek box-office'. Hanya mat/minah skema saja yang akan kata, “aku student filem boleh la faham sikit-sikit filem pendek ni, tapi penonton kat luar tu macam mana?”

Filem pendek tidak akan menemui penonton a.k.a konsumer di luar, ini hakikat. Aneh, wujud empati di dalam diri mereka terhadap ‘penonton luar’. Filem komersial di panggung akan mencari mangsa mereka melalui marketing seperti iklan, road tour dan sebagainya. Sebaliknya filem pendek pula terbalik, ia perlu dicari oleh penonton itu sendiri. Jadi mustahil sesebuah filem pendek itu ditayangkan di panggung (kena bayar tiket) ataupun masuk saluran tv utama.

Di sini, boleh kita klasifikasikan golongan penonton yang ada di Malaysia kepada dua: konsumer (selain ilmu) dan tetamu. Penonton konsumer ini adalah seperti mereka yang mendangok di kedai mamak. Ada client, ada server. Duit bertukar menjadi Maggie goreng, teh tarik, cheese nan (atau apa sahaja yang client/konsumer/pelanggan itu mahukan). Ianya accessible oleh orang awam, kebiasaannya di lot hujung. Konsumer yang datang ini sudah tahu apa yang mereka mahukan, sebab itu filem-filem komersial predictable – kedai mamak dan teh tarik cukup sinonim, common sense!

Penonton tetamu pula ibarat mereka yang melawat rumah orang lain. Tidak wujud urusniaga pertukaran duit. Dapat cucur udang, air sirap, atau laksa Johor bergantung kepada tuan punya rumah (dan nasib, bagi yang percaya). Ia tidak boleh dijangka dan bukan sebarang orang boleh access. Inilah budaya filem pendek dan filem-filem art house.

Biadap apabila rumah yang menayangkan filem-filem pendek ini apabila ia dikunjungi oleh mereka yang berperangai konsumer.


Ridhwan Saidi

Sabtu, Januari 16, 2010

Bertandang ke Residensi

Saya seharusnya bersikap jujur, mengakui bahawa sa-nya saya jarang sekali menonton filem dokumentari. Jikalau filem tempatan, antara yang masih setia mendekam dalam kotak memori saya hanya ada tiga: ‘the Big Durian’ (2003) (walaupun semi-doku), ‘10 Tahun Sebelum Merdeka’ (2007) dan ‘Romantika ISA (2005).’ Antara ketiga-tiga itu, saya memilih ‘the Big Durian’ atas kepelbagaian teknik penceritaannya, juga atas dasar berat sebelah, saya peminat Salleh Ben Joned.

Adapun saya terpaksa suka atau tidak, menambah satu lagi senarai menjadikannya empat, seraya mengemaskini filem dokumentari pilihan setelah menonton filem dokumentari ‘the Residency Years’ (2009) beberapa hari lalu. Dan natijahnya, ‘the Big Durian’ terjelepuk ke tangga kedua gara-gara karya terbaru Mansor bin Puteh ini.

Apa yang membuatkannya begitu ‘istimewa’ di balik kaca mata saya? Nah, jika itu yang mula-mula ditanya, sekali lagi, saya perlu mengakui, ia atas dasar ‘cinta pandang pertama,’ bukan dengan Mansor, tapi dengan filemnya, sudah pasti.

Filem ini dibuka dengan visual dari atas langit memandang ke bawah, ke arah kota Kuala Lumpur, tanpa memperlihatkan KLCC, tapi Stadium Merdeka. Sewajarnya dari visual permulaan ini, penonton patut cepat menangkap tujuan utama filem, bukan untuk meraikan sang pengilham menara berkembar itu, tapi pengilham stadium utama negara yang pertama. Visual tersebut secara tak langsung menjadikan filem ini begitu ‘muda,’ walaupun ramai yang tahu stadium itu terlalu ‘tua’ jika nak dibandingkan dengan KLCC.

Muda yang saya maksudkan ialah dari segi imejnya mengikut konteks filem tempatan masakini, kerana jika direnungkan betul-betul, banyak filem tempatan tak kira fiksyen atau dokumentari yang sentiasa berebut-rebut untuk memperlihatkan imej KLCC di awalan filem, konon untuk memaparkan imej Kuala Lumpur yang cukup moden dan metropolitan sekali. Paparan imej KLCC yang bertalu-talu ini akhirnya menjadikan imej tersebut terlalu remeh, dan menggambarkan pembikinnya kekontangan idea dan tidak tentu arah dengan apa yang mahu diceritakan. Sedangkan, dalam the Residency Years, pemilihan imej Stadium Merdeka dan Stadium Negara membuatkannya sangat fokus dan melontarkan penonton dengan idea awal tentang kesah yang mahu dikongsi oleh Mansor tanpa meracau-racau ke imej yang tak ada kena-mengena. Pendek kata, beliau cukup tahu hujung-pangkal dengan apa yang dikerjakannya.

Apapun, perkara yang membuatkan hati saya tertawan bukan visual itu saja, tapi muzik iringannya juga. Muzik ini berjaya membuatkan hati saya cair, muzik dari tiupan serunai ini. Hanya kerana muzik ini, saya begitu cepat melatah, langsung terus menyimpulkan filem ini sebuah hasilan yang cukup bagus walau ia baru berputar tak sampai lima minit. Saya cepat menangkap ‘jiwa’ yang mengalir dalam jasad filem ini lebih-lebih lagi setelah telinga semakin lesu disogok dengan muzik moden yang entah apa-apa, macam ‘muzik indie.’ Tiuapan serunai ini secara mendadak menjadikannya sangat segar dan tersendiri seterusnya menolak hingga roboh timbunan filem-filem tempatan kontemporari yang terlalu intim berpaut pada muzik moden secara melulu, demi kelihatan moden dan seksi. Dengan muzik pembukaan ini saja, melodik, garang dan agak mistikal, seperti dimandi bunga, Mansor menyegarkan kembali jati keMelayuan saya walau hakikatnya beliau sedang cuba berkongsi catatan dan pengalamannya tentang Tunku Abdul Rahman, perdana menteri yang pertama.

Selain itu, aspek lain yang cukup mengujakan ialah kejujuran filem ini. Kejujuran ini sangat terasa kebenarannya, bukan jujur yang dibuat-buat. Ia tidak ‘cuba’ berlaku jujur, sebaliknya ia memang jujur seadanya. Bukti paling nyata ialah kerja kamera yang bergoyang waktu Mansor tiba di rumah penginapan Tunku sewaktu menuntut di England. Menurut beliau, kamera yang dipegangnya itu memang bergoyang gara-gara perasaan terharu-nya di kala tiba di situ. Ia emosi tulen yang mengalir ke tangannya yang memegang kamera, yang menyebabkan kamera itu merakam bukan sekadar visual, tapi emosi Mansor yang sebenarnya di waktu itu.

