Jumaat, April 27, 2018

Dua Bentuk Teater Student

Teater student atau student project berbentuk teater biasanya ada dua jenis. Yang pertama di mana para pelajar itu menggunakan teks klasik dan moden yang sudah teruji bagus. Kelebihan di sini adalah, watak yang dipegang pelakon itu sudah kuat.

Bebannya jatuh kepada pengarah, sebab teks itu sudah tentu sudah banyak kali dipentaskan, dan poinnya adalah untuk mengelak kitaran rutin. Kebiasaannya pelajar yang dinilai ialah pelakon dan pengarah, jadi di sini pengarah yang akan lebih susah.

Proses pengadaptasian masuk campur, dan keresahan tentang konteks berlaku, sebab rata-rata teks yang kita anggap klasik dan moden ini dari Eropah atau Amerika. Bagaimana untuk buat ia kena kembali dengan Malaysia dan cuaca Asia Tenggara misalnya? Cara termudah adalah untuk anggap ia macam konteks asal, tetapi sudah tentu ia tak memadai sebab tubuh dan suara orang kita ada potensi lain. Dan jika kita berjaya buat macam asal pun, akhirnya kita akan persoalkan balik, apa poinnya? 

Biasanya teks-teks yang ditekuni ini dalam bahasa Inggeris dari England dan Amerika (Syarikat), dan kalau kita teroka teks dari negara Eropah lain misalnya Jerman atau Perancis pun (kalau tak Eropah, malah dari Jepun pun), kita pasti akan lalui versi terjemahan bahasa Inggeris juga selalunya, dan di sini saja tentu ada banyak yang berubah. Ia hilang nuansa asal sesuatu bahasa tersebut. Kita terpaksa bermain dan berlingkar dalam cara fikir dunia linguistik Anglo-Saxon.

Bila disebut Anglo-Saxon ia umpama kita guna bahasa Old English yang arkaik dan purba, tapi ideanya di sini, ia lahir dari satu bentuk cara fikir dan world view. Setiap bahasa dalam dunia ada sistem, struktur, bentuk, keindahan, potensi emosi, dan pandangan dunia dan alamnya yang tersendiri. Kita ada heroic couplet, terza rima, pantun, haiku etsetera, dan setiap bentuk puisi ini tak semudah diterjemah ke bahasa lain—tentu ada elemen yang tak melintas, dan tertinggal (dan sudah tentu ada elemen baru yang muncul, dalam konteks bahasa baru itu).

Jika ia bukan teks dari zaman Yunani, Shakespeare, Ibsen/Chekhov hingga ke Beckett (dan playwright yang datang seterusnya), projek student biasanya akan guna teks lokal pula dari Usman Awang/Noordin Hassan/Syed Alwi ke skrip era 70an dan seterusnya, atau jika ia keluar dari kerangka moden, ia akan olah cerita rakyat atau sesuatu dari tradisi. 

Dalam konteks ini, saya masih rasa kedudukan pengarah lebih sukar sebab ia masih perlu elak rutin dan klise pementasan-pementasan terdahulu. Perlu ada sentuhan radikal (jika keadaan memaksa). Dan kedudukan pelakon juga sedikit berisiko, kerana watak-watak dalam teks lokal belum tentu stabil. Malah naskah teater Malaysia ada beberapa yang penting dari segi sejarah—dan kita dalami dan bersyukur ke atas kewujudannya—tetapi sebagai karya, kita boleh bersifat kritikal, ada benda yang belum kukuh.

Ia kelihatan mudah untuk dekonstruk teks lokal lama, tetapi ini walau bagaimanapun pengarahnya (sekali lagi!) perlu ada sensibility yang betul. Si pengarah perlu peka dengan esensi teks yang sedang dikerjakannya. Ia tak semudah buat sepah.

