Ahad, September 03, 2017

Kepekaan Dalam Teater

Dalam Teater Modular kini saya memposisikan diri saya sebagai dramatis dan produser. Dramatis (playwright) dalam erti kata saya tulis skrip playlet. Dan produser dalam erti kata saya merajinkan diri isi borang untuk cari dana, wang, ruang dan potensi masa depan. Macam produser filem, saya cuba membabitkan diri untuk beri komen dan sentuhan kepada pengalaman keseluruhan program. Instead of jadi produser yang mahu pelakon terdiri daripada selebriti atau wajib ada sejuta followers, saya cuma mahu teater jadi wadah untuk ramai (barangkali tak semua) orang gembira. Saya mahu kegembiraan mendalam yang saya rasai dirasai semua orang. 

Dan kegembiraan ini tak datang dari saya seorang melalui teks. Istimewanya teater bagi saya ia merupakan transmisi dari teks ke pengarah ke pelakon ke audien. Di sini audien hanya menikmati hasil akhir. Tetapi sebelum itu ada sesi timbal balik antara teks, pengarah dan pelakon.

Apabila teks sudah sampai ke tangan pengarah, apabila saya datang untuk tengok kembali hasil rehearsal, saya cuba lihat dari posisi produser. Sebab jika saya komen dari posisi dramatis/penulis, ia jadi aneh kerana saya rasa biar teks itu hidup dengan pengarahnya. Tetapi sebagai produser, saya kembali mempunyai kata putus untuk menentukan apa yang terbaik bagi satu-satu playlet, dan dalam masa yang sama saya mempunyai overview terhadap kesemua playlet. Saya perlu pastikan keseluruhan playlet ini bersambung dan dalam waktu sama juga nyambung (resonates) dengan bakal audien.

Dengan kepekaan yang ada, saya cuba untuk lontarkan apa yang saya rasa menjadi komen, tetapi dalam masa sama ia jadi sukar kerana teater sesuatu yang fizikal, jadi taktik terbaik adalah untuk melihat pelakon itu mencuba beberapa hal. Hanya selepas melihat saya boleh kembali berfikir apa yang kurang dan apa yang lebih. Dan komen-komen ini tak hanya datang dari saya, tetapi juga dari pengarah dan pelakon, kesemuanya bertemu di tengah lalu menjadi dialog. 

Hasil (pementasan akhir) yang ditonton audien tadi, ialah percampuran dramatis + pengarah + pelakon + produser. Ada hasil yang datang dari improvisasi antara pengarah dan pelakon yang tidak datang dari teks atau komen produser, jadi untuk orang komen dan kata naskah dan teks playlet-playlet yang ditulis saya kuat, saya tak ambil ia secara penuh sebab saya tahu, teater yang dipentaskan secara berkesan melibatkan kontribusi ramai orang (termasuk mereka yang tak didendang seperti pengurus teknikal, relawan dan lain-lain).

Di dalam posisi produser juga, saya tidak begitu setia dengan teks saya sendiri kerana apa yang paling penting adalah, untuk pementasan itu berjaya dengan apa cara sekali pun. Misalnya dialog yang saya tulis itu bunyinya kekok bila diaksikan pelakon, saya terbuka untuk dialog itu digarap menjadi sesuatu yang lebih berkesan (tidak perlu seradikal tukar pelakon).

Dan dalam teater, untuk mencari keberkesanan dan kemenjadian ini, kita kena cuba beberapa benda, hingga kita tahu kita dapat. Tapi untuk dapat ‘dapat’ ini kita kena jelas dengan apa yang ‘tak dapat’ atau ‘tak sampai’ atau ‘tak berkesan’ atau ‘tak jadi’ terlebih dahulu. Dengan segala tenaga dan fokus yang ada, saya selaku produser perlu meyakini sensibility dan kepekaan yang telah dikurniakan.


Ridhwan Saidi