Jumaat, Jun 23, 2017

Bersila Dalam Teater

Perspektif mata kita apabila memandang ketika sedang duduk di atas kerusi dan ketika sedang bersila berbeza. Pemandangan dalam keadaan bersila ini persis syot tatami Yasujiro Ozu. Kita memerhati dan merenung. Aktor yang berdiri kelihatan lebih tinggi, jika dibanding sewaktu kita duduk di atas kerusi. Sudut dari kerusi lebih mendatar. Dari atas lantai sedikit mendongak.

Pengalaman bersila ini juga ada dua. Pertama ia organik di mana audien memilih sendiri untuk duduk di mana, manakala kedua audien disusun baris demi baris.

Pengalaman pertama ini saya alami sewaktu Teater Modular dan juga sewaktu latihan atau draf teater Mautopia di dalam studio. Malah ada seorang audien yang memasuki ruang Teater Modular yang gelap, terus duduk di hadapan pintu masuk, meski ruang di hadapan masih kosong. Hanya apabila ia menghalang laluan, kami tegur agar ke hadapan kerana masih ada banyak ruang. Di hadapan walau bagaimanapun audien itu masih memilih tempat duduknya sendiri. Ketika studio sempit itu sudah padat, dan masih ada ramai orang di luar, kami turut nyatakan agar audien beranjak sedikit ke hadapan dan merapatkan kedudukan (persis merapatkan saf sembahyang). Ini juga diaksikan audien mengikut kadar kerapatan dan keintiman sesama mereka.

Pengalaman kedua pula sewaktu menonton Gadis Jalan Burmah di mana audien disusun untuk duduk bersila baris demi baris. Sudah ada spot yang perlu diduduki persis sewaktu kita duduk di atas kerusi. 

Di sini, beza paling ketara antara kerusi dengan lantai adalah, kerusi itu sudah menyediakan di mana spot tepat yang boleh kita duduki. Sedangkan dengan lantai ia terbuka dan sentiasa berbeza. Sepanjang tujuh pementasan Teater Modular perletakan punggung audien saya pasti tidak akan sama sepenuhnya. Boleh jadi ada beberapa spot pilihan seperti di tepi dinding yang digemari agar audien boleh bersandar, tetapi masih ketepatannya tidak sama. Deret pertama audien Teater Modular juga lain kadarnya, ada malam-malam yang lebih mendekati ruang mainan aktor dan ada malam-malam di mana deretan lebih berjarak. Taburan data ini boleh kita kaji persis pergerakan pemain bola sepak liga perdana di tivi.

Ia tiba pada saya bahawa untuk audien memilih tempat bersila merupakan langkah pertama audien dalam mengalami teater—satu bentuk partisipasi. Kerana di mana audien itu duduk akan menentukan sejauh mana tatapan yang akan dialaminya. Memilih di hadapan, tengah, kiri, belakang, kanan, dan gabungan-gabungan ini. Malah tidak berupaya memilih kerana ruangan kian penuh, dan ditentukan oleh ruang kosong yang tidak diduduki audien lain, juga merupakan satu pilihan—pilihan takdir, atau nasib? Atau malah lebih baik, ruang kosong itu sebenarnya yang memilih anda.

Ridhwan Saidi