Rabu, Januari 08, 2020

Untuk Name Drop Nama Pengkarya Tanpa Karyanya

Setiap kali saya baca artikel atau dengar podcast tentang apresiasi teater dan sastera di surat khabar atau arus perdana, jika polemik tentang karya terkini dan kontemporari ada, yang biasa dibuat ialah nama-nama pengkarya di-name drop tersusun begitu saja, sebelum karya kesemua mereka ini digeneralisasi secara berjemaah (dan selalunya secara cetek). Sebagai contoh: “Kita di dekad 2010-2019 ada ramai pengkarya dan penulis muda yang bagus-bagus seperti X, Y, dan Z. Sesungguhnya mereka inilah penyambung tradisi kesusasteraan kita!”

Nampak tak? Mula-mula nama orang ditabur, kemudian pendapat umum disamaratakan sesama mereka. Klise ini kerap ditemui, dan saya harap kita lekas bertaubat.

Satu cara untuk apresiasi karya (dan secara tak langsung pengkarya!) sebenarnya amat mudah dan simple, iaitu setiap karya secara spesifik disentuh biarpun dengan dua tiga baris ayat. Daripada name drop nama orang/pengkarya/penulis, lebih afdal untuk petik judul karya itu terus (karya yang benar-benar dipilih dan prominent), sebelum ia dikupas biar secara ringkas sekali pun (paling malas pun sinopsis). Dan perlu saya tekankan di sini, ia mesti karya spesifik, dan bukan karya yang digeneralisasikan atas nama pengkarya/penulis tadi. Contohnya: “Karya-karya penulis Z realistik,” atau, “Teater-teater bikinan X erotik.”

Realistik yang bagaimana? Dan karya penulis Z yang mana satu? Erotik yang macam mana pula? Dan karya X yang mana satu yang erotik?

Kerawakan ini semakin jelas apabila kita makin berfokus. Sebagai contoh: “Di dekad 2010-2019 muncul novel-novel bernuansa kota dan urban yang menggigit seperti JUDUL A, JUDUL B dan JUDUL C yang bebas daripada ikatan agama dan dogma. JUDUL A oleh penulis Z mengisahkan tentang hubungan sebuah kren dengan barang angkutannya. Sensualiti di lokasi pembinaan tinggalan yang kian mereput, cinta terlarang di atas tapak pengebumian imigran tak bernisan… Manakala JUDUL B oleh penulis X pula…”

Ia hanya dengan menghargai karya itu sendiri secara direct, apresiasi sebenar muncul, dan bukan sekadar petik nama orang. Kita boleh petik 1,000 nama tapi yang ditawarkan cuma kulit. Isinya terdapat pada setiap karya yang perlu ditekuni kualitinya tiap satu.

Pengkarya boleh berubah tapi karyanya kekal. Sentiasa stay dengan karya. (Kecuali... dan kecuali di sini... jika pengkarya itu sudah tiada. Dalam kes kita ini, kita sedang beri fokus terhadap pengkarya dan penulis muda masa kini yang masih bernafas.)

Andai pengkarya itu pula yang menjadi fokus, ia patut disokong oleh gerombolan body of work-nya. Yang menjadi isu buat saya, apabila cuma nama pengkarya saja disebut, tapi karya-karyanya tak nampak kelibat. Yang paling tragik, entah-entah penulis/pengulas itu tidak membaca atau menekuni pun karya-karya subjek yang disentuhnya. Dia cuma kutip nama-nama itu dari mulut orang. Ini walau bagaimanapun tanggapan terburuk yang boleh saya fikirkan. Kita cuma boleh berdoa dan berharap agar penulis/pengulas ini benar-benar berjejak dengan seni dan sastera semasa, walaupun daripada tulisan/suara nampak macam tak berjejak...


Ridhwan Saidi
p/s: Pemerhatian ini saya dapati kerap terjadi dalam konteks sastera dan teater, tapi amat kurang berlaku dalam konteks filem dan seni halus, meski ia tak mustahil terjadi di mana-mana bidang. Dan sudah tentu ia dalam konteks lokal.