Sekarang kita mengimbau kembali ajaran Dogme 95. Dogma teori ini ada menyebut tentang bagaimana penggambaran yang wajib dibuat di lokasi sebenar, tapi set dan peralatan sokongan tak perlu dibawa bersama. Hanya jika keperluan yang mendesak barulah set dan prop itu disediakan, dengan mengambil kira lokasi di mana peralatan dan set ini dapat disediakan. Ini antara taktik dan teknik pembikinan yang cuba merayakan kembali estetika kesejatian dan kejujuran dalam seni filem. Cuma resikonya, cara ini akan menyebabkan filem itu dibuat secara pretentious untuk kelihatan jujur kerana taktik dan teknik itu sengaja diada-adakan. Walaupun saya tak fikir Mansor cuba mengikuti teori ini, namun tindakan beliau hanya memegang kamera itu bagi saya lebih menarik. Menariknya adalah dari segi kejujuran beliau yang tidak buat-buat, seperti goyangan kamera tadi, yang telah memerangkap seterusnya memasukkan emosinya ke dalam bingkai tanpa dirancang sama sekali.

Saya juga menyukai sesi temubual yang diadakan, santai dan tak formal. Terutama sekali, temubual dengan Ebby Saiful. Gaya Ebby menjawab temubual ini bukan sekadar santai dan bersahaja, akan tetapi menunjukkan estetika sebenar percakapan orang Melayu. Ia bukan perbualan ala-ala ‘Discovery Channel.’ Seolah-olah, kalau saya sendiri yang pergi menemui beliau dan mengajaknya berbual, begitulah juga caranya bercakap. Lagipun, memang begitulah estetika sebenarnya orang Melayu bercakap ketika sedang menceritakan sesuatu.

Tayangan foto-foto lama yang diambil oleh Syed Abdullah Barakhbah iaitu sepupu dan anak angkat Tunku selaku photographer tak rasmi Tunku juga amat penting  kerana foto-foto lama ini adalah antara bahan asas kepada penceritaan dokumentari Mansor. Apa yang menariknya berkenaan foto-foto lama tersebut ialah, kerana kebanyakkannya diambil dalam suasana yang tak formal, ia memperlihatkan beliau juga adalah 'manusia biasa.'  Bukti lain, dalam rakaman temubual dengan Tunku, beliau mengakui yang beliau sendiri pernah tak mendapat bayaran dari hasil skrip filem tulisannya, err, ‘Mahsuri’ (1959) ke ‘Raja Bersiong’ (1968), saya pun dah lupa. Ini menjadikan visual filem sangat dekat dengan orang biasa seperti saya. Inilah antara perkara yang sangat saya hargai ketika menonton Residency Years.

Justeru, saya sangat pelik apabila mengetahui ada pihak yang mempertikai paparan Tunku dalam filem ini yang kononnya telah memperleceh ‘keagungan’ Tunku sebagai ‘Bapa Kemerdekaan’ negara. Sepatutnya, pada saya, kita lebih suka kerana berpeluang melihat kehidupan silam Tunku dari perspektif yang berbeza dan bukannya negarawan tipikal yang hidupnya berserabut dengan seribu macam protokol dan hal-hal politik!

Sebut tentang pengagungan tokoh, saya juga rasa ralat bila ada orang yang lebih sibuk dengan pengagungan seseorang tokoh. Tokoh, sehebat mana pun dia, tetap juga manusia. Apa nak sibuk sangat mengagungkan manusia sedangkan ada Yang Maha Agung di atas sana? Pengagungan tokoh dalam sesebuah filem dokumentari belum tentu menjadikan filem itu hebat pun, malah selalunya kerja ‘pengagungan tokoh’ ini sekadar jadi kerja membodek tokoh tersebut. Bila tokoh itu dikipas dibodek, filem itu berkemungkinan besar akan diangkat sebagai ‘filem yang bermutu’ dan ‘setaraf dokumentari luar negara.’ Filem sebegini akan dianggap tahu ‘mengenang jasa’ tokoh tersebut kerana itu wajib ditatang walaupun hanya berbekalkan cara penceritaan yang tipikal dan tiada idea-idea menarik.

Satu lagi perkara berharga dalam the Residency... ialah rakaman temubual dengan Tunku yang dirakam dengan kaset. Boleh dikatakan, rakaman kaset ini membentuk struktur penceritaan dalam the Residency Years. Jadi penceritaan filem banyak bertitik-tolak dari rakaman kaset ini, yang mana al-marhum Tunku banyak menceritakan kesah-kesah peribadi beliau yang lari dari soal politik seperti pembabitan beliau dalam penulisan lakon layar filem. Jadi ia membentuk penceritaan yang melompat-lompat, tak teratur mengikut perceritaan konvensional. Pergerakan cerita banyak bergantung pada apa yang diceritakan oleh Tunku melalui pita rakaman. Menarik juga, bila Mansor sengaja membiarkan audio asal pita kaset yang sebu ini, yang bermakna ia secara tak sengaja mengendong nilai-nilai sentimental. Kesebuan audio rakaman ini juga bagi saya adalah estetika tersendiri Residency Years yang cukup asli.

Secara keseluruhan, saya menganggap filem Mansor kali ini cukup berkesan sama seperti filemnya yang terdahulu, Seman (1986). Dalam masa yang sama, ia telah mengajak penonton untuk kembali kepada asas – back to basics, bukan sekadar dalam teknik perfileman, tapi juga dalam hal kehidupan secara amnya, tentang bagaimana manusia mangutur langkah hidup. Maksud saya, filem dokumentari ini dibuat berdasarkan sumber-sumber yang tersedia, baik dari segi kos, sumber cerita seperti foto-foto lama, pita rakaman, individu-individu yang ditemubual dan syot-syot yang diambil. Berdasarkan sumber-sumber ‘apa yang ada’ ini, Mansor telah menghasilkan sesuatu yang segar dan penuh kelainan. Ia bukan dibuat dengan meletakkan sasaran ‘untuk menjadi lain dari yang lain,’ atau ‘menghasilkan sesuatu yang baru’ tetapi ia dibuat dengan sejujurnya berdasarkan sumber ‘apa yang ada’ tadi.

