Jumaat, Jun 22, 2018

Tentang Cekik, Yukio Mishima & Haruki Murakami

Saya beli novel-novel Yukio Mishima sekali bundle dengan Haruki Murakami. Saya belum pernah baca werk kedua-dua novelis ni, kecuali bab pembukaan THE WIND-UP BIRD CHRONICLE yang saya gunakan untuk pembukaan novel CEKIK. Ada tiga unsur seingat saya, yang saya gunakan. THE WIND-UP BIRD CHRONICLE, THE STRANGER (Albert Camus) dan satu lagi yang saya lupa (holy Sophocles!)—masih saya ingat selama dua tiga bulan saya terkial-kial nak tulis novel pertama saya. Selama dua tiga bulan itu saya menghadap skrin kosong, atau kalau ada pun deret-deret ayat yang kerap kali dipadam. Saya tiada idea apa kejadah yang patut saya tulis. Saya juga tak dekat dengan medium novel. Saya hanya pelan-pelan baca novel selepas menulis novel. Maka saya belek buku-buku yang saya ada, dan buku-buku di kedai buku. Saya cuma baca bab pembukaan saja. Saya cuma nak tau macam mana nak mulakan novel.

Dengan THE STRANGER saya tahu watak Syed Warith akan dapat berita tentang kematian bapanya di kampung. Dan dengan THE WIND-UP BIRD CHRONICLE saya suka adegan pembukaan memasak pasta sambil pasang lagu itu, dan dalam konteks CEKIK saya guna lagu Decorate nyanyian Yuna (versi versi 2 minit) untuk disamakan dengan durasi masak mee Maggi. Adakah ia homaj, parodi atau pastiche? Yang pasti dua (atau tiga!) elemen ini diremix sebagai adegan pembuka. Jadi dengan adanya adegan pembukaan yang simpel ini, saya sudah ada titik mula. Saya cuma perlu sambungkan ia ke titik akhir yang saya dah tahu.


Ia hanya baru-baru ini saya baca THE WIND-UP BIRD CHRONICLE dan saya suka. Dalam bundle yang saya beli ada DANCE DANCE DANCE dan KAFKA ON THE SHORE. DANCE ada memenuhkan imej-imej bersifat kemimpian yang saya temui dalam WIND-UP. Ia buat saya percaya yang Haruki Murakami pernah tanam kucingnya yang telah mati di bawah sebatang pokok. Atau jika tak pernah, imaginasinya benar.

Selepas membaca ketiga-tiga novel Murakami ini, saya letak WIND-UP paling hebat, diikuti KAFKA dan kemudian DANCE. Ia hanya kemudian saya dapati yang KAFKA ON THE SHORE ini pun kuat. Ia tumbuh pelan-pelan dalam fikiran dan jiwa. Ada imejan yang melintas dalam kepala saya—mula-mula saya ingat ia dari WIND-UP, rupa-rupanya ia imej dari KAFKA. DANCE paling rendah dalam korpus Murakami saya takat ni (barangkali ia belum menumbuh dan membesar dalam jiwa?). Walau bagaimanapun, kalau ada penulis Malaysia tulis level DANCE DANCE DANCE ini, ia automatis saya anggap penulis tu power, yang mana setakat ini dalam konteks novel belum saya jumpa.

Labirin hotel DANCE mengingatkan saya kepada dunia David Lynch, terutama ruang hotel BLUE VELVET dan kebetulan sebelum saya mula baca Murakami, saya juga ada tonton siri tivi TWIN PEAKS musim satu dan dua (separuh jalan). Saya percaya Murakami dan Lynch tengah teroka dunia idea-mimpi di waktu yang sama: satu di Jepun, satu di Amerika. Di Malaysia ia hanya dua dekad plus plus kemudian STEREO GENMAI muncul.

Lepas baca Haruki Murakami dan Yukio Mishima back to back, walaupun saya faham dan suka dua-dua, saya lebih gemar novel-novel Mishima. Saya nak beli dan baca lagi novel-novel Mishima, lebih-lebih lagi tetralogi akhirnya (atas saranan William T. Vollman). Untuk Murakami saya nak berhenti baca dulu, dan kalau ada lagi satu judul yang nak dibaca ia mungkin HARD-BOILED WONDERLAND AND THE END OF THE WORLD.

Tiga buku Mishima yang saya dah baca ialah THE SOUND OF WAVES, THE SAILOR WHO FELL FROM GRACE WITH THE SEA dan THE TEMPLE OF THE GOLDEN PAVILION. Dari segi judul ia tak kedengaran hip macam novel-novel Murakami. Walau bagaimanapun perasaan bila membacanya memang puas. Ia paling puas sebab Mishima tau cara nak tamatkan cerita. Ketiga-tiga novel yang saya baca ini punya penamat yang hebat. Penamatnya super tepat persis tikaman samurai.

Tertib bacaan saya kebetulan betul, sebab ia mula dari yang paling ringan ke yang paling liat, yang mana kesemuanya saya amat suka. SOUND OF WAVES ringan dalam erti kata ia kisah cinta coming of age di perkampungan nelayan, antara dua darjat, anak lelaki ni nelayan biasa manakala gadis yang dia suka tu anak tauke pemilik kapal nelayan. Gambaran perkampungan nelayan tu hebat. Yang lelaki akan naik bot atau kapal tangkap ikan di laut manakala yang perempuan menyelam untuk cari mutiara (boleh rujuk Ama pearl divers—ia mengingatkan saya kepada filem TAMPOPO (1985) oleh Juzo Itami). Penuh tenderness dan cinta keremajaan hingga di saat hujung lalu ia jadi firm
Petikan filem TAMPOPO yang melibatkan gadis penyelam mutiara.

THE SAILOR WHO FELL FROM GRACE WITH THE SEA pula tengah-tengah. Masih ada unsur laut di mana watak lelaki itu seorang kelasi yang ingin mengahwini kekasihnya seorang janda beranak satu. Watak utamanya lebih kepada budak itu dan kali ini nuansanya mengingatkan saya kepada filem BOY (1969) oleh Nagisa Oshima (yang juga seorang samurai dalam pembikinan filem). Ia tentang budak yang melawan kedewasaan. Ia lebih filosofikal, dan kerana itu ia lebih berat, tapi ia masih berjejak. THE TEMPLE OF THE GOLDEN PAVILION yang akan kita sentuh kejap lagi lebih berat in a sense bahawa ia lebih filosofikal—malah ada karakter yang akan secara literal membincangkan falsafah. Dalam konteks FELL FROM GRACE ini, yang berfalsafah budak itu, dan dia guna bahasa seharian, dan kita rasa macam diorang ni main-main je sebab budak-budak lagi, meski pun diorang serius.

THE TEMPLE OF THE GOLDEN PAVILION paling liat antara tiga novel Mishima yang saya baca. Ia tentang seorang sami yang nak melawan beauty. Ia novel tentang estetik dan arsitektur. Bayangan kuil itu akan sentiasa menghantui watak sami ini, yang sekali lagi melalui fasa coming of age. Tiap kali watak sami tu nak berasmara dengan perempuan, imej kuil itu akan muncul untuk potong stim. Bila fikir balik novel ni lawak juga sebenarnya. Lawak yang saya maksudkan di sini bukan lawak bodoh atau nak merendahkan werk ni, sebaliknya ia lawak terpuji. Ia ada keriangan terpendam yang mendalam. Yukio Mishima ialah novelis kegemaran saya setakat ini.


Ridhwan Saidi