Isnin, Oktober 31, 2022

Tentang ‘Jatuh Sakit, Jatuh Cinta: Two Types of Falling’

Proses menulis setiap individu berbeza dan dalam konteks hidup saya sendiri ia berubah dari satu projek ke satu projek. Sewaktu saya tulis 13 skrip playlet Teater Modular, rata-rata ia draf pertama dan diturunkan terus sewaktu ia pertama kali ditaip. Tiada suntingan drastik dibuat. Ini hanya boleh terjadi bila sesuatu karya itu telah saya fikir dan siap-siap sunting di dalam kepala. Yang bawa maksud sebelum ia ditaip di komputer, telah saya peram dan fikirkan satu-satu naskah skrip playlet ini. Walau bagaimanapun saya cuma mampu fikirkan keseluruhan idea ini dalam skala playlet. Jika lebih panjang seperti teater penuh, atau novel, ia belum pernah dicuba. Saya tak ada ingatan yang cukup kuat untuk susun keseluruhan cerita di dalam kepala.

Pabila idea ini diperam dan disusun di dalam kepala, ia bermaksud saya juga turut menceritakan ia kepada mereka yang di sekitar saya, untuk lihat dan rasa reaksi mereka. Dan dari situ saya akan sunting idea ini lagi di dalam kepala. Bermakna bila saya kata ia diperam dalam kepala, ia tak sekadar di dalam kepala tetapi turut dikongsikan dan diceritakan kepada orang lain, sebelum diproses kembali di dalam kepala. Proses ini berlanjutan sehinggalah saya rasa ia sudah cukup masak, dan apa yang saya perlukan ialah momen yang paling selesa untuk duduk dan taip ditemani secawan kopi.
Tapi kini dengan naskah Jatuh Sakit, Jatuh Cinta: Two Types of Falling ia proses yang agak berbeza. Projek ini lebih berasaskan urgency, yang bawa maksud saya perlu menulis sewaktu saya tak patut menulis. Tanpa inspirasi, atau kerja-kerja berfikir di dalam kepala, tapi terpaksa menulis atas dasar deadline. Asalnya ia bermula sebagai proposal, dan saya taip di hari terakhir setelah beberapa hari cuba memikirkan apa yang ingin dibuat tetapi masih tiada idea.

Sebulan kemudian proposal saya diterima, lalu saya sedar bahawa saya perlu kerjakan idea kasar yang telah ditaip secara semberono tadi.

Hari pertama latihan bersama Roshafiq memerlukan saya tulis sesuatu, maka beberapa jam sebelum Roshafiq tiba, saya tulis suatu monolog. Sekali lagi atas dasar deadline, dan tak difikirkan secara mendalam. Pabila Roshafiq tiba, kita buat sesi bacaan dan antara perasaan yang kita dapat: ia hampir bikin cringe. Saya sentiasa appreciate sesi bacaan skrip sebab untuk penulis ia mendedahkan sama ada ayat-ayat yang kita tulis tu berkesan atau tak, dan dalam kes ni ia belum menjadi.

Saya sentiasa percaya semua orang boleh menulis, dan tulisan yang teruk boleh di-refine untuk jadi lebih baik. Bukan buang dan tulis baru, sebaliknya potensi tulisan yang teruk tadi dicari. Saya potong beberapa ayat yang tak enak, terjemah perkataan Inggeris yang menggangu, dan ubah susunan perenggan untuk dapatkan flow dan emosi yang berbeza.

Minggu seterusnya skrip yang telah dibaikpulih ini dibaca, dan Archana di sebelah dapat dengar dan relate dengan emosi yang muncul. Saya jadi senang hati, sebab kini monolog itu sudah menjadi dan boleh mula dihafal Roshafiq sebab proses seterusnya adalah untuk cari gerakan di atas pentas bersama Lim Paik Yin dan Nurul Aizam.

Ia ambil dua sesi latihan (selang seminggu) untuk saya detect apa yang jadi dan apa yang tak dalam gerakan yang bakal dilakukan mereka. Dari sini saya tambahbaik naskah teater pendek ini dengan stage direction. Biasanya saya tak tulis stage direction yang khusus dalam naskah-naskah teater terdahulu (kecuali aksi penting dalam naratif) sebab saya fikir setiap director patut ada usaha keras dalam menterjemahkan situasi-situasi yang ada. Tapi dalam kes ni, ia ditulis untuk saya sendiri ingat (serta para performer).

Bukan siap-siap dari kepala turun ke kertas, kali ini ia terbentuk dari lantai latihan sebelum terungkap di atas kertas. Fikiran tak terjadi dalam kepala sebaliknya ia berlaku di luar kepala secara berjemaah.


PASCA PEMENTASAN

‘Jatuh Sakit, Jatuh Cinta: Two Types of Falling’ di DPAC merupakan live theatre performance yang dibikin selepas hampir 2 tahun. Kali terakhir saya bikin teater merupakan ‘Teater Normcore: Masam Manis’ di KongsiKL pada bulan Mac 2020. Sebelum itu ia banyak ambil bentuk filem dan video.