Asas ketamadunan manusia melahirkan sesuatu ialah berpunca dari asas-asas utama yang tersedia. Misalnya jika kita memasak nasi goreng, asasnya mesti nasi, bahan perencah dan minyak untuk menggoreng. Namun seandainya tiba-tiba didapati nasi tiada, dan yang ada dan boleh menggantikan nasi adalah mee, maka hasil akhir yang boleh dijelmakan adalah mee goreng. Maka terjadilah benda baru, mee goreng, bukan nasi goreng. Inilah asas perkembangan benda-benda baru dan teori-teori baru dalam perkembanagan tamaduan manusia. Begitulah jua kesahnya dengan keaslian filem-filem Mansor bin Puteh.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Ahad, Januari 03, 2010

Fesyen, Seni & Sains

Kita sudah pun memasuki tahun baru kalender Gregorian, 2010. Blog ini juga telah memasuki musim ke-3. (Eh, macam AF pulak, main musim-musim.) Kedatangan tahun baru ini pasti memberi banyak harapan yang berbeza-beza mengikut setiap insan. Ada yang berharap menemui cinta, ada yang berharap mendapat anak, ada yang berharap menukar kereta baru, ada yang berharap berhenti merokok, ada yang berharap mendapat kerja, ada yang berharap naik pangkat, ada yang berharap dapat siapkan 10 skrip filem, ada yang berharap Dubai World tak lingkup, ada yang berharap dapat bercuti di Las Vegas dan kalau saya senaraikan semua harapan manusia maka sampai 2011 pun tak habis.

Tak dapat tidak, kita juga pasti akan melihat tak banyak sikit, fesyen semasa turut berubah pada tahun hadapan. Secara mudah, fesyen ialah gaya pemakaian seseorang. Seseorang individu dapat menterjemahkan sedikit sebanyak karektor peribadi melalui gaya pemakaiannya. Ini bermakna, fesyen juga bahasa atau simbol yang berupaya menghantar makna-makna tertentu berkenaan ciri-ciri peribadi seseorang. Lebong yang menyifatkan fesyen itu mesti selari trend semasa adalah ajaran sesat. Tafsiran fesyen sebegini yang dijulingkan dengan budaya konsumer pada hakikatnya meremehkan fesyen sebagai salah satu fakulti intelektual manusia. Ia sekadar mengecop fesyen sebagai salah satu produk pasaran bebas semata-mata. Kena pakai jenama Prada ke baru dikira fashionable? Damn it!

Untuk melihat perubahan fesyen semasa, kita mesti meleser di jalanan. Di sini lah sebenarnya pelbagai gaya fesyen ‘beraksi,’ bukan di pentas catwalk. Peragaan fesyen tak sama dengan fesyen di jalanan. Alasannya, fesyen mesti praktikal. Yang digayakan di pentas catwalk belum terbukti praktikal selagi ia tak digayakan di jalanan. Biasanya yang membawa perubahan fesyen semasa, atau lebih tepat lagi fesyen jalanan ialah para ‘rock star’ yang sedang hangat di pasaran. Apa yang digayakan oleh ‘rock star’ ini akan cuba ditiru oleh golongan muda yang lain. Ha, tahun ini saja, dijangka fesyen “Glam Rock” akan mendapat tempat. Maka fesyen ini akan menetaskan lebih ramai poser dan mangsa fesyen. Apa alasan saya? Mudah, fesyen “glam Rock” ini pada dasarnya menyebabkan ramai yang tak semena-mena mengaku minat muzik rock walaupun dia tak mengenali Lemmy Kilmister. Gaya ini juga hanya sesuai untuk mereka yang bertubuh kurus dan tinggi. Dalam sejarah ‘rock and roll,’ hampir tiada bintang rock glamor yang bertubuh debab dan pendek. Apapun, fesyen ini dijamin akan mengkayakan para towkey pakaian yang sentiasa terjojol mata menanti peluang keuntungan.

Pun begitu, ada juga golongan lain yang membawa perubahan fesyen seperti bintang bola sepak, bintang filem dan bintang realiti TV. Dipotong jalan, para selebriti yang dijulang bagaikan hero. Kerana itu, pereka fesyen tak mampu menggalas cabaran menukar corak fesyen jalanan golongan muda. Akan tetapi, mereka tetap mendepani perubahan fesyen dunia mengikut jalan yang berlainan yang tidak terlalu terbuka untuk dinikmati oleh segenap golongan muda-mudi. Dengan taktik berlainan, melalui media seperti majalah, atau disarung pada tubuh badan selebriti, pereka fesyen mencuri kesempatan menempatkan rekaan mereka dalam fesyen arus perdana. Masalahnya, fesyen dari majalah ini agak terbatas penggayaannya kerana ia hanya mampu diterokai oleh golongan muda-mudi dari kelas menengah atasan dek kerana kos fesyen sebegini secara relatif lebih mahal. Keterbatasan itu juga disebabkan sesetengah fesyen rekaan para pereka tadi tak sesuai/pratikal untuk dipakai. Fesyen yang tak praktikal ini serupa dengan ruang bangunan yang tak praktikal atau sempit, ia memberi ketidak-selesaan kepada pengguna.

Ramai yang tersilap langkah melihat cara berpakaian yang bagus adalah dengan mengenakan fesyen yang ber-kos mahal. Ini bagi saya dosa paling besar dalam hukum berpakaian yang telah dilakukan oleh manusia moden amnya. Citarasa fesyen juga bersangkut-paut dengan citarasa estetika yang lain meliputi citarasa muzik, filem, sastera, hiasan rumah, makanan dll. Boleh disimpulkan, orang yang memiliki citarasa muzik yang teruk, berkemungkinan besar citarasa fesyennya juga teruk, dan seterusnya. Dan orang yang sentiasa berubah-ubah tanpa hujung pangkal boleh diragui prinsip hidupnya. Mungkin dia sendiri keliru atau tak tahu apa yang diingininya hingga terpaksa menoleh orang di kiri dan kanannya setiap waktu, demi dilihat seirama merdu dengan mereka. Sedang orang yang benar-benar bijak pasti bijak menentukan apakah gaya pemakaian yang sesuai bagi dirinya, tanpa tergopoh-gapah cuba fit in dengan trend yang datang dan pergi.

