Selasa, Jun 07, 2011

Tafsir Takde Life Holier Than Thou

Pembikin selalu mengecam pengkritik atau pengulas filem dengan taktik klise 'holier than thou'. Benda ini sudah berlaku berulangkali masuk tahap cheesy tapi takpe, kita layankan saja. Saya percaya semua orang yang menonton filem, pasti ada pendapat dan pandangan dan intepretasi dan tafsiran masing-masing mengenai filem tersebut. Jika kita mempersetujui ini, bermakna semua orang adalah pengkritik filem. Tapi hakikatnya ini tidak benar. Yang membezakan pengkritik dan penonton biasa ialah ilmu / knowledge di sebalik diri mereka. Macam kitab al-Quran, bukan sebarang orang boleh tafsir. Manusia yang ada knowledge tafsir, dan umat kebanyakan terima berpandukan tafsiran tadi. Dalam kes filem juga begitu. Tafsiran dan intepretasi pengkritik-pengkritik ini kita terima lalu dijadikan sebagai panduan. Penonton tak seharusnya subscribe kepada satu suara kritikan semata-mata. Penonton bukan feeder yang terima maklumat atau info daripada seeder. Penonton mempunyai potensi yang lebih besar daripada itu. Kalau di Malaysia ini boleh saya namakan beberapa pengkritik / pengulas yang mempunyai suara menjadi panduan saya dalam mengenali filem sejak kecil. Kita ada Hassan Muthalib, A. Wahab Hamzah, arwah Anuar Nor Arai, Hishamuddin Rais, Ku Seman Ku Hussein, Amir Muhammad, Norman Yusoff, Abror Rivai, Nazim Masnawi dan Tonton Filem. Dan setiap daripada mereka ini mempunyai latar ilmu dan jalan yang berbeza daripada semiotik, Gestalt, falsafah, law, film studies, komik, sastra, dan paling penting semangat cineaste yang dirayakan. Ada beberapa orang lagi yang rajin menulis mengenai filem tetapi suara mereka tidak masuk dengan diri saya. Saya cuba baca tapi macam masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Atau mungkin suara mereka penuh kesangsian atau pun merupakan satu duplikasi atau replikasi kepada suara-suara yang telah saya sebutkan tadi. Atau pun suara mereka belum cukup mapan dan kental – memerlukan sedikit masa. Atau mungkin saya terlupa. Atau mungkin ia terlalu underground sampai saya tak jumpa. Tafsiran yang kita dengar ini bukan sesuatu yang kita percaya seratus peratus atau terima sebulat suara. Apabila ini berlaku, di situ timbulnya konsep holier than thou tadi. Kelihatan pengkritik seperti mempunyai satu kuasa besar, untuk memusnahkan mana-mana filem – walhal ianya sebuah tafsiran / intepretasi / perspektif yang boleh diterima atau ditolak oleh sesiapa. Malah tafsiran itu boleh disanggah secara metakritik. 

Kalau diikutkan, teman-teman di sekeliling saya lebih radikal dan jujur pada kebenaran. Cuma mereka tidak menulis. Saya pula suarakan sahaja pendapat saya. Sebab bila kita menonton sesuatu filem itu, kita dapat rasa. Dan rasa ini sesuatu yang jelas. Jadi bagaimana saya boleh menipu perasaan saya itu? Saya tak reti. Kalau hati saya tersentuh dengan satu momen, saya suka, saya tulis saya suka dan puji filem itu. Kalau saya tak rasa apa-apa, filem itu mati dan kaku dan bosan dan menghina intelek (seperti meletak patung pan-asian di depan kamera), saya sindir seadanya – atau paling koman saya tak tulis apa-apa pun. Dan momen tadi penting ya. Momen yang saya maksudkan ini – kamu fikirkan, bagaimana dalam masa beberapa saat, kamu boleh ingat momen itu seumur hidup. Ini benar-benar magikal. Ini bermakna hati kamu telah tersentuh, telah bertaut dengan filem itu, kamu terhibur. Boleh jadi secara intelek, boleh jadi secara jiwa. Kamu berubah selepas itu. Kamu mula hormat kepada ibubapa, guru, teman wanita, teman lelaki, orang lain, haiwan, pokok. Kamu berubah menjadi manusia yang lebih baik. Kamu menjadi sepenuhnya manusia. Itulah filem yang berjaya bagi saya selaku penonton. Dan celakanya kebanyakan filem-filem tempatan yang ditayangkan di pawagam takde sikit pun ciri-ciri ini. Kita masuk, kemudian keluar dalam keadaan lupa. Buang masa. Supaya lebih jelas, filem juga membawa suara. Dan kebanyakan filem-filem tempatan kita tiada suara. Ianya tidak politikal berjejak atau pun sensual menyentuh langit. Ianya terawang-awang di tengah-tengah penuh kesangsian dan kehipsteran. Orang yang tidak faham sentiasa berada di dalam kondisi sangsi dan hipster. Dan beza hipster di Malaysia dengan dekat luar, hipster Malaysia emo. Itu yang kadang-kadang buat kita tergelak tu. Belum apa-apa dah emosi. Grow up! Kill the bloody sifat kebudak-budakan. Musa tengok Khidir bunuh budak depan mata dia – ianya satu metafora supaya kita berubah menjadi matang. Tinggalkan dunia pop MTV yang bersifat kebudak-budakan. Ianya utter crap. Benda itu takde rasa langsung. Bubuh la film look, light leaks atau efek apa pun, sunting lah selaju mana, bokeh lah selagi boleh, benda itu kekal kaku. Bak kata hipster, "takde life."


Ridhwan Saidi