Jumaat, Januari 10, 2020

Salah Faham Antara Bidang

Sewaktu bikin teater HAMLET FANSURI, musik yang dimainkan Kicau Bilau berbeza untuk setiap show, dengan kata kunci yang berbeza. Ada satu malam saya sebut ‘seram dan suram’. Apa itu seram, apa itu suram, itu terpulang pada intepretasi Kicau Bilau. Yang pasti kita ada perkataan yang boleh buat kita menuju ke arah yang sama, direction yang sama.

Di salah satu show matinee, saya minta agar ia ada feel sawai macam orang bersawah bawah terik matari atau nelayan di tengah laut yang juga terjemur di bawah panas. Biasanya saya cuba untuk tak sebut rujukan terus sebab tak nak ia jadi sekadar satu saduran. Misalnya kepada pemuzik saya tak akan cakap saya nak muzik macam lagu… atau kepada aktor saya cuba elak dari cakap saya nak dia berlakon macam… Sebaliknya saya guna suatu perkataan yang am (macam ‘seram’ dan ‘suram’ tadi), atau rujukan seni dalam bidang atau cabang berbeza. Selalunya saya akan guna filem. Mungkin saya akan cakap ke seorang pelakon teater, saya suka cara lakon macam dalam filem-filem Wes Anderson (contohnya), tapi tak adalah sampai saya nak suruh pelakon berlakon macam Bill Murray (contohnya).

Nak dijadikan cerita, selepas saya sebut sawai ini, ia menjurus kepada perkataan ‘psikedelik’ dan dari sini, Irfan Kicau Bilau sebut Pink Floyd. Saya kata ya, macam Pink Floyd, cuma Pink Floyd dari negara sejuk, tak sama macam kita kat sini yang panas. Jadi psikedelik untuk HAMLET FANSURI ni kita nak ia rasa setempat dan ada panas hujan. Dari sini, saya perlu fikirkan satu rujukan agar ia berjejak dengan cuaca perasaan orang kita, dan lalu saya sebut SEMERAH PADI (1956). Dalam kepala saya terbayang wajah Nordin Ahmad, Saadiah dan P. Ramlee.

Di sini salah faham berlaku yang mulanya saya tak sedar. Ia hanya ketika play berlangsung, di satu takah, saya terdengar sedikit bibit Mentera Semerah Padi, M. Nasir. Dalam kepala saya yang menjadi rujukan ialah filem bikinan P. Ramlee, tapi saya lupa saya bercakap dengan pemuzik, dan bila disebut ‘semerah padi’, sudah tentu lagu M. Nasir yang menjadi rujukan. Secara umumnya permainan muzik amat nusantara psikedelik petang itu, cuma ia sedikit lucu bila mengenangkan salah faham rujukan tadi.


Ridhwan Saidi
p/s: Kenapa muzik Kicau Bilau sentiasa berubah sepanjang 5 show HAMLET FANSURI? Selain ia sebentuk improvisasi, pertama sekali kerana feel show matinee di waktu petang dan malam amat berbeza nuansanya, kerana play ini play bergerak yang menuju outdoor, jadi kita kena pastikan kedua-duanya berkesan, dan yang akan menyokong perasaan ini sebenarnya muzik. Kerana itu untuk show petang, saya mahu ada rasa keterikan dalam muzik kerana di waktu malam kita akan pergi all out kegelapan.