Walaupun ada anggapan yang mengatakan seseorang itu boleh saja menggayakan sebarang fesyen dengan syarat berkeyakinan tinggi untuk menggayakannya, kenyataannya, fesyen yang mengikut trend condong ke arah gaya luaran semata-mata. Fesyen sebegini telah menyebabkan pandangan songsang tadi mengelabui hukum berpakaian yang lebih penting iaitu; seni dan sains. Inilah asas sebenar hukum berpakaian, bukan fesyen yang mengikut trend semasa. Sama saja hukumnya dengan senibina, muzik, filem, dll. Dalam erti kata lain, seni dalam berpakaian mewakili aspek estetika, seperti corak, warna, potongan dan jenis tekstil. Manakala sains menawarkan rasional terhadap aspek estetika tadi seperti keadaan iklim setempat, geografi, skala dan proportion, demi mencapai keselesaan dan kesempurnaan dalam berpakaian.

Idea bagi rekaan fesyen juga tak semestinya bermotifkan keraian pada estetika tubuh badan sahaja. Seseorang pereka fesyen juga patut melihat dunia di sekelilingnya untuk mencapai inspirasi dan idea. Sebagai contoh, pereka fesyen Hussein Chalayan mengambil sosio politik, ekonomi, budaya termasuk filem, muzik, seni bina serta kejuruteraan sebagai unsur-unsur yang mempengaruhi fesyen rekaannya. Ini semua penting memandangkan kesemua unsur terbabit juga mempengaruhi kehidupan seseorang baik dari segi tingkah laku, pemikiran, emosi, dll. Dengan itu, macam saya sebut tadi, melalui fesyen, ia berupaya menterjemah ciri-ciri individu si pemakainya.

Cuit sikit aspek estetika, pemakaian tali pinggang dilitupi lebihan kemeja yang sengaja dibiarkan terkeluar sedikit adalah haram di sisi hukum berpakaian. Estetika pemakaian tali pinggang wajib menampakkan rupa fizikal tali pinggang itu. Dan hanya orang tak sehat saja yang memakai braces dalam masa yang sama memakai juga tali pinggang. Dari aspek fungsi, ia dikira redundant. Saya juga akan menekup muka bila terlihat seorang yang bertubuh cebol memakai skinny jeans. Disebabkan fesyen ini, penampilan mereka tak ubah macam sarung nangka. Niat untuk dilihat kurus telah bertukar menjadi lawak seram. Sebenarnya, memadai jika mereka mengenakan potongan seluar straight cut. Sama juga jika perempuan bertubuh besar yang terlebih muatan, pemakaian skirt paras lutut kembang semangkuk akan menyebabkannya kelihatan seakan sekuntum Reflesia yang sedang mekar.

Fesyen baggy pant yang diserabuti tali-temali turut mencemari pemandangan. Fungsi tali ialah untuk mengikat. Tapi saya tak tahu apa yang nak diikat oleh si pemakai pada seluar baggy bertali ini. Poket besar yang banyak dengan dihiasi tali-temali yang tiada fungsi adalah jenayah fesyen yang wajib dibenteras hingga ke akar umbi. Berbeza dengan kasut budak kecik yang ber-hon – tuit tuit tuit – walaupun memekak, tapi ia boleh dianggap sebagai memenuhi tuntutan fungsi keselamatan dan bunyian itu wajar dikira sebagai sebahagian dari estetika kasut tersebut. Dalam prinsip estetika, ciptaan berlebih-lebih, atau terlalu kurang, tak praktikal atau tiada fungsi dikira sebagai teruk. Kesempurnaan sesuatu itu adalah berkadaraan dan sederhana, kemudian baru-lah boleh cerita pasal kecantikan.

Dekad 1990-an kita dihidangkan dengan kehadiran sekumpulan gadis dungu yang menggelarkan diri mereka, ‘Spice Girls.’ Mereka memecahkan kebuntuan fesyen remaja perempuan waktu itu dengan gaya fesyen yang berwarna-warni, striking, seluar bell-bottom dan terompah bertapak setebal bongkah batu bata. Bagi saya, ini tak lebih sekadar satu lagi terjemahan budaya ‘pop.’ Maka ramailah para remaja perempuan termasuk di negara ini yang turut sama terjebak membontoti cara berpakaian ala gadis pedas ini. Mereka seolah-olah menganuti fahaman cult yang menjadikan mereka percaya permukaan bumi yang mereka diami dilitupi paku-paku karat.

Namun, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. (bak kata siapa entah?) Kasut serupa terompah setebal batu bata yang digayakan oleh para gadis waktu itu begitu menyesakkan pandangan mata saya. Betapa sesaknya sehingga saya percaya mereka yang memakai kasut sebegitu seperti hidup dalam seksaan zahiriah. Kaki mereka seperti mengalami ketumbuhan yang menyebabkan mereka terpaksa berjalan dengan terencut-encut kerana mengheret kaki yang berat. Atau, seperti banduan yang kakinya dirantai oleh bebola besi. Secara tak langsung, disebabkan fesyen bodoh ini, estetika pergerakan mereka juga kelihatan hodoh. Saya fikir, daripada memakai kasut dengan tapak setebal batu bata, lebih baik mereka memakai kasut ‘Bata.’ Ia lebih ringan, tahan lama, malah lebih senonoh!

Tak dilupakan juga, but ‘Timberland’ yang sering digayakan oleh sesetengah pemuda perasan ‘hip-hop’ di sini juga sebenarnya tak responsif terhadap iklim tropika tempatan. Apatah lagi, but itu dipakai di bandar seperti Kuala Lumpur yang bercuaca panas. But seperti itu jika digayakan di kota negara empat musim seperti New York baru sesuai. Di negara empat musim, pemakaian but kulit asalnya bertujuan menyerap haba, selain untuk kegunaan lasak. Ha, inilah sains! Kalau di sini, selain kegunaan pasukan keselamatan seperti tentera, atau di kilang dan tapak pembinaan, but kulit, Timberland misalnya, hanya sesuai untuk pergi berkebun, menoreh getah atau mengait kelapa sawit, sebagai alternatif kepada kasut lagen. Namun disebabkan taksub mengikut setia trend semasa, maka para trendies sudi mengabaikan aspek seni dan sains.

Kasut tumit tinggi yang menyebabkan postur tapak kaki si pemakai terlipat dekat 90 darjah memang gila! Saya tak peduli sama ada rekaan itu nak terlipat ke, bergulung ke, berpintal ke, tapi bila rekaan itu membabitkan perubahan pada anggota badan dalam posisi yang menyeksakan, rekaan itu wajar dituduh sebagai ‘ganas.’ Si pemakai tanpa disedari telah diseksa atas nama ‘fesyen.’ Pernah terbaca di akhbar, pemakaian kasut tumit tinggi meninggalkan resiko sakit lutut dan maskular kerana postur badan yang dipaksa untuk condong sedikit ke depan. Sayang, kerana takut ketinggalan, demi fesyen, mereka rela dibuli oleh fesyen dan menafikan keselesaan diri sendiri. Tapi jikalau yang memakainya itu berasa nikmat, apa boleh buat, kalau dia memang seorang sadomasokis?