Apa pun, samada ia teks lokal mahupun luar, ia akan melibatkan zaman, dan bila ia melibatkan zaman, ia melibatkan cara lakonan. Untuk berlakon teks Sophocles dengan berlakon teks Ibsen dengan berlakon teks Beckett, memerlukan jenis lakonan berbeza, sebab bentuk-bentuk teater ini sedang bertindakbalas antara satu sama lain. Dari ritual ke kedekatan realisme ke konfrontasi diri. Lain era, lain tujuan dan energi. (Ini belum masuk teknik lakonan dan sekolah lakonan yang pelbagai, persis jurusan martial arts—tapi pokoknya ia perlu ada displin, dan hanya dengan ilmu dan displin ini seorang pelakon itu berkebolehan untuk unlearn kembali segala pengetahuannya agar ia kosong/sifar/nol dan menjadi matang/wise).

Tapi sudah tentu hari ini, kita boleh guna semua teks-teks lama ini dengan sentuhan ‘kontemporari’—apa pun maksud perkataan ini, yang penting bagi saya ia menghubungkan kembali teater dengan audien hari ini/semasa/kontemporari. Dan semestinya ia sekali lagi tanggungjawab seorang pengarah. Berat tugas pengarah ni, berat!


Bentuk teater student kedua pula tidak menggunakan teks-teks klasik dan moden tadi, sebaliknya mereka cipta sesuatu yang baru, samada secara ditulis, di-devised atau apa kaedah sekali pun. Poinnya, ia karya baru.

Di sini, risiko yang lebih bahaya muncul, iaitu teks/idea itu belum teruji bagus dan kebiasaannya belum dapat bentuk yang elok. Lebih-lebih di tangan pelajar, dan jika tanpa bimbingan yang molek, ia berpotensi untuk jadi mediocre, dan duduk goyah di takah hambar. Di posisi ini, pelakon pula yang lebih bermasalah, sebab karakter yang dipegang mereka belum tentu kuat. Karakter itu boleh jadi satu dimensi dan tak beri efek kepada cerita. Atau boleh jadi cerita itu sendiri tidak kuat, maka keberadaan karakter itu sendiri boleh dipertikaikan!

Kedudukan pengarah pula lebih stabil. Sebab dia sedang buat sesuatu yang baru dan asli, maka ia tiada beban sejarah atau pementasan terdahulu. Tapi dalam masa yang sama, karyanya perlu kuat. Teks-teks klasik dan moden sedia ada sudah buka jalan untuk para pelakon menuju ke arah suatu emosi tertentu, manakala bagi karya baru, ia mesti buka jalan. Lakonan aktor jadi satu dimensi bila jalan/ruang/dimensi ini tidak dibuka.

Walaupun horor naskah baru ini real (dan ini tak terhad kepada student project, malah ticketed show di luar sana pun ada potensi untuk tak perform dari level yang paling primordial—teks/idea/niat), ada benda yang saya boleh nikmati sebagai audien.

Jika ia guna teks klasik dan moden lama, saya seronok menikmati dan mengalami ceritanya. Sekurang-kurangnya saya tahu ceritanya setel. Kalau lakonannya teruk sekali pun, saya masih senang hati atas faktor cerita. Ini lebih-lebih lagi saya tak banyak terdedah dengan pementasan teks-teks klasik dan moden ini. Andai kata saya dah selalu tonton Macbeth, Shakespeare misalnya, mungkin saya akan mulai rimas dengan lakonan yang teruk dan sudah boleh membanding-bandingkan dengan pementasan terdahulu yang saya dah tengok. Buat masa ini saya terbuka dengan semua cerita, dan belum pernah tengok pementasan dengan cerita yang sama dua kali, Macbeth pun!

Jika ia teks baru yang dihasilkan pelajar pula, apresiasi saya berbeza. Saya sentiasa tertarik dengan karya-karya terutama bikinan perempuan baik sebagai pengarah mahupun penulis (yang melibatkan kuasa kreatif). Saya teruja dan ingin tahu sentuhan bagaimana yang berlaku? Sebab hampir semua teks klasik dan moden ditulis lelaki jadi kadang-kala saya fed-up. 

Sekali-sekala saya baca puisi Sappho dan Rabia Basri untuk diselang dengan teks falsafah Jerman misalnya—demi menjajarkan pov hidup!


Ridhwan Saidi