Sabtu, April 14, 2018

Nota Pasca Teater Modular [set 3] II

Lokasi: KongsiKL, Gudang Yee Seng 2, Jalan Klang Lama

1
Antara elemen yang saya tekankan juga bagi setiap playlet ialah bahasa pencahayaan. Ideanya adalah tidak semua berkongsi jenis atau bentuk pencahayaan yang sama. Ini penting agar setiap bucu dan ruang playlet punya nuansa yang berbeza. Tapi sudah pasti ia bukan atas dasar ingin jadi berbeza semata, lebih penting dari itu ia patut relate balik dengan cerita dan teks.

Gudang ini ada satu pintu, jadi saya beri kepada Walid Ali/Sesuap Kaseh sebab ia satu-satunya playlet yang berlatar alam dan outdoor. In a sense ia penting untuk ada aliran udara segar dari luar menyusup masuk ke dalam gudang. Ia ruang bagi menarik nafas lega, setelah terkedap dengan playlet-playlet indoor/dalam domain spiritual lain.

Gudang ini juga punya satu scaffolding, hanya satu playlet boleh guna scaffolding ini. Semua playlet boleh guna scaffolding ini jika mereka mahu, tetapi ia perlu kembali kepada playlet mana yang paling memerlukan, dan dalam hal ini ia sekali lagi Sesuap Kaseh—untuk dibuat air terjun. Dan oleh kerana ia satu-satunya playlet yang ada kebolehan untuk gunapakai ketinggian double volume gudang tersebut, penting untuk ia gunakan kebolehan ini. Selain itu ia turut membolehkan pencahayaan tumpah dari atas, diikat pada scaffolding. Ini kontra dengan playlet Amirul Syakir/Erti Mati di mana ia menggunakan pencahayaan dari bawah, dan sebaliknya mengisi ketinggian double volume gudang dengan bayang-bayang. Diametric opposite ini halus, dan tak perlu diketahui umum, tapi yang penting saya tahu, kerana saya tahu ia akan beri richness dan rasa penuh terhadap keseluruhan pengalaman pementasan.

Saya berkeras Erti Mati perlu menjauhi dinding gudang, kerana jika ia mendekati dinding, ia buat semua playlet rasa sama. Satu playlet perlu berada di tengah-tengah gudang, dan ia mesti Erti Mati kerana ia satu-satunya playlet yang berada di luar domain realiti. Ia perlu terapung di dalam kegelapan. Lagi pula ada plug yang timbul di tengah-tengah gudang persis batu nisan, yang saya fikir cocok dengan nuansa playlet bertema kematian. Sudah pasti sekali lagi, ia tak perlu diketahui umum, selagi saya tahu kenapa saya mahu ia sebegitu rupa.

2
Selain bahasa pencahayaan, saya juga gemar buat range muzikaliti pengucapan bahasa beraneka rentak. Ia di luar kawalan saya, tapi saya boleh teka dan agak dari pemilihan pengarah itu sendiri—yang kemudian akan memilih pelakon mereka. Melalui Hannan Barakbah/Kurator Dapur ia yang paling ada teras Inggeris. Apa yang saya maksudkan ialah, meski pun ia dilafaz dalam bahasa Melayu, tetapi muzikaliti dan rentak di sebalik pengucapan itu ada daya bahasa Inggeris. Ada sesuatu yang offbeat dengan bahasa pengucapan ini sendiri—biasanya ia terasa lebih laju dan cepat dari sepatutnya. Tapi saya boleh hargai sebab cuma ia satu unik sebegini. Lagi pula ia penuh kemudaan dan riang. Dan sudah tentu kompleks bagi seorang yang muda dan belum berkahwin—Kamini dan Adam—untuk tanggung beban emosi separuh masa kedua playlet ini. Tapi saya rasa emosinya menjadi dalam konteks couple muda. Dan ia mendedahkan sifat Hannan sebagai orang, dan saya fikir itu sentiasa petanda baik. Malah semua direction ada sentuhan berbeza (yang sekali lagi bukan fasal nak jadi berbeza for berbeza’s sake) yang relate kembali kepada sifat pengarah. Untuk mendepani setiap playlet adalah untuk kita berjalan dan mengintai ke dalam kepala pengarah.

3
Saya direct Hotel Berdarah jadi apresiasi saya tak boleh lebih-lebih, jadi saya akan sentuh apa yang menarik saya dapat, hasil dari pementasan tempoh hari yang tak saya perasan waktu menulis.

Watak Setiausaha lakonan Shasha Fairus jenis yang tiada penyesalan (no remorse/no regret) sebab suaminya lakonan Azman Rashid seorang yang nostalgik dan gemar throwback. Watak suami itu mengidam cinta pertama mereka via ikan patin masak tempoyak (di saat menghampiri kematiannya). Satu-satunya perlawanan ini ialah watak isteri/setiausaha itu tutup zip dengan cepat. Ada satu pementasan di mana Shasha ambil masa yang sedikit panjang sebelum tarik zip beg luggage itu, dan saya rasa ia tak boleh terlalu lama. Kerana bila ia lama, ia akan beri ruang untuk watak setiausaha itu tenggelam ke dalam masa lalu dan nostalgia. Akan timbul perasaan itu, yang saya rasa amat perlu dijauhi. Zip itu perlu ditutup dalam 2-3 saat.

Adegan akhir playlet Hotel Berdarah ini semakin banyak saya tengok, semakin ia jelas bahawa ia terletak di antara ruang pembunuhan dan mimpi ngeri—murder/nightmare. Watak setiausaha sedang melakukan bedtime story, di mana dia menceritakan kembali pelan rancangan Datuk. Tapi persis cerita, dan selaku storyteller, setiausaha itu tokok tambah dari cerita asal untuk buat ia lebih dramatik dan menghiburkan. Ia menjadi gelap apabila apa yang diceritakan itu sudah/sedang/akan berlaku. Ia ada rasa dreamlike.


Ridhwan Saidi