Kasut kulit zaman sekarang turut mengecewakan dari aspek kualiti. Kebanyakannya diperbuat dari guinea leather aka kulit sintetik, yakni kulit campuran fiber. Berlainan dengan kasut kulit keluaran 1960-an misalnya, ia diperbuat dari kulit tulen yang lembut dan tahan lasak. Saya sendiri amat meminati kasut-kasut vintage ini. Kulit tulen yang sekeping itu, oh, sangat pure. Ia tak dicemari bahan-bahan campuran seperti makanan yang direnjis dengan Ajinamoto. Kasut kulit campuran menebalkan, seterusnya menambah berat pada kasut. Ini sebenarnya taktik kapitalis kasut mengurangkan kos produksi dan kualiti. Bila kualiti rendah, ia mudah rosak dan kita perlu menggantikannya dengan kasut yang baru. Tapi pada iklan, diheboh pula tentang bermacam-macam kualiti palsu. Selain mudah rosak, kasut seperti ini juga meninggalkan bahang kepanasan pada kaki. Hey, pure = quality = beauty. Ingat tu!

Dalam masa yang sama, pemakaian selipar dan sandal sangat sesuai di sini. Ia sangat responsif terhadap iklim tempatan. Kaki yang lebih terdedah berpeluang membebaskan haba panas tropika. Mengapa perlu serap haba? Jika kasut, paling sesuai ialah kasut yang ringan. Ini juga sains. Sebabnya, kita memerlukan tenaga lebih untuk mengheret kasut yang berat dan ini pasti akan mengundang lebih banyak proses pembebasan haba dan peluh akibat keadaan suhu yang tinggi. Haba dan peluh tadi memerlukan rongga-rongga udara untuk membebaskan bau yang bakal terhasil. Jika tidak, ia akan terperap di kaki yang terkepung dalam kasut tadi. Jadi khidmat stokin amat diperlukan untuk menyerap haba dan peluh dari kaki. Sebab itu juga penggunaan kasut yang berat ini sangat cemerlang, gemilang dan terbilang dalam meninggalkan bau busuk, sebusuk telur tembelang pada tapak kaki. Tak percaya, cuba try test and cium. Saya dah cuba dah. Best...

Ini amat berbeza andai kita memakai kasut yang lebih ringan, kurang tenaga diperlukan. Jadi, kita lebih bebas menghayunkan kaki ketika berjalan dan lebih fleksibel seperti saat tiba-tiba terpaksa twist kaki untuk mengelak dari terpijak tahi anjing. Pergerakan kaki yang lancar dijamin menghasilkan estetika pergerakan yang kelihatan sempurna dan lebih pantas. Lebih ringan juga sama dengan lebih selesa. Pergerakan kaki yang lebih pantas dan fleksibel pula akan menyebabkan perjalanan darah yang lebih baik. Pendek kata, kasut yang lebih ringan mampu memberi kesan positif terhadap kesihatan. Tanya la tok sami yang kuat berjalan tu, kasut macam mana yang mereka pakai. Kalau mereka ada lebih, tanya lagi, "nak satu boleh?"


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Isnin, Disember 28, 2009

Keganasan Dalam Komedi

Saya sentiasa ambil serius dengan apa-apa yang dilabelkan sebagai “komedi”. Walaupun ironinya di negara ini, label komedi ini sinonim dengan ‘filem tak serius’. Senang kata filem komedi perlu senang, mudah, tidak perlu berfikir, seronok, gila-gila dan segera (katanya). Tapi apa yang saya nampak selama ini majoritinya hanyalah kebebalan, kebengapan, kegelabahan, dan kebingitan.

Dalam filem komedi tempatan, jika ada watak nerd, watak nerd ini selalunya dipaparkan dengan begitu hodoh sekali. Akira Kurosawa sudah langgar archetype samurai dengan sifat pemalas, kuat tidur, pengotor dll. P. Ramlee pun bikin perkara yang sama dengan archetype pendekar dalam Pendekar Bujang Lapok (contohnya). Kenapa tidak archetypenerd bangang’ ini dilanggar? Sebab saya yakin pemahaman sutradara (yang tidak membaca buku) terhadap golongan nerd selalunya teruk, asyik-asyik bodoh-bodoh alang. Atau sebenarnya kewujudan watak nerd ini adalah umpama ‘village idiot’, cuma dalam konteks “urban” (yang disalahtafsir sebagai bandar)? Maka teruskanlah gaya komedi konservatif you all itu.

Dengan masyarakat kita yang majoritinya sifar empati (seperti langgar binatang dengan kereta tanpa rasa apa-apa), kebodohan sesuatu karakter itu adalah nikmat bagi mereka yang menonton. Ini membuaikan rasa bahawa yang menonton itu relatifnya bijak. Sebab itu filem-filem komedi ‘lawak bodoh’ atau ‘lawak kostum’ sentiasa mendapat tempat di hati audiens/konsumer tegar kita.

Malah masyarakat kita juga sentiasa terkejar-kejar mahu cepat. Dengan itu lawak-lawak itu perlu digelakkan secepat mungkin di dalam sinepleks. Tiada aftertaste. Ini berbeza dengan filem terakhir yang saya tonton di panggung iaitu The Inglourious Basterds (2009). Sewaktu menonton memang wujud macam-macam feel termasuk kelakar itu sendiri, tetapi selepas keluar panggung (sehingga sekarang), bila difikirkan kembali, filem ini sebenarnya benar-benar lawak. (Sembang pasal tikus dan tupai?!) Ini kerana Quentin Tarantino ada sense of humor, seangkatan dengan Lars Von Trier, Werner Herzog dll. Tidak seperti mereka yang seangkatan Andrey Tarkovsky yang jauh lebih serius. Serius yang saya maksudkan di sini adalah dalam erti kata sebenar (bukannya yang poyo serius).