Walaupun saya rasa format yang saya gunakan sepanjang pandemik lebih kurang sama, iaitu apa yang dipanggil ‘devising’ (jika di Singapura ia sudah outdated, dan di Malaysia ia ada konotasi negatif di mana karya-karya yang terhasil selalunya tak masak dan main lepas tangan, kerana tiada satu sosok yang mahu ambil tanggungjawab selepas sesuatu karya yang hancur dipersembahkan. Ia ibarat jenayah yang dilakukan secara majoriti, dan lalu dilupakan—amnesia berjemaah), saya dapati ia lebih intens dalam bentuk teater berbanding filem atau video. Mungkin saya turut berada di dalam ruang yang sama bersama audiens untuk mengalaminya. Untuk lihat dan dengar sesuatu yang hidup di depan mata dan telinga kita.
Saya ambil serius dengan perkataan ‘devising’ ini sepertimana saya ambil serius dengan perkataan ‘cinta’. Ia cenderung disalaherti dan disalahguna, dan di-simplified ke takah dungu oleh budaya popular dan kefahaman umum, tapi tak bermakna saya tak patut menceburkan diri ke dalam kancah yang penuh pancaroba ini. “Aku tak minat benda cintan-cintun ni,” kata seseorang. Bagi saya angau atau mabuk asmara masih suatu perasaan yang profound jika ditekuni dan digarap dengan betul.

Empat elemen yang bergerak selari dalam karya 20 minit ini merupakan lakonan/monolog dan kata-kata oleh Roshafiq Roslee sebagai ‘Rahim Mustafa’ (nama yang kita beri sebagai suatu karakter fiksyen), gerakan tubuh dan aksi fizikal oleh Lim Paik Yin, rekaan bunyi secara langsung oleh Nurul Aizam dan projection teks/video non-fiksyen oleh saya.

Macam struktur muzik, sebagai director saya suka compose alunan empat elemen ini untuk ada pasang surutnya. Ibarat kugiran muzik, Roshafiq bertindak sebagai frontman (yang secara literal mendapat spotlight), tapi kita tak boleh nafikan kepentingan rentak drum (jatuh tubuh Paik Yin), bass (bunyi mesin sintesis dan field recording Aizam) serta gitar (pancaran visual dan teks karangan saya) terhadap penghasilan muzik yang berpadu untuk sampaikan suatu perasaan yang diingini. Meski ini cuma analogi, ideanya adalah untuk elak dari diri masing-masing melakukan monolog berasingan dengan segmen terpecah-pecah (seperti kebanyakan devise/experimental play yang saya tonton di negara ini).
Dua maklumbalas yang saya terima dari pementasan ini merupakan rasa tersentuh, dan penggunaan pentas yang berlapis. Kedua-duanya menarik pada saya sebab sewaktu menggarap ia tak difikirkan sangat. Saya tahu karya seni yang baik akan buat orang rasa tersentuh, dan dengan kesedaran ini biasanya saya tak nak letak harapan yang tinggi. Buat piece ini saya sekadar berharap ada orang akan rasa ia sedikit lucu di awal separuh masa pertama (yang lebih presentation-mode dan rasional), sebelum ia menjurus ke emosi yang lebih peribadi dengan nostagia dalam perhubungan. Jika ada yang tersentuh saya bersyukur, jika tak pun tak apa.

Pentas yang berlapis ini kerap dikomen sepanjang saya bikin teater dan tak sangka ia masih ada. Saya fikir ia menjadi ketara mungkin sebab play/piece lain kurang lapisan pentas (jika ada ia terlalu literal?) lalu membuatkan kerja-kerja pentas saya lebih ketara depth of field-nya. Bila difikirkan sekarang, mungkin dengan asas fotografi ia buat audiens perlu shift perspektif mata (dengan aperture besar, dengan bokeh) untuk lihat elemen-elemen yang ada di atas pentas. Dalam rakaman video kita boleh nampak semua lapis, tapi mata audiens ketika ia sedang berlangsung perlu pilih elemen yang mau difokus—meski tubuh audiens duduk pasif, tapi mata perlu aktif.

Ini pengalaman dewan proscenium konvensional pertama saya.

Dua quote di awal pementasan oleh bell hooks dan Maya Angelou, saya ambil inspirasi daripada hujung filem Do The Right Thing (1989) oleh Spike Lee (yang menemukan quote Martin Luther King Jr. dan Malcom X). Awalnya saya cuma bubuh quote bell hooks, dan saya dapati ia menjadi suatu statement, dan apa yang berlaku di atas pentas akan menjurus ke perbuatan abuse itu (kita rasa sedih dengan watak Paik Yin). Lalu saya fikir kita perlu ada dua quote dengan essense yang berlawanan dan contradict (sebab cinta memang kompleks!), dan di sini datang quote Maya Angelou tentang cinta. Saya puas hati dengan tindakan tambah quote ini sebab ia bikin graviti dalam piece ini kembali tak stabil sepertimana Cinta boleh buat orang tak stabil.


Ridhwan Saidi