Selasa, Julai 28, 2015

Triniti: Pasolini, Fassbinder dan Nagisa Oshima

Pier Paolo Pasolini, Rainer Werner Fassbinder dan Nagisa Oshima merupakan antara pembikin filem kegemaran saya dan di sini ingin saya kongsi sebuah filem daripada setiap dari mereka untuk disentuh dan betapa ia beri saya semangat untuk buat filem. Filem-filem tersebut ialah The Gospel According to St. Matthew (1964) oleh Pasolini yang saya tonton Ramadan lepas, The Bitter Tears of Petra von Kant (1972) oleh Fassbinder dan Dear Summer Sister (1972) oleh Nagisa Oshima.

The Gospel According to St. Matthew ni cerita fasal Jesus dengan bau-bau teknik Italian neorealis yang indie gila. Ada satu babak di mana ketika Jesus ditangkap, kamera rakam handheld dari belakang kepala pengikut-pengikut Jesus yang sedang memerhati. Di sini, Pasolini seorang non-believer menjadi believer. Di dalam temubual Pasolini mengaku yang dia tak terror teknik (macam Godard misalnya), maka teknik yang digunakan simpel-simpel belaka seperti kamera pacak, pan sikit dan handheld. Dia malah tak gunakan dolly (apatah lagi dewasa ini drone). Tapi dari apa yang ia beri, dengan pemilihan imej hitam dan putih, buat dunia di dalam filem itu bernyawa. Tipikal Pasolini (saya setakat ini cuma dah tonton Salò, or the 120 Days of Sodom, Arabian Nights dan The Decameron), bila filem ini tamat ia buat saya tersenyum dan ketawa dalam hati, terkesima dan rasa lapang sekali gus.

The Bitter Tears of Petra von Kant pula berlaku di dalam bilik tidur (SoHo?) Petra sepanjang filem, dan cuma melibatkan 6 pelakon wanita. Salah seorang tidak bercakap sepanjang filem meski dia (Marlene) adalah watak penting yang buka dan tutup filem ini. Dialog-dialognya intens dan kejam buat kita terpaku seakan disalib. Tanda-tanda ini ada dalam filem-filem lain Fassbinder yang saya tonton iaitu Katzelmacher, Ali: Fear Eats the Soul dan The Marriage of Maria Braun cuma yang ini nada dan kawalannya teramatlah power. Saya syak ia antara filem kegemaran sepanjang zaman saya.

Dear Summer Sister pula mengisahkan hubungan di antara Jepun dengan Okinawa yang secara tidak langsung kita selaku orang Malaysia patutnya ada filem yang garap isu hubungan di antara Semenanjung dengan Sabah/Sarawak. Tiru filem ni pun takpe, cuma ia ada unsur oedipal, yang cocok bila difikirbalik. Cruel Story of Youth, Boy dan Three Resurrected Drunkards antara filem-filem Nagisa Oshima yang dah ditonton meski pembikinan filem Dear Summer Sister ini paling indie, dalam erti kata kerja kamera handheld-nya rabak (ada momen buat saya pening), tapi atas segala ketidaksempurnaan ini ia masih buat saya rasa kagum apabila filem selesai. Lagu tema filem ini buat saya ingin duduk di atas batu memandang laut.



Ridhwan Saidi
P/S: Banyak filem-filem Pasolini, Fassbinder dan Nagisa Oshima yang belum saya tonton barangkali saya berharap kelak, pengalaman pertama ini, dapat ditonton di layar via projektor secara berjemaah.