Baru-baru ini saya ada tertonton filem Antoo Fighter di kaca televisyen, dan Ajami Hashim ada mengaitkan/menyamakan filem ini dengan filem-filem Mat Sentol. Serius, ini ralat serius. Mat Sentol ada sense of humor, punya taste, hey ‘telefon dalam peti ais’, sultan di usung ke hulu ke hilir, semua ini ada makna. Menyamakan Antoo Fighter dengan filem-filem Mat Sentol ibarat menyamakan ia dengan filem-filem Mamat Khalid. Ini kerana sense of humor Mat Sentol dan Mamat Khalid dekat.

Kedua-duanya bedal/hentam dalam skala setempat (malah filem-filem komedi P. Ramlee pun). Bagaimana bijaknya Mamat Khalid menembusi LPF dalam Kala Malam Bulan Mengambang (2008) dengan Kuswadinata sepenuh-penuh skrin menunjukkan jari hantu ‘fuck you!’. Cuma soalnya kepada siapa? Saya tahu kepada siapa syot ini ditujukan, sebab Kuswadinata datang berpakaian lengkap macam pendekar Melayu, tetapi sebenarnya hampeh tak boleh diharap. Haha.

Walaupun kita tahu sense of humor seseorang individu itu, tetapi akhirnya ia bergantung kepada perlaksanaan sesebuah filem tersebut, samada berkesan atau tidak kepada diri masing-masing. Saya suka Man Laksa (2006) dan Kala Malam Bulan Mengambang, tetapi benci Zombi Kampung Pisang (2007). Kadang-kadang ada juga filem yang dilaksanakan dengan begitu bergaya sekali, tetapi idea yang dibawa songsang, (satu hal pula). Contohnya Forest Gump (1994) dan Papadom (2009).

Pokoknya unsur humor ini berbalik kepada intelektualiti. Filem yang menghina intelektualiti seangkatan Antoo Fighter haram disamakan dengan filem-filem yang meraikan intelektualiti. Semestinya di antaranya terdapat filem-filem yang tenggelam timbul a.k.a mahu selamat. Filem-filem jenis ini kebiasaannya adalah imitasi eh silap, peniruan dan pengajukan gaya komedi dari luar semata-mata. Filem-filem jenis ini kebiasaannya dikaburkan dengan tangkapan imej-imej “cantik”. Filem-filem jenis ini selalunya saya humban sekali dengan filem-filem yang menghina intelektualiti.

Selain filem, saya juga selalunya sakit hati apabila tertonton rancangan-rancangan komedi tempatan di kaca televisyen. Kebanyakannya kering kontang. Saya boleh terima jenaka prank Just For Laugh Gags atau pun Candid Camera, ia mewujudkan situasi yang kelakar. Kadang-kadang yang buat ia kelakar adalah reaksi orang ramai yang melihat situasi tersebut.

Ini berlawanan dengan rancangan prank vernakular seperti Bang Bang Boom dan Wakenabeb. Dajal orang semata-mata (tanpa idea yang bijak) dengan metod yang ganas, malah lebih ganas dari filem Salo (1975), (Salo punya idea dan ianya fiksyen). Hanya mereka yang sifar empati dapat menikmati rancangan sifar idea sebegini.

Saya pernah tertonton di mana seorang lelaki biasa (bukan selebriti) di’lawak’kan kerana telah bersubahat mengedar dadah entah berapa kilo. Berbelas-belas pseudo-polis mengepung, membuli dan memalukan lelaki tersebut. Ianya bukan dilakonkan (walaupun ada prank yang dilakonkan). Mereka yang sifar empati pasti menganggap situasi ini – lelaki yang sedang cuak dan ketakutan – kelakar, terutamanya pengacara rancangan ini yang rasa diri mereka cool (bluek!). Bagi saya ini adalah keganasan yang dilakukan ke atas orang awam.

Selalunya sesuatu perkara yang dibawa masuk ke negara ini (seperti rancangan prank) kehilangan idea dan jiwanya. Terbaru, flash mob. Saya tahu dan berminat dengan flash mob ini sejak 2000+. Bagi saya ia adalah gabungan prank (practical joke), performance art dan demonstrasi jalanan. Flash mob terawal yang saya ketahui melalui internet dulu berupa menjadi patung (tidak bergerak) ataupun berbaring selama 10 saat di tempat awam pada masa yang ditetapkan.

Ya, daripada meraikan keganasan menggunakan komedi, lebih baik komedi digunakan untuk menentang keganasan. Saya dan Dewa pernah berborak tentang betapa seriusnya demonstrasi jalanan tempatan. Melaungkan slogan, nama Tuhan, banner, ataupun t-shirt dengan warna yang sama. Ianya tidak cukup ikonik, tidak memberikan impak dan membosankan. Kenapa tidak puluhan ribu demonstran jalanan ini memakai topeng plastik Guy Fawkes macam filem V for Vendetta (2005)? Pertama, ianya lebih seronok dan kelakar. Kedua, ianya praktikal dalam menyembunyikan identiti serta mengurangkan kesan gas pemedih mata dan air berasid kepada kulit muka. Ketiga, ia sendiri adalah satu kenyataan jelas, simbolik dan pasti mendapat liputan yang meluas di seluruh dunia terutamanya bilangan hit yang tinggi di Youtube. Ini baru menarik, menyeronokkan dan hebat!

Cuma kepada yang bawa anak kecil, adik-beradik ataupun makwe, dalam keadaan kelam-kabut anda memang takkan jumpa kembali mereka yang tersayang ketika itu, sebab semua muka sama.


Ridhwan Saidi

Isnin, Disember 21, 2009

Komedi Dalam Keganasan

Ingatan saya masih segar, lebih 15 tahun lalu saya dan abang saya berkongsi kegemaran menonton rancangan gusti WWF (World Wrestling Faderation) bersama tok saya. Rancangan bersiaran setiap petang Sabtu, 6.30, melalui siaran televisyen Singapura. Apa yang menyeronokkan bukannya aksi-aksi ganas yang dilihat dengan penuh minat. Kecuali tok saya yang agak passionate, kami tidak. Kami hanya memandang rancangan itu tak lebih sekadar hiburan kosong yang melawakkan. Itulah sebabnya mengapa saya secara peribadi menyukai rancangan gusti pada waktu itu. Aksi-aksi ganas seperti terjun tiruk untuk menghentak lawan, humban lawan ke luar gelanggang, jotos kepala lawan bertubi-tubi, hempuk kepala lawan dengan kerusi lipat, serkup kepala dengan tong sampah, sepak, terajang, henyak, tenyeh, sekeh, lempang dan sebagainya bagi saya tak lebih sekadar lawak. Saya tak merasai unsur ‘ganas’ di sebalik paparan-pararan ganas di skrin televisyen itu. Lagipun kenyataannya, bukan saya yang berasa sakit.

Sekarang saya sudah menjatuhkan talak tiga terhadap rancangan gusti. Bukannya apa, bosan. Tapi minat beralih secara serius menonton filem pula. Bukannya serius sangat pun. Setidak-tidaknya, saya bertemu dengan nikmat estetika keganasan bernaratif dalam pelbagai bentuk, gaya dan warna yang jauh lebih menarik. Penyampaian estetika ganas dalam filem yang saya maksudkan adalah seperti muka ditinju bertubi-tubi sehingga berlumuran darah yang boleh dilihat dengan berkesan dalam filem seperti ‘Raging Bull’ (1980). Secara serius, ia mesti dihasilkan seganas mungkin dengan mewujudkan percikan darah bagi menandakan betapa kuatnya tumbukan tersebut dan bagi menimbulkan kesan sensasi keganasan buat yang menonton. Satu lagi contoh, kepala dibedil dengan pump gun sehingga pecah bersepai. Letupan pump gun wajib kuat berdentum dan berapi dan berasap dan kepala yang dihentam wajib berlumuran darah dan ditunjukkan serpihan-serpihan kepala yang mengerikan.

Ekspresi ganas seperti ini mesti dikendalikan dengan bersungguh-sungguh tanpa tolak-ansur hanya kerana mahu dianggap ‘tak seberapa ganas jika dibandingkan dengan…’ atau ‘…tak meminggirkan ciri-ciri ketimuran.’ Jika tidak, babak-babak ganas tadi akan bertukar menjadi lawak bangang. Bunyian tembakan pistol yang tiada beza dengan ledakan puluru getah atau tembakan puluru yang mengenai badan kereta namun bahagian yang terkena tembakan itu tak sompek pasti akan mengundang rasa kehairanan sekaligus lawak yang bukan kepalang. Ia umpama menggantikan pump gun dengan batang ubi kayu.

Justeru kita juga lazim mendengar cakap-cakap di media bercetak mahupun elektronik di negara ini yang cukup pantang dengan elemen keganasan dalam filem. Cakap-cakap seperti ini juga tak asing di media-media luar negara. Tak dinafikan, apa yang dilihat di skrin itu sungguh ganas seadanya. Lebih-lebih lagi jika babak ganas itu dilihat dari filem-filem Barat terutamanya Hollywood. Ruginya penonton tempatan menjadi mangsa menonton filem yang telah dikerat-kerat atau filem bernuansa ganas tadi tak ditayangkan terus atas alasan-alasan moral. Di sini, perspektif penonton cuba diolah dengan mensabitkan dunia Barat dengan ‘keganasan.’ Malangnya mereka yang bersetuju dengan pandangan tersebut barangkali terlupa yang keganasan bukan milik mutlak dunia Barat. Kenyataannya, unsur keganasan bersepah di mana-mana. Keganasan seperti rasa cinta, tak mengenal sempadan geografi. Tak percaya, buka televisyen anda sekarang!

Kita tak perlukan medium filem untuk bersuai-kenal dengan keganasan kerana keganasan sebenar berlaku di dunia nyata. Keganasan wujud di merata tempat dengan punca-punca tertentu yang boleh dikaji secara terperinci jika kita membuat kajian sosiologi di sesuatu tempat yang berlakunya keganasan tadi. Ke-tidak-seimbangan ekonomi antara faktor utama yang merangsang psikologi seseorang ke arah potensi perilaku-perilaku ganas. Hukum “survival of the fittest?” Very likely! Menonton rancangan gusti di rumah dalam keadaan selesa dan santai tak mungkin mengakibatkan sebarang perubahan sikap mendadak untuk berperilaku ganas. Saya meletakkan diri saya sebagai bukti. Begitu juga dengan mendengar muzik ‘ganas’, ia bukan alasan munasabah untuk berperangai ganas tak tentu hala. Melainkan, anda memang sangat kebudak-budakan dengan hingus masih meleleh-leleh tanda anda masih gagal berfikir secara matang dan rasional.

Hakikatnya, keganasan yang tersidai di bingkai empat segi filem adalah salah satu hukum estetika penting dalam seni perfileman. Paparan-paparan keganasan tadi bertujuan menyampaikan makna selain menyambung nyawa naratif sesebuah filem. Ia serupa dengan elemen seram, lawak, seks dll. Paling penting, estetika ganas dalam filem lebih terkesan lantaran imej-imej ganas itu boleh bergerak dan berbunyi yang langsung menjadikannya lebih real. Dua kekurangannya, ia tak boleh dihidu dan dijamah. Ini berbeza dengan lukisan imej ganas di atas kanvas misalnya, walau macam mana ganas gambaran yang dilukis, ianya tetap bersifat pegun. Sensasi keganasan yang statik dan pasif kurang menarik dan berkesan jika nak dibandingkan dengan paparan keganasan menerusi medium filem.

Setiap babak ganas tadi dilihat mengikut perspektif yang berbeza-beza. Perbezaan perspektif pandangan terhasil berdasarkan permikiran individu yang melihatnya. Pandangan paling umum berkenaan adegan-adegan ganas dalam filem adalah adegan ganas bakal meninggalkan kesan-kesan negatif kepada penonton. Adegan ini tak patut ditayangkan di skrin lantaran imej-imejnya yang tak senonoh itu bakal mempengaruhi orang yang menontonnya berperilaku serupa seperti dalam adegan ganas yang telah ditonton. Jadi, kesimpulan mentah yang digoreng, adegan ganas tadi akan merosakkan moral masyarakat dan ianya perlu diblok dari dipertontonkan kepada khalayak umum.

Adegan-adegan ganas sebenarnya mempunyai unsur komedi yang terselit di celah minda pra-sedar. Jika kita terus hanyut dengan imej-imej ganas terbabit, minda pra-sedar kita pada dasarnya telah ditawan oleh imej-imej itu. Kita insan yang lemah bila menyerahkan kesedaran minda untuk ditakluki oleh filem. Maka itu timbulnya kemungkinan-kemungkinan kita turut menjejaki perbuatan-perbuatan yang dilihat dari sesebuah filem itu kerana minda telah ditakluk oleh imej. Kesannya, ia menyebabkan kita melihat aksi-aksi ganas itu dari perspektif yang begitu serius. Bila aksi ganas terbabit dilihat secara serius, kesudahannya kita menuduh filem ganas itu mampu mendatangkan kesan negatif.

Dengan meraikan perbezaan idea dan pendapat tanpa berpura-pura ‘liberal,’ dan bukan menghentam peribadi seseorang tanpa hujung pangkal dan sebarang bukti saheh lagi tepat secara hingus-hingusan, saya memilih untuk memandang dari sisi yang berbeza dari pandangan umum tadi. Secara peribadi, tak semua babak-babak ganas dalam filem perlu dipandang dengan terlalu serius. Asasnya, kita wajar menyedari yang itu semua hanyalah lakonan semata-mata. Bagi saya, daripada imej-imej ganas ini dilihat sebagai ‘ganas’, ada baiknya ia ditukar-ganti sebagai komedi. Maka saya memilih untuk melihat keganasan dalam filem sebagai salah satu elemen yang mampu menimbulkan gelak ketawa.

Sepertimana perihalnya waktu saya menonton filem ‘Natural Born Killers’ (1994), walaupun sarat dengan imej-imej ganas, namun filem itu saya tonton diiringi gelak ketawa. ‘From Dusk Till Dawn’ (1996) pula antara filem aksi separa seram yang saya anggap sebagai komedi. Vampire yang mengamuk langsung tak menakutkan sebaliknya melawakkan. Saya tak boleh lupa watak “Sex Machine” yang cuba menutup mulutnya kerana giginya mula ditumbuhi taring ketika dia perlahan-lahan berubah menjadi vampire. Memang ia filem yang mengarut tapi, hei, that’s a real movie la! Pertama kali melihat babak kulit kepala dihiris dan disiat seperti menyiang ikan dalam ‘Inglourious Basterds’ juga tak menimbulkan rasa ‘eeee…’ sebaliknya saya terus tertawa. Adegan seperti itu tak mungkin dapat saya nikmati dengan seronok jika ia berlaku betul-betul di depan mata saya, atau imejnya sekadar terhampar di atas kanvas. Jadi filem memberi saya peluang emas untuk ketawa melihat babak sebegitu kerana saya sedar ia bukan ‘realiti.’ Dalam kata lain, medium filem memberi saya ruang untuk melihat keganasan dalam perspektif yang berbeza tanpa berdepan resiko dituduh sebagai tak berperi kemanusiaan.

Namun, ia tak terhad kepada elemen ganas sahaja, elemen seram dan seks juga berupaya menimbulkan kesan lawak jenaka. Penontonan filem tak semestinya dilihat secara serius dalam segenap segi. Dan ‘tak serius’ ini pula tak semestinya diperangkap oleh filem bercorak komedi. Ia berbalik semula kepada seni penontonan. Kalau sekelompok masyarakat itu pasif minda dan kering sense of humor, bukan keganjilan jika filem selain yang bukan genre komedi terus ditangkap dalam perspektif yang terlampau keseriusannya. Jadi, semua genre telah dibekukan kepada dua, serius dan tak serius. Komedi tak serius, yang lain-lain itu semuanya serius. Lalu, kepada yang serius mahu meninggalkan otak di luar sinema, mereka akan memilih filem ‘tak serius’ mungkin tak perlu risau minda dipengaruhi oleh elemen-elemen negatif yang bakal terhidang dari filem-filem yang serius termasuk filem-filem bercorak ganas. Oleh itu, kepada sesiapa yang stim ketika menonton ‘Bruno,’ percayalah, anda juga terlalu serius orangnya.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Sabtu, Disember 19, 2009

Hiburan Hati dan Minda

"Leave your brain at home and just enjoy the fun."
Bagi aku serius ayat ini pelik. Bagaimana mahu capai tahap ‘fun’ tanpa otak? Keseronokan apa yang dimaksudkan di sini? Malah dalam masturbasi pun kita perlukan tangan dan otak. Tangan berfungsi untuk merangsang sensasi fizikal dengan alunan gerakan yang konsisten. Inikan pula aktiviti menonton filem yang secara harfiahnya pasif, dengan tubuh yang kaku terperap di dalam gelap, serta otak yang sudah ditinggalkan di rumah – apa lagi yang tinggal?

Maka bangkitlah zombie, mayat hidup, bangkai bernyawa dll.


Ridhwan Saidi

Ahad, Disember 13, 2009

Kualiti dan Personaliti

Apabila aku mahu menghargai sesuatu karya seni seperti filem misalnya, aku percaya ada dua kaedah yang menentukan sesebuah apresiasi itu: 1. Kualiti dan 2. Personaliti.

Apabila aku menonton sesebuah filem, aku nilai kualiti filemnya terlebih dulu. Jika kualiti filem yang dipaparkan menarik, maka menariklah filem itu. Jika tidak, maaf kata, filem itu teruk. Mengabaikan personaliti pelakunya (sutradara), dengan itu ‘seeing is believing’.

Ada satu lagi kaedah apresiasi yang lebih common, iaitu dengan menilai personaliti pelakunya terlebih dulu. Kualiti filem-filemnya belakang kira. Jika personaliti pelakunya menarik, maka menariklah filem itu. Jika tidak, maka tidaklah. Mengabaikan kualiti filem tersebut, dengan itu ‘believing is seeing’.

Aku percaya jikalau kaedah kedua digunakan – menilai personaliti – akan wujud preconceived notion, sentimen dan pra-konsep. Ialah, semasa menilai, bukannya paparan dan kualiti filem itu yang dinilai, tetapi wajah sutradara itu yang dibayangkan. Apa kejadahnya?

Lebih teruk, ia menjadi konsep fan base yang tuli. Sokong personaliti, bukannya kualiti. Ini tak ubah seperti rancangan realiti yang menagih undian sms penonton. Bukannya bebas mengundi atas nama kualiti, sebaliknya mengundi membuta tuli pasal personaliti. Dikongkong oleh sentimen. Tidak jujur. Anti-kebenaran.

Seperti “kita orang Johor kena support/undi penyanyi Johor”, atau “kita orang Semenanjung jangan kasi can orang Sabah Sarawak menang”, atau “kita orang Islam jangan bagi Kristian menang”, atau “kita orang Melayu jangan bagi Cina menang”, atau atau atau. Sesungguhnya mereka ini adalah dikalangan orang yang mindanya terpenjara.

Oleh itu, bebaskan minda. Abaikan pengarah, nilai filem seadanya. Melalui kualiti filem, iaitu manifestasi fikirasa pengarah itu, baru kita ketemui personaliti ulung seseorang pengarah itu. Karisma? Gaya berpakaian? Cara percakapan? Itu semua lakonan. Hey, pengarah pun berlakon di pentas dunia ini.


Ridhwan Saidi