Jumaat, April 14, 2017

Reviu Teater Pedo.filia

foto: Azmi Hud via fb

Teater ini dipentaskan di Black Box DPAC arahan dan tulisan Qiu Qatina. Naratif digerakkan dengan dua metod iaitu dengan segmen gerak tari dan lakonan beberapa karakter. Segmen tarian bilamana pedofil pembunuh memunculkan diri dalam keadaan separa bogel dari dalam gelap amat mengganggu (dalam erti kata sebenar) dan momen terkuat pementasan ini. Dialuni muzik yang sama apabila pembunuhan kanak-kanak diaksikan sebelum itu, segmen ini dimulakan dengan kita melihat seorang wanita dan seorang kanak-kanak seakan menunggu bas atau teksi. Pembunuh itu muncul dari belakang tanpa pakaian dan terdapat satu momen di mana kita dapat lihat pembunuh itu memilih secara sedar kanak-kanak sekolah untuk dirogol dan dibunuh manakala wanita dewasa tadi sudah melarikan diri.

Segmen-segmen tarian seperti ini masih menggerakkan cerita meski dengan perlambangan gerakan tubuh. Sebaliknya naratif utama Pedo.filia kurang berkesan di dalam penceritaannya dan kurang juga memberikan ruang bagi karakter-karakternya untuk menjadi dinamik. Hampir semua karakter terhad dimensi dan tindak-tanduknya (di sini yang ingin saya tekan adalah binaan karakter di dalam skrip itu sendiri, kerana pelakon yang bagus masih tidak boleh menolak potensi dirinya jika karakter di atas kertas tidak membenarkannya untuk meneroka perasaan-perasaan yang lebih mendalam). Kedua watak polis persis kaki pukul dan watak pedofil yang menjadi mangsa pukul dan suspek utama kedua polis tadi pula, semacam berserah apabila dipukul tidak kira di balai mahupun di rumahnya sendiri. Saya fikir pedofil ini tentu lebih kuat dan licik jika sekurang-kurangnya boleh mempertahankan dirinya dengan ilmu atau sekurangnya retorik perundangan. Di dalam pementasan ini, pedofil tadi iaini suspek (tanpa bukti) hanya mempertahankan dirinya dengan lafaz, “Kau akan menyesal,” kala kedua polis itu sedang memeras ugutnya untuk mengaku. Ia tuduhan tidak berasas dan tidak memadai.

Begini... kedua polis itu sedang menyiasat kes pembunuhan yang melibatkan kanak-kanak (yang telah dicabul dan dirogol sebelum dibunuh). Mereka sedang mencari pembunuh bersiri bernama Ringo. Tetapi kedua polis tadi telah menyimpang ke arah seorang pedofil. Ia jadi masalah bila polis ini menuduh pedofil itu sebagai pembunuh bersiri. Walhal pedofil itu sedang buat jenayah lain, dan bukti-buktinya dalam bentuk gambar dan pakaian dalam kanak-kanak yang ada di rumahnya. Pedofil itu wajar ditangkap atas kes lain. Tetapi di dalam kisah ini, menjadi pedofil seakan tiada masalah, atau semacam tiada undang-undang yang membendung gejala ini di Malaysia. (Di hujung kisah apabila pedofil itu didapati tidak terlibat di dalam kes pembunuhan bersiri Ringo, dia dilepaskan begitu saja).

Teks ini merujuk antara filem Korea kegemaran saya iaitu Memories of Murder dan secara sinopsisnya, ia berakhir dengan penutup yang tidak memberi jawapan tetapi membuka kebarangkalian pembunuh bersiri itu iaitu, “Wajahnya biasa-biasa saja.” Ini jelas di dalam pementasan ini, cuma pergerakan cerita menjadi tidak ketat atas faktor binaan karakter tadi. Watak Julia yang trauma (dan menjadi satu-satunya mangsa perogol yang tidak berjaya membunuhnya), kekal sama sepanjang cerita.

Proses siasatan kedua polis juga tidak jelas progresinya. Tidak ada klu atau apa-apa tanda untuk bawa polis itu ke mana-mana. Kedua polis itu semacam tidak terdaya. Ia membuatkan kita percaya kenapa perogol kanak-kanak dan pembunuh bersiri itu tidak dapat ditangkap—kerana ketidakcekapan dan ketidakprofesionalan kedua pegawai polis ini bekerja. Tiada desakan lain apabila kedua polis ini bertindak membelasah suspek (tanpa bukti), selain hanya mahu suspek mengaku bersalah. Mungkin ini pemaparan polis yang mahu dipaparkan, tetapi masih: 1. Ia tidak akan menyelesaikan masalah, kerana mereka serkap jarang orang yang salah, dan 2. Kita akan okay dan faham dengan tindakan mereka ini atas desakan-desakan yang sudah kita ikuti dari awal, cuma ia tidak cukup. (Salah seorang polis itu memang kaki pukul dari awal hingga akhir, manakala lagi seorang polis itu lebih rasional awalnya, tetapi tidak lama selepas itu ia berkelakuan menjadi kaki pukul juga.)

Set pentas ini terbahagi kepada empat ruang utama, iaitu ruang di hadapan di mana tarian dan pembunuhan di dalam hujan berlaku, dan di ruang tengah utama terdapat sebuah meja dan beberapa kerusi bagi kedua orang polis itu melakukan soal siasat dan pembulian terhadap suspek (tanpa bukti). Di bahagian kanan dengan warna merah kelihatan rumah pedofil yang menjadi mangsa peras kedua polis tadi. Manakala di bahagian kiri pentas pula terdapat rumah Julia yang kebiruan dengan pintu masuk rendah.

Cara kedua polis itu masuk ke rumah dan ingin menemubual Julia juga mengabaikan keadaan psikologi mangsa bila berhadapan dengan pesakit trauma yang sebegitu. Sekali lagi paparan ini tidak membantu penyiasatan. Seakan kedua-dua polis ini tidak punya empati.

Qiu tahu dan peka dalam menggarap keseluruhan pementasan dan ini boleh kita rasa dari rentak pertukaran babak yang persis alunan muzik. Sebagai bentuk penuh, Qiu sebagai pengarah menggarap naskah ini dengan baik dan memberikan rasa dan pengalaman. Kita dapat ingat imejan-imejan dan gerakan-gerakan. Tetapi selaku penulis, rinci setiap babak terutama yang melibatkan dialog masih perlu diberi perhatian. Kita tidak dapat kutip kata-katanya. Setiap kata-kata perlu beri makna dan hujah agar pertuduhan-pertuduhan lebih kuat dan kita berpihak dengan para penyiasat. Berpihak di sini dalam erti kata: proses siasatan ini yang menolak cerita ke hadapan, jadi kita sentiasa kena ikut kedua watak polis ini, sebab mereka yang menggerakkan cerita. Tidak kira sama ada mereka baik atau jahat, rajin atau malas, bijak atau emosional, perjalanan dan proses siasatan mereka mesti mengikat audien kerana kita sudah dipaparkan secara grafik pembunuhan kanak-kanak di awal kisah, jadi kita tidak mahu para penyiasat ini terlalu ketara tidak menjalankan tugas mereka secara